You are on page 1of 8

Kelemahan dan Kelebihan Dasar Pendidikan Serta Cadangan Ke arah Perpaduan

PENGENALAN
Elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan
masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial ialah sistem pendidikan iaitu melalui sistem
persekolahan. Sistem persekolahan merupakan saluran yang penting bagi menyampaikan
wadah perjuangan negara dan menyerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang
kaum demi mencapai perpaduan antara kaum. Malaysia merupakan sebuah negara yang
mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada 3 kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
Walaupun hidup berdekatan, mereka masih berpegang teguh kepada kebudayaan, agama,
bangsa, idea dan kaedah sendiri serta terpisah dalam sistem politik yang sama. Sebenarnaya
masyarakat majmuk di Malaysia terjadi secara tidak sengaja iaitu sejak sebelum merdeka.
Dasar liberal Inggeris pada pertengahan abad ke-19, telah mengubah struktur kependudukan
asal Tanah Melayu ekoran penghijrahan masuk secara beramai-ramai kaum cina dan india ke
Tanah Melayu. Sejak dari itu, Tanah Melayu telah terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.
Lantaran kepelbagaian kaum ini, dasar pendidikan negara mewujudkan 5 jenis sistem
persekolahan yang terasing di antara satu sama lain. Bagi menyatukan masyarakat berbilang
kaum ini, satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan telah diwujudkan oleh British
iaitu Rancangan Cheesmen yang mencadangkan sekolah Inggeris sebagai asas penyatuan
sistem persekolahan.
Usaha mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan diteruskan selepas merdeka antaranya
Penyata Razak (1956 ), Laporan Rahman Talib (1960 ), Akta Pelajaran ( 1961 ) dan lain-lain
lagi. Walaupun dasar pendidikan ini berubah-ubah namum tujuannya adalah sama iaitu untuk
mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan kaum di Malaysia.
Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan kesesuaian
masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati,
bertoleransi, bekerjasama dan aspek-aspek moral diterapkan kepada masyarakat yang
bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya
saing, bijak, dan mempunyai sifat patriotik di mana ia penting untuk memupuk perpaduan di
kalangan masyarakat.
SEJARAH PENDIDIKAN NEGARA
Pada zaman sebelum kemerdekaan Malaysia, penjajah British telah mendominasi pendidikan
di negara kita dengan mengatur segala sistem pendidikan mengikut kehendak mereka. Dalam
sistem pendidikan itu, rakyat terpaksa mengekalkan taat setia kepada pendatang negara asal
mereka dan rakyat tidak dibenarkan untuk membangkitkan semangat pembangunan rakyat
tempatan.
Selain itu, mereka juga telah melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan
Inggeris, di mana sekolah-sekolah aliran Inggeris ini mengajar mata pelajaran dalam bahasa
Inggeris. Hal demikian memberi cabaran dan halangan terhadap kaum Melayu ketika itu
kerana majoriti masyarakat Melayu tidak mahir untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan
baik. Hal ini kerana, penjajah tidak menggalakkan rakyat tempatan terutamanya kaum
Melayu untuk mendapat pendidikan yang tinggi.
Pihak British bimbang jika pelajar-pelajar kaum Melayu mendapat pendidikan yang tinggi,
kemungkinan besar kedudukan mereka di Tanah Melayu akan tergugat. Bagi menyelesaikan
masalah tersebut, pihak British telah membuat penyekatan bagi kemasukan pelajar-pelajar

melayu ke sekolah-sekolah Inggeris. Akibatnya, kaum Melayu telah ketinggalan dalam


bidang pendidikan berbanding dengan kaum yang lain. Pihak British juga telah membuat
perubahan yang besar dalam menghalang penyatuan kaum iaitu dengan menubuhkan sekolah
vernakular. Sekolah vernakular itu terdiri daripada sekolah vernakular Melayu, sekolah
vernakular Cina, dan sekolah vernakular Tamil yang mempunyai kelebihan tersendiri. Atas
perubahan itu, pada Ogos 1950, Penyata Barnes telah dibuat yang diketuai oleh L.J.Barnes
dan diikuti dengan Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Penyata Razak
(1956), Laporan Rahman Talib (1960), dan Akta Pelajaran (1961).
KELEMAHAN DASAR DAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
1. Sistem Persekolahan Vernakular
Telah di jelas dalam penyataan di atas, sistem persekolahan di Malaysia dari sebelum
merdeka hingga sekarang telah mempunyai sistem persekolahan yang pelbagai aliran atau
lebih dikenali sebagai persekolahan vernukular. Sistem pendidikan di Malaysia kini bergerak
seiring dengan perubahan arus permodenan dan globalisasi serta seiring dengan keperluan
semasa masyarakat. Namun perubahan itu tidak tertakluk dalam perubahan sistem
persekolahan yang masih mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina
dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Banyak isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan
sistem persekolahan ini. Namun selepas segala perbincangan dan perdebatan yang dibuat
keputusan hanya berakhir dengan tiada jalan penyelesaian bagi mengubah sistem itu kepada
sistem yang lebih baik. Isu-isu sistem persekolahan merupakan isu yang sensitif bagi
masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, kerana bukan sesuatu yang mudah untuk
mendapat persetujuan daripada masyarakat yang mempunyai pandangan dan kepentingan
yang berbeza. Pengaruh politik tanah air telah menyekat sebarang keputusan yang telah
dibuat sehinggakan keputusan yang dipersetujui tidak dapat dilaksanakan. Seperti yang kita
tahu, bahawa pihak kerajaan sentiasa memainkan peranan bagi menaikkan mutu pendidikan
kebangsaan, tetapi sejauh mana setiap tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah
yang timbul.
Dari aspek perpaduan kaum, sepatutnya kita harus membuat didikan awal dalam menerapkan
aspek perpaduan kaum iaitu melalui pelajar-pelajar dari peringkat rendah lagi. Melalui
persekolahan, mereka dapat menjadikan tempat itu sebagai asas permulaan dalam memupuk
hubungan yang baik antara kaum yang lain. Ini kerana sekolah merupakan tempat mula-mula
masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa bertemu untuk saling mengenal. Mereka juga
dapat beramah mesra, bergaul, bersukan, makan bersama, saling mengenal dan mengeratkan
hubungan silaturahim. Sebaliknya, nilai-nilai itu tidak dapat diwujudkan dengan adanya
sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan sehingga
boleh menjejaskan perpaduan kaum dan seterusnya memudarkan sikap itu daripada terjalin.
Jika kita ingin mengekalkan hubungan antara masyarakat di Malaysia, kerajaan perlu
membuat sedikit perubahan terutama dalam sukatan pelajaran sistem persekolahan vernakular
ini. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengatakan bahawa beliau sedia
menimbangkan sekiranya rakyat Malaysia bersetuju untuk mewujudkan satu dasar baru iaitu
Sistem Persekolahan Satu Aliran. Idea menubuhkan sistem persekolahan satu aliran perlu
dilaksanakan kerana melaluinya semangat perpaduan di kalangan rakyat dapat dipupuk.
Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan dasar baru tersebut dengan
mengambil kira kehendak rakyat bagi mengelakkan masalah perbalahan yang mungkin akan
timbul sehingga memberi kesan buruk terutama dalam perpaduan kaum. Melalui penubuhan
sekolah satu aliran tidak mungkin menjejaskan hak-hak antara kaum, malahan dengan adanya
dasar tersebut, masyarakat dapat menyemai semangat perpaduan antara kaum yang kukuh.

Namun sehingga sekarang, dasar tersebut masih belum mendapat persetujuan antara
masyarakat Malaysia. Masyarakat Cina, India dan semua kaum masih mengekalkan
penggunaan bahasa ibunda mereka. Bagi mereka, penggunaan bahasa ibunda mereka perlu
dijaga dan hak-hak mereka perlu dijamin terutamanya bagi masyarakat Cina dan India.
Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bilangan murid-murid Melayu terlalu
sedikit jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan. Keadaan ini menunjukkan jurang yang
begitu luas antara murid-murid Melayu, Cina, dan India. Faktor utama masalah dan wujud
jurang pendidikan antara masyarakat ini disebabkan oleh penggunaan bahasa ibunda, iaitu
bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Contohnya di sekolah kebangsaan, pengunaan bahasa Cina
dan Tamil tidak diterapkan, manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa
Melayu bukan bahasa utama. Jadi, wujud dua keadaan yang berbeza dan masalah ini masih
berlanjutan sehingga kini. Ini menujukkan sistem persekolahan vernakular yang dilaksanakan
sekarang mempunyai kekurangan seterusnya menunjukkan kelemahan yang ketara dalam
dasar dan falsafah pendidikan negara.
2. Berorentasikan Peperiksaan Dan Pencapaian Akademik
Dari segi budaya, kelemahan dalam sistem pendidikan sekarang ialah amat mementingkan
peperiksaan sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Bagi ibu bapa, perkara ini
amat diambil berat dan mengharapkan anak-anak mereka mendapat keputusan yang baik
dalam setiap peperiksaan. Pendidikan yang menumpuan semata-mata dalam pencapaian
akademik telah menjadi budaya sehingga sanggup membelakangkan elaman-elaman adab dan
sopan. Aspek budi bahasa, sopan santun, adab dan akhlak serta aspek nilai-nilai murni seperti
ikhlas, jujur dan amanah semakin hari semakin kurang diberi perhatian. Sehubungan dengan
itu, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk mengurangkan peperiksaan dan ujian dalam
sistem pendidikan sekarang. Melalui pemantauan, didapati sistem yang terlalu mementingkan
peperiksaan dianggap tidak praktikal dan tidak sesuai lagi untuk menguji kemampuan
sebenar pelajar, sekali gus membebankan guru dan pelajar sendiri.
Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas menyatakan pendidikan di Malaysia ingin
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis. Sejauh manakah kefahaman pelajar kita
tentang falsafah ini? Sesungguhnya, fenomena pengangguran di kalangan siswazah sekarang
menunjukan bukti kelemahan sistem yang mengutamakan pencapaian akademik sehingga
wujud insan yang tidak seimbang. Bagi mereka ilmu yang pelajari adalah semata-mata untuk
sekadar lulus dalam peperiksaan sahaja tetapi tidak tahu memanfaatkan ilmu yang mereka
perolehi. Jelaslah sistem pendidikan yang ada sekarang, melahirkan pelajar yang hanya tahu
menjawab soalan tetapi tidak boleh melahirkan modal insan berfikir. Terlalu ghairah mahu
keputusan yang baik, ibu bapa sanggup mengorbankan wang ringgit menghantar anak-anak
pergi ke kelas tuisyen sehingga mengabaikan aktiviti-aktiviti riadah dan aktiviti
kemasyarakatan untuk anak-anak mereka. Masyarakat pula berpandangan bahawa hanya
mereka yang memperoleh pangkat A sahaja pelajar yang cemerlang, tetapi pelajar yang
gagal dalam peperiksaan dianggap gagal dalam segala-galanya. Hal ini menyebabkan para
pelajar tertekan untuk memperoleh keputusan yang baik sehingga hilang keseronokan untuk
belajar.
KELEBIHAN DASAR DAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
1. Memupuk Perpaduan
Pendidikan adalah satu proses utama dalam membentuk kendiri untuk mencapai kehidupan
bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan di Malaysia juga adalah satu alat sistem

sosial untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional. Dasar Pendidikan Negara
yang diwujudkan oleh pihak British mahupun kerajaan sebelum merdeka dan selepas
merdeka pada asasnya adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum. Ini merupakan
satu kelebihan sistem pendidikan negara dalam memupuk kesepaduan kaum dan etnik.
Penyata Razak (1956) dan Laporan Abdul Rahman Talib telah menggariskan dengan jelas
dasar pendidikan yang berkaitkan dengan perpaduan antara kaum. Mari kita lihat kepada
Penyata Razak (perenggan 12), secara ringkas kita dapat simpulkan tujuan dasar pelajaran
adalah menyatukan kanak-kanak daripada semua bangsa dengan menggunakan satu peraturan
pelajaran meliputi semua bangsa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat
dilaksanakan dengan serta-merta. Di sini menjelaskan bahawa perpaduan negara dan nilai
perpaduan menjadi teras menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia yang
mempunyai pelbagai kaum. Aspirasi ini telah digariskan dalam penggubalan Dasar
Pendidikan Kebangsaan. Dalam sistem pendidikan ini telah memberi kelebihan dan
penekanan kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Manakala
subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan subjek wajib bagi semua sekolah.
Selain itu juga sistem ini turut mengekalkan penggunaan bahasa-bahasa etnik Cina dan Tamil
sebagai bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan (SJK).
2. Integrasi Nasional Dalam KBSR Dan KBSM
Integrasi Nasional antara kaum merupakan salah satu aspek penting yang perlu diambil
perhatian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Pelaksanaan Kurikulum
Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM )
merupakan susulan perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet yang
bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Maka segala perubahan dalam
kurikulum, cita-cita Falsafah Pendidikan Negara dan pendekatan yang ditekankan
kesepaduan dalam kurikulum perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Pelaksanaan
kurikulum baru ini adalah satu usaha untuk menangani cabaran perkambangan semasa di
mana nilai murni dan kerohanian telah mula diabaikan dalam kehidupan masyarakat pada
waktu itu.
Kelebihan dasar pendidikan melalui pelaksanaan KBSR dan KBSM dapat kita lihat kepada
objektif yang ingin dicapai. Selain penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
dan membina sikap nilai-nilai kemanusiaan berlandaskan RUKUN NEGARA, murid juga
dapat bergaul, menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat
kerjasama dan toleransi. Semangat kerjasama dan toleransi ini diterapkan dalam aktiviti gerak
kerja kokurikulum. Melalui aktiviti kokurikulum KBSR dan KBSM seperti kelab, persatuan
serta sukan dan permainan, pelajar berpeluang berinteraksi dengan pelbagai kaum,
memahami budaya lain, berdikari dan mendisiplinkan diri, serta mengamalkan sikap toleransi
dan kerjasama dalam kumpulan. Penerapan nilai-nilai murni ini amat penting untuk
memupuk individu ke arah integrasi nasional. Integrasi nasional dalam KBSR dan KBSM
juga dicapai melalui aktiviti Budaya Sekolah.
Aktiviti budaya sekolah telah menjadi perkara rutin setiap sekolah hingga masa kini. Ini
merangkumi aktiviti seperti menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri, lagu sekolah dan
lagu patriotik secara bersama-sama dalam perhimpunan sekolah, bacaan ikrar dalam acara
rasmi sekolah seperti sukan dan mengibarkan bendera kebangsaan setiap persekolahan.
Jelaslah dan tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti budaya sekolah untuk memupuk semangat
patriotisme dan kenegaraan yang dilaksanakan melalui KBSR dan KBSM dapat
menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional secara menyeluruh dan bersepadu di

kalangan pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah.


CADANGAN MEPERTINGKATKAN KESEFAHAMAN, TOLERANSI DAN
PERPADUAN ANTARA KAUM
Mengikut kepada Penyata Razak (1956) dan Laporan Abdul Rahman Talib (1960) telah
menjelaskan bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan
kaum. Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara
kaum amat penting. Ini dapat membantu menimbulkan perpaduan serta membolehkan mereka
berinteraksi sesama mereka. Selain menitikberatkan aspek-aspek pendidikan harmonis, nilainilai budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek yang diajar. Maka
dengan itu, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum yang sedia ada untuk membentuk
keperibadian dan moral para pelajar. Berikut adalah cadangan yang boleh kita teruskan dalam
pendidikan sekarang demi mencapai perpaduan dan integrasi nasional di kalangan
masyarakat kita.
Pertama, pengunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar. Seperti yang kita tahu,
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara kita. Sesuai dengan kedudukan
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan
Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Penggunaan satu bahasa
perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan
tanpa menimbulkan rasa curiga. Dalam dasar pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu telah
dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama di peringkat sekolah mahupun di peringkat
pengajian. Oleh sebab itu, pengajian Bahasa Melayu telah menjadi subjek pengajian yang
wajib diambil setiap pelajar. Ini amat bersesuaian dengan kehidupan kita dalam masyarakat
yang berbilang kaum. Penggunaan Bahasa Melayu yang meluas juga merupakan cara untuk
menyatupadukan hubungan dan mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara
kaum di negara ini.
Pelajar-pelajar merupakan medium yang penting dalam melaksanakan perubahan ini kerana
mereka mudah memahami sistem Bahasa Melayu dan bukan sahaja dapat menguasai bahasa
tersebut, malah mampu mengungkapkan segala fungsinya dalam bahasa perpaduan rakyat.
Maka, secara tidak langsung, dapat memupuk pelajar terhadap kepekaan variasi Bahasa
Melayu di dalam pelbagai keadaan yang penting. Pendidikan Bahasa Melayu juga
menekankan pelajar-pelajar tentang pentingnya semangat cinta akan tanah air dan juga
semangat perpaduan antara rakyat. Jika pendidikan ini diambil berat, masalah perpaduan di
negara kita akan berkurangan dengan adanya toleransi dan kesefahaman antara kaum.
Sebagai contoh, hal ini dapat dibuktikan dengan perpaduan antara masyarakat di negara
Jepun. Jepun merupakan sebuah negara yang memartabatkan dan menggunakan hanya satu
bahasa sahaja iaitu Bahasa Jepun. Ini membuatkan perpaduan di negara matahari terbit itu
tidak menjadi penghalang kemajuan dan kemakmuran negara mereka. Nyatalah pengunaan
satu bahasa akan menyumbang negara kita ke arah negara yang maju mengikut acuan sendiri.
Semua itu tidak akan wujud sekiranya para pelajar tidak berinteraksi dengan rakan-rakan
yang berlainan bangsa dan kaum. Dalam usaha meningkatkan kesefahaman, toleransi dan
perpaduan kaum, aktiviti seperti menubuhkan kelab atau persatuan Bahasa Melayu dan
mengadakan minggu Bahasa Melayu telah dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti tahunan
sekolah. Semua aktiviti ini tidak akan terlaksana jika tiada penglibatan pelajar daripada
bangsa dan kaum yang berbeza.
Dalam konteks sistem persekolahan vernakular, penghapusan sistem ini bukanlah satu

cadangan yang baik kerana penghapusan sistem ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di
kalangan kaum terutama masyarakat Cina dan India. Cukuplah sekali tercetusnya Peristiwa
13 Mei. Biarlah ia menjadi sejarah negara kita sahaja. Oleh itu, untuk menjadikan Bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar pendekatan memperkasakan Bahasa Melayu di sekolahsekolah jenis kebangsaan Cina dan India perlu diwujudkan. Manakala untuk menarik bangsa
lain bersekolah di sekolah kebangsaan pula ialah dengan menjadikan subjek bahasa ibunda
seperti Bahasa Cina, Bahasa India, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban sebagai subjek
yang juga diajar di sekolah kebangsaan oleh guru yang bertauliah tentang bahasa tersebut.
Oleh yang demikian, jika perubahan ini wujud dan dilaksanakan dalam sistem persekolahan
vernakular, semua ibu bapa tidak akan bersusah payah untuk menghantar anak mereka jauh
ke bandar semata-mata mencari sekolah mengikut bangsa mereka sahaja. Ini kerana mereka
tahu semua sekolah akan mengajar bahasa ibunda mereka tidak kira sekolah kebangsaan atau
sekolah jenis kebangsaan. Maka, wujudlah perpaduan di kalangan semua pelajar sekolahsekolah vernakular.
Kedua, kurikulum bersepadu seperti KBSR dan KBSM masih boleh diteruskan dan
diperbaiki lagi kerana terdapat pelaksanaannya yang memupuk perpaduan kaum terutama
dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang telah dilaksanakan di sekolah adalah
seperti sukan, permainan, kelab dan persatuan. Kini, Kementerian Pelajaran telah merancang
program Satu Murid Satu Sukan (1M1S) dan telah mula dilaksanakan pada tahun 2011 antara
yang dimasukkan dalam aktiviti kokurikulum. Program ini meminta setiap pelajar memilih
satu bidang sukan yang mereka minati seterusnya mempelajari kemahiran bidang itu
sehingga mereka berjaya seterusnya terpilih menjadi wakil dari sekolah mereka sehingga di
peringkat yang tinggi.
Selain itu juga, pelajar boleh diberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti di luar akademik
terutama dalam aktiviti melibatkan pelbagai kaum seperti program anak angkat, badan
beruniform atau Persatuan Belia & Beliawanis. Salah satu contoh aktiviti di luar akademik
yang telah dilaksanakan ialah Program perkhemahan Integrasi yang dianjurkan oleh Pusat
KoKurikulum tidak kira peringkat negeri ataupun kebangsaan. Program ini telah terbukti
dapat memupuk perpaduan kaum bukan saja di kalangan pelajar malah di kalangan guru-guru
dan jurulatih program. Program ini memberi kesan yang mendalam kepada pelajar sehingga
mengenali apakah ertinya persahabatan dan perpaduan. Situasi inilah yang perlu kita
semaikan dalam jiwa pelajar kita demi kesejahteraan, kesetiaan dan keamanan bangsa dan
negara. Di samping itu juga, program seperti dapat melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi kurikulum dan kokurikulum. Perlu diingatkan Kokurikulum adalah
pelengkap kepada kurikulum. Ini bermakna, tidak lengkap seseorang itu jika dia hanya
mengutamakan pencapaian akademik sahaja.
Ketiga, menambah dan memperbanyakkan lagi sekolah di bawah program Sekolah Wawasan.
Pelaksanaan program Sekolah Wawasan yang dirancang oleh kementerian Pendidikan bukan
bermaksud hendak menghapuskan ciri-ciri sekolah vernakular tetapi sebaliknya ingin
mengelakkan prejudis kaum di kalangan golongan muda yang bakal memimpin negara pada
masa depan. Walaupun pelaksanaan program ini telah mendapat reaksi negatif daripada
pelbagai pihak, namum kerajaan masih meneruskan usaha bagi mencapai matlamat program
ini terutama untuk mewujudkan perpaduan dan memupuk semangat integrasi antara pelajar
yang berbilang kaum, aliran dan fahaman agama. Antara lain, matlamat program ini juga
ingin melahirkan generasi yang bertoleransi dan saling memahami. Di samping itu juga
semua warga sekolah digalakkan berinteraksi secara maksimum dalam melaksanakan aktivitiaktiviti dan perkongsian kemudahan yang terdapat di sekolah.

Demi mencapai matlamat ini, pelaksanaan sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep
belajar bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama di satu kawasan atau di bawah satu
bumbung yang sama. Maksud konsep belajar bersama ini ialah sebanyak dua atau tiga buah
sekolah (SK/SJK/SJKT) yang berlainan aliran dan juga pentadbiran dibina di dalam satu
kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berkongsi bersama semua kemudahankemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan
sebagainya. Dengan perkongsian ini, berkemungkinan dapat memupuk semangat
persefahaman dan toleransi antara kaum serta nilai-nilai masyarakat majmuk dapat
diserapkan di kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi.
Dalam ucapan umum bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, iaitu Tun Dr. Mahathir
Mohamad, khasnya dalam menyatupadukan kaum-kaum di Malaysia. Beliau membuat
kenyataan seperti berikut:
[] membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang
dikongsi bersama, maka bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan
kelompok-kelompoknya, serta menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan
persamaan hak dan keadilan. Membentuk sebuah bangsa Malaysia mestilah dengan rasa taat
setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut (Mahathir Mohamad,
1991).
Ucapan ini sekali lagi diluahkan beliau dalam ucapan perasmian Wawasan 2020. Jelaslah
bahawa perkongsian bersama-sama dapat menyatupadukan kaum di Malaysia. Maka,
program Sekolah Wawasan adalah satu cadangan yang baik untuk ke arah memupuk
perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Keempat, sistem penyampaian. Kerajaan memainkan peranan utama dalam membentuk
lanskap masyarakat Malaysia, terutama dalam membentuk kesefahaman, toleransi dan
perpaduan rakyat. Oleh sebab itu, kerajaan perlu menggunakan segala keperluan dan
kebebasan dalam menjadi medium penyampaian yang berguna terhadap rakyat terutama
dalam menyampaikan maklumat yang penting serta bertepatan dengan keperluan rakyat
dalam memupuk perpaduan. Maklumat yang disampaikan mestilah tepat dan berinformasi
terhadap rakyat dan tidak mementingkan kepada satu pihak saja.
Seperti yang kita tahu, sistem penyampaian yang biasa digunakan ialah melalui media-media
dan juga agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Penerangan dan Komunikasi. Mereka
bertanggungjawab dalam menyampaikan dasar-dasar yang penting bagi rakyat
mengetahuinya terutama dalam dasar-dasar yang dapat menyatupadukan masyarakat kita.
Penggunaan sepenuhnya peranan media, sama ada media cetak mahupun elektronik, sebagai
medium utama dengan menayangkan iklan-iklan bertemakan perpaduan dengan lebih kerap
lagi dan ruang papan kenyataan yang mempromosikan keunikan masyarakat Malaysia. Selain
daripada itu, melalui sistem penyampaian juga, masyarakat dapat mengetahui dasar-dasar
kerajaan terutamanya masyarakat dari luar bandar.
Dalam menjayakan usaha tersebut, kerajaan telah membuat pelbagai rancangan TV yang
mengandungi rancangan-rancangan yang berbeza bahasa mengikut kaum di negara kita.
Malah, agensi-agensi bukan kerajaan juga turut menyumbangkan idea-idea mereka dalam
memupuk perpaduan antara kaum. Contohnya, mereka telah membuat lagu-lagu yang
bertemakan perpaduan kaum serta menganjurkan pelbagai realiti TV yang dapat disertai oleh

pelbagai lapisan masyarakat dan juga kaum.


KESIMPULAN
Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara
keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di
kalangan mereka. Melalui proses penyatupadukan masyarakat Malaysia, dasar pendidikan
yang diwujudkan oleh kerajaan telah menampakkan hasilnya walaupun masih mempunyai
kelemahan dalam membentuk satu dasar yang boleh diterima oleh semua kaum. Dasar
pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kestabilan dan kemajuan
negara kita. Pendidikan merupakan alat membentuk perpaduan kaum yang wajib diambil
berat dalam dunia yang kian pesat membangun. Aspek nilai murni amat ditekankan dalam
pendidikan dan nilai-nilai ini perlu ada dalam diri setiap rakyat sebagai sebuah masyarakat
majmuk.
Kerajaan sentiasa berusaha mencari pendekatan untuk masyarakat dalam memupuk semangat
kesefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kemakmurkan negara kita. Dari sebelum
merdeka sehingga hari kini, kerajaan sentiasa mencari kaedah yang terbaik untuk perpaduan
masyarakat tanpa memilih kaum, walaupun usaha itu selalu dimanipulasi oleh pihak
pembangkang. Sebagai rakyat Malaysia, Dasar Pandang Ke Timur yang disarankan oleh
Tun Dr. Mahathir Mohamad patut kita renungkan semula. Perpaduan masyarakat Jepun
merupakan contoh terbaik untuk kita ikuti. Kemajuan dan kemakmuran negara Jepun lebih
dahulu ke hadapan berbanding kita. Kemajuan nagara kita yang dikecapi sekarang ini tidak
akan tercapai dan tidak mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya tiada kerjasama antara
kaum.
Peristiwa 13 Mei 1969, sepatutnya menjadi ikhtibar bagi kita dan menghalang peristiwa
tersebut berulang kembali. Pihak kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam
memastikan isu-isu dan kelemahan pendidikan dikawal dengan sebaiknya supaya hubungan
masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni.
Sekiranya sistem pendidikan tidak dilaksanakan dengan baik dan telus, maka semua usaha
untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional tidak akan berjaya. Tugas ini
bukan saja disandarkan kepada individu tertentu, malahan usaha ini haruslah dilakukan oleh
seluruh masyarakat negara kita demi kejayaan dan kemakmuran negara yang tercinta dan
merealisasikan Wawasan 2020.

You might also like