You are on page 1of 2

Contoh Karangan Pendapat : Isu Dadah

Apabila anda merdengar ungkapan Enam Jahanam, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah
itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ?
Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius
kerana penyalahgunaannya yang meluas heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu
melancarkan Karnival Enam Jahanam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan
mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor
satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan
bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan
khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan
kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja
dipengaruhi oleh kebudayaan hippie dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang.
Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara.
Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan
bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka
bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat
inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-
langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi,
pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang
seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit
kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen
antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi
dadah seharusnya kita pikul bersama.

Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat.
Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih
mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang
tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok
dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk
ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh
disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada
kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat
mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri
bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-
29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap
ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan
oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini
menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada
tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan
penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama
pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah
penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada
sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667
adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program
pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi
kegiatan mereka.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan
tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila
merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak
memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat
merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk
mendapatkan dadah.

Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional,
mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah
mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah
pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila
sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita.
Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya
penyakit AIDS yang amat digeruni.

Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah
akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis
dadah yang menjahanamkan masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan
melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu Perangi Dadah Habis-
Habisan.

You might also like