You are on page 1of 4

PAS TIDAK KONSISTEN

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


pengarang@utusan.com.my

PENYOKONG Pas mengibarkan bendera DAP tetapi tidak


kelihatan pun penyokong Cina DAP mengibarkan bendera Pas
pada setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

TINDAKAN Pas mempergunakan habis-habisan isu pemberian lesen judi untuk bola
sepak Piala Dunia sudah dijangka.

Pas sememangnya ingin ke hadapan kononnya bagi menunjukkan kepada


umat Islam bahawa mereka amat menentang kemungkaran apatah lagi dalam soal
judi dan arak.

Dari satu segi, Pas berhak melakukan penentangan tetapi dalam masa yang
sama, mereka juga perlu memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat
keputusan muktamad.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin
sudah memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil kira pandangan
semua pihak termasuk daripada kalangan Islam dan bukan Islam dalam isu
berkenaan.

Kalaulah benar Pas ingin menentang kemungkaran judi dan arak, lakukanlah
dahulu di negeri-negeri yang terletak di bawah penguasaan pakatan pembangkang.

Setakat ini, sama ada di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, kegiatan judi dan
arak berterusan. Di Kelantan pula, arak dibenarkan untuk golongan bukan Islam.

Malahan paling ketara di Kedah, kenapakah Pas yang memerintah kerajaan


negeri tidak melaksanakan pengharaman ke atas judi dan arak?

1
Pas mempunyai kerusi majoriti di Kedah. Kalau kerajaan negeri pimpinan
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abd.Razak hendak mengharamkan kedua-dua
kegiatan itu, ia tidak jadi masalah. Rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
dan DAP tidak boleh kata apa-apa.

Tetapi Pas tidak lakukannya? Di manakah istiqomah pemimpin, ahli dan


penyokong Pas yang begitu beria-ia hendak menunjukkan mereka menentang
kemungkaran dengan berdemonstrasi selepas solat Jumaat lalu tetapi membiarkan
sahaja ia terjadi di negeri yang mereka ada kuasa sepenuhnya?

Begitu juga di Selangor yang Pas ‘bersekongkol’ bersama-sama PKR dan DAP
bagi memerintah negeri itu, kenapakah Pas tidak mendesak habis-habisan perkara
yang sama.

Bagaimana pula di Kelantan, yang mana Pas membenarkan penjualan arak


kepada bukan Islam dan memungut hasil daripada permit yang dikeluarkan.

Bukankah di dalam Islam, arak tetap haram dan boleh menjadi punca kepada
segala kemungkaran. Lupakah pemimpin Pas mengenai kisah di zaman nabi
mengenai seorang lelaki soleh yang akhirnya terjebak dalam perzinaan dengan
seorang wanita dan membunuh seorang bayi selepas termakan hasutan syaitan
untuk meminum arak?

Oleh itu, jelaslah dalam isu judi bola sepak ini, sikap tidak konsisten Pas
semakin ketara. Sebelum ini, sudah banyak contoh yang menunjukkan Pas demi
kepentingan politik bersama-sama DAP dan PKR sanggup ‘menggadaikan’ segala-
galanya.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu, jika sebelum ini
mereka ‘menghentam’ calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dikatakan menentang
hukum hudud tetapi secara tiba-tiba pemimpin Pas begitu terbuka memaafkan
beliau.

Malahan Pas melalui jentera pilihan raya turun bermati-matian membantu Zaid
untuk mencapai kemenangan.

Begitu juga dalam isu kalimah Allah, sebelum ini kepimpinan Pas sudah
membuat ketetapan bahawa isu tersebut tidak boleh diperalatkan demi kepentingan
politik tetapi lihat sahaja apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sibu.

Demi untuk meraih undi, ada di kalangan pemimpin Pas yang sanggup
berkempen untuk calon DAP dengan memperalatkan isu tersebut. Kenapakah
kepimpinan tertinggi Pas atau mana-mana ahli Pas terutama sayapnya tidak
menyatakan bantahan?

2
Malahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka
menyatakan DAP boleh menggunakan isu kalimah Allah sedangkan Timbalannya,
Datuk Dr.Haron Din pula kata tidak boleh.

Ini belum lagi termasuk pendirian celaru Pas dalam soal kerjasama dengan
DAP yang sebelum ini secara jelas menentang penubuhan negara Islam.

Pas bertukar fikiran 360 darjah, apabila menganggap kerjasama dengan DAP
tidak salah dan parti cauvinis berkenaan semakin menerima Islam.

Tetapi soalnya, Pas masih belum menguji DAP sepenuhnya. Kalau benar DAP
sudah menerima Islam, cubalah Pas ketengahkan kembali idea negara Islam. Ketika
itu, barulah Pas akan tahu sejauh manakah kejujuran DAP berkawan dengan
mereka.

Lihatlah juga pendirian Pas dalam isu melompat parti. Apabila ada wakil rakyat
daripada pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, Pas mengecam
habis-habisan.

Pelbagai ‘fatwa’ dikeluarkan dan ia termasuklah desakan supaya wakil rakyat


terlibat meletakkan jawatan. Tetapi apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim melancarkan ‘impian 16 September’, Pas menyokongnya.

Ketika itu tidak timbul pula soal ‘halal haram’ atau khianat tidak khianat amanah
rakyat. Bagi Pas, kalau sesuatu tindakan itu menguntungkan pembangkang, ia boleh
‘dihalalkan’ tetapi kalau menguntungkan Barisan Nasional (BN), ia ‘diharamkan’.

Apakah ini ciri-ciri sebuah parti Islam yang pemimpinnya sentiasa sahaja
menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasullullah SAW untuk berhujah?

Seperkara lagi, Pas juga hanya mendiamkan diri apabila banyak janji-janji yang
dilontarkan bersama-sama pembangkang ketika pilihan raya umum lalu masih
banyak tidak ditunaikan sama ada di Selangor, Kedah mahupun Pulau Pinang.

Tidak pula kedengaran Dewan Pemuda Pas pusat atau Dewan Muslimatnya
bersuara lantang untuk mengingatkan Pas supaya memastikan segala janji itu
dilaksanakan. Ini kerana di dalam Islam perbuatan memungkiri janji hanya dilakukan
oleh orang munafik.

Justeru adalah perlu menjelang muktamar parti itu yang akan berlangsung
mulai 9 Jun ini, pemimpin dan ahli-ahli Pas bermuhasabah dan memikirkan apakah
selama ini tindakan mereka bersesuaian dengan perjuangan sebuah parti Islam atau
tidak.

3
Kalau benar Pas ingin menjadi sebuah parti Islam yang menentang segala
kemungkaran dan menegakkan syiar Islam, maka bersikaplah seperti itu.

Janganlah memilih-milih isu, kalau isu itu menguntungkan pakatan


pembangkang maka ia akan disokong atau digembar-gemburkan tetapi kalau ia
merugikan pembangkang maka ia akan disenyapkan begitu sahaja.

Pas perlu faham sikap tidak konsisten mereka dalam pelbagai isu yang berlaku
boleh mengelirukan bukan sahaja ahli-ahli parti tersebut tetapi juga umat Islam
secara keseluruhannya.

Sebagai sebuah parti yang menjadi Islam sebagai asas perjuangan, Pas tidak
boleh berdolak-dalik dalam sesuatu isu atau mengubah pendirian hanya semata-
mata kerana kepentingan politik.

Dalam Islam yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Pas tidak boleh
menjadi ibarat sesumpah yang mampu bertukar wajah bila-bila masa demi
menyelamatkan kepentingan politiknya.

Lebih penting daripada itu, Pas harus diperingatkan bahawa sikap tidak
konsisten mereka lambat-laun tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada
mereka, sebaliknya dilihat akan menguntungkan sekutunya iaitu DAP dan PKR.
Buktinya sudah ada!

Utusan Malaysia, Rabu 26 Mei 2010

You might also like