You are on page 1of 12

Kualiti Tinjauan Literatur

KUALITI TINJAUAN LITERATUR BAGI PENYELIDIKAN DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK OLEH PELAJARIJAZAH TINGGI NikAzis NikPa
Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains Fakulti Pendidikan Universiti Malaya

This descriptive study was conducted within the framework of radical constructivism. The purpose of the study was to identify strengths and weaknesses of literature reviews done by postgraduate students in the field of mathematics education at the Faculty of Education, University of Malaya, as part of a thesis, dissertation, or research report, and to formulate a general guideline for conducting a literature review based on the above analysis. Three procedures were used to collect data, namely document analysis, questionnaires, and interviews. Overall, students seemed to be aware of the main purpose of a literature review. However, some of them used information from secondary source literature, but reported it as primary source literature. Most students relied less on local materials because of difficulties in locating them. Some of their literature reviews were nothing more than reports of what other people have done or said. Most students did not critically evaluate the literature selected. The majority stated that a good literature review should not merely report the related literature, but also evaluate, organize, and synthesize what others have done. However there was a gap between their beliefs and their actual behaviors.

Tinjauan literatur adalah satu aktiviti awal yang penting dalam sebarang penyelidikan. Blaxter, Hughes, dan Tight (2003) menegaskan bahawa kebolehan untuk membuat tinjauan literatur secara kompeten merupakan satu kemahiran penting bagi seseorang penyelidik. Dewasa ini, tinjauan literatur boleh menjadi satu aktiviti yang mencabar disebabkan oleh kewujudan maklumat yang banyak dari pelbagai sumber (Creswell, 2005). Menurut Wiersma (1995), tinjauan literatur adalah satu proses sistematik yang memerlukan pembacaan dan perhatian kepada butiran yang terperinci. Dalam tesis, disertasi, atau laporan penyelidikan, tinjauan literatur memenuhi beberapa tujuan yang khusus. Anderson (1999) pula menjelaskan bahawa tinjauan literatur membekalkan contoh kerja yang dilakukan oleh penyelidik lain dan menunjukkan kepada pembaca tahap kesarjanaan umum seseorang penyelidik. Kualiti kerja penyelidik, ketepatan kerja tersebut, perkara yang diberi atau tidak diberi tumpuan, dan kaedah organisasi dan persembahan, memaparkan kredibiliti seseorang sebagai penyelidik dan menyediakan asas bagi mengesahkan kajian yang dijalankan. Menurut Neuman (2000), tinjauan literatur memastikan penyelidikan yang dijalankan adalah relevan dan menunjukkan bagaimana

Jurnal Pendidikan 2007, Jilid 27(1)

penyelidikan tersebut berkaitan dan menjadi pelengkap kepada bidang yang dikaji. Tanpa tinjauan literatur yang mencukupi, berkemungkinan penyelidik akan mereplikakan kajian lepas secara tidak sengaja. Creswell (2005) menjelaskan bahawa tinjauan literatur membabitkan kesimpulan bertulis tentang artikel dalam jurnal, buku, dan dokumen lain yang menjelaskan keadaan maklumat lepas dan semasa, menyusun literatur dalam topik tertentu, dan mendokumenkan keperluan bagi kajian yang dicadangkan. Tinjauan literatur memenuhi dua tujuan utama (Leedy & Ormrod, 2005; Tuckman, 1999): la menjustifikasikan kepentingan soalan kajian dan membekalkan rasional bagi tujuan kajian dan soalan atau hipotesis kajian. Untuk memenuhi tujuan ini, penyelidik perlu membuat tinjauan literatur secara kritis. Bagaimanapun, York (1998) menegaskan bahawa sebahagian pelajar ijazah tinggi tidak menguasai kemahiran tersebut. Penegasan ini selaras dengan pandangan Galvan (1999) dan Patten (2000). Ekoran perbincangan di atas, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan tinjauan literatur dalam tesis, disertasi, dan kertas projek yang dihasilkan oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Kemudiannya, berdasarkan analisis tersebut, satu panduan akan dibentuk bagi meningkatkan lagi daya maju atau kualiti proses tinjauan literatur dalam penyelidikan yang dijalankan oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik. Proses menentukan kualiti, kekuatan dan kelemahan tinjauan literatur yang dibuat oleh subjek kajian bertumpu kepada beberapa aspek utama seperti berikut: Sumber. Dengan berpandukan soalan kajian, pertimbangan dibuat tentang kualiti sumber yang digunakan. Adakah sumber yang digunakan itu baik? Adakah sumber yang digunakan itu tepat? Adakah sumber yang digunakan itu relevan? Proses: Pertimbangan dibuat tentang proses yang digunakan untuk mengolah literatur yang dikumpulkan. Adakah pelajar dalam kajian ini membuat penilaian kritis, penyusunan, dan mensintesiskan literatur yang dikumpulkan? Penyampaian: Pertimbangan dibuat tentang penulisan tinjauan literatur. Adakah tinjauan literatur ditulis dan dipersembahkan dengan jelas dan sepadu? Adakah tinjauan literatur dibuat dengan berlandaskan orientasi psikologi yang jelas? Adakah pelajar yang terlibat dalam kajian ini meraberi penekanan kepada aspek keberkaitan literatur yang ditinjau dengan soalan kajian? Adakah pelajar memberi kredit apabila kredit perlu diberikan? Adakah pelajar membuat penilaian semula terhadap literatur atau sekadar melaporkan literatur tersebut? Adakah pelajar membuat kesimpulan tentang semua perkara yang diperkatakan? Rujukan: Pertimbangan dibuat tentang kecekapan pelajar dalam kajian ini menulis rujukan bagi sumber yang digunakan dengan berpandu kepada gaya APA {American Psychological Association). Adakah pelajar dalam kajian ini menggunakan Manual APA dalam menulis Bab Tinjauan Literatur?

Menurut konstruktivisme radikal (Steffe & Thompson, 2000), kekuatan dan kelemahan usaha yang dijalankan oleh seseorang individu boleh dibincangkan dari sudut

Kualiti Tinjauan Literatur

daya maju. Dalam konteks ini, tinjauan literatur yang dibuat oleh seseorang penyelidik adalah berdaya maju jikalau tinjauan tersebut didapati mencukupi dalam membantu penyelidik mencapai matlamat yang diharapkan (von Glasersfeld, 1995). Daya maju dinilai dengan meneliti tindakan penyelidik dan menentukan setakat mana tindakan tersebut membantu penyelidik mencapai matlamat yang diharapkan (Nik Azis, 1999). Bagaimanapun, konsep daya maju tidak merujuk sebarang perkara di luar domain pengalaman penyelidik. Secara khusus, kajian ini bertumpu kepada tiga soalan yang berikut: 1. Apakah kekuatan tinjauan literatur yang dibuat oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik berdasarkan tesis, disertasi, atau kertas projek mereka? 2. Apakah kelemahan tinjauan literatur yang dibuat oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik berdasarkan tesis, disertasi, atau kertas proiek mereka? 3. Apakah panduan yang dapat dibentuk berdasarkan analisis di atas bagi meningkatkan lagi kualiti proses tinjauan literatur yang dilakukan oleh pelajar ijazali tinggi dalam bidang pendidikan matematik? Kajian ini berlandaskan teori konstruktivisme radikal (von Glasersfeld, 1995). Menurut teori ini, tinjauan literatur membabitkan satu rumusan, analisis, dan pentafsiran yang dibuat oleh seseorang pengkaji tentang literatur teori, literatur konsepsi, dan literatur penyelidikan yang berkaitan dengan tema atau topik kajian. Tinjauan literatur membabitkan pencarian dan penilaian terhadap literatur sedia ada dalam bidang kajian tertentu. Walaupun tinjauan kritis merupakan satu proses yang subjektif, tetapi pengkaji yang membuat tinjauan tersebut dapat menentukan sama ada kajian yang ditinjau olehnya telah dijalankan dengan baik dan hasil kajian tersebut boleh dipercayai. Menurut konstruktivisme radikal, daya maju sesuatu tinjauan literatur bergantung pada matlamat yang hendak dicapai oleh pengkaji. Namun begitu, dua matlamat utama tinjauan literatur adalah seperti yang berikut: Tinjauan literatur membekalkan justifikasi tentang kepentingan untuk menyelidik masalah tertentu dan membekalkan rasional bagi tujuan kajian dan soalan atau hipotesis kajian. Bagaimanapun, terdapat banyak alasan lain mengapa seseorang pengkaji membuat tinjauan literatur. Satu perkara yang jelas ialah semakin banyak pengkaji mengetahui tentang kajian lain dan perspektif yang berkaitan dengan topik yang hendak dikaji, maka semakin berkesan usaha yang dilakukan untuk menangani masalah kajian mereka. Pokoknya, tinjauan literatur secara kritis membabitkan proses intelektual dalam mana pengkaji yang membuat tinjauan literatur perlu mempertimbangkan kecukupan tentang kesahan kajian yang ditinjau (Gall, Borg, & Gall, 2003). Kesahan tersebut boleh membabitkan kesahan luaran, dalaman, kandungan, dan konstruk. Dalam tinjauan literatur, tulisan dan kajian lepas dianalisis, disusun, disintesiskan, dinilai, dan diringkaskan secara kritis serta dikaitkan dengan kajian yang hendak dijalankan (Creswell, 2005). Dalam kajian ini, tinjauan literatur merujuk kepada satu kaedah yang sistematik, eksplisit, dan boleh diulang semula bagi mengenal pasti, menilai, dan mentafsirkan satu himpunan kerja sedia ada yang direkodkan dalam mana kerja tersebut dihasilkan oleh

10

Jurnal Pendidikan 2007, Jilid 27 (1)

penyelidik, ilmuwan, dan ahli pendidik (Fink, 1998). Istilah tesis pula merujuk kepada laporan penyelidikan yang dihasilkan oleh calon ijazah kedoktoran, manakala disertasi atau kertas projek merujuk laporan penyelidikan yang dihasilkan oleh calon ijazah sarjana dalam bidang pendidikan matematik. Pada dasarnya, tinjauan literatur pada tahap ijazah kedoktoran sepatutnya memaparkan pemahaman yang lebih mendalam dan menunjukkan bahawa calon telah berinteraksi dengan beberapa pengkaji, isu, perbahasan, dan kritikan secara lebih intensif berbanding dengan calon ijazah sarjana pendidikan. Metodologi Kajian ini menggunakan tiga kaedah pengurupulan data, iaitu analisis dokumen, soal selidik, dan temu bual. Analisis dokumen membabitkan analisis terhadap tesis, disertasi, dan kertas projek yang dihasilkan oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dari tahun 1989 hingga tahun 2005. Sebanyak 6 buah tesis, 6 buah disertasi, dan 30 buah kertas projek telah dianalisis. Pada asasnya, dokumen dipilih berdasarkan faktor seperti bidang kajian khusus, penyelia, dan tahun kajian disiapkan untuk mendapat dokumen yang mempunyai ciri yang pelbagai. Bagaimanapun, oleh sebab bilangan tesis dan disertasi adalah terhad, pemilihan dokumen tersebut banyak dipengaruhi oleh faktor bahan yang ada. Maklumat melalui soal selidik pula diperoleh dari 25 orang pelajar ijazah tinggi yang telah menyiapkan tesis, disertasi, atau kertas projek mereka, dan 15 orang pelajar ijazah tinggi yang belum menyiapkan kajian mereka. Pelajar ini dipilih berdasarkan mereka dapat dihubungi dan bersetuju untuk terlibat dalam kajian. Pada umumnya, soal selidik bertumpu kepada lapan aspek seperti yang berikut: 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Konsep tinjauan literatur. Peranan teori dalam tinjauan literatur. Kata kunci dan jenis literatur. Proses mendapatkan literatur. Pemilihan dan pertimbangan tentang literatur. Penyusunan literatur yang telah dipilih. Kemahiran menggunakan Manual APA. Penulisan Bab Tinjauan Literatur.

Seterusnya, maklumat melalui temu bual diperolehi dari lima orang pelajar ijazah tinggi yang telah menyiapkan tesis, disertasi, atau kertas projek mereka. Pelajar ini dipilih berdasarkan mereka dapat dihubungi dan tidak keberatan untuk terlibat dalam kajian. Sesi temu bual yang mengambil masa kira-kira 30 minit bagi setiap subjek dirakamkan dengan menggunakan rakam audio. Temu bual bertumpu kepada lima soalan asas seperti yang berikut: Adakah kamu mempunyai pelan khusus dalam membuat tinjauan literatur? Adakah kamu menggunakan orientasi psikologi yang khusus dalam membuat tinjauan literatur? Bagaimanakah kamu mengenal pasti, memilih, dan mempertimbangkan literatur yang hendak dimuatkan dalam Bab Tinjauan Literatur?

Kualiti Tinjauan Literatur

11

Bagaimanakah kamu menyusun literatur bagi membuat tinjauan? Bagaimanakah cara kamu menulis Bab Tinjauan Literatur? Maklumat yang dikumpulkan dari tiga sumber yang berbeza, iaitu analisis dokumen, soal selidik, dan temu bual diintegrasikan dengan menggunakan kaedah penyegitigaan (triangulation). Tema-tema yang dikongsi bersama telah dikenal pasti, dan maklumat diolah berdasarkan tema tersebut. Hasil Kajian dan Perbincangan Kajian ini membabitkan tinjauan literatur yang dibuat oleh pelajar ijazah tinggi dalam bidang pendidikan matematik di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Enam perkara utama telah diberi tumpuan: (a) pandangan subjek kajian tentang fungsi utama tinjauan literatur: (b) sumber dan strategi bagi mengenal pasti dan mendapatkan literatur yang relevan; (c) proses atau langkah untuk membuat tinjauan literatur; (d) organisasi bagi menyusun maklumat yang dikumpulkan; (e) analisis literatur yang dikumpulkan; dan (f) penulisan tinjauan literatur. Fungsi Tinjauan Literatur Kebanyakan subjek kajian menjelaskan bahawa pengetahuan tentang kerja dan kajian lalu yang relevan membolehkan mereka mentakrifkan dan memantapkan soalan kajian mereka. Sebagai tambahan, mereka menyatakan bahawa penelitian terhadap kajian berkaitan dapat membantu mereka mengenal pasti kaedah, prosedur, dan instrumen yang terbukti berguna dan yang kurang berguna bagi kajian mereka. Ringkasnya, kebanyakan subjek kajian berpendapat bahawa tujuan utama tinjauan literatur adalah untuk menunjukkan bahawa seseorang pengkaji memahami apa yang telah dilakukan dan dicapai oleh pengkaji lain dalam bidang kajian pilihan, dan menjelaskan bagaimana kajian yang hendak dijalankan itu berbeza dari kajian lain. Bagaimanapun sebilangan kecil subjek kajian gagal untuk membezakan dengan jelas antara tinjauan literatur dengan kritik artikel. Sumber Tinjauan Literatur Sumber bagi literatur boleh dibahagi kepada tiga kategori, iaitu sumber utama, sumber sekunder, dan sumber ketiga. Sebahagian sumber yang digunakan oleh subjek kajian adalah berbentuk sumber sekunder, tetapi dalam menyatakan rujukan, sumber tersebut sering kali ditulis sebagai sumber utama. Dengan kata lain, subjek kajian membaca artikel yang mana pengarang menjelaskan kerja yang dijalankan oleh orang lain. Kemudiannya, subjek kajian menggunakan penjelasan tersebut dalam tinjauan literatur mereka tanpa membaca tulisan asal. Semasa membuat rujukan pula, subjek kajian menulis rujukan seakan-akan mereka membaea tulisan asal. Beberapa subjek kajian menyatakan bahawa mereka menyedari apa yang berlaku, tetapi mereka tidak mengetahui cara untuk membuat rujukan bagi kes seperti itu. Ringkasnya, sebahagian subjek kajian bergantung pada apa yang diperkatakan oleh pengarang lain tentang sesuatu kerja penyelidikan. Mereka tidak membaca tulisan asal penyelidik itu sendiri. Bagaimanapun, semua subjek kajian

12

Jurnal Pendidikan 2007, Jilid 27 (1)

bersetuju bahawa sumber utama membekalkan maklumat yang lebih terperinci tentang penyelidikan asal berbanding dengan sumber sekunder. Seterusnya, sebahagian besar literatur yang dianalisis oleh subjek kajian membabitkan literatur yang dihasilkan oleh sarjana Barat. Subjek kajian menjelaskan bahawa literatur tempatan sukar untuk dikenal pasti, kecuali dengan melakukan kerja mencari secara fizikal. Ini kerana sebahagian besar literatur tentang penyelidikan tempatan tidak diterbitkan dan perbincangan tentang penyelidikan tempatan jarang dimuatkan dalam Internet. Justeru, laporan kajian tersebut tidak dapat diakses dengan mudah. Dari segi jurnal akademik, subjek kajian menganggap bahawa Educational Studies in Mathematics dan Journal for Research in Mathematics Education sebagai dua bahan rujukan yang sangat berguna. Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa artikel terbaru dalam Journal for Research in Mathematics Education sukar untuk diperoleh sebab jurnal tersebut tidak dilanggan oleh Perpustakaan dalam bentuk bercetak. Menurut mereka, maklumat tentang artikel terbaru dalam jurnal itu hanya dapat diketahui melalui Proquest. Subjek kajian juga menjelaskan bahawa tidak banyak buku terbaru tentang pendidikan matematik di Perpustakaan. Menurut mereka, keadaan ini menyulitkan usaha untuk membuat tinjauan literatur secara bermakna. Kebanyakan subjek kajian mengetahui tentang perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan, tetapi segelintir sahaja yang pemah menggunakan perkhidmatan tersebut. Semua subjek kajian menyatakan bahawa sumber maklumat boleh berbeza antara satu sama lain dalam beberapa aspek seperti status maklumat, bentuk kandungan, format penulisan, dan status pengadilan. Menurut mereka, artikel jurnal mengandungi maklumat penyelidikan yang lebih padat berbanding dengan maklumat dalam buku akademik. Seterusnya, kebanyakan mereka mengetahui bahawa sesetengah jurnal mengambil masa yang agak panjang untuk menerbitkan sesuatu artikel. Akibatnya, artikel tersebut tidak bersifat terkini. Dalam mencari literatur lepas yang hendak diteliti, kebanyakan subjek kajian menggunakan tajuk kajian sebagai fokus. Misalnya, mereka akan mencari kajian-kajian literatur yang mempunyai tajuk yang sama dengan kajian yang mereka hendak jalankan. Walaupun pencarian menghasilkan literatur yang terhad, sebahagian subjek kajian nampaknya keberatan untuk meluaskan skop pencarian literatur dengan memberi tumpuan juga kepada kajian yang mempunyai tajuk yang hampir sama, bidang yang sama, dan bidang yang hampir sama dengan kajian mereka. Dengan kata lain, mereka kurang terbuka dalam penggunaan kata kunci {descriptors) dan sinonim yang lebih luas bagi pencarian literatur. Seterusnya, perkara seperti rangka teori, reka bentuk kajian, metodologi kajian, subjek kajian, dan instrumen kajian jarang digunakan sebagai fokus bagi mencari literatur lepas yang hendak diteliti. Amalan seperti ini mungkin tidak menimbulkan masalah jikaiau terdapat banyak kajian lepas yang mempunyai tajuk yang sama dengan kajian yang hendak dijalankan. Subjek kajian menjelaskan bahawa terdapat banyak sumber bagi tinjauan literatur. Mereka mengetahui bahawa ada sumber yang bernilai tinggi dan ada pula yang kurang nilainya dari segi akademik. Kebanyakan subjek kajian, khususnya mereka yang menjalankan kajian pada pertengahan tahun 1990-an hingga masa kini menjelaskan bahawa pencarian literatur secara on-line adalah sangat popular dan banyak membantu mereka. Mereka berpendapat bahawa kemahiran menggunakan Internet dan kebolehan

Kualiti Tinjauan Literatur

13

untuk mendapat akses kepada perpustakaan digital adalah sangat penting bagi membuat tinjauan literatur. Dalam konteks ini, mereka menyatakan bahawa penyediaan infrastruktur ICT dan prasarana jalur lebar untuk capaian ke Internet di tempat pengajian adalah satu keperluan asas. Proses dan Organisasi Tinjauan Literatur Subjek kajian mala membuat tinjauan literatur pada peringkat awal kajian lagi. Mereka menggunakan kajian lepas untuk membantu mereka menentukan masalah kajian dan membentuk soalan atau hipotesis kajian. Subjek kajian mencari literatur yang berkaitan dengan topik kajian mereka dalam pelbagai tempat yang berbeza seperti jurnal, buku, dan laman web. Sebahagian besar kerja tersebut dilakukan secara fizikal atau manual seperti mencari artikel dalam jurnal tertentu yang terdapat di Perpustakaan Utama Universiti Malaya, dan mencari dan membaca tesis, disertasi, dan kertas proiek vans terdapat di Fakulti Pendidikan. Bagaimanapun, terdapat sebahagian subjek kajian, khususnya calon doktor falsafah, yang menggunakan kemudahan Internet secara ekstensif. Mereka nampaknya memahami konsep kata kunci (keywords), iaitu perkataan atau ungkapan pendek yang merumuskan topik kajian, dan mereka menggunakan kata kunci untuk membantu mereka mengenal pasti sumber rujukan yang relevan dalam Perpustakaan atau pangkalan data dalam talian {online database). Namun begitu, terdapat subjek kajian yang kurang pasti sama ada pemyataan tentang masalah kajian boleh dianggap sebagai sumber utama bagi kata kunci. Mereka juga tidak menyedari bahawa Thesaurus of ERIC Descriptors dapat membantu pengkaji untuk mengenal pasti perkataan pemerihal (descriptors) yang sepadan dengan topik kajian mereka. Semua subjek kajian menyatakan bahawa tinjauan literatur adalah satu proses yang berterusan. Mereka bersetuju bahawa usaha untuk meneruskan aktiviti meninjau literatur selagi kajian belum siap adalah satu tindakan yang berguna, khususnya, bagi kajian yang mengambil masa yang lama untuk siap. Seterusnya, semua subjek kajian menyatakan bahawa mereka tidak mengikut satu cara yang tetap atau linear semasa membuat tinjauan literatur. Bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa tinjauan literatur membabitkan beberapa langkah umum yang berkaitan antara satu sama lain: Menentukan kata kunci bagi mencari literatur tertentu. Menentukan lokasi literatur tertentu dengan meneliti pelbagai sumber. Memilih dan mendapatkan literatur yang hendak ditinjau. Membaca, menganalisis, menilai, mensintesiskan, dan menyusun literatur pilihan dengan membuat catatan atau abstrak. Menulis satu tinjauan yang melaporkan ringkasan literatur pilihan. Bagaimanapun, subjek kajian mempunyai tafsiran yang tersendiri tentang setiap langkah di atas. Seterusnya, konsepsi subjek kajian tentang langkah bagi tinjauan literatur adalah agak berbeza daripada aktiviti sebenar yang mereka lakukan. Dengan kata lain, terdapat jurang antara konsepsi subjek kajian dengan amalan subjek kajian dalam membuat tinjauan literatur. Misalnya, subjek kajian jarang sekali mempertimbangkan kesahan maklumat yang mereka baca, walaupun mereka berpendapat bahawa pertimbangan itu adalah penting.

14

Jumal Pendidikan 2007, Jilid 27 (1)

Sebahagian subjek kajian menjelaskan bahawa bukan semua maklumat y ang terdapat dalam Internet boleh dipercayai. Menurut mereka, terdapat individu yang memuatkan artikel mereka dalam Internet tanpa melalui proses penilaian luar yang standard. Bagaimanapun, terdapat subjek kajian yang mengalami kesukaran untuk membezakan artikel yang boleh dipercayai dengan artikel yang tidak boleh dipercayai tentang perkara tertentu, khususnya perkara yang membabitkan perbincangan tentang teori, sebab mereka kurang pengetahuan tentang tokoh atau penyumbang utama dalam bidang tertentu. Berhubung dengan sumber maklumat, kebanyakan subjek kajian berpendapat bahawa sumber sekunder adalah berguna apabila mereka mula membuat tinjauan literatur untuk meneroka sesuatu topik dan menentukan jenis bahan dan tulisan yang berkaitan dengan topik tersebut. Sebahagian subjek kajian menerangkan bahawa mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan tulisan asal yang dikenal pasti melalui sumber sekunder. Semua subjek kajian bersetuju bahawa tinjauan literatur perlu memuatkan beberapa literatur terkini tentang perkara yang hendak dikaji dan menggambarkan pemikiran semasa tentang perkara tersebut. Bagaimanapun dari sudut praktikal, sebahagian subjek kajian menerangkan bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bahan terkini yang berkaitan dengan kajian mereka. Mereka berpendapat bahawa penglibatan dalam seminar di peringkat antarabangsa dan pendedahan yang lebih banyak kepada seminar di peringkat nasional dapat membantu mereka untuk memperoleh maklumat terkini tentang penyelidikan dalam pendidikan matematik. Selepas mengesan lokasi bagi sesuatu artikel jurnal, kebanyakan subjek kajian membuat salinan atau memuat turun artikel tersebut. Mereka jarang sekali membuat abstrak bagi setiap sumber maklumat yang dibaca. Walaupun kebanyakan subjek kajian menjelaskan bahawa abstrak merujuk ringkasan tentang aspek utama sesuatu kajian atau artikel, yang dinyatakan dalam bentuk yang padat, dan membabitkan komponen khusus bagi bahan yang dibaca, tetapi sebahagian mereka tidak dapat menyatakan dengan terperinci perkara asas harus dimiliki oleh sesuatu abstrak. Analisis Literatur Sebahagian tinjauan literatur yang dibuat oleh subjek kajian adalah tidak lebih dari laporan tentang apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh orang lain. Tinjauan tersebut adalah sekadar satu senarai pemerian tentang bahan-bahan yang telah diterbitkan atau satu himpunan ringkasan tentang kajian lepas. Subjek kajian membincangkan beberapa kajian tertentu, tetapi mereka tidak menerangkan dengan jelas bagaimana kajian tersebut berkaitan dengan soalan kajian mereka. Seterusnya, sebahagian subjek kajian tidak menilai kaedah, hasil, dan keputusan kerja seseorang semasa membuat tinjauan literatur. Nampaknya, tumpuan utama mereka adalah kepada usaha untuk melaporkan apa yang dilakukan oleh pengkaji lain dan persoalan tentang kesahan kajian yang ditinjau tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Misalnya, subjek kajian tidak mempertimbangkan sama ada keputusan atau kesimpulan yang dibuat oleh seseorang pengkaji adalah munasabah berdasarkan data yang dibentangkan. Mereka tidak menilai dan mensintesiskan apa yang dilakukan oleh orang lain semasa mereka membuat tinjauan literatur. Dalam membuat tinjauan literatur, sebahagian subjek kajian tidak menggunakan teori atau perspektif tertentu sebagai landasan. Tanpa orientasi yang jelas, sintesis yang

Kualiti Tinjauan Literatur

15

bermakna sukar untuk dilakukan. Misalnya, pelbagai pandangan dan hasil kajian yang berbeza sukar untuk disintesiskan bagi membentuk satu keseluruhan yang padu tanpa menggunakan teori yang khusus. Secara khusus, sebahagian subjek kajian kurang memberi tumpuan kepada perkara yang berikut semasa membuat tinjauan literature Membandingkan dan membezakan perspektif teori yang berbeza tentang topik pilihan. Menunjukkan bagaimana pendekatan tentang topik pilihan telah berubah merentasi masa. Menjelaskan aliran umum dalam dapatan kajian yang berkaitan dengan topik pilihan. Mengenal pasti dapatan kajian yang bercanggah dan mencadangkan penjelasan yang mungkin bagi percanggahan tersebut. Mengenal pasti jurang pengetahuan yang terdapat dalam literatur tentang perkara yang hendak dikaji. Mengenal pasti tema umum merentasi literatur. Ringkasnya, kebanyakan subjek kajian hanya melaporkan dapatan kajian lalu semasa membuat tinjauan literatur dan mereka tidak mempertimbangkan sama ada kajian tersebut dijalankan dengan baik dan hasil kajian tersebut boleh diterima atau tidak. Subjek juga memberi jawapan yang berbeza apabila mereka ditanya tentang bagaimana mereka mengetahui bahawa mereka telah menyempurnakan tinjauan literatur. Berikut adalah beberapa contoh jawapan tersebut: Apabila lebih dari lapan kajian lepas yang relevan telah dikenal pasti, dan kajian tersebut membabitkan kajian klasik dan kajian terkini. Tinjauan literatur adalah satu proses yang berterusan. Bagaimanapun, proses tersebut diberhentikan apabila satu tempoh masa yang ditetapkan telah tercapai dan beberapa literatur yang relevan telah dikenal pasti. Apabila pandangan baru tidak lagi dapat dikenal pasti dan pengkaji berpendapat bahawa pengetahuan mereka tentang penulisan dan perbincangan tentang perkara yang hendak dikaji adalah mencukupi. Apabila beberapa literatur yang relevan telah dikenal pasti dan pencarian literatur baru menemui jalan buntu.

Penulisan Tinjauan Literatur Subjek kajian memaparkan tahap kejelasan dan kepaduan yang berbeza dalam penulisan tinjauan literatur. Kajian ini telah mengenal pasti beberapa perkara seperti yang berikut: Sebahagian subjek kajian memaparkan orientasi psikologi yang jelas dalam menulis tinjauan literatur. Nampaknya mereka mengetahui bahawa bab tinjauan literatur merupakan satu perbineangan tentang penulisan akademik, laporan penyelidikan, dan kajian lepas yang berkaitan dengan kajian yang hendak dijalankan.

16

Jurnal Pendidikan 2007, Jilid 27(1) Kebanyakan subjek kajian menggunakan format segi tiga terbalik, yang bergerak dari aspek umum kepada aspek khusus, dalam menulis tinjauan literate, Kebanyakan subjek kajian menyusun tinjauan literatur dengan menggunakan organisasi bertopik atau bertema. Penulisan dan kajian lepas dibahagi kepada beberapa bahagian tertentu dan perbincangan dibuat mengikut bahagian tersebut. Semua subjek kajian menggunakan ayat pasif diri ketiga dan ayat aktif transitif dalam penulisan tinjauan literatur. Kebanyakan subjek kajian memberi kredit apabila pemberian kredit diperlukan. Mereka memberi kredit kepada penulis tertentu apabila idea penulis tersebut digunakan atau dapatan kajian tertentu dilaporkan. Stail manual yang mereka gunakan ialah Publication Manual of the American Psychological Association. Bagaimanapun terdapat subjek kajian yang tidak menggunakan stail manual ini dengan baik. Kebanyakan subjek kajian menghasilkan semula (reproduce) literatur dan bukan meninjau (review) literatur. Mereka bertumpu kepada apa yang orang lain kata tentang penyelidikan mereka, dan bukan kepada pertimbangan sendiri tentang penyelidikan orang lain. Persoalan tentang bagaimana idea khusus atau dapatan kajian lepas berkaitan dengan kajian yang hendak dijalankan kurang diberi perhatian. Kebanyakan subjek kajian berjaya menjelaskan apa yang sudah berlaku dalam bidang kajian mereka. Bagaimanapun, terdapat beberapa penerangan yang terlalu mudah tentang apa yang belum diketahui dalam bidang kajian. Akibatnya, justifikasi kajian yang dikemukakan adalah tidak cukup kukuh. Semua subjek kajian menyimpulkan tinjauan literatur mereka dengan meringkaskan tema utama dan membentangkan alasan bagi menyokong kajian yang dicadangkan atau kepentingan meneliti soalan kajian tertentu. Namun begitu, perbincangan tentang literatur sedia ada adalah pincang, bercanggah, kekurangan, atau tidak tekal; dan bagaimana kajian yang dicadangkan dapat menambah kepada literatur tersebut kadang kala tidak mencukupi.

Pada umumnya, kualiti tinjauan literatur dalam tesis adalah lebih tinggi dari tinjauan literatur dalam disertasi dan kertas projek. CM penentuan bagi kualiti tinjauan literatur termasuklah fokus dan arah yang jelas, persembahan yang logik dan sistematik, penulisan mengikut stail akademik yang konsisten dan profesional, pencarian literatur yang menyeluruh, penggunaan kerangka teori yang sesuai sebagai landasan, penilaian kritis terhadap literatur yang dirujuk, dan kemampuan meyakinkan pembaca tentang kepentingan kajian yang dicadangkan.

Kualiti Tinjauan Literatur

17

Kesimpulan Tinjauan literatur membabitkan proses mencari dan menilai literatur sedia ada tentang topik tertentu. Subjek kajian didapati mengetahui langkah umum bagi tinjauan literatur. Dalam aspek pencarian, mereka menghadapi kesulitan untuk mengenal pasti literatur tempatan sebab literatur tersebut kurang diterbitkan. Dalam aspek penilaian pula, kebanyakan subjek kurang memberi perhatian kepada usaha untuk menganalisis, mentafsirkan, dan mempertimbangkan teori, andaian, metodologi, hasil, dan kesimpulan kajian yang dibaea. Mereka sekadar menyatakan apa yang telah dilakukan pada masa lepas. Hujah yang mereka kemukakan tentang keperluan untuk menjalankan kajian yang dicadangkan adalah kurang kukuh. Proses tinjauan literatur subjek sering kali tidak berasaskan kerangka teori yang jelas. Pelajar ijazah tinggi dalam bidang matematik boleh meningkatkan kualiti tinjauan literatur melalui pemahaman dan kemampuan untuk menjalankan proses penilaian. Mereka perlu membuat analisis secara kritis terhadap semua aspek kajian lepas yang dipilih seperti latar belakang, soalan atau hipotesis, konteks, campur tangan, metodologi, hasil, dan kesimpulan kajian untuk mempertimbangkan implikasi kajian tersebut terhadap kajian yang hendak dijalankan. Mereka perlu cekap melakukan tiga aktiviti, iaitu meninjau secara menyeluruh literatur berkaitan dengan topik kajian, menganalisis dan mensintesiskan maklumat yang dikumpulkan secara kritis, dan mempersembahkan maklumat yang diringkaskan mengikut sistem organisasi tertentu.

18

Jurnal Pendidikan 2007, Jilid 27 (1)

Rujukan Anderson, G. (1999). Fundamentals of educational research (2nd ed.). London: The Falmer Press, Blaxter, L., Hughes, C, & Tight, M. (2003). How to research (2nd ed.). Maidenhead, UK: Open University Press. Creswell, J. W. (2005). Educational research (2nd. ed.). Upper Saddle River, NJ: Pearson. Fink, A. (1998). Conducting research literature reviews: Frompaper to Internet. Thousand Oaks, CA: Sage. Gall, M. D., Borg, W. R., & Gall, J. P. (2003). Educational research: An introduction (7th ed.). Boston: Allyn & Bacon. Galvan, J. L. (1999). Writing literature reviews. New York: Pyrczak. Leedy, P. D., & Ormrod, J. E. (2005). Practical research (8th ed.). Upper Saddle River, NJ: Pearson. Neuman, W. L, (2000). Social research methods: Qualitative and quantitative approaches. (4th ed.). Boston: Allyn & Bacon. Nik Azis, N. P. (1999). Pendekatan konstruktivisme radikal dalam pendidikan matematik, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Patten, M. L. (2000). Proposing empirical research. New York: Pyrczak. Steffe, L. P., & Thompson, P. W. (Eds.). (2000). Radical constructivism in action. London: Routledge. Tuckman, B. W. (1999). Conducting educational research (5th ed.). Ft. Worth, TX: Harcourt. von Glasersfeld, E. (1995). Radical constructivism: A way of knowing and learning. London: The Falmer Press. Wiersma, W. (1995). Research methods in education: An introduction. London: Allyn & Bacon. York, R. O. (1998). Conducting social work research: An experiential approach. Boston: Allyn & Bacon.

You might also like