You are on page 1of 7

KSSR: KURIKULUM BERASASKAN STANDARD? Kurikulum Standard Sekolah Rendah digubal berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran.

Mengapa Standard? Memastikan SEMUA murid melepasi standard yang ditetapkan. Penetapan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu diukur dengan jelas. Mengenal pasti strategi penambahbaikan (assessment for learning). Mengatasi masalah murid keciciran dalam pembelajaran. Pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah .

Standard Kandungan Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Standard Pembelajaran Satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Apakah ciri-ciri buku pelajaran yang akan digunakan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)?

Terdapat dua komponen iaitu buku teks dan buku aktiviti. Mengandungi nota guru untuk membantu guru menjalankaan pengajaran dan pembelajaraan (P&P) dengan berkesan. Mengandungi rujukan halaman buku aktiviti ke buku teks dan buku teks ke buku aktiviti. Mengandungi pelbagai aktiviti pengukuhan, pengayaan dan cadangan aktiviti pemulihan. Buku aktiviti menggalakkan murid untuk menggunakan kemahiran psikomotor seperti menggunting, menampal, menyurih dan mewarna. Maklumat asal dimuatkan bersebelahan dengan kandungan teks bagi guru membuat rujukan. Setiap kemahiraan baru yang diperkenalkan akan diikuti dengan penilaian mudah untuk menaakul atau mendorong kepada perbincangan. Penulisan berbentuk modular dengan persembahan kandungan berdasarkan pencapaian standard pembelajaran bagi sesuatu subjek.

Elemen Nilai Tambah dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR):


Kreativiti dan Inovasi Keusahawanan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Nilai tambah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan murid dalam membangunkan modal insan yang holistik, berpengetahuan, berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi, berkemahiran tinggi serta berkeperibadian mulia.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KSSRkurangkantekananpeperiksaan_binamodal insanberkesan/Article/index_html KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global. KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M. Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup. Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai. Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan

pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa. Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran. Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai. Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid. Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan. Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur. Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.

Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali, katanya. Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka. Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi, katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid. Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/180-jenis-jenis/5585kssr-terap-1malaysia.html KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.

KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan. Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009. Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih. KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara. Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.

sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan

http://kulanzsalleh.com/kssr-kurikulum-standard-sekolah-rendah/

KSSR: Kurikulum Standard Sekolah Rendah


by kulanz on 09/01/2011 21 comments Jumaat lepas saya berpeluang mengikuti taklimat ringkas pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2011. Walaupun pada masa ini saya sebenarnya tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan atau pelaksanaan KSSR yang dimaksudkan, namun sejujurnya saya amat berminat untuk mengetahui dan memahami lebih banyak berkenaan KSSR. Sekurang-kurangnya ia adalah pengetahuan asas tentang kurikulum standard berkenaan adalah input berguna yang bukan sahaja perlu diketahui oleh guru atau pihak pengurusan pendidikan, tetapi termasuklah juga ibu bapa. Pada saya pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah sangat bertepatan dan sesuai pada masanya. Kali terakhir Kurikulum Pendidikan Malaysia mengalami perubahan adalah pada tahun 2003, iaitu semakan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilaksanakan sejak 1993. Tambahan pula, jika merujuk kepada matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah. Transformasi kurikulum itu pula digubal berasaskan dua standard utama, iaitu pertama: Standard Kandungan yang merujuk kepada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kedua: Standard Pembelajaran yang merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Jadi, adalah diharapkan pelaksanaan KSSR ini dapat membaharui kurikulum sedia ada dan memastikan ianya relevan dengan keperluan pendidikan semasa. Kepada guru-guru atau sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan KSSR, boleh merujuk terus di laman web rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Penerangan tentang Konsep, Bahan Sokongan, dan Buku Panduan Guru telahpun dimuatkan di laman web tersebut.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)


Mulai 2011, Kementerian Pelajaran telah menggunakan sistem baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan sistem sebelum ini KBSR. Oleh itu pelajar Tahun 1 mulai tahun 2011 akan menggunakan sistem KSSR ini.

Di sini, kami ingin berkongsi dengan ibu bapa dan pelajar sistem penilaian yang digunakan dalam KSSR. Dahulunya gred ABC digunakan dalam KBSR untuk menentukan tahap pelajar. Tetapi dalam sistem KSSR gred ABC telah digantikan dengan sistem BAND. Di bawah ini kami paparkan kerangka sistem BAND untuk maklumat ibu bapa dan pelajar.

You might also like