You are on page 1of 6

Konsep Penilaian

Pernahkah anda berada dalam satu-satu acara lelongan awam seperti melelong
barang-barang antik. Cuba anda bayangkan bagaimanakah seseorang tersebut
membuat penilaian sebelum membuat keputusan untuk membeli. Apakah sebenarnya
maksud penilaian?

Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan
menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan
yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara apa yang
dihasilkan dengan apa yang dihasratkan dari sesuatu program pendidikan. Penilaian
merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang
membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti
Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996),
pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik
melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna
bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif
pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh
didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh
mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih
dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan
pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh
secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang
dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak
cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang
sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes,
portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik
berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti
empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran
mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang
dan rapuh.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian
dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia
akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan
itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk
mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara.

Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya,
dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian
matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan
mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, anda
mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan
yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana
cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan
sebagainya.

Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, kita akan dapat
merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan
maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah penilaian.
Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan
dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa
mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang
telah ditetapkan itu telah tercapai. Ini seterusnya membolehkan guru membuat
pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian
ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya,
Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran
yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan
pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam
bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur
pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh
mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang
dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan
menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat
lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat
dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada
pemerhatian atau temubual.

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang
berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan
maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D
atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau
gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan
dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan
cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu
menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.

Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam
semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi
tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik kuliah dan makmal, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama
ada pensyarah mengajar dan pelajar belajar.





Tujuan Penilaian

Mengumpul maklumat tentang pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran (P&P) supaya membuat pentafsiran dan mengambil tindakkan yang
sewajarnya.
Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam pelajaran sesuatu kemahiran
supaya merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan.
Menentukan kesan pengajaran guru untuk merancang strategi pengajaran yang lebih
berkesan.
Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk merancang aktiviti
P&P pada masa yang akan datang.
Merekod keputusan-keputusan penilian dalam Rekod Prestasi dan Rekod Profil untuk
dirujuk oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Menilai keberkesanan pelaksanaan sesuatu program baru seperti program KBSR atau
KBSM.

Proses penilaian melibatkan tiga langkah utama, iaitu:
1) Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur
2) Meneteapkan suatu kriteria bagi pengukuran
3) Membuat suatu pentaksiran ( pertimbangan ) tentang hasil pengukuran.

Prosedur penilaian megandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisian
dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini secara ringkasnya boleh dilaksanakan dalam
lima peringkat:
a) Peringkat persediaan ujian
b) Peringkat pentadbiran ujian
c) Peringkat pemeriksaan dan pengukuran
d) Peringkat analisis
e) Peringkat interprestasi dan tindakan

Dalam usaha membuat penilaian yang wajar, guru akan mempertingkatkan maklumat
dari berbagai-bagai punca, seperti pengetahuannya sendiri tentang murid tersebut, latar
belakang dan pengalaman mereka, keadaan pembelajaran di rumah dan di sekolah,
minat dan perkara-perkara yang tidak diminati oleh murid. Kesemua ini akan
dipertimbangkan atau dinilai oleh guru dan akhirnya satu penilaian akan dikemukakan
untuk membolehkan tindakan wajar selanjutnya, sama ada memberi pengajaran
tambahan, beralih ke pengajaran lain, menukar kaedah pengajaran dan sebagainya.

Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian

Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi.
Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan
pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai
terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada
objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.

Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai
sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap
keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat
keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat guru mengukur pencapaian pelajar,
semakin tepat penilaian guru terhadap keberkesanan pengajarannya.

Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna
dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang
diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di
bilik kuliah dan makmal sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu
aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.

Seseorang guru biasanya merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar
sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian,
beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam
merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan,
sesuai dan menepati objektif kursus yang dirancang dan kandungan yang diajar.

Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan
sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus
yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan
seterusnya pengajaran guru. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian,
pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan
formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting
bagi seseorang guru bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.

You might also like