You are on page 1of 23

1

BAB 1 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN
Asal usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana
eropah seperti Hendrik Kern(Belanda) dan Robert Von Heine Geldern(Austria) telah
melakukan penyelidikan secara kasar tentang latar belakang dan pergerakan
masyarakat Melayu kuno. Teori mereka menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal
daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia yang berasal dari daerah
Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang
pergerakan manusia dan akhirnya menduduki wilayah Asia Tenggara. Gelombang
pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 SM. Kira-kirs
tahun 1500 SM, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-
Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur iaitu di pinggir pantai dan tanah
lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini meyebabkan orang-orang Melayu-
Proto sperti orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa
kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan hutan dan pedalaman. Golongan
Melayu-Proto ini dikatakan nenek moyang masyarakat Melayu pada masa kini.
Bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa
Austronesia ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun
bahasa Austronesia terdapat rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa Tibet-
China. Menurut Nik Safiah Karim, bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa
dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austro-Asia dan
Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Acheh, Batak,
Minangkabau, Nias, Lampang, dan Orang Laut.

2

1.2 OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dilakukan berdasarkan Sejarah Bahasa Melayu. Pengkaji melaksanakan
tugasan dari aspek Salasilah Dan Teori Bahasa Melayu berdasarkan beberapa
objektif iaitu:
1.2.1 Menghuraikan asal usul Bahasa Melayu
1.2.2 Menjelaskan hipotesis asal usul Bahasa Melayu
1.2.3 Mengenal pasti rumpun keluarga dan salasilah dalam Bahasa Melayu
1.2.4 Menganalisis Teori Nusantara
1.2.5 Menghuraikan Teori Yunan

1.3 BATASAN KAJIAN
Dalam kajian ini, pengkaji telah membataskan kajian dengan mengkaji dari segi
asal usul Bahasa Melayu, hipotesis asal usul Bahasa Melayu, rumpun keluarga dan
salasilah dalam Bahasa Melayu, Teori Nusantara dan Teori Yunan. Pengkaji hanya
mengkaji subtajuk-subtajuk yang terdapat tajuk utama iaitu Teori dan Salasilah
Bahasa Melayu.






3

1.4 PENGERTIAN KONSEP
Teori adalah serangkaian bagian atau variabel, definisi, dan dalil yang saling
berhubungan yang menghadirkan sebuah pandangan sistematis mengenai fenomena
dengan menentukan hubungan antara variabel, dengan maksud menjelaskan
fenomena alamiah.
Salasilah boleh ditakrifkan sebagai susun galur keturunan ataupun asal usul
bahasa melayu. Salasilah bahasa Melayu menceritakan asal usul terciptanya Bahasa
Melayu melalui pengaruh induk yang telah lama bertapak di Tanah Melayu.
Salasilah didefinisikan sebagai keturunan penyebab terhasilnya Bahasa Melayu.
Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat, salasilah ialah susun
galur, keturunan, asal usul(seseorang atau sesuatu) ; menyusur galur menyelidiki asal
usul, mengusul dan menyusur galurkan menyusun salasilah keturunan(seseorang
atau sesuatu) : saya akan ~ sejarah pembakuan Bahasa Melayu.
Melayu digunakan dalam pengertian yang luas dan sempit. Dalam pengerian yang
luas, istilah ini merujuk kepada bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung
Tanah Melayu dan secara tradisional disebut gugusan Melayu, termasuklah
Indonesia yang ada sekarang ini. Bermula daripada pengertian inilah, maka kita
dapati bahawa sesudah Perang Dunia Kedua, timbul hasrat dalam kalangan pejuang
Melayu untuk menubuhkan sebuah negara yang mencantumkan Tanah Melayu
dengan Indonesia untuk menjadi sebuah negara yang bernama Melayu Raya. Walau
bagaimanapun, percatuman dua buah negara tersebut tidak berlaku sehingga ke hari
ini.



4

BAB 2 HURAIAN DAN PERBINCANGAN

2.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU
Penggunaan istilah Melayu boleh dikatakan sangat baharu dan timbul buat pertama
kali dalam tulisan orang Cina antara tahun 644 dan 645 Masihi. Terdapat tanda-tanda
sejarah yang cuma membuktikan kehadiran perkataan Melayu dalam penulisan Cina
antaranya ialah :
i. Cacatan orang Cina yang menyatakan bahawa terdapat sebuah kerajaan mo-
lo-yeu yang mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar tahun
644-645 Masihi.
ii. Cacatan rahib buddha bernama I tsing.
Dikatakan orang bahawa mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara China untuk
mempersembahkan hasil bumi kepada raja China. Walau bagaimanapun, letaknya
kerajaan orang mo-lo-yeu ini tidak dapat dipastikan. Ada yang menyatakan kerajaan
ini terletak di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang menyatakan kerajaan ini
terletak di Jambi dan Sumatera. Tidak kurang pula ada yang mempercayai bahawa
kerajaan mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, iaitu daripada sebatang
sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
Satu lagi cacatan orang cina ialah melalui cacatan rahib buddha bernama I tsing
yang menggunakan perkataan me-la-yu terhadap dua buah kerajaan yang dilawati
sekitar tahun 675 masihi.



5

2.1.1 Pengertian Melayu
Dalam pengertian Melayu mengikut UNESCO pada tahun 1972, menggunakan nama
Melayu untuk merujuk suku bangsa di Semenanjung, termasuk orang-orang Melayu
di Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagascar. Konsep Melayu yang digunakan
dalam pengelompokkan bahasa Austronesia. Istilah Melayu yang lebih umum
merujuk kepada suku bangsa yang menuturkan bahasa Melayu. Kelompok ini
mendiami Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur, Sumatera, Brunei dan
beberapa buah kawasan berhampiran. Bahasa suku bangsa ini ialah bahasa Melayu
yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan di negara Malaysia dan dikenali juga
sebagai bahasa Indonesia di negara Indonesia. Dalam buku Susur Galur Bahasa
Melayu, Asmah Hj. Omar (1985), manyatakan bahawa istilah Melayu digunakan
dalam pengertian yang luas dan sempit. Dalam pengerian yang luas, istilah ini
merujuk kapada bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu
dan secara tradisional disebut gugusan Melayu, termasuklah Indonesia yang ada
sekarang ini. Di Malaysia, pengertian bahasa melayu mempunyai implikasi
keagamaan yang dikaitkan dengan agama Islam. Dalam Perlembangan Malaysia,
tercatat bahawa Melayu ditakrifkan sebagai orang yang menutur dalam bahasa
Melayu, menganuti agama islam dan mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu.






6

2.2 HIPOTESIS ASAL USUL BAHASA MELAYU
Tempat asal bahasa Melayu dikaitkan dengan tempat asal penuturnya,iaitu tempat
asal orang Melayu.Terdapat dua hipotesis tentang tempat asal orang Melayu seperti
yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik,iaitu:
2.2.1 Kawasan Asia Tengah
Berdasarkan hipotesis yang pertama ini, dikatakan bahawa orang Melayu berasal
dari bahagian selatan China. Pelbagai nama digunakan untuk merujuk kawasan
tersebut. Antaranya Indo-China, pantai timur, China selatan, iaitu di Champa dan
Kampuchea dan ada pendapat yang menyatakan tempat tersebut di Burma.
Penghijrahan dari utara (bahagaian selatan China) ke selatan, iaitu Nusantara
dilakukan secara berkelompok-kelompok. Walau bagaimanapun, sebab-sebab
perpindahan masih tidak dapat dipastikan. Perpindahan ini telah menurunkan
kelompok Melayu.
Kelompok Melayu pertama yang sampai ke kawasan Nusantara ini dinamakan
Melayu-Proto. Kelompok ini dikatakan telah menduduki Nusantara sekitar tahun
2000 SM. Pada peringkat awal hipotesis, perpindahan kelompok Melayu telah
dikemukakan oleh P.Sarasin dan F.Sarasin pada tahun 1892. Hipotesis tentang
perpindahan kelompok Melayu ini telah dikukuhkan lagi oleh Geldern pada tahun
1932. Beliau yang merupakan ahli prasejarah telah membuat kajian terhadap beliung
bersegi panjang yang ditemui di Sungai Hwang Ho, Sungai Yangtze, Sungai
Mekong, Sungai Salween, Sungai Irrawadi, dan Sungai Brahmaputra. Beliau
mendapati bahawa beliung tersebut telah dibawa oleh orang Asia Tengah ke
Kepulauan Melayu.

7

Pada tahun 1500 SM, kelompok Melayu kedua telah datang ke Nusantara dan
mereka dikenali sebagai Melayu-Deutro. Kedatangan Melayu-Deutro telah
menyebabkan kelompok Melayu-Proto berundur ke kawasan pendalaman seperti
memasuki hutan, lembah, dan kawasan-kawasan pergunungan. Walaupun kelompok
ini telah melarikan diri ke kawasan pendalaman, namun kelompok ini masih wujud
sehingga kini dan keturunan mereka dikenali sebagai orang Asli. Antara yang masih
wujud di Malaysia ialah orang Asli, Negrito, Senoi, Jakun, dan Temuan. Apabila
petempatan Melayu-Proto ini terpisah-pisah, bahasa yang dituturkan oleh mereka
telah berkembang dan melahirkan dialek-dialek dan bahasa yang berlainan.
Golongan Melayu-Deutro pula telah menurunkan orang Melayu moden. Mereka
dikatakan mempunyai peradaban yang lebih tinggi daripada Melayu-Proto.
Golongan ini lebih pandai dan berkemahiran jika dibandingkan dengan Melayu-
Proto. Mereka telah membina petempatan di pesisiran pantai dan menetap di situ.
Melayu-Deutro juga mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang pelayaran.
Dengan kemahiran ini, mereka telah membuka petempatan-petempatan baharu di
Kepulauan Melayu dan mereka terus berkembang di kawasan tersebut.
Hipotesis pertama ini agak meragukan dari segi tarikh berlakunya penghijrahan.
Dikatakan bahawa tarikh penghijrahan kedua-dua kelompok ini ternyata bercanggah
daripada bukti arkeologi bahawa manusia moden telah menghuni Alam Melayu
berasal dari selatan China, sudah pasti kelompok induknya di selatan China ini
mempunyai persamaan dari segi pertuturan atau kebudayaan yang asas. Namun,
daripada penelitian yang dilakukan terhadap kelompok yang kini tinggal di kawasan
tersebut, tiada satu pun yang mempunyai cirri persamaan dengan rumpun Melayu di
Alam Melayu.

8

2.2.2 Kawasan Nusantara
Hipotesis ini menolak pendapat bahawa bangsa Melayu berasal dari kawasan
Asia Tengah. Para pengkaji yang mendokong hipotesis ini mengemukakan beberapa
tempat asal bahasa Astronesia, iaitu rumpun yang menurunkan bahasa Melayu.
Antaranya,termasuklah Sumatera ,Jawa, Melanesia, New Guinea, dan Filipina. Para
pengkaji mengemukakan beberapa bukti yang menjelaskan dakwaan mereka. Bukti
pertama dapat dilihat daripada segi kajian bahasa di kawasan selatan Asia. Hasil
daripada penyelidikan perbandingan bahasa yang dilakukan oleh beberapa orang
pengkaji bahasa menunjukkan bahawa bahasa-bahasa di Nusantara memang
mempunyai hubungan kekerabatan, iaitu induk kepada bahasa-bahasa tersebut ialah
bahasa Astronesia.
Kajian C. A. Mess mendapati bahawa bahasa-bahasa daripada rumpun
Austronesia mempunyai persamaan yang banyak daripada segi perkataan, sistem
imbuhan dan susunan tatabahasa. Sebagai contohnya, kata-kata seperti mata, telinga
dan lima sering timbul dalam bahasa-bahasa tersebut. Penutur bahasa daripada
rumpun bahasa Astronesia ini dipercayai berpusat di pesisir pantai yang strategik di
Kepulauan Melayu. Dari situlah mereka membawa bahasa tersebut ke barat hingga
ke Madagaskar di Lautan Hindi dan ke timur hingga ke Pulau Easter di Lautan
Pasifik. Kajian Williams Marsden menunjukkan bahawa bahasa Melayu serumpun
dengan bahasa Mekanesia, Melanesia, dan Polinesia yang kesemuanya daripada
induk bahasa Austronesia. Kekerabatan bahasa seperti ini tidak ditemukan dalam
bahasa-bahasa di Asia Tengah. Oleh hal yang demikian, asal nenek moyang bagi
bahasa Melayu bukan dari Asia Tengah.


9


Berdasarkan kekerabatan bahasa, Isidore Dyen berpendapat bahawa orang
Melayu mungkin berasal dari Formosa, New Guinea, atau Melanesia .Gorys Keraf
dalam buku Linguistik Bandingan Historis pula menyatakan bahawa nenek moyang
bahasa Melayu sudah sedia ada di Kepulauan Melayu dan mereka menggunakan
bahasa keluarga Nusantara. Menurut beliau, negeri asal nenek moyang bangsa
Austronesia ialah Indonesia dan Filipina.
Seterusnya, kajian kebudayaan juga dapat membuktikan bahawa asal usul bahasa
Melayu adalah dari kawasan Nusantara. Sehubungan dengan itu, seorang sarjana
Inggeris bernama John Crawfurd membuat kajian perbandingan bahasa yang
terdapat di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Hasil daripada
kajian beliau, menunjukkan bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki
tahap kebudayaan yang tinggi pada abad kesembilan belas.
Menurut Crawfurd, untuk mencapai tahap kebudayaan yang menonjol itu, kedua-
dua budaya itu tentu telah mengalami perkembangan beberapa abad sebelum itu.
Berasaskan anggapan itu, beliau membuat kesimpulan tempat asal orang Melayu di
Sumatera dan Jawa. Dengan kata lain, Melayu di Sumatera dalam bahasa Jawa(di
pulau Jawa) merupakan bahasa induk kepada bahasa-bahasa serumpun yang tersebar
di kepulauan Melayu.
Hipotesis kedua ini juga disokong oleh kajian arkeologi kerana penemuan fosil-
fosil di Nusantara menunjukkan bahawa manusia telah lama mendiami Kepulauan
Melayu. Sebagai buktinya, fosil manusia yang ditemukan menunjukkan bahawa
manusia Jawa telah wujud di Pulau Jawa sejak dua juta tahun lalu.

10

Selanjutnya, kajian terhadap tengkorak manusia menunjukkan usia tengkorak
manusia yang ditemukan di Nusantara lebih tua daripada tengkorak yang ditemukan
di Asia Tengah. Hal ini terbukti, Mojokerta dan Pithecanthropus Trinil yang masing-
masing berusia kira-kira 670 000 tahun dan 600 000 tahun berbanding dengan
Sinanthropus Pekinensis (Manusia Peking) yang ditemukan di China hanya berusia
kira-kira 550 000 tahun. Daripada bukti kajian purba,dapat disimpulkan bahawa
nenek moyang bangsa Austronesia dan Melayu bukan berasal dari Asia Tengah
kerana manusia awal telah lama di Nusantara.














11

2.3 SALASILAH DAN RUMPUN BAHASA MELAYU
Bahasa Austronesia merupakan induk kepada bahasa Melayu. Rumpun bahasa
Austronesia telah tersebar luas dari Formosa hingga ke New Zealand dan dari
Madagaskar hingga ke Kepulauan Easter. Konsep usia pemeringkatan bahasa
dibahagikan kepada filum, rumpun, keluarga dan subkeluarga.
Filum bermaksud kelompok bahasa induk yang paling tua usianya, iaitu
bahasa Austris yang berusia 5000 tahun dan lebih. Rumpun pula bermaksud
kelompok bahasa yang berusia antara 2500 hingga 5000 tahun iaitu bahasa
Austronesia. Peringkat keluarga ialah bahasa Melayu dari bahasa Nusantara yang
berumur kurang daripada 2500 tahun. Keluarga bahasa ini dapat dipecahkan kepada
beberapa kumpulan bahasa iaitu Nusantara, Mikronesia, Polinesia dan Melanesia.
Subkeluarga pula ialah bahasa-bahasa yang berasal daripada satu keluarga, misalnya
Bahasa Tomini dan Bahasa Filipina.
Bahasa Austronesia berasal daripada filum bahasa Austrik / Austris. Selain
bahasa Austronesia, filum Austrik / Austris turut memancarkan rumpun bahasa
Austroasia dan rumpun bahasa Cina- Tibet. Rumpun bahasa Austronesia pula
dibahagikan kepada dua iaitu Austronesia Barat dan rumpun Austronesia Timur.
Rumpun Austronesia Barat telah melahirkan keluarga bahasa Indonesia dan
Austronesia Timur melahirkan tiga keluarga bahasa iaitu keluarga bahasa Melanesia,
Mikronesia dan Polinesia.



12

Keluarga bahasa Indonesia dipecahkan kepada dua subkeluarga iaitu
subkeluarga Indonesia Pusat dan subkeluarga Filipina-Formosa. Bahasa Melayu
termasuk dalam subkeluarga Indonesia Pusat. Selain bahasa Melayu, bahasa
bumiputera Sarawak kecuali bahasa Bisayah, bahasa-bahasa di Kalimatan dan
subkeluarga Indonesia Pusat. Bahasa-bahasa dalam subkeluarga Filipina-Farmosa
ialah bahasa-bahasa di Filipina, bahasa bumiputera Sabah dan bahasa di Brunei
kecuali bahasa Melayu dan bahasa Lun Dayeh.


ubke









Rajah 1 : Salasilah bahasa Austronesia





Rumpun Cina-Tibet
FILUM BAHASA AUSTRIK / AUSTRIS
Rumpun Austronesia Rumpun Austroasia
Rumpun Austronesia Barat Rumpun Austronesia Timur
Keluarga Indonesia
Subkeluarga Indonesia Pusat Subkeluarga Filipina-Formosa
Polinesia Mikronesia Melanesia

13

2.4 TEORI NUSANTARA
Berdasarkan bukti kebudayaan, J.Crawfurd telah menyatakan bahawa tanah asal
orang Melayu adalah di Sumatera dan Jawa. Hal ini demikian kerana, kedua-dua
buah kawasan ini memperlihatkan perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol
berbanding bahagian-bahagian lain di Nusantara.
Orang Melayu yang telah bergerak dari Sumatera dan Jawa ke bahagian-
bahagian lain di Nusantara seperti di Semenanjung Tanah Melayu ini turut
membawa kebudayaan mereka.Hal ini menyebabkan kebudayaan mereka tersebar ke
kawasan lain dan lebih menonjol berbanding kebudayaan-kebudayaan lain. Oleh
itu,orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tempat di luar Nusantara, tetapi
mereka merupakan induk yang tersebar ke bahagian lain.
Berdasarkan bukti bahasa, Marsden mendapati bahawa bahasa Melayu serumpun
dengan bahasa Polinesia, Melanesia, dan Mikronesia. Induk kepada bahasa-bahasa
ini ialah Austronesia kerana terdapat kekerabatan antara bahasa-bahasa
tersebut.Bahasa Austronesia ini tersebar ke pesisir pantai timur (Lautan
Pasifik),pantai barat (Lautan Hindi) dan selatan Asia (kawasan Nusantara) sahaja
dan tidak termasuk ke wilayah Asia Tengah.
Dyen pula menyatakan bahawa orang Melayu mungkin berasal dari tiga buah
tempat, iaitu Melanesia, Formosa atau New Guinea. Tempat ini berdasarkan bukti
bahawa setiap bahasa di kawasan ini mempunyai kekerabatan. Berdasarkan kajian,
beliau mendapati bahasa yang terpisah lebih awal mempunyai peratus kekerabatan
yang rendah, sebaliknya bahasa yang baru terpisah mempunyai peratusan
kekerabatan yang tinggi. Kekerabatan bahasa dapat dilihat dari segi persamaan
beberapa perkataan yang digunakan, persamaan dari segi bentuk kata dan persamaan

14

dari segi struktur bahasa. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa yang dituturkan
di Nusantara berasal daripada induk yang sama.
Seorang sarjana Inggeris bernama J.Crawfurd telah membuat kajian
perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan
Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini
berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari
Pulau Sumatera (bahasa Melayu).
Bahasa Jawa dan bahasa Melayu yang merupakan induk bagi bahasa
serumpun yang terdapat di Nusantara ini. Pendapat lain yang tidak mengakui bahawa
orang Melayu ini berasal dari daratan Asia mengatakan bahawa pada Zaman Kuarter
atau Kala Wurn bermula dengan Zaman Ais Besar sekitar dua juta sehingga lima
ratus ribu tahun yang lalu. Zaman ini berakhir dengan mencairnya ais secara
perlahan-lahan dan air laut menggenangi dataran rendah.Dataran tinggi menjadi
pulau.Ada pulau yang besar dan ada pulau yang kecil. Pemisahan di antara satu
daratan dengan daratan yang lain berlaku juga kerana berlakunya letusan gunung
berapi atau gempa bumi. Pada masa inilah Semenanjung Tanah Melayu berpisah
dengan yang lain sehingga kemudian dikenali sebagai Pulau Sumatera, Pulau Jawa,
Pulau Kalimantan, dan pulau lain di Indonesia.
Proto homonoid yang dianggap sebagai pramanusia dianggarkan sudah ada
sejak satu juta tahun yang lalu dan ia berkembang secara evolusi.Namun, manusia
yang sesungguhnya baru bermula sejak 44,000 tahun yang lalu dan manusia moden
(Homo sapiens sapiens) muncul sekitar 11,000 tahun yang lalu. Pada masa
pramanusia dan manusia yang sesungguhnya di Asia Tenggara, Asia Timur, dan
Australia telah ada manusia. Hal ini dibuktikan dengan ditemuinya Homo

15

soloinensis dan Homo wajakensis (Manusia Jawa = Java Man) yang diperkirakan
berusia satu juta tahun.Pada masa ini wilayah tersebut didiami oleh tiga kelompok
Homo sapiens sapiens,iaitu orang Negrito di sekitar Irian dan Melanesia,orang
Kaukasus di Indonesia Timur,Sulawesi,dan Filipina,serta orang Mongoloid di
sebelah utara dan barat laut Asia.
Penemuan rangka manusia awal iaitu manusia Homo erectus di Jawa.Homo erectus
yang disebut juga sebagai Phitecanthropus erectus berusia sekitar dua juta tahun
ditemui di Sambungmacan dan diberi nama Manusia Jawa. Sehingga kini terdapat
sebanyak 41 fosil manusia Homo erectus yang telah ditemui di Jawa.Dengan
penemuan fosil ini,dihipotesiskan bahawa manusia moden (Homo sapiens)
merupakan keturunan daripada manusia yang awal ini.Homo sapiens ialah induk
manusia Austronesia.










16

2.5 TEORI YUNAN
Penemuan beberapa artifak sejarah telah menjadi penyokong kepada Teori Yunan
yang dipersetujui oleh beberapa sarjana iaitu R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster,
J.R Logen, Slametmuljana, dan Asmah Haji Omar. Antara alasan yang menyokong
teori ini adalah persamaan unsur-unsur bahasa di tanah besar Asia Tenggara dengan
kepulauan Asia Tenggara. Terdapat banyak persamaan seperti kosa kata, fonologi,
morfologi, sintaksis, konsep yang berbeza antara kami dengan kita, sistem
bilangan, gender dan lain-lain. Menurut seorang pengkaji bahasa iaitu Hendrick
Casper Kern, mendapati bahasa Melayu mempunyai persamaan dengan bahasa
Filipina, Madagaskar, dan Taiwan.
Pengkaji budaya dan adat resam J. R. Logan, menyatakan terdapat persamaan
antara adat resam orang melayu dengan adat resam masyarakat kaum Naga di
Assam, Burma. Persamaan dari segi adat resam dan sifat kepercayaaan seperti
kepercayaan kepada semangat, kepercayaan yang berkaitan dengan pertanian, adat
makan sireh, adat kelahiran, dan lain-lain. Selain itu, persamaan dari segi sistem
sosial, susunan keluarga, sistem perkahwinan dan lain-lain.
Persamaan dari segi alat perkakas dan peralatan yang lain seperti kapak batu,
kapak persegi bujur, tulang mawas, hasil kerja tangan seperti tembikar, pasu,
tempayan, takar, dan lain-lain. Penemuan artifak Kapak Tua yang mirip kepada
Kapak Tua di Asia Tenggara, Kepulauan Melayu. Bukti penemuan artifak ini telah
menunjukkan bahawa terdapat migrasi penduduk dari Asia Tenggara ke Kepulauan
Melayu. Di samping itu, persamaan dari segi kebudayaan Hoa-binh dan Dongson
yang ditemukan di daerah Vietnam dan juga di daerah-daerah lain di Asia Tenggara
seperti yang diteliti dan dikaji oleh Robert Von Heine Geldern.

17

Teori ini merupakan teori yang paling popular dan diterima umum. Berdasarkan
teori ini, orang-orang Nusantara datang dan berasal dari Yunan. Kedatangan mereka
ke Kepulauan Nusantara ini melalui tiga gelombang utama, iaitu perpindahan orang
Negrito, Melayu Proto, dan Melayu Deutro
2.5.1 ORANG NEGRITO
Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Nusantara. Mereka
diperkirakan sudah mendiami kepulauan ini sejak 1000 SM. Hal ini didasarkan pada
hasil penemuan arkeologi di Gua Cha, Kelantan, Malaysia. Orang Negrito ini
kemudian menurunkan orang Semang, yang sekarang banyak terdapat di Malaysia.
Orang Negrito mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut keriting, bermata
bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta ukuran badan yang pendek.
2.5.2 MELAYU PROTO
Perpindahan orang Melayu Proto berlaku pada kira-kira 3000-2500 tahun hingga
1500 tahun sebelum masihi iaitu dari Tanah Yunnan di barat daya negeri China.
Mereka berpindah dari kawasan pergunungan di barat daya negeri China melalui
beberapa laluan seperti dari hulu sungai-sungai Myanmar ke selatan dan terus ke
pulau-pulau Nicobar serta hujung utara pulau Sumatera yang sekarang terkenal
dengan nama Aceh. Dari situ terus ke selatan dan ke pulau-pulau yang lain di Asia
Tenggara. Laluan kedua ialah dari hulu sungai di utara Thailand, menuju ke selatan
hingga ke Segenting Kra. Dari sana terus ke Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera,
Jawa, dan pulau-pulau lain. Laluan ketiga pula ialah dari hulu-hulu sungai di
Vietnam dan Loas ke selatan dan menyeberang ke Kalimantan, kemudian ke pulau-
pulau lain. Laluan keempat ialah dari Farmosa atau Taiwan ke pulau-pulau Filipina
dan terus ke selatan dan pulau-pulau lain. Mereka yang berpindah ini tinggal di

18

kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makanan
seperti siput, ikan, karangan laut, pucuk-pucuk kayu, binatang liar, dan banyak lagi
sumber makanan lain.
Walau bagaimanapun, selepas gelombang perpindahan orang Melayu Deutro dari
Yunnan yang lebih bertamadun telah menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke
kawasan hulu unutk mencari tempat yang lebih selamat. Golongan ini tinggal di
kawasan pergunungan(Sumatera Utara,Jakun), kawasan pedalaman Tanah
Semenanjung(Kalang dan Ponorogo di Jawa) dan lain-lain.
2.5.1 MELAYU DEUTRO
Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang
Melayu kuno kedua yang berlaku kira-kira 1500 tahun sebelum masihi. Perpindahan
mereka tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Mungkin berpindah ke tanah yang
lebih rendah, mencari makanan, atau terdesak daripada bangsa lain. Walau
bagaimanapun, mengikut teori ini Melayu Deutro telah berpindah ke selatan melalui
jalan yang pernah dilalui oleh Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka telah
mendesak dan memgasak golongan Melayu Proto ke daerah pinggiran, hulu
sungai,kawasan gunung dan tempat-tempat terpencil. Golangan Melayu Deutro
tinggal di kawasan pamah, tanah rendah, lembah sungai, dan di tepi laut seperti
orang Melayu, Aceh, Sunda, Jawa, Bugis, Makasar, Filipina, Madura dan lain-lain.
Golongan Melayu Deutro ini mempunyai kebudayaan yang tinggi dan bertamadun.
Mereka menggunakan batu untuk membuat kapak, beliung dan lain-lain.




19

BAB 3 KESIMPULAN

3.0 RUMUSAN
Menerusi kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari, ahli
filologi Belanda, J.H.C. Kern mendapati bahawa perkataan yang digunakan di
Kepulauan Nusantara ini juga terdapat di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan
beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Antara perkataan tersebut ialah padi, buluh,
rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan itu, Kern membuat kesimpulan
bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di rantau Asia.
Manakala, dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji
Omar juga menyokong pendapat di atas. Slametmuljana membuat kesimpulan
bahawa bahasa Austronesia, termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia, sementara
Asmah Haji Omar pula berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan
Asia ke Nusantara ini berlaku secara berperingkat dan melalui laluan yang berbeza.
Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, dan ada pula yang melalui
Lautan Hindi dan Lautan China. Beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa
pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah
kerana faktor geografi dan komunikasi. Sarjana Inggeris, J. Crawfurd yang membuat
kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan
Polinesia sebaliknya berpendapat bahawa bahasa yang tersebar di Nusantara ini
berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari
Pulau Sumatera (bahasa Melayu).


20

Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa
serumpun yang terdapat di Nusantara ini. Beliau menambah hujahnya dengan bukti
bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang
tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami
perkembangan budaya beberapa abad lamanya.
















21

3.1 CADANGAN
Pihak pengajian tinggi dan pihak sekolah perlulah melaksanakan program bahasa
dengan melakukan bulan untuk sejarah bahasa Melayu sahaja. Program ini perlulah
memfokuskan kepada salasilah bangsa Melayu itu sendiri. Dengan ini, pelajar lebih
terdedah dengan asal usul bahasa Melayu dan sekurang-kurangnya mengetahui
pembentukan bahasa Melayu pada zaman dahulu. Pihak pengajian tinggi boleh
melakukan pertandingan yang memerlukan pengetahuan tentang sejarah bahasa
Melayu seperti pertandingan kuiz, dan puisi tentang asal usul bahasa Melayu. Hal ini
kerana, program ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar tentang asal usul
bahasa Melayu.
Cadangan yang dicadangkan dari kumpulan kami untuk meningkatkan
pembelajaran salasilah bahasa Melayu adalah membentuk sebuah jawatankuasa
pendidikan untuk mengkaji Dasar Pendidikan Kebangsaan yang boleh diterima oleh
semua rakyat. Contohnya, menjadikan Teori dan Salasilah Bahasa Melayu sebagai
salah satu subjek utama yang hanya menerangkan tentang asal usul bahasa
melayu.Ini dapat membantu generasi baru mengetahui tentang sejarah lampau bahasa
melayu dengan lebih mendalam dan memupuk minat antara mereka untuk lebih
bersemangat meneroka sejarah lama.Subjek ini juga perlu diwajibkan kepada semua
pelajar yang berbangsa lain untuk mempelajarinya.Ini bukan sahaja dapat
menambahkan ilmu sejarah bahasa melayu dalam kalangan pelajar melayu malah
pelajar yang berbangsa lain juga.



22

3.2 KEBERKESANAN

Melalui program-program yang dijalankan oleh pihak pengajian tinggi dan pihak
sekolah akan mewujudkan generasi muda yang berpengetahuan tinggi tentang asal
usul bahasa Melayu.Tahap pengetahuan yang tinggi akan memberi kesan yang baik
kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa
hadapan.Pengetahuan tentang asal usul bahasa Melayu ini akan mewujudkan
generasi muda yang bertoleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif. Sikap-
sikap yang baik ini mampu untuk memajukan lagi negara Malaysia dalam bidang
pendidikan terutamanya subjek sejarah bahasa Melayu.
Di samping itu, melalui peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan dapat
mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia yang sinonim dengan rakyatnya
yang berbilang kaum. Langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menjadikan
subjek sejarah bahasa Melayu sebagai subjek yang wajib amatlah tepat. Hal ini
demikian kerana apabila semua pelajar diwajibkan mengambil subjek tersebut tanpa
mengira bangsa, mereka dapat mengetahui lebih lanjut lagi tentang asal usul bahasa
melayu. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi perpaduan antara
kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu. Oleh
hal yang demikaian, wujud persefahaman pendapat antara rakyat Malaysiayang
pelbagai kaum ini dan secara tidak langsung penggunaan bahasa Melayu tidak terus
dilupakan serta dipandang enteng oleh generasi muda hari ini.



23

BIBLIOGRAFI

Asmah Haji Omar, 1985. Susur Galur Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Alias Bin Mohammad Yatim(Ph.D), 1998. Mengenali Bahasa Melayu, Penerbitan
Sarlis.
Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain, 2006. Sejarah Bahasa Melayu,
Utusan Publications & Distributors SDN BHD
Madiana & Hasnah, 2000. Pengajian Malaysia, Fajar Bakti SDN BHD
Noresah bt. Baharom ,2010. Kamus Dewan. (Edisi Ke-4). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Sharifah Nor Syed Abd. Rahman, Nornajmah Najmuddin, Rosdah Omar, 2007.
Bahasa Melayu, Arah Pendidikan SDN BHD.

You might also like