You are on page 1of 8

21

BAB 2

KUASA-KUASA PENTADBIRAN



OBJEKTIF BAB


Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:
1. Memahami apakah kuasa-kuasa pentadbiran.
2. Menjelaskan jenis-jenis kuasa pentadbiran.
3. Membezakan di antara kuasa pentadbiran tulen dan kuasa
separa kehakiman.
4. Mengkaji tugas ataupun fungsi kuasa pentadbiran.


2.1 PENGENALAN

Secara umum, pemerintahan negara dibahagikan kepada tiga badan
utama iaitu badan perundangan (legislative) yang berfungsi untuk
membuat undang-undang, badan pemerintah (eksekutive) iaitu badan
yang memerintah dan melaksanakan undang-undang dan seterusnya
badan kehakiman (judiciary) yang berfungsi untuk mentafsir
undang-undang.

Seperti yang telah kita pelajari dalam bab yang lepas, perkembangan
Undang-Undang Pentadbiran telah menjadikan badan pentadbiran
di dalam sesebuah negara demokratik memerlukan lebih banyak
kuasa bagi melaksanakan fungsinya yang semakin bertambah. Bagi
melaksanakan fungsi tersebut, badan pentadbiran telah diberi kuasa
yang semakin luas, bukan semata-mata untuk membuat polisi serta
melaksanakan undang-undang tetapi lebih daripada itu yang
akibatnya lebih banyak menyentuh hak-hak individu.

Oleh sebab itu dalam mempelajari Undang-Undang Pentadbiran,
adalah penting untuk kita mengkaji tentang kategori tugas yang
berlainan di dalam badan pentadbiran. Beberapa kuasa pentadbiran
telah dibahagikan seperti berikut:



22
(i) Kuasa Perundangan (legislative).
(ii) Kuasa Separa Kehakiman (adjudicatory/quasi-judicial).
(iii) Kuasa Pentadbiran tulen (administrative).




SOALAN DALAM TEKS 2.1


1. Jelaskan tiga kuasa pentadbiran yang wujud di
dalam negara.



Semak jawapan anda di akhir bab ini.


2.2 KUASA PERUNDANGAN

Apabila kita membincangkan kuasa perundangan di dalam konteks
badan pentadbiran, ia bermaksud kuasa untuk membuat Undang-
Undang Kecil. Pernahkah anda mendengar tentang Undang-Undang
Kecil atau Perundangan Kecil? Apakah itu Undang-Undang Kecil?

Walaupun fungsi sebenar badan perundangan adalah untuk
membuat undang-undang tetapi kuasa tersebut diwakilkan kepada
badan-badan berkuasa lain dan juga menteri-menteri bagi memenuhi
kehendak dan keperluan negara pada masa kini. Perundangan yang
dibuat oleh badan-badan yang diwakilkan inilah yang dipanggil
Undang-Undang Kecil. Perundangan Kecil ini hanya boleh dibuat
sekiranya diluluskan oleh Parlimen di dalam Statut atau dipanggil
Akta Induk (perundangan yang memebenarkan perwakilan kuasa
dibuat).

Menurut Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, Perundangan kecil
bermakna mana-mana Perisytiharan, perintah, peraturan, arahan,
pemberitahuan, by-law ataupun mana-mana instrumen yang dibuat
dibawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau Badan Berkuasa
yang sah dan mempunyai kesan perundangan. Undang-Undang
Kecil ini akan dihuraikan dengan lebih luas dan mendalam di dalam
bab seterusnya.

23
Oleh itu, kuasa perundangan ini telah memberikan pentadbir-
pentadbir kuasa untuk membuat undang-undang, peraturan umum
atau polisi-polisi yang perlu dipatuhi bersesuaian dengan
perkembangan serta keperluan semasa yang berlaku di dalam
sesebuah negara. Undang-undang inilah yang dikenali sebagai
Undang-Undang Kecil atau Subsidiary Legislation.



SOALAN DALAM TEKS 2.2


1. Jelaskan secara ringkas jenis undang-undang
yang boleh di buat oleh pihak pentadbiran.
2. Apakah maksud Perundangan Kecil mengikut
Akta Tafsiran 1948 dan 1967?



Semak jawapan anda di akhir bab ini.


2.3 KUASA SEPARA KEHAKIMAN

Kuasa kehakiman adalah kuasa yang diberi kepada mahkamah-
mahkamah bagi menyelesaikan sesuatu pertelingkahan dan juga
mentafsirkan undang-undang yang sedia ada. Perkembangan pesat
yang berlaku dalam sesebuah nagara demokrasi moden telah
menyebabkan mahkamah dibebani dengan kes-kes yang banyak.
Bagi menangani masalah tersebut, dirasakan perlu ada kuasa untuk
menyelesaikan apa-apa pertelingkahan yang melibatkan hal-ehwal
pentadbiran diberikan kepada badan pentadbiran sendiri untuk
menyelesaikannya. Badan pentadbiran yang memiliki kuasa
kehakiman tersebut dikenali sebagai kuasa separa kehakiman. Dalam
konteks ini kuasa separa kehakiman bererti kuasa kehakiman yang
dilaksanakan oleh badan pentadbiran. Contoh perlaksanaan kuasa
separa kehakiman dapat dilihat dengan wujudnya Tribunal-Tribunal
Pentadbiran dan juga badan-badan Tatatertib di jabatan-jabatan
tertentu.



24


SOALAN DALAM TEKS 2.3


1. Apakah yang dimaksudkan dengan Kuasa Separa
Kehakiman.



Semak jawapan anda di akhir bab ini.


2.4 KUASA PENTADBIRAN TULEN

Kuasa pentadbiran tulen adalah kuasa yang bukan bersifat
perundangan atau kehakiman. Sesuatu tindakan yang bersifat
pentadbiran adalah bebas daripada sebarang acara kecuali jika statut
telah menetapkan sesuatu acara khas yang mesti diikuti. Para
pentadbir tidak terikat untuk memberikan alasan kepada setiap
tindakan atau keputusan yang dibuat melainkan sekiranya ada
peruntukan dalam statut atau Akta tertentu yang berkehendakkan
demikian.

Terdapat pelbagai contoh tindakan yang dikatakan termasuk di
bawah kuasa pentadbiran tulen. Antaranya:

(i) Seperti mengeluarkan kaedah-kaedah atau arahan-
arahan kepada mana-mana pihak berkuasa bawahan
yang tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang.
(ii) Seterusnya menjalankan sesuatu siasatan berhubung
dengan sesuatu tindakan pentadbiran yang lain.
(iii) Mengeluarkan lesen perniagaan bagi membolehkan
seseorang manjalankan perniagaan di mana
perniagaan itu dikawal oleh undang-undang.
(iv) Tindakan atau keputusan yang dibuat seperti
pendaftaran kelahiran dan kematian, peraturan
terhadap aktiviti perniagaan, pengambilan harta
untuk keperluan atau kepentingan awam seperti
pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan
Tanah 1960 serta penahanan seseorang berdasarkan
puashati ahli eksekutif untuk berbuat demikian
seperti tahanan pencegahan yang tidak memerlukan
perbicaraan untuk menahan seseorang.

25
(v) Kuasa untuk memberi arahan kepada badan-badan
tertentu juga termasuk di bawah kuasa pentadbiran
tulen seperti arahan oleh menteri kepada Public
Enterprise.

Selain dari melaksanakan kuasa pentadbiran berdasarkan
peruntukan statut atau Akta, pihak pentadbiran juga boleh
melaksanakan kuasa pentadbiran walaupun tanpa peruntukan dari
sebarang Akta atau Statut.

Walaupun kuasa ini adalah luas dan tidak tersusun tetapi pihak
kerajaan masih berkuasa melaksanakannya selagi tidak melanggar
sebarang peruntukan undang-undang atau menyentuh hak
seseorang. Keadaan ini membolehkan badan pentadbiran terus
menggubal dan melaksanakan polisi walaupun tanpa sebarang
peruntukan Statut.



SOALAN DALAM TEKS 2.4


1. Jelaskan apakah maksud kuasa pentadbiran
tulen.



Semak jawapan anda di akhir bab ini.


2.5 PERBEZAAN ANTARA KUASA PENTADBIRAN
DAN KUASA SEPARA KEHAKIMAN

Adalah penting bagi kita untuk membezakan antara kuasa
pentadbiran dan kuasa separa kehakiman kerana keduanya
mempunyai implikasi yang berbeza sekiranya berlaku sebarang
perlanggaran atau penyalahgunaan terhadap kuasa-kuasa tersebut.
Sebagai contoh seperti yang telah kita ketahui, kaedah-kaedah atau
arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak pentadbiran keatas
orang bawahan dalam melaksanakan sesuatu tugas tidak mempunyai
kuatkuasa undang-undang berbanding dengan arahan oleh pihak
yang ada kuasa separa kehakiman dan arahan itu juga terdapat dalam
statut tertentu.

26
Terdapat dua perkara penting yang menjadi perbezaan antara kedua
kuasa tersebut:

(i) Kuasa yang tidak menjejaskan hak individu atau yang
tidak perlu mematuhi peraturan keadilan asasi
dikategorikan sebagai kuasa pentadbiran manakala
kuasa yang perlu mematuhi peraturan keadilan asasi
dikategorikan sebagai kuasa separa kehakiman.
(ii) Kuasa separa kehakiman mempunyai unsur-unsur
kawalan kehakiman manakala kuasa pentadbiran
tiada unsur tersebut.



SOALAN DALAM TEKS 2.5



1. Mengapa kita perlu mengetahui perbezaan antara
kuasa pentadbiran dan kuasa separa kehakiman.



Semak jawapan anda di akhir bab ini.


2.6 KESIMPULAN

Kita perlu mengetahui definisi kuasa-kuasa pentadbiran dan
membezakan fungsi serta implikasi ketiga-tiga kuasa tersebut kerana
ia merupakan perkara asas yang perlu kita ketahui sebelum kita
mengkaji beberapa topik penting lain di dalam Undang-Undang
Pentadbiran.

Di dalam bab ini juga, kuasa-kuasa pentadbiran yang dimaksudkan
adalah lebih menjurus kepada kuasa budibicara yang diberikan
kepada pihak pentadbiran dalam melaksanakan tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan kuasa-kuasa yang diberi agak luas
dan boleh menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa. Oleh
sebab itulah telah wujud beberapa kawalan tertentu bagi
mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku. Persoalan mungkin
timbul seperti adakah kawalan-kawalan tersebut berkesan dan sudah
memadai? Bagi menjawab soalan tersebut anda akan pelajarinya
dalam topik-topik seterusnya seperti Perundangan Kecil, Kuasa
Budibicara, Keadilan Asasi dan sebagainya.

27


SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Jelaskan apakah perbezaan antara kuasa pentadbiran dan
kuasa separa kehakiman.

2. Huraikan fungsi atau tugas-tugas kuasa pentadbiran berikut:

(a) Kuasa Perundangan
(b) Kuasa Pentadbiran
(c) Kuasa Separa Kehakiman



Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 2.1

1. (i) Kuasa perundangan (legislative).
(ii) Kuasa separa kehakiman (adjudicatory/quasi-judicial).
(iii) Kuasa pentadbian tulen (administrative).

SDT 2.2

1. Undang-Undang Kecil Undang-undang yang dibuat oleh
badan-badan atau orang perseorangan yang diwakilkan
setelah kuasa diberi oleh Parlimen di dalam Akta Induk
untuk berbuat demikian.

2. Mana-mana Perisytiharan, perintah, peraturan arahan,
pemberitahuan, by-law ataupun mana-mana instrumenyang
dibuat di bawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau
badan berkuasa yang sah dan mempunyai kesan
perundangan.




28
SDT 2.3

1. Kuasa kehakiman yang dilaksanakan oleh badan pentadbiran
bagi menyelesaikan masalah yang melibatkan hal-ehwal
pentadbiran.

SDT 2.4

1. Kuasa yang bukan bersifat perundangan atau kehakiman.

SDT 2.5

1. Adalah penting bagi kita mengetahui perbezaan antara kuasa
pentadbiran dan kuasa separa kehakiman kerana keduanya
mempunyai implikasi yang berbeza sekiranya berlaku
sebarang perlanggaran atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak
pentadbiran.

You might also like