You are on page 1of 1

Isu integrasi nasional merupakan salah satu daripada cabaran penting dalam negara

kita. Oleh yang demikian, cara yang paling berkesan untuk menanganinya adalah
melalui peranan guru di sekolah. Integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan
antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan
budaya untuk membentuk satu entiti yang mempunyai pegangan norma, sistem nilai
serta mengamalkan kehidupan bersama. Penyatuan ini pada akhirnya akan
mewujudkan perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di sesebuah
negara. Integrasi nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan
masyarakat di setiap negeri di Malaysia khususnya antara negeri-negeri di
Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang bertujuan membentuk satu
bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan
Persekutuan dan Rukun Negara.
Guru sememangnya dianggap sebagai pembina negara bangsa kerana gurulah
yang dapat membangunkan modal insan dan memastikan pembentukan jati diri murid
yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama
dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara yang mampu bersaing dengan dunia
luar. Guru dengan kecekapannya melalui sistem pendidikan berupaya membina sebuah
negara bangsa yang berjaya. Guru seharusnya menggalakkan penggunaan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan menjadikan bahasa ini sebagai
bahasa perpaduan. Guru bukan sahaja harus berusaha menanam rasa cinta kepada
bahasa Malaysia dalam diri murid-murid tetapi turut juga mencintai bahasa tersebut.
Dalam usaha memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, KPM telah
memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Rancangan ini
bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru, ibubapa dan murid
serta warga sekolah dalam aktiviti sekolah. Rasional aktiviti-aktiviti yang dijalankan
adalah bertujuan untuk mewujudkan sikap kerjasama, tolong menolong, mewujudkan
suasana muhibbah dan hormat-menghormati, melahirkan persefahaman dan toleransi
antara murid pelbagai kaum di sekolah dan berkongsi kemudahan peralatan, tenaga
dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan khas secara bersama-sama.

You might also like