You are on page 1of 7

SELOKA Seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang tidak mempunyai struktur yang khas seperti pantun

atau syair. Mengikut Zaaba, seloka ialah karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi hujung (rima) yang tiada tetap. Bilangan baris pada sebuah seloka adalah tidak terhad dan bilangan baris pada satu rangkap juga tidak menentu. Seloka juga tidak mempunyai skima rima yang tetap. Oleh itu boleh dikatakan seloka lebih mirip kepada ciri free verse iaitu bentuk puisi moden yang dikenali sebagai sajak pada masa ini.

Seperti kebanyakan puisi tradisional yang lain, ciri-ciri seloka boleh dikenali melalui isinya dan tujuan ia dikarang. Seperti yang diketahui umum, gurindam digubah untuk menyampaikan nasihat dan panduan, Nazam digunakan untuk menyampaikan kisah dan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., teromba merupakan puisi yang menyampaikan perbilangan adat dan peraturan bermasyarakat, manakala mantera adalah jampi serapah yang bertujuan mengubat pesakit. Seloka pula dikarang untuk menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan berkias dalam nada bergurau.

Melalui seloka akan terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan di dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya di dalam khazanah Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar sesebuah seloka. Namun dari seloka yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang seloka adalah pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala yang berlaku dan menjalankan tanggungjawab bagi menyampaikan teguran dan kritikan. Pengarang seloka menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk mengetahui maksud sebenar seloka.

Peranan / Fungsi Seloka - Seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusilaan.

- Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran.

- Seloka juga digunakan untuk menyindir, mengejek, menempelak seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia, memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan sosial.

Ciri / Bentuk Seloka - Merupakan puisi bebas atau tidak terikat. - Digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair atau perumpamaan. - Tidak mempunyai pembayang. - Rangkap : Bilangan baris dalam serangkap tidak tetap. - Perkataan : Jumlah perkataan dalam sebaris juga tidak tetap. - Sukukata : Jumlah sukukata dalam sebaris juga tidak tetap. - Rima : Rima akhirnya dalam serangkap juga tidak tetap.

Warisan Melayu telah meninggalkan sejumlah seloka untuk dihayati. Untuk mengenal seloka dengan lebih dekat kita akan menganalisis tiga buah seloka yang paling terkenal di dalam masyarakat Melayu iaitu: 1. Seloka Pak Kaduk, 2. Seloka Pandai Pak Pandir 3. Seloka Mak Si Randang

Ketiga-tiga seloka di atas adalah berdasarkan cerita rakyat atau cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera Melayu. Pak Kaduk dan Pak Pandir merupakan watak-watak yang ditimpa malang. Nasib malang itu adalah akibat daripada kebodohan mereka sendiri. Mereka telah melakukan perbuatan-perbuatan yang merugikan diri sendiri. Seloka Mak Si Randang adalah berdasarkan cerita rakyat masyarakat Minangkabau yang mengisahkan seorang ibu yang terlalu pemurah dan sanggup memberikan segala yang ada kepada orang lain.

Seloka Pak Kaduk Aduhai malang Pak Kaduk Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi dicurahkan Awak pulang kebuluran Mudik menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri dibunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sauh dilabuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk

Seloka ini boleh dikatakan rumusan kepada cerita jenaka Pak Kaduk.. Daripada seloka ini tergambar kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang bergantung sepenuhnya kepada alam. Di sini kita menemui watak Pak Kaduk yang sentiasa dirundung malang.

Mengikut seloka ini, nasib yang tidak beruntung ini ialah kerana dia tidak pandai mengatur hidupnya mengikut peraturan alam. Pada pandangan orang Melayu keberuntungan dan kebahagian adalah apabila seseorang dapat hidup secara harmoni dengan alam. Melakukan sesuatu yang bercanggah atau berlawanan dengan alam akan mengundang pelbagai masalah.

Pada masa dahulu, sungai adalah jalan perhubungan. Manusia menggunakan sungai sebagai laluan untuk ke sana ke mari. Seloka ini menggambarkan perjalanan pak kaduk ketika hendak ke hulu dan ke hilir. Pak Kaduk telah mudik atau mendayung perahu ke arah hulu ketika air surut. Perbuatan ini adalah tindakan yang tidak bijak dan bercanggah dengan kejadian alam. Sepatutnya Pak Kaduk mudik ketika air pasang kerana air yang sedang pasang akan membantu menolak perahunya dan mempercepatkan perjalanannya. Sebaliknya ketika hendak ke hilir Pak Kaduk telah memilih ketika air pasang sedangkan perjalanan dari hulu ke hilir lebih mudah dilakukan ketika air surut kerana air sungai yang mengalir ke muara akan membantu menarik perahu ke arah hilir. Maka pengarang seloka ini mengejek kelakuan Pak Kaduk yang Mudik menongkah surut /Hilir menongkah pasang .

Seloka ini juga mengecam Pak Kaduk yang telah membunuh isterinya sedangkan isterinya telah memberi sokongan kepadanya selama ini. Di dalam hidupnya manusia memerlukan hubungan dengan alam dan hubungan dengan manusia lain. Alam persekitaran dan kampung halaman. Hubungan dengan manusia lain diperlihatkan dengn hubungan isteri. Citra keluarga memberi penekanan kepada faktor sentiman keluarga, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan sebagai contoh citra keMelayuan. Kerana dosa dan kesalahannya Pak Kaduk menerima balasan. Dia nyaris mati oleh tak makan. Kita juga mendapat gambaran tentang apa yang berlaku pada Pak Kaduk. Angin telah mati ketika dia hendak belayar, (Masa belayar kematian angin.Sauh dilabuh bayu berpuput). Hal ini memperlihatkan alam juga seolah-olah tidak mahu bekerjasama dengan Pak Kaduk setelah dia melakukan dosa membunuh isterinya itu.

Selain Pak Kaduk, watak Pak Pandir juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu.

Kebodohan Pak Pandir diungkapkan melalui seloka Pandai Pak Pandir

Pandai Pak Pandir Anak dipijak,dagang dijinjing Kucing dibunuh, tikus dibela Harta habis, badan tergadai Mendengar gelagak dagang Tak sedar bertelanjang Mendengar guruh di langit Air tempayan dicurahkan Mulut kena suap pisang Buntut kena cangkuk onak Gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berbunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu Awak juga berkecundangan

Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya memijak anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakakan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis,badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang.

Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit,Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpurapura baik. Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal. 1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan, 2. Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak, 3. Gunting makan di hujung 4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga. orang berbuah dia haram

Mak Si Randang Baik budi emak si Randang Dagang lalu ditanakkan Tiada kayu rumah diruntuh Anak pulang kelaparan Anak dipangku diletakkan Kera di hutan disusui Dagang pergi awak terhutang Beras habis padi tak jadi Awak juga kecundangan

Menceritakan tentang emak si Randang yang berbudi kepada orang lain hingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan dan merosakkan diri dan keluarga sendiri. Emak si Randang terlalu ekstrim di dalam menjamin kesejahteraan orang dagang. Perbuatan melampau ini adalah bertentangan dengan pepatah Melayu yang berbunyi Buat baik berpada-pada. Agama Islam juga menyarankan kita bersederhana di dalam segala perkara. Emak si Randang telah menanak nasi untuk menjamu si dagang . Kebodohannya dilihat apabila dia sanggup

meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Nasibnya sangat malang kerana dagang yang dijamu itu ternyata bersikap pelahap yang menghabiskan semua makanan tanpa meninggalkan sedikitpun baki. Ini dibuktikan apabila anak atau si Randang pulang tidak ada apa yang boleh dimakan, Nasi yang dimasak habis dimakan oleh si dagang. Perbuatan mak si randang itu umpama menyusukan anak kera dan membiarkan anak sendiri kehausan/ Hal ini digambarkan di dalam ungkapan, Anak dipangku diletakkan Kera di hutan disusui . Mak si Randang juga menanggung hutang kerana membeli makanan. Nasib semakin malang kerana padi tidak menjadi pada musim itu sedangkan beras telah habis ditanak untuk menjamu dagang yang lalu. Setelah kenyang, si dagang telah pergi tanpa meninggalkan apa-apa hadiah sebagai saguhati. Hal ini menunjukkan perangai si dagang yang tidak mengenang budi. Hal ini juga menyalahi ajaran Islam yang mengatakan dengan jelas bahawa seorang ibu dan bapa adalah wajib memberi makan atau nafkah kepada anak dan tanggungannya . Islam juga mengajar bahawa sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih tinggi pahalanya dari sedekah yang diberikan kepada orang yang bukan dari kalangan kaum kerabat.

Tiga buah seloka di atas telah digunakan untuk mengkritik golongan yang tidak membuat atau menjalankan urusan dengan betul. Apa yang amat menarik ialah ungkapan-ungkapan yang berupa sindiran dan kiasan itu tidak hanya tepat untuk mengkritik masyarakat zaman dahulu. Lebih penting ianya terus relevan dengan situasi semasa. Pada masa ini masih ada golongan atasan yang terlalu menjaga kepentingan orang dagang hingga melupai atau mengabaikan kebajikan rakyat asal. Pada masa ini terdapat ramai orang yang menanggung kerugian kerana mengharapkan keuntungan yang belum tentu. Isi seloka ini perlu difahami dan dijadikan pengajaran dan iktibar kepada setiap golongan masyarakat.

You might also like