You are on page 1of 3

KENYATAAN AKHBAR

YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI
Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
dan menggantikannya dengan
Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran
Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di
SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia
akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.
Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam
tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah
membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.
Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah
menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada
tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa
Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses
peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat
persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1
akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa
Malaysia sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula
tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak
mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris
selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan
bahasa secara mendadak.
Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk
membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan
pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa
Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki
Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.
1

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran
dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.
Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk
meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa
Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa
Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa
Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri
pada bulan Julai 2009.
Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains
dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti
pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.
Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang
untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI,
iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran
dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin
dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR
dan SPM tidak akan terjejas.
Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan
sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada
tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia
sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.
Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian
menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.
Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah
sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang
9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini,
kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam
bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat
dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.
2

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan


maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik
darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran
matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk
memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris.
Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat
memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja
dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian,
sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat
menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.
Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan
bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan
pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris dalam kalangan murid.
Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa
Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi
meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan
sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi
menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan
seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan
penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan
kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan
kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.
Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan
pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri


4 November 2011

You might also like