You are on page 1of 5

REFLEKSI

Terlebih dahulu, saya ingin bersyukur kepada Tuhan kerana dapat saya berjaya menjalani Program BIG pada kali ini bersama rakan-rakan saya di Kampung Kundang Ulu, Ledang. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak institut yang memberikan peluang kepada kami untuk menjalani Program BIG ini dan mentor saya, En. Mohd. Husin bin Mohd. Tap yang telah banyak memberikan bantuan dan bimbingan kepada kami sepanjang Program BIG dijalankan. Tambahan pula, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Kampung Kundang Ulu, Ledang yang sudi menerima kedatangkan kami serta menyediakan makanan yang lazat kepada kami. Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang wajib dihadiri oleh semua guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Program BIG pada semester ini adalah bertajuk Program Anak Angkat. Atas perbincangan dan tolakansur daripada semua pihak, seramai 3 opsyen iaitu Bahasa Cina 1, Bahasa Cina 2 dan TESL 3 telah berjaya menyertai Program Anak Angkat ini. Sebelum mulanya program di kampung berkenaan, kami bekerjasama untuk merancang aktiviti yang bakal dijalani di bawah bimbingan pensyarah. Antara aktiviti yang dijalankan termasukalah gotong-royong di perpustakaan SJK (C) Kung Yu, sesi motivasi, malam kebudayaan, sukaneka, dan senamrobik. Dalam Program BIG pada kali ini, saya berasa lebih senang dan seronok daripada BIG pada semester 1 yang lepas. Hal ini mungkin disebabkan kali ini merupakan kali pertama saya menjadi anak angkat orang lain. Pengalaman pada kali ini amat berbeza dengan pengalaman BIG sebelumnya. Oleh sebab saya merupakan anak tunggal di dalam rumah, jadi saya berasa amat gembira kerana ibu bapa angkat saya mempunyai dua orang anak yang menjadi adik saya. Selama tiga hari tersebut, saya dan ibu bapa angkat berbual-bual apabila ada masa terluang. Di sini, saya telah dapat mengetahui bahawa kasih sayang antara masyarakat amat penting bagi mewujudkan negara yang aman damai. Walaupun keluarga angkat saya bukan ibu bapa yang sebenar, namun saya dapat melayan mereka sebagaimana saya melayani ibu bapa saya di rumah. Melalui komunikasi antara satu sama lain, saya lebih memahami budaya di sana.

Di Kampung Kundang Ulu, peserta-peserta BC 1 dan BC 2 telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan ditugaskan untuk mengemas perpustakaan baru SJK (C) Kung Yu manakala satu kumpulan lagi ditugaskan untuk mengendalikan kelas motivasi untuk murid-murid Tahap II. Saya dan rakan-rakan bekerjasama untuk mengemas perpustakaan sekolah. Di sana, kami telah bertungkus-lumus untuk memindahkan buku-buku dan rak buku dari stor ke perpustakaan yang baru dibina. Selain itu, kami juga bertanggungjawab untuk menyusun buku mengikut kategori tertentu. Bagi menceriakan perpustakaan, saya dan rakan-rakan rela untuk memberikan sumbangan. Selepas pengalaman pada kali ini, saya berasa sangat bersyukur kerana saya telah dapat mempelajari bahawa usaha seorang adalah tidak dapat setanding dengan usaha ramai orang. Dengan adanya prinsip ke gunung sama didaki, ke bukit sama dituruni, sesuatu cabaran atau halangan hanya boleh ditangani dengan mudah. Pada hari kedua, malam kebudayaan telah dianjurkan oleh peserta-peserta BIG. Penduduk kampung termasuk ibu bapa angkat kami telah dijemput untuk menghadiri malam kebudayaan. Pada malam tersebut, saya telah mempersembahkan sebuah lagu Hokkien yang bertajuk A Na Ta. Semasa persembahan, saya berasa cemas kerana terdapat banyak penonton di bawah pentas. Namun, saya tetap berusaha untuk meyakinkan diri. Akibatnya,

persembahan saya telah memperoleh sambutan yang hangat daripada mereka. Ibu bapa angkat saya juga memberikan pujian dan berasa bangga dengan persembahan saya. Sesuatu kejayaan bukannya dapat diperoleh tanpa liku-liku dan halangan. Hakikatnya, pada awalnya, kami telah menghadapi masalah yang besar di mana penduduk di Kampung Kundang Ulu menolak permintaan kami untuk mengendalikan Program Anak Angkat di sana. Walau bagaimanapun, atas usaha pensyarah pengerusi BIG, penduduk di kampung tersebut telah bersetuju untuk menerima kedatangan kami selama 3 hari 2 malam. Masalah yang kami hadapi pada seterusnya adalah semasa pengelolaan Majlis Penyerahan Anak Angkat. Semasa menyambut kedatangan wakil IPG, suasana majlis menjadi tidak sistematik sebagaimana yang telah dirancang. Akhirnya, kami telah ditegur oleh kem komandan dan jurulatih kami. Pengalaman ini

memberikan iktibar yang berguna kepada kami. Semasa majlis penutup pada hari terakhir, kami telah berjaya mengurus majlis tersebut dengan lancar dan sempurna. Hal ini telah menyedarkan saya bahawa kita tidak harus berputus asa apabila menghadapi kegagalan atau halangan. Di sebalik batunya, kita harus belajar daripada kesalahan dan memperbaiki kesalahan tersebut sehingga menjadi kejayaan. Walaupun BIG pada kali ini merupakan satu pengalaman baru kepada saya, tetapi saya telah dapat belajar banyak pengetahuan dan pengalaman yang berharga dan tidak pernah dipelajari di institut sebelum ini. Tambahan pula, saya juga dapat secara langsung menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri. Melalui BIG pada kali ini, saya sedar bahawa kekuatan saya adalah kreatif melakukan sesuatu perkara. Kekuatan ini dapat ditonjolkan semasa saya menyumbang jasa dalam menghiasi perpustakaan SJK (C) Kung Yu. Walaupun masa yang diberikan adalah singkat kerana terdapat aktiviti yang bakal dijalankan pada slot yang seterusnya, namun saya dan rakan-rakan tetap dapat menghiasi perpustakaan dengan ayat-ayat mutiara yang dicetak dan dihias. Sikap kreatif amat dominan untuk seseorang guru. Hal ini demikian kerana saya harus kreatif untuk menghasilkan pelbagai bahan bantu mengajar yang menarik agar menjadikan suasana P&P lebih menarik. Selain itu, saya juga berasa saya dapat mengatasi perasaan cemas dan menunjukkan sikap keyakinan diri semasa menyampaikan persembahan menyanyi di depan orang ramai. Sebagai guru, saya tidak harus menjadi pemalu semasa mengajar agar murid-murid akan menghormati saya. Sifat keyakinan diri juga dapat memastikan murid-murid memberikan tumpuan sepenuhnya dan kelancaran proses P&P. Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Semasa menjalani BIG, saya menyedari bahawa saya lemah dalam mengurus masa sehingga menyebabkan saya kurang mempunyai masa untuk menemani ibu bapa angkat saya. Namun, aktiviti yang banyak dan masa yang singkat juga merupakan faktor pendorongnya. Pada masa depan, saya harus bijak mengurus masa supaya proses P&P dapat dilancarkan dengan sempurna dan tidak melebihi waktu yang ditetapkan. Sungguhpun saya hanya singgah di rumah ibu bapa angkat untuk

tempoh masa yang singkat, tetapi saya pasti akan sentiasa menziarahi mereka atau menelefon mereka supaya hubungan kami dapat dikekalkan selama-lamanya. Melalui program BIG pada kali ini, saya sedar bahawa betapa sukar untuk menganjurkan dan menjalani satu program atau aktiviti. Hal ini demikian kerana kami harus mengalami beberapa prosedur yang penting supaya aktiviti kami dapat berjalan dengan lancar. Namun, saya berasa amat bersyukur kerana kami telah melantik pengerusi dan setiausaha yang berkaliber dalam menguruskan hal-hal tersebut. Selain itu, saya telah menyedari bahawa sebelum memulakan sesuatu aktiviti, persiapan amat penting supaya dapat memudahkan kerja dan memastikan kerja berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun, persiapan yang diperlukan harus diusahakan secara berkumpulan ataupun bekerjasama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebelum memulakan Program Anak Angkat di Kampung Kundang Ulu, kami telah bekerjasama untuk merancang aktiviti yang bakal dijalankan dan mengumpulkan barang-barang yang diperlukan dalam mesyuarat setiap kali. Akhir sekali, melalui program BIG pada kali ini, saya telah banyak memperoleh pengalaman dan iktibar yang amat berfaedah serta dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan saya. Semasa menjalani sesuatu, tanpa kerjasama daripada setiap pihak, sudah pasti sesuatu tidak akan berjaya. Pepatah Melayu ada menyebut, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat . Jika tiadanya kerjasama dan usaha daripada setiap pihak, program ini tidak akan berjalan dengan begitu lancar. Di samping itu, kenangan bersama keluarga angkat dan penduduk Kampung Kundang Ulu juga tidak akan saya lupakan selamalamanya. Sebagai menggulung, Program Anak Angkat pada kali ini adalah satu pengalaman yang berharga kepada saya berbanding dengan BIG pada semester yang lepas. Sepanjang 3 hari tersebut, saya telah belajar banyak perkara baru di samping belajar untuk menyesuaikan diri di sesuatu kawasan pedalaman. Pada suatu hari nanti, saya mungkin diberikan amanah untuk mengajar di kawasan pedalaman, maka BIG pada kali ini adalah satu peluang emas kepada saya untuk belajar cara kehidupan di kampung.

Sebelum mengundur, izinkan saya melafazkan serangkap pantun: Pohon sirih pohon selasih, Tumbuh merimbun di hujung laman. Kalungan budi junjungan kasih, Menjadi kenangan sepanjang zaman.

You might also like