You are on page 1of 12

Isnin, September 12, 2011

Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)


(copyright) Profesor Isahak Haron 2006
Modul 1: Pengenalan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK):
Latar belakang dan Prinsip
Objektif:
supaya guru mengetahui latar belakang dan prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)
sebagai alternatif kepada kaedah abjad/fonik dan kaedah Seluruh Perkataan.
Guru dapat menggunanya dalam modul-modul 6 8.
Seperti yang dihuraikan dalam Modul 2, 3 dan 4, terdapat dua mazhab dan pendekatan besar dalam
pengajaran awal membaca bahasa Inggeris, iaitu pendekatan fonik dan pendekatan seluruh
perkataan. Pendekatan fonik bermula dengan mengajar kanak-kanak huruf abjad dan bunyinya,
kemudian baru membaca perkataan. Pendekatan seluruh perkataan pula terbalik: ia bermula dari
mengajar perkataan kemudian analisis perkataan supaya murid tahu suku kata, huruf dan
bunyinya. Salah satu sebab pengajaran awal membaca dan menulis tidak mudah ialah kerana
sistem ejaannya celaru dan tidak fonemik. Jadi sebenarnya terdapat sekumpulan perkataan yang
mudah diajar dalam kaedah fonik, dan sekumpulan lagi lebih berkesan diajar secara seluruh
perkataan melalui pandang dan sebut.
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) bagi pengajaran awal Bahasa Melayu berbeza dengan
pendekatan fonik/abjad atau seluruh perkataan dalam bahasa Inggeris. KGBK berasaskan kepada
ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam Bahasa Melayu, yang tidak terdapat dalam Bahasa Inggeris,
Bahasa Arab atau Bahasa Cina.
a) Ia mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang sistematik dan
fonemik: maksudnya, setiap huruf mewakili satu bunyi, kecuali huruf e, di
mana terdapat dua bunyi.
Misalnya, huruf a bunyinya aa, huruf b bunyinya bh, c bunyinya ch, d
bunyinya dh, m bunyi mm dan sebagainya. Hanya e mempunyai dua
bunyi, iaitu e taling seperti dalam perkataan emak, enam dan e pepet
seperti dalam ekor dan elok.
Untuk mengetahui lebih lanjut sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,
Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa
Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
b) Suku kata Bahasa Melayu jelas, misalnya ba tu,ka ki, ma kan, ka kak, i tu, i tik, se ko lah,
jam ba tan, bu nga, ta nya pe nyu su ngai pan tai, kam pung, per ja la nan dan sebagainya.
c) Tatabahasa Bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa Bahasa Inggeris dan
Bahasa Arab. Misalnya dalam Bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk bagi gender (laki- laki
atau perempuan) untuk menyatakan banyak (plural),untuk menyatakan perbezaan waktu (past
tense, present tense) seperti dalam bahasa Inggeris.
Dengan itu pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada
sesiapa saja yang mula belajar Bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan
a) pengajaran bunyi asas (fonem) beberapa huruf vokal a i u dan bunyi satu atau dua huruf
konsonan, misalnya bunyi b, untuk membentuk bunyi suku kata ba bi bu, dan
b) terus membaca perkataan mudah baba, bibi, bubu, ubi, ibu abu, dan frasa seperti bubu baba,
ibu abu yang bermakna, dalam satu atau dua pelajaran saja.
Bila kita gabungkan bahagian (a) dan (b) di atas, iaitu mengabung bunyi
dengan terus membentuk perkataan dan membacanya, kita sudah
mengguna apa yang dipanggil kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK),
Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), kerana dalam
satu set pengajaran-pembelajaran, bunyi huruf dan suku kata terus
digabung menjadi perkataan dan dibaca.
Dalam kaedah ini murid diberi asas kemahiran untuk
a) mengesan (attack) sesuatu perkataan, dengan melihat bunyi hurufnya dan suku katanya, jika ia
tidak tahu membacanya. Ini penting untuk memberi kemahiran atau kecekapan mereka membaca
sendiri perkataan baru. Misalnya setelah murid boleh membaca suku kata ba bi bu dan ca ci cu
dan boleh membaca perkataan cucu, baca, cuci mereka sendiri akan boleh membaca cuba dan
bucu.
b) membaca perkataan yang bermakna serentak dalam suatu pelajaran. Dengan ini mereka
mendapati proses belajar membaca itu memberi makna dan berguna. Kajian kami menunjukkan
kebanyakan murid bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah mereka mula tahu membaca
beberapa patah perkataan begini.
Dalam KGBK
1. murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara berturutan dari
a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad/fonik. Ini mengambil masa panjang (2, 3
bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua suku kata terbua seperti ba
bi bu be be bo, ca ci cu ce ce co, dsb yang mengambil masa sebulan lagi, sebelum murid
boleh diajar membaca perkataan dan ayat.
2. murid tidak perlu diajar mengecam seluruh perkataan (pandang dan sebut perkataan) dan
menghafal bentuknya, kemudian cerakin perkataan untuk mengenal huruf dan bunyi huruf,
seperti dalam kaedah seluruh perkataan. Dalam KGBK kanak-kanak terus membina dan
membaca perkataan berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam satu pelajaran itu.
3. Perkembangan unit-unit pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat secara
sistematik berturutan (sequential) berkembang, di mana pelajaran yang
lalu terus diguna untuk belajar membaca pelajaran yang baru.
Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Misalnya,
setelah murid belajar membaca b dan ba bi bu dan perkataan-perkataan
daripada suku kata ini seperti ibu baba, ubi abu, murid boleh disambung
berikutnya untuk belajar bunyi konsonan k pula; membentuk dan
membunyikan suku kata ka ki ku dan terus membaca perkataan atau
frasa kuku kaki aki. Jika dicantum pula dengan suku kata ba bi bu
yang dipelajari sebelumnya, murid boleh membina dan membaca
perkataan dan ayat seperti buku abu; abu buka buku.
Fasa pertama kanak-kanak menguasai membina dan membaca perktaan
suku kata terbuka; fasa kedua membina perkataan suku kata tertutup
(kv +kvk seperti ka sut, bu kit atau kvk+kv) seperti lam pu lembu dan
sebagainya. Fasa berikutnya murid belajar jenis-jenis perkataan suku
katanya diftong (seperti sungai, pulau) dan imbuhan seperti ber me, mem
seperti berjalan, memberi, melawan dan sebagainya.
4. Murid juga terus membaca ayat mudah dalam sesuatu pelajaran itu.
Langkah-langkah asas dalam pengajaran membaca dan menulis KGBK.
1. Perkenalkan bunyi vokal mudah a i u, dan cara menulisnya
2. Perkenalkan bunyi konsonan mudah seperti b dan cara menulisnya
3. Bentuk suku kata terbuka (kv) darinya, supaya menjadi ba bi bu dan cara menulisnya.
4. Bina perkataan dari suku kata (kv + kv), seperti baba bibi bubu babu, ibu
5. Bina rangkai kata atau ayat, seperti ibu abu, babu baba
6. Murid menulis menyalin apa yang mereka baca: huruf, suku kata dan perkataan.
Pelajaran berikutnya
1. Ulang pelajaran unit yang lalu
2. Perkenalkan huruf konsonan baru, misalnya c
3. Bina suku kata ca ci cu
4. Bina perkataan kvkv seperti caca cucu cuci aci acu
5. Guna suku kata pelajaran yang lalu ba bi bu, untuk membina lagi perkataan seperti baca
bucu cuba
6. Bina frasa atau ayat seperti cucu aci, ibu cuci ubi, dsb
7. Murid salin apa yang dibaca.
Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata, kerana dalam satu set pengajaran-
pembelajaran, bunyi huruf dan suku kata terus digabung menjadi perkataan dan dibaca.
Contoh langkah-langkah pengajaran KGBK secara terperinci seterusnya, diberi dalam Modul 4, 5, 6
dan 7.
Semua langkah di atas dibuat dalam satu atau dua pelajaran saja. Ini bererti unsur membunyikan
huruf dengan membina dan membaca perkataan bolehdigabungkan dalam sesuatu pengajaran-
pembelajaran membaca. Pada akhir setiap pelajaran kanak-kanak boleh membaca perkataan,
frasa atau ayat bermakna. Ini didapati lebih mudah dan cepat untuk murid belajar membaca dan
menulis, iaitu murid menulis apa yang dibaca. Murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua
huruf sebelum belajar membaca.
Pendekatan ini membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dan
peningkatan kemahiran membaca dibuat secara berturutan (sequential) dan berkembang
(developmental). Contohnya adalah seperti dalam buku saya Mari Membaca, Utusan
Publications, 1982, dan Mudah Membaca Bahasa Melayu, Fajar Bakti, 1990; dan buku Bahasa
Malaysia, siri Genius, beserta Panduan Guru, Fajar Bakti, 2003, untuk pra sekolah, dan buku Ceria
2M terbitan Ilmu Bakti.
Dari kajian kami, susunan bahan pengajaran-pembelajaran secara berturutan (sequential) dan
developmental, kumulatif dan sistematik ini memudahkan guru mengajar 2M dan memudah murid
belajar 2M bahasa Melayu. Dari pemerhatian dan laporan guru, murid boleh membaca dengan
lancar cerita mudah dalam tempoh kurang dari tiga bulan, jika diajar sejam sehari, lima hari
seminggu mengikut susunan KGBK dalam buku itu.
Pendekatan gabungan dan susunan bahan secara kumulatif seperti dalam KGBK ini tidak mungkin
berlaku dalam pendekatan abjad/fonik, pendekatan seluruh perkataan, atau pendekatan eklektik
yang diguna sekarang untuk mengajar Bahasa Inggeris.
Pendekatan KGBK menyatakan bahawa tidak perlu dipisahkan sequence antara mengenal bunyi-
huruf dengan membina-dan-membaca perkataan. Pendekatan KGBK ini juga tidak memulakan
pengajaran membaca dengan memperkenalkan perkataan (whole word) dahulu dan kemudian
mencerakinkannya menjadi suku kata dan bunyi setiap huruf. Ini menyusahkan dan melambatkan
kebolehan kanak-kanak membaca . Dalam kaedah abajd / fonik, murid perlu belajar dahulu nama
huruf dan bunyi semua huruf a b csampai x y z sebelum mereka diajar membaca perkataan,
frasa atau ayat. Ini juga melambatkan dan menyusahkan setengah murid dan mereka akan tercicir.
Ramai guru masih percaya kuat bahawa kalau murid tidak kenal huruf abjad, murid itu tidak boleh
diajar membaca Bahasa Melayu. Begitu juga guru yang mengajar Bahasa Inggeris. Kepercayaan ini
didasarkan kepada pengalaman mereka diajar dan belajar membaca di zaman kanak-kanak dahulu,
iaitu mengenal huruf abjad a, b, c ..x, y, z dahulu sebelum membaca.
Ibu bapa juga percaya anak-anak hendaklah diajar a b c dahulu sebelum boleh diajar membaca.
Maka kadang-kadang timbul konflik di antara guru tadika yang mengajar kanak-kanak membaca
mengguna KGBK (dan kanak-kanak itu boleh membaca ), tetapi ibu bapa masih tidak puas hati dan
mahu anak mereka diajar a b c. sampai.....x y z mengikut susunan dalam abjad.
Nota
Dalam pengajaran 2M kita perlu juga mengajar kemahiran berbahasa lain, iaitu mendengar dan
bertutur. Guru hendaklah membina keempat-empat kemahiran berbahasa ini.
Walau pun terdapat pendekatan gabung jalin sebagai pendekatan am untuk mengajar bahasa, ada
kaedah dan teknik tertentu khusus untuk mengajar kanak-kanak membaca dan menulis pada
peringkat permulaan. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) digubal secara sistematik untuk
mengajar kanak-kanak 2M, supaya mereka mudah membaca. Kemahiran murid mendengar dan
bertutur terselit secara informal semasa guru dan murid, murid dan murid berbual, mendengar dan
bercakap. Guru tentu sekali harus mengajar murid menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan
standard. Guru hendaklah juga selang selikan aktiviti pengajaran membaca dengan membaca kuat
(read aloud) buku kepada murid, atau menyanyi semasa mengajar 2M, supaya murid seronok
belajar.
Nota: Ada guru mengguna kaedah dan buku Awal Membaca Siri Genius Fajar Bakti 2006 atau buku
yang umpama dalam pengajaran mereka, dan menokok tambah aktiviti untuk memperkayakan
pembelajaran. Ini amat digalakkan. Sejak kebelakangan ini, ada pengarang yang mengarang dan
menerbitkan buku berdasarkan pendekatan ini, dengan memberi berbagai nama untuknya.
Ringkasnya
Pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) menyatakan bahawa kita
bolehmenggabungkan proses mengajar mengenal bunyi-huruf dengan membina-dan-membaca
perkataan dalam satu atau dua pelajaran, dan kanak-kanak terus membaca perkataan, frasa atau
ayat. Ia digubal atas keistimewaan yang terdapat dalam sistem ejaan Bahasa Melayu, di mana
sistem ejaannya fonemik dan sistematik, suku katanya jelas, dan tatabahasanya yang mudah
berbanding dengan sistem ejaan yang celaru dan tatabahasa yang lebih kompleks dalam Bahasa
Inggeris.
Haruslah diingat bahawa KGBK adalah fasa pertama untuk memudahkan muridmula belajar
membaca. Setelah asas awal membaca dikuasai oleh murid, dan murid boleh membaca
sendiri ayat dan cerita mudah, maka fasa seterusnyaialah murid diberi dorongan dan peluang
membaca berbagai bahan bacaan: cerita, puisi, dan buku pilihan, supaya mereka terus
membaca sendiri, dan tertanam tabiat dan minat membaca. Jika ini berlaku, ia akan menjadi
bekalan dan asas untuk pendidikan sepanjang hayat.
Sedikit tentang latar belakang dan sejarah KGBK: Bila dan bagaimanakah KGBK digubal?
Untuk mengelak daripada kekeliruan tentang sejarah dan asal usul Kaedah Gabungan Bunyi Kata
ini, dan dakwaan orang lain yang mereka mencipta atau menggubah kaedah KGBK ini, saya
perturunkan sedikit sejarah pembinaan kaedah ini dan penerbitan buku-buku saya tentang kaedah
ini.
Setelah membaca laporan dalam akhbar, dalam tahun 1979, bahawa 30 - 40% murid di sekolah
rendah, terutama di Sekolah Kebangsaan yang tidak boleh membaca, saya pun berfikir
bagaimanakah ini boleh terjadi, kerana pada pendapat saya bahasa Melayu sangat mudah untuk
diajar membaca dan menulisnya, terutama huruf tulisan rumi. Dari tijauan saya saya dapati
kebanyakan guru mengguna kaedah abjad. Sebahagian kecil mengguna kaedah pandang dan
sebut (look and say), iaitu kaedah seluruh perkataan yang popular di kalangan guru yang mengajar
bahasa Inggeris di peringkat awal.
Saya berpendapat mungkin salah satu sebeb kenapa ramai murid tidak boleh membaca ialah
kerana kaedah pengajaran 2M yang kurang berkesan, dan kurang latihan. Maka dengan mengguna
pengetahuan teori dan amalan pengajaran Bahasa Melayu yang saya ada untuk menggubal satu
kaedah yang boleh menggabung pendekatan fonik (berasaskan bunyi) dan pendekatan seluruh
perkataan.
Pada 8 10 Disember 1979 saya membentang satu kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan
Suluh Budiman di Kuantan, Kertas bertajuk Beberapa Kaedah Mengajar Murid-Murid Membaca
Bahasa Malaysia di Peringkat Awal, . Dalam kertas ini saya meninjau beberapa kaedah mengajar
membaca BM di peringkat awal, dan memperkenalkan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK)
sebagai cadangan untuk mengatasi ramai murid di sekolah rendah, terutama di Sekolah
Kebangsaan, yang tidak boleh membaca.
Kertas kerja ini diterbit dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 24 Bil. 7, Julai 1980.
( lihat Lampiran 1).
Pada Februari 1980 satu bengkel diadakan bersama guru-guru sekolah kebangsaan di Kuala
Terengganu, untuk membina bahan pengajaran/pembelajaran mengguna kaedah ini, untuk dicuba
di sekolah kebangsaan. Pemerhatian rambang guru mendapati kaedah ini berkesan. Guru
mendapati ia mudah diguna, dan murid mudah belajar 2M.
Bulan April 1980 Kaedah ini dibentang di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), di Jalan Duta.
Kaedah ini dianggap berguna dan dijadikan salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam Buku Panduan
Am, Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981, ms.
63 69.
* Kaedah Gabungan Bunyi-Kata dijadikan asas untuk Panduan Guru Bahasa Malaysia KBSR Tahun
I (Jun 1981) untuk SRJK Cina dan SRJK Tamil.
Tetapi Panduan Guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun 1 (1981) bagi Sekolah
Kebangsaan tidak mengguna KGBK untuk mengajar Bahasa Malaysia Tahun 1. Kaedah yang
menjadi pegangan ialah Kaedah Cerakin (yang dianggap sebagai kaedah PPK) dan Kaedah
Abjad, sebagai panduan guru mengajar.
1982 Utusan Publications menerbitkan buku saya Mari Membaca yang mengguna kaedah KGBK
ini (lihat contoh Lampiran 2). Buku ini digunakan di setengah Sekolah SRJK Cina dan Tamil.
* 1986 Fajar Bakti menerbitkan buku saya Kegiatan Tadika 2: Mari Membaca untuk tadika. Buku ini
banyak diguna di tadika swasta di bandar-bandar.
1990 buku Mudah Membaca Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Fajar Bakti, sebagai lanjutan
kepada buku Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia di atas, untuk murid Tahun 1. (Lihat contoh
Lampiran 3).
* 2001 buku di atas telah diedit semula dan diterbit oleh Fajar Bakti dalam siri Tadika Fajar Bakti,
dengan jodol Mudah Membaca dan Menulis 1 & 2.
* 2001 buku Ujian Membaca dan Menulis 1 & 2 yang diedit dari buku asal pada 1990, juga
diterbitkan oleh Fajar Bakti
* 2003 buku Bahasa Malaysia 1 6 Siri Genius (beserta Panduan Guru) diterbitkan oleh Fajar Bakti,
untuk prasekolah (Lihat Lampiran 4)
* 1996 Dewan Bahasa dan Pustaka terbitkan buku saya Bahasa Malaysia Tahun 1,menggunakan
kaedah ini.
Pelajar boleh merujuk artikel dan buku-buku di atas untuk melihat contoh-contoh bahan p & p dan
alat ujian.
Rujukan tambahan
* Isahak Haron (1990), Mengajar Membaca Peringkat Awal. Dalam Safiah Osman (ed). Membaca :
Satu Pengenalan, Berita Publishing, Kuala Lumpur.
Untuk mengetahui sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,
Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa Melayu,Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Beberapa kajian dibuat tentang keberkesanan kaedah KGBK (untuk huruf rumi dan jawi) oleh
pelajar disertasi sarjana pendidikan. Kajian juga dibuat di UPSI misalnya kajian (Laporan, 2004),
yang bertajuk dan abstraknya di bawah.
Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu: Keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata untuk
Prasekolah dan untuk Pemulihan (2004)
Abstrak
Kajian ini menyemukakan pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) untuk pengajaran-
pembelajaran membaca dan menulis Bahasa Melayu peringkat awal (early reading and writing),
sebagai alternatif kepada model atau pendektan Abjad/Fonik dan pendekatan Seluruh Perkataan (
whole word), yang banyak diperkatakan dalam pengajaran membaca Bahasa Inggeris sejak lebih
lima puluh tahun lalu. Pendekatan KGBK menyatakan bahawa pengajaran membaca BM boleh
dibuat dengan mengajar kanak-kanak bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, menjadikannya
suku kata dan terus membina dan membaca perkataan atau frasa atau ayat, dalam satu dua
pelajaran saja. KGBK ini diasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu,
iaitu sistem ejaannya fonemik (terdapat hubungan yang jelas antara bunyi dan simbol (huruf)
(sound-simbol relationship), suku kata perkataan bahasa Melayu yang jelas, dan tatabahasa Melayu
agak mudah berbanding dengan sistem ejaan dan tatabahasa bahasa Inggeris. Kanak-kanak
prasekolah dan murid pemulihan dengan mudah boleh diajar membaca Bahasa Melayu dalam
jangka masa yang pendek.
Kajian empirikal, untuk menguji keberkesanan model atau pendektan KGBK, dibuat dalam dua
konteks: pertama, konteks pengajaran kanak-kanak prasekolah di 12 tadika Kemas di Hulu
Selangor. Setelah tiga bulan guru tadika Kemas mengajar kanak-kanak membaca dan menulis
mengguna KGBK, kemajuan kebolehan membaca 326 orang murid di tadika ini agak ketara.
Konteks kedua ialah di mana KGBK digunakan oleh guru-guru pendidikan khas untuk memulihkan
murid sekolah rendah di Perak dan Pulau Pinang yang tidak boleh membaca atau lemah
membaca. Soalselidik survey digunakan untuk mendapat repons dan penilaian tentang
keberkesanan KGBK daripada sampel 75 orang guru pendidikan khas sekolah rendah di tiga daerah
pendidikan: PPD Hilir Perak, PPD Kerian dan PPD Timur Laut Pulau Pinang. Dapatan menunjukkan
kumpulan guru yang mengguna sepenuhnya atau sebahagian besar KGBK mendapati Kaedah ini
mudah dan berkesan untuk memulih murid membaca dan menimbulkan minat mereka membaca,
berbanding dengan golongan guru yang mengguna separuh saja Kaedah ini.
Dapatan dari kajian penggunaan KGBK di kedua-dua konteks menunjukkan yang KGBK berkesan
sebagai kaedah alternatif kepada kaedah yang guru amalkan sekarang untuk mengajar murid
prasekolah membaca, atau untuk mengajar memulih murid yang tidak boleh atau lemah membaca
BM di sekolah rendah.
Dari segi sumbangan kepada teori atau model pengajaran awal membaca, dapatan kajian
keberkesanan KGBK ini menolak anggapan bahawa terdapat konflik antara kaedah fonik dan
kaedah seluruh perkataan seperti yang terdapat dalam pengajaran awal membaca Bahasa
Inggeris. KGBK merupakan model Ketiga dan pendekatan alternatif yang berasas dan viable untuk
pengajaran awal membaca Bahasa Melayu atau bahasa-bahasa yang seumpama Bahasa Melayu.
Aplikasi praktikal dapatan kajian ini ialah KGBK boleh diguna untuk mengajar kanak-kanak
prasekolah dan Tahun 1 membaca dan menulis Bahasa Malaysia dengan lebih mudah dan cepat,
dan untuk memulihkan masalah tidak boleh membaca pelajar sekolah rendah dengan berkesan.
Dipos oleh Siti Salamah Mohd Yusof pada pukul 12:35 PTG
E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke Facebook
Kategori Kaedah Pengajaran Bahasa
2 ulasan:

mohd hezry berkata...
sambungan modul ada kerr
15 Januari 2012 4:57 PTG

zarina berkata...
Tahniah atas perkongsian ilmu. Hanya ALLAH mampu membalas keikhlasan kalian.
Teruskan untuk kami yang ketandusan ilmu dan guru untuk mengajar.
14 April 2013 10:23 PG
Catat Ulasan
Pihak Wasilah Pendidikan Khas menggalakkan kepada pembaca memberi komen dengan memilih
pilihan nama/URL supaya pautan blog atau laman sesawang milik saudara dapat dikongsi.

You might also like