You are on page 1of 1

5 siswa terjebak dadah

KEMAMAN: Meskipun pelbagai kaedah dan pameran mengenai bahaya dadah dilakukan dalam usaha menyedarkan masyarakat terutama golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), menengah dan rendah, namun ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila tangkapan yang dibuat dalam beberapa siri operasi di negeri ini membabitkan golongan berkenaan.

Ini terbukti apabila seramai lima pelajar IPT di daerah ini ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu Terengganu selepas ujian air kencing yang dilakukan terhadap kumpulan pelajar terbabit berusia 18 hingga 22 tahun mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Kumpulan pelajar dari Kelantan itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota polis ke rumah sewa didiami mereka di bandar Chukai, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Malik Hakim berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah membabitkan 70 anggota termasuk 11 pegawai dari semua bahagian di seluruh negeri ini dan diadakan selama 12 jam bermula 1 pagi semalam. Malik berkata, sepanjang operasi, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menahan mereka walaupun ada beberapa cubaan melarikan diri, namun kekuatan anggota yang ramai, cubaan penagih terbabit berjaya digagalkan.

Menurutnya, semua penagih terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua daripada mereka masing-masing berusia 35 tahun didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki pil berkenaan. Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi sama dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar di daerah ini.
(Sumber daripada akhbar myMetro bertarikh 30 Disember 2010)

You might also like