You are on page 1of 2

SASTERA

Dasar Kebudayaan Kebangsaan dikritik


2011/12/21 - 07:32:38 AM Oleh Hafizah Iszahanid dan Latifah ArifinCetakEmel Kawan

KRITIKAN terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang berusia 40 tahun dan dibina selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969 berasaskan resolusi yang dicapai pada Kongres Kebudayaan 1971 lantang kedengaran pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2011. Antara isu yang dibangkitkan ialah DKK tewas di tangan kapitalisme dan sekularisme, malahan lebih menyedihkan ada yang turut melihatnya sekadar resolusi yang mungkin dicatat sebagai sebahagian daripada sejarah pembentukan Malaysia dan tidak lebih daripada itu. DKK juga dilihat tidak memberi kesan kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini, malahan sejak pembentukannya dulu ia mencetuskan banyak kegusaran terutama dalam kalangan warga bukan Islam kerana mereka menganggap penerapan nilai Islam dan budaya Melayu sebagai asas pembinaan kebudayaan kebangsaan sebagai tidak adil dan berat sebelah.

Banyak perkara yang dulunya ditolak atas semangat DKK kini menjadi kebiasaan pada hari ini dan antaranya kesusasteraan di Malaysia diklasifikasikan kepada pelbagai jenis sastera mengikut etnik, penubuhan universiti swasta yang nyata bertentangan dengan aspirasi DKK, malahan kedudukan bahasa Melayu semakin terpinggir. Tutor Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Mohd Arif Atan berkata, perkara paling asas DKK antara lain menggariskan agama Islam, budaya dan bahasa Melayu dijadikan asas kepada pembentukan kebudayaan kebangsaan semakin dipinggirkan. Malang apabila kerajaan sendiri melalui sesetengah kementerian tidak tegas dalam penggunaan bahasa Melayu. Dari soal sebesar isu bahasa pengajaran di sekolah hingga kepada isu kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris termasuk mengutamakan iklan dalam akhbar berbahasa Inggeris berbanding Melayu. DKK difahami sebagai bukan perkara mutlak yang boleh mendatangkan kepuasan kepada semua pihak, tetapi kerangka dalam dasar itu tidak boleh dinafikan begitu saja dan diruntuhkan mengikut sesedap rasa. Lihat saja bagaimana Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dinobatkan, sekali gus menafikan kedudukan bahasa Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, katanya pada sesi Pengarang Muda dan Faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan sempena PPMN) 2011. Baginya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003; cadangan penubuhan sekolah Inggeris dan pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina, menidakkan DKK.

Cadangan penubuhan Universiti Merdeka suatu ketika dulu ditolak kerana bertentangan dengan DKK, tetapi hari ini universiti yang serupa tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan universiti serta kolej swasta yang menidakkan bahasa Melayu semakin menjadi-jadi, ujarnya. Wakil Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM), Mohd Hilmi Ramli, pula menyifatkan DKK bukan lagi asas pembinaan kebudayaan kebangsaan, sebaliknya hari ini hampir kesemuanya bersifat kapitalisme serta sekularisme. Sekularisme di matanya telah menyerang jantung semua agama menyebabkan berlakunya pemisahan mutlak di antara agama dan kehidupan, lalu unsur kebudayaan berpaksikan nama hak asasi manusia dan liberalisme lebih menguasai kehidupan hari ini. DKK masih relevan sebagai teras kebudayaan negara ini, namun dasar ini memerlukan kebijaksanaan dan kematangan penggubal dasar untuk memberi pemahaman sebenar akan kepentingan dasar ini, tegasnya

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DasarKebudayaanKebangsaandikritik/Article

You might also like