You are on page 1of 1

Jenayah:

Mutakhir ini, masalah-masalah jenayah yang berlaku di negara ini kian menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas
hujan. Kes-kes jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan
sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan lain-lain. Sebenarnya, kes jenayah dapat dibahagikan kepada enam
kategori, jenayah berat yang melibatkan senjata, jenayah ringan seperti gengsterisme dan vandalisme, jenayah narkotik yang
melibatkan kes pengedaran dan penyeludupan dadah, jenayah komersial seperti kes maksiat, pelacuran dan perjudian, jenayah
perdagangan yang merangkumi isu rasuah dan korupsi serta jenayah kolar putih yang melibatkan jenayah oleh golongan
profesional. Pihak kerajaan telah bertungkus lumus memerah otak untuk mencari mekanisme yang lebih efektif dalam menangani
masalah jenayah yang menular dalam kalangan masyarakat hari ini, namun kes-kes jenayah dilaporkan semakin meningkat,
terutamanya jenayah berat seolah-olah dasar yang diambil kerajaan seperti kurang berkesan. Justeru, langkah-langkah yang drastik
perlu diambil bagi mengelakkan masalah jenayah daripada berleluasa di negara kita.
Pada hemat saya, pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam usaha membanteras masalah jenayah yang kian
meruncing ini. Bermula dari aspek pentadbiran, pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan
tegas. Selain itu, pindaan akta-akta yang sedia ada juga wajip dilaksanakan berlandaskan kategori jenayah masing-masing. Bagi
individu yang terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh, meragut, dan terlibat dalam penggunaan senjata, harus dijatuhkan
hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup. Akta Dadah Berbahaya 1952 yang digubal oleh pihak kerajaan bagi
memperuntuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah merupakan salah satu undang-undang yang berat bagi
meminimumkan jenayah narkotik di negara kita. Langkah penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang bakal
mengenakan hukuman setimpal terhadap pesalah narkotik akan menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesalahan jenayah
dan hal ini diyakini akan dapat menangani masalah jenayah di negara ini. Pendek kata, penguatkuasaan undang-undang dan
penggubalan akta yang baru harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebagai cara terbaik untuk mengurangkan masalah jenayah.
Sementelahan itu, Perdana Menteri yang menggalakkan pihak polis meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup
(CCTV) di kawasan berisiko tinggi juga merupakan cara efektif untuk mengawal kes jenayah yang sering berlaku di Malaysia.
Kes pembunuhan yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, di bangunan MIC
merupakan penggerak utama kepada pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di negara kita. Mengikut ulasan pihak
polis, mangsa dipercayai ditembak di kening kiri dalam lift bangunan MIC. Malangnya, suspek utama tidak dapat dikesan
disebabkan ketiadaan CCTV di tempat kejadian. Realitinya, terdapat banyak kes pembunuhan yang melibatkan pembunuhpembunuh upahan yang semakin berleluasa di negara kita dan tidak dapat dikesan. Sekiranya dibandingkan dengan negara maju
seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Australia, Singapura, China dan lain-lain, sudah tentu kes yang tidak mempunyai jalan
keluar ini dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan patut menempatkan CCTV di kawasan berisiko
tinggi seperti bank, kawasan perumahan, sekolah, taman permainan, dan banyak lagi. Hal ini demikian supaya pihak polis dapat
mengecam muka penjenayah, merakan semula kejadian jenayah tersebu, serta membuat analisis secara terperinci yang dapat
membantu menyelesaikan kes jenayah sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit. Oleh itu, CCTV patut ditempatkan di kawasan
berisiko tinggi supaya masalah jenayah di negara kita dapat dikurangkan.
Tidak dapat disangkal bahawa pendidikan merupakan wahana penting dalam usaha mencegah masalah jenayah yang
berlaku di negara kita. Selain langkah drastik, kerajaan turut menggunakan pendekatan psikologisebagai alternatif dalam
mengurangkan masalah jenayah, khasnya dalam kalangan remaja. Walaupun pendorong kepada peningkatan jenayah berat
merupakan golongan dewasa seperti pembunuh upahan dan seumpamanya, golongan remaja juga perlu disuntik dan ditanam
dengan ajaran moral dan pegengan akidah yang utuh untuk memastikan agar mereka tidak cenderung ke arah melakukan jenayah,
bak kata pepatah, melentur rebung biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Pendidikan Moral
dan Pendidikan Islam di peringkat sekolah akan dapat mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat yang
berkiblatkan kasih sayang dan perpaduan. Hal ini secara implisitnya dapat menyemai nilai murni dan ajaran agama yang kukuh
dalam jiwa pelajar agar mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes jenayah. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang
dilaksanakan sejak tahun 2004 oleh pihak kerajjan, yang berobjektifkan melahirkan modal insan yang berintegriti juga merupakan
langkah yang efisien dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda. Dengan adanya
pendekatan psikologi ini, pelajar akan meletakkan perpaduan dan keamanan negara sebagai keutamaan. Hal ini penting dalam
mengurangkan masalah jenayah dalam kalangan masyarakat.
Secara tuntasnya, masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi perlu diatasi sebelum nasi menjadi bubur. Berleluasanya
kes jenayah seperti pembunuhan kejam adik Nurul Jazlin Jazimin, 8 tahun yang mati akibat didera secara seksual dan fizikal serta
kes kehilangan adik Sharlinie Mohamad Nasyar hanya akan menggugat dan menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang aman
dan sejahtera. Justeru, rakyat perlu lebih proaktif dan berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi aur dengan tebing bagi
membanteras jenayah di negara kita.

You might also like