You are on page 1of 1

Cabaran 1

Biasanya, di kebanyakan negara yang didiami rakyat pelbagai warna kulit, masalah kaum
biasanya menjadi faktor menghalang kemajuan, malah sering menimbulkan ketegangan.
Keadaan bertambah buruk jika perbezaan kaum turut membabitkan perbezaan agama.
Di Malaysia, masalah perkauman sering dikaitkan dengan isu politik. Apabila didapati sesuatu
kaum tidak menyokong calon atau parti yang berasaskan kaum, wujud andaian bahawa ia
berpunca daripada perbezaan kaum. Tambahan pula di negara ini, kebanyakan parti politik
adalah berteraskan kepada kepentingan kaum. UMNO ditubuh untuk memperjuangkan nasib
dan hak orang Melayu, MCA untuk kaum Cina, manakala MIC untuk kaum India.
PAS ditubuhkan atas nama Islam kerana perjuangan untuk kaum Melayu sudah pun dijuarai oleh
UMNO. DAP yang kononnya parti untuk semua kaum di negara ini, realitinya adalah parti kaum
Cina, begitu juga dengan GERAKAN yang dikuasai kaum Cina walaupun membuka keahliannya
kepada semua kaum.
Di Malaysia, usaha menyatukan rakyat bermula apabila UMNO, MCA dan MIC bergabung dalam
gerakan menuntut kemerdekaan negara daripada British. Koloborasi tiga parti terbesar mewakili
kaum masing-masing ketika itu akhirnya menghasilkan kerjasama menerusi parti Perikatan.
Kemudian kerjasama parti komponen diperkukuhkan menerusi penubuhan Barisan Nasional
(BN) yang membabitkan lebih banyak parti mewakili pelbagai kaum dan entiti termasuk di Sabah
dan Sarawak.
Ini adalah kerjasama paling efektif menyatukan rakyat yang berbeza kaum, budaya dan agama.
Pada satu ketika, perpaduan rakyat begitu mantap dan dibuktikan menerusi keputusan pilihan
raya setiap lima tahun sekali yang mana BN terus menjadi pilihan. Lebih penting lagi ialah kerana
rakyat tidak yakin dengan kejujuran parti pembangkang. Mereka sudah melihat jasa parti
Perikatan dan BN, tetapi ragu-ragu dengan parti pembangkang.
Namun, sejak dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, iaitu pada 2008 dan 2013, isu perpaduan
kaum tercetus semula. Ini berasaskan kepada analisis yang dibuat pelbagai pihak bahawa undi
kaum Cina tidak lagi diberikan kepada BN kerana kononnya tidak berpuas hati dengan BN dan
kerajaan. Sebahagian besar kaum Cina memberi undi kepada pembangkang. Kemenangan BN
dilihat datangnya daripada pengundi Melayu, walaupun undi Melayu juga berpecah kepada PAS.
Cuma, walaupun pengundi Cina tidak memberi undi kepada BN yang diterajui UMNO, BN masih
dapat membentuk kerajaan. Pengundi India yang berpihak kepada pembangkang pada PRU
2008, kembali menyokong BN pada PRU-13.
Kebelakangan ini, banyak pendapat dan andaian didengar mengenai kebimbangan mengenai isu
perkauman di negara ini. Apa juga usaha kerajaan untuk membantu rakyat khasnya Bumiputera,
dianggap sebagai tindakan membalas dendam terhadap kaum Cina. Pemimpin kerajaan terpaksa
bercakap lebih berhati-hati kerana ia boleh menimbulkan salah faham.
Walaupun, ada pendapat mengatakan bahawa BN boleh memerintah negara ini tanpa sokongan
kaum Cina, realitinya undi kaum Cina masih penting untuk memastikan BN menang besar dan
mengubah semula senario politik negara. Jika BN berputus asa terhadap kaum Cina, ia akan
memudahkan parti pembangkang untuk mempengaruhi mereka. Sebaliknya, ada juga pendapat
mengatakan sekalipun BN terus bermuka-muka dengan kaum Cina sekalipun, ia hanya
membuang masa kerana kaum Cina tidak akan memberi undi kepada BN.

You might also like