You are on page 1of 3

ARKIB : 09/11/2006

Bahaya mainkan isu murtad di Malaysia

SEMUA media tempatan melaporkan bahawa polis sedang menyiasat kes penyebaran melalui
SMS kononnya terdapat lebih kurang 100 orang Islam dibaptis di sebuah gereja di Ipoh Ahad
lalu (5 November 2006).

Ini bukanlah kali pertama isu murtad dihebahkan oleh pihak yang tidak berwajib melalui SMS.
Ketika kes Lina Joy hebat diperbahaskan satu ketika dulu, sekitar bulan Ogos 2006 tersebar
dengan meluas bahawa Mahkamah Persekutuan telah ‘meluluskan’ permohonan beliau.

Beribu-ribu SMS tersebar menyatakan bahawa Lina Joy telah menang.

Penulis yang telah membuat kajian PhD dalam undang-undang murtad di School of Oriental and
African Studies (SOAS) University of London telah dihujani dengan pertanyaan sahabat handai
tentang kesahihan berita ini.

Apabila penulis menyelidiki perkara ini melalui kenalan di Jabatan Peguam Negara, ternyata ia
tidak benar.

Malah, disebarkan juga bahawa Persatuan Murtad Malaysia mendapat kelulusan pendaftaran
daripada Pendaftar Pertubuhan.

Sebagai seorang ahli akademik yang sentiasa mengikuti perkembangan murtad dari dekat,
penulis hairan bagaimana khabar seperti ini boleh dipercayai bulat-bulat.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan kenyataan oleh seorang mufti bahawa jumlah orang Melayu
murtad mencapai 100,000 orang.

Apabila perkara ini dihalusi oleh pihak Jakim, didapati tiada fakta dan data yang kukuh. Penulis
difahamkan bahawa pihak Jakim telah melantik sekumpulan ahli akademik dari IPTA untuk
membuat kajian dan mengenal pasti jumlah orang murtad di Malaysia bagi menepis dakwaan-
dakwaan yang dibuat sebelum ini.

Dalam kajian yang dibuat oleh penulis, dari tahun 1999-2003 terdapat 750 permohonan
pertukaran nama bukan Islam di Jabatan Pendaftaran Negara.

Hanya 220 permohonan diluluskan setelah pemohon mengemukakan dokumen rasmi sama ada
dari Jabatan Agama Islam Negeri atau Mahkamah Syariah negeri bahawa mereka bukan lagi
beragama Islam. Dari jumlah tersebut, majoriti mereka yang terlibat ialah golongan mualaf
(saudara baru).
Jumlah permohonan di Mahkamah Syariah negeri juga agak kecil. Bahkan kebanyakan negeri
tidak mempunyai peruntukan untuk keluar daripada agama Islam. Bagi sesetengah negeri seperti
Pahang, Perak, Melaka, Sabah dan Terengganu, murtad dianggap sebagai kesalahan jenayah.
Melaka, Sabah dan Kelantan mempunyai peruntukan pemulihan akidah di pusat-pusat
pemulihan.

Hanya satu negeri sahaja iaitu Negeri Sembilan yang memperuntukkan bahawa seseorang yang
hendak murtad, hakim hendaklah menyuruhnya bertaubat. Sekiranya dia enggan hakim
hendaklah menangguhkan kes itu sehingga 90 hari di mana dalam tempoh tersebut, pemohon
akan melalui satu sesi kaunseling dengan tujuan supaya dia kembali kepada agama Islam.

Sekiranya tempoh 90 hari tamat dan pemohon enggan bertaubat, dan pada pendapat Mahkamah
bahawa ada kemungkinan beliau akan bertaubat, menangguhkan kes itu tidak melebihi satu
tahun untuk tujuan kaunseling seterusnya.

Persoalan murtad merupakan perkara sensitif terutama bagi orang Melayu. Ini kerana, menurut
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu adalah mereka yang beragama Islam,
bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.

Justeru, orang Melayu yang murtad dianggap telah keluar Melayu dan ini tidak dapat diterima
oleh masyarakat Melayu.

Apabila persoalan Islam-Melayu timbul, orang-orang Melayu, tanpa mengira latar belakang parti
politik bangkit bersatu menentang segala usaha dan perancangan memurtadkan orang Melayu.
Ini jelas ditunjukkan dalam beberapa insiden. Yang pertama, kes Natrah di Singapura.

Kes kedua berlaku lewat tahun 90-an. Aishah Bukhari masih segar dalam ingatan ramai orang
Melayu. Ia merupakan kes percintaan antara dua kekasih berlainan agama. Aishah sanggup
menukar agama Islam demi berkahwin dengan kekasih yang beragama Kristian. Akhirnya kes itu
hilang begitu sahaja kerana dikhabarkan bahawa mereka telah berhijrah ke Australia.

Kes ketiga ialah Lina Joy. Kes ini masih menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan setelah
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lina Joy dengan melihat kepada takrifan Perkara 160
(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menghendaki orang Melayu itu beragama Islam.

Justeru, hakim bicara berpendapat bahawa selagi pemohon seorang Melayu, beliau tidak boleh
menukar agama.

Dalam bulan Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan negeri-negeri yang masih belum
mempunyai Undang-undang Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam supaya cepat
membawanya ke Dewan Undangan Negeri.

Apa yang menjadi persoalan pokok ialah, walaupun sembilan negeri sudah mempunyai undang-
undang tersebut, penguatkuasaannya masih lemah. Hanya satu negeri sahaja iaitu Pahang yang
menguatkuasakannya dengan adanya satu kes di Temerloh (PP lwn Krishnan a/l Muthu, 2002).
Kekurangan penguatkuasaan ini telah diutarakan dalam penulisan Noor Azam Shairi, Mingguan
Malaysia, 27 Ogos 2006 di bawah tajuk Memahami Artikel 11 (4).

Apa yang penting bagi masyarakat Melayu di Malaysia pada hari ini ialah mengambil iktibar dari
peristiwa Ahad lalu (5 November 2006) dan penyebaran SMS kes Lina Joy (Ogos 2006) bahawa
perkara murtad adalah satu perkara yang amat sensitif.

Sekiranya berita yang disebarkan itu adalah palsu, kesannya amat besar kepada keselamatan
negara. Rusuhan boleh berlaku hanya dengan sentuhan jari-jari SMS palsu. Melihat kepada
peristiwa-peristiwa silam, banyak pengajaran yang mesti diambil.

Biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan seterusnya demi kebaikan dan keamanan negara.

– DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL,

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),

Universiti Teknologi Mara,

Shah Alam, Selangor.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

You might also like