You are on page 1of 2

Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga
yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa
lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid
1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular
kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya
apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan?

Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini
demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin
yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya,
setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak
merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut
membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini
demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan.
Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang akan membakar lemak
berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan
selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk
mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian
kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan
terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai
pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang
murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif.
Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara
rasional dan berkeyakinan tinggi serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee
Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan
Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka
dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam
bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan
masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual
kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah
kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk
bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu
juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya
percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara
yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar
hangat-hangat tahi ayam.

http://bmssbj.blogspot.com/2013/07/normal-0-false-false-false-en-my-x-none.html

You might also like