You are on page 1of 6

http://tuanmat.tripod.com/pupuk.

html
TAJUK: Cadangkan cara-cara memupuk integrasi etnik di Sekolah
1.0 Pendahuluan
Sistem pendidikan yang ada di sesebuah negara boleh menjadi salah satu cara
memupuk integrasi dan mewujudkan perpaduan di antara etnik. Sebagaimana yang
kita tahu sekolah ialah sebuah organisasi berbentuk pendidikan yag mana
kebanyakannya semua kaum atau etnik berada dalam satu bumbung yang sama.
Dari situlah pelbagai kaum atau etnik dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu
kaum dan sterusnya menghayati proses sosialisasi secara mudah. Dengan cara
tersebut bolehlah mereka mewujudkan perpaduan sebagaimana yang diharapkan
oleh sekolah, masyarakat dan bangsa.
Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari ini bagi
mengwujudkan integrasi di antara etnik. Walaupun banyak kemajuan dapat dilihat
dalam hubungan antara etnik pada hari ini , tetapi masih banyak yang perlu
dilakukan bagi memantapkan proses integrasi ini. Cabaran-cabaran dan masalah
yang timbul, menunjukkan proses integrasi antara etnik di peringkat sekolah perlu
dikemaskini dan dimantapkan lagi. Perlu ada dasar atau rancangan yang lebih
konkrit bagi mencapai objektif integrasi antara etnik di sekolah. Ia hendaklah
bukan sekadar di kulit luaran tetapi isinya.
Pada hari ini tidak dinafikan menerusi sistem dua aliran yang ada, integrasi antara
etnik di sekolah telah mencapai banyak kemajuan. Walaubagaimana pun masih
banyak yang perlu dilakukan lagi bagi memantapkan lagi proses integrasi antara
etnik di sekolah. Proses integrasi yang berlaku pada masa ini kadangkala
menghadapi pelbagai masalah yang timbul. Ini jika tidak diatasi boleh melambatkan
proses integrasi di sekolah. Oleh pelbagai rancangan dan dasar haruslah difikir dan
dikaji bagi menjadikan sekolah sebagai pusat integrasi antara etnik yang terbaik.
2.0 Definisi Integrasi dan Etnik
Etnik atau etnos dalam bahasa asal Greek membawa makna kumpulan manusia
atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan diri seseorang ke dalam kumpulan
yang mempunyai latar belakang keturunan nenek moyang yang sama. Mereka
mempunyai keturunan dari segi sejarah, negara asal, bahasa, tradisi, budaya,
struktur dan sistem nilai. Mengikut kamus Dewan pula, etnik merujuk kepada
sesuatu kaum atau masyarakat majmuk yang mempunyai kelompok, yang hidup
berlainan tetapi di bawah sistem politik yang sama.
Mengikut Sufean Hussein (1996) integrasi bermaksud menyatukan etnik-etnik atau
kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang
tersendiri. Mengikut Khalid Yaakub (1982) pula, integrasi pula merupakan proses
menyatupadukan secara budaya dan sosial kelompok-kelompok sosial yang
berbeza-beza kepada satu unit yang mempunyai identiti yang umum dan tersendiri.
Mengikut Mohd Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau yang biasa
dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat

majmuk atau pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukkan kebudayaan


kebangsaan atau nasional yang tersendiri dikalangan mereka.
3.0 Cara-cara memupuk integrasi etnik di sekolah
3.1 Memantapkan lagi perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan
Di Malaysia, pelbagai cara digunakan untuk mewujudkan perpaduan antara etnik di
sekolah. Antaranya menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menggunakan
sukatan pelajaran, buku teks, peperiksaan, pakaian seragam, sistem latihan guru
dan bahasa penghantar yang sama. Sebagai contoh dalam matapelajaran
Pendidikan Islam dan Moral pendekatan yang lebih baik digunakan agar pelajar
dapat memahami tentang keperluan moral, sosial, agama dan kepercayaan kepada
tuhan serta menjadi warga negara yang baik. Pelajar-pelajar juga sering bergaul
antara pelbagai etnik secara lebih dekat semasa diadakan kegiatan ko-kurikulum,
kerja luar dan juga semasa belajar dalam kelas. Dengan cara kegiatan tersebut
agak mudah untuk guru memupuk semangat bekerjasama antara etnik dan saling
faham dan memahami antara satu dengan lain.
Sebahagian daripada dasar dan tindakan strategik ini telah dilaksanakan dengan
berkesan walaupun belum sepenuhnya. Misalnya dasar penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan,
sekurang-kurangnya telah mewujudkan generasi dari pelbagai etnik yang lebih
komunikatif antara satu sama lain dan lebih saling memahami. Walau bagaimana di
waktu ini cabaran terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara etnik
kadangkala dapat dilihat jelas. Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan membenar
sekolah dua aliran tetapi kita hendaklah memastikan matlamat penggunaan bahasa
Melayu di semua sebagai alat integrasi tercapai.
Sementara itu dalam Rancangan Malaysia Pertama, Kedua dan Ketiga, kerajaan
terus memperkuatkan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan negara.
Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Ketiga penekanan utama dalam proses
integrasi ialah dengan penggunaa bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar
utama, pembentukan keperibadian, pembahagian sumber-sumber negara dengan
lebih saksama dan penyatuan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak melalui
sistem pendidikan kebangsaan pada akhir tahun 1960-an..
Oleh itu pembaharuan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bertujuan untuk
menggantikan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam kurikulum yang sedia
ada dengan unsur-unsur yang lebih mantap bagi memupuk integrasi antara etnik
perlu disegerakan. Ini kerana Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah teras bagi sistem
persekolahan di negara kita. Dasar-dasar yang tidak sesuai daengan kehendak
semasa haruslah digantikan bagi memastikan integrasi di peringkat sekolah dapat
dilaksanakan dengana baik.
3.2 Menjadikan sekolah sebagai alat perpaduan
Sistem persekolahan sekarang yang memisahkan pelajar mengikut bahasa
penghantar dan perbezaan kumpulan etnik tidak dapat memainkan peranannya
yang berkesan untuk memupuk perpaduan dan persefahaman dikalangan pelajar.

Usaha-usaha yang gigih harus diambil untuk mengatasi segala bentuk pengasingan
dan pemisahan yang sengaja diadakan.
Satu sistem persekolah yang sama patut diperkenalkan dengan penggunaan
Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar untuk membentuk satu generasi baru
yang mempunyai keperibadian Malaysia. Di samping itu, hak-hak kebudayaan
kumpulan-kumpulan etnik lain untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan masingmasing patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini
hendaklah dilakukan secara saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini juga harus
didasarkan di atas keinsafan bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan
genarasi muda negara ini adalah mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain.
Pendidikan juga dapat memupuk integrasi etnik di sekolah dengan penggunaan
bahasa Melayu sepenuhnya. Bahasa Melayu pelu diperkayakan sebagai bahasa
ilmu yang lengkap. Usaha ini bukan saja meletakkan taraf bahasa Melayu di tempat
sewajarnya, tetapi dapat membantu merapatkan hubungan antara etnik di sekolah
dengan penggunaan satu bahasa. Bahasa Melayu sebagai alat untuk berinteraksi
dapat mewujudkan semangat kekitaan di kalangan pelajar yang berbilang etnik.
Sekolah juga harus bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar supaya boleh berfikir
dan berani mengeluarkan pendapat. Pelajar-pelajar yang berlainan etnik perlu
didedahkan kepada nilai-nilai bersama seperti perasaan kasih sayang, hormat
menghormati, saling bantu membantu, berbudi bahasa, cintakan keamanan,
bencikan kekejaman, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Melalui ko-kurikulum
pula pelajar-pelajar dari semua kumpulan etnik hendaklaha digalakkan bercampur
gaul dan memceburkan diri dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di sekolah. Dengan
ini sekolah akan melahirkan rakyat Malaysia bersatupadu dan mempunyai
semangat kemalaysiaan yang kuat walaupun berlainan etnik.
3.4 Pendemokrasian Pendidikan
Pendemokrasian pendidikan juga dapat memupuk integrasi antara etnik
Pendemokrasian Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan
adalah untuk memastikan agar semua kaum atau etnik dapat menikmati
kemudahan yang sama dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam
bandar atau di luar bandar. Samada di bandar atau luar bandar rekabentuk sekolahsekolah yang dibina adalah sama. Di samping itu alat-alat yang dibekalkan seperti
kerusi, meja, almari adalah seragam di semua sekolah. Dengan ini tidak timbul
perbezaan antara sekolah samada yang digunakan oleh etnik Melayu, Cina, India
atau Bumiputera Sarawak dan Sabah.
Pelajar-pelajar dari pelbagai etnik tidak disekat untuk untuk bersekolah di manamana sekolah di negara kita. Mereka boleh memilih sekolah pilihan masiangmasing. Sekolah-sekolah yang berbeza aliran juga mendapat kemudahankemudahan yang sama. Walaupun mereka menggunakan bahasa penghantar yang
berlainan tetapi sukatan, buku teks, jadual waktu dan peperiksaan diselaraskan
secara berpusat.
Hak-hak kebudayaan kumpulan-kumpulan etnik lain untuk mempelajari bahasa dan
kebudayaaan kumpulan etnik masing-masing patut dihormati dan diberi

perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini haendaklah dilakukan secara


saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini harus didasrkan di atas keinsafan
bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan pelajar mengatasi kepentingan lain.
Dengan ini pendemokrasian Pendidikan dapat memupuk proses integrasi antara
etnik.
3.5 Perlaksanaan Sekolah Wawasan
Perlaksanaan Sekolah Wawasan merupakan antara cadangan bagi memupuk
integrasi antara etnik di Malaysia. Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang
berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa
mengira kaum dan agama. Di bawah konep ini, dua atau tiga sekolah rendah
berlainan sekolah akan mempunyai bangunan yang bersambung antara satu sama
lain. Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk mewujudkan perpaduan atau
integrasi diantara murid yang berlainan etnik dan agama. Ia juga untuk melahirkan
sifat toleransi, persefahaman yang tinggi dan menggalakkan interaksi yang
maksimum antara semua pelajar melalui perkongsian kemudahan sekolah dan
perlaksanaan aktiviti.
Sekolah Wawasan ini tidak langsung mengubah sistem pembelajaran yang asal
kerana tiap-tiap sekolah mempunyai nama yang tersendiri disamping urusan
pentadbiran dan penguruasan kewangan yang dikendalikan oleh sekolah masingmasing. Sekolah Wawasan akan membolehkan pelajar-pelajar yang berlainan etnik
menggunakan pelbagai kemudahan secara bersama seperti kantin, lapangan
perhimpunan, gelanggang permainan dan padang. Satu jawatankuasa penyelaras
yang terdiri daripada guru yang diwakili dari setiap sekolah akan diwujudkan untuk
menyelenggarakan segala hal seperti pengurusan kebersihan, keceriaan dan
keselamatan. Konsep Sekolah Wawasan ini diharap dapat merapatkan hubungan
pelajar dari pelbagai etnik walaupun berlainan aliran persekolahan
Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia telah mengalami pelbagai
perubahan dalam semua aspek keperluan negara, khususnya dalam bidang politik,
sosial dan ekonomi. Namun, keutuhan Malaysia mengekalkan konsep pemajmukan
pelbagai etnik, jika tidak diimbangi dengan betul akan mewujudkan pertentangan
kaum. Konsep Sekolah Wawasan yang kini dipraktikkan adalah satu usaha untuk
melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersifat cintakan negara. Jika kerangka
konsep sekolah dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu
sistem pendidikan yang seragam dan selari dengan hasrat negara.
Pada hari ini masih wujud lagi sekolah yang berasaskan kaum iaitu sekolah Cina
dan Tamil. Sekolah Wawasan boleh dicernakan sebagai pertembungan etnik dalam
satu ruang yang sama. Penggabungan sekolah-sekolah yang berasaskan etnik ini
dalam satu kawasan yang sama, akan menemukan pelajar yang pelbagai etnik
secara kerap dan ini mewujudkan integrasi etnik dengan cepat.
3.6 Perlaksanan Sekolah satu aliran
Sistem Sekolah satu aliran merupakan satu lagi alternatif bagi memupuk integrasi
di antara etnik di sekolah. Sistem sekolah satu aliran ialah sistem yang

menggunakan satu bahasa penghantar saja di sekolah-sekolah. Dalam konteks


Malaysia, bahasa penghantar adalah bahasa Melayu. Pada waktu ini, di negara kita
terdapat tiga aliran sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan iaitu berbahasa
penghantar bahasa Melayu, sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil. Masalah yang timbul di sini ialah kurangnya interaksi diantara
pelbagai etnik yang menggunakan pelbagai sistem ini. Ini menyebabkan proses
integrasi antara etnik di peringkat sekolah berjalan agak perlahan dan lambat.
Menerusi sistem sekolah satu aliran, tidak akan menimbulkan masalah
penghapusan bahasa ibunda lain-lain etnik.Alternatifnya ialah bahasa Cina dan
Tamil perlu dijadikan subjek wajib bagi pelajar berkenaan dan subjek pilihan kepada
pelajar Melayu atau sesiapa saja dari lain-lain etnik yang berminat. Melalui cara ini,
disamping boleh bergaul secara meluas antara mereka, mereka juga boleh
memahami budaya etnik atau kaum lain.
Jika ini dapat dipraktikkan masalah hubungan antara etnik yang lambat dapat
diatasi dengan sendirinya melalui pergaulan antara pelajar dan saling fahammemahami. Kita dapat menyaksikan, keterasingan sekolah rendah ini telah
menanam semangat perkauman atau etnik pelajar sekolah rendah dari awal lagi.
Fenomena ini akan menular pula di peringkat sekolah menengah dan Institut
Pengajian Tinggi.
Menerusi sistem sekolah satu aliran ini, semangat perkauman atau etnik akan
dapat dihapuskan sejak peringkat sekolah rendah lagi. Pergaulan di antara pelbagai
etnik yang berlainan membuatkan mereka lebih mengenali antara satu sama lain
dan dapat bertolak ansur jika timbul sesuatu masalah. Hal ini perlu diberi perhatian
segera demi mewujudkan proses integrasi yang jitu antara pelbagai etnik demi
masa depan negara yang makmur dan harmoni.
4.0 Penutup
Dasar yang dimainkan oleh pendidikan amatlah penting dalam proses integrasi
dan pembangunan sesebuah negara. Dengan perkembangan ekonomi yang cepat
menyebabkan keadaan mobiliti masyarakat terus berubah . Dalam masa yang
sama, kita harus terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan
sebelum ini. Bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat
perpaduan antara etnik. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat malaysia yang
berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah
dewasa. Oleh itu segala dasar dalam pendidikan yang dapat memupuk integrasi
antara kaum haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat malaysia.
Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah diwujud sejak dari kita
merdeka hinggalah sekarang perlulah sering disemak bagi memastikan setiap dasar
yang di rancang dapat melaksanakan proses integrasi antara etnik di sekolah
dengan berkesan.
Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita bagi
mewujudkan integrasi di antara etnik. Kegagalan proses integrasi di sekolah,
khasnya di peringkat rendah akan menyebabkan juga gagalnya proses integrasi
peringkat menengah dan seterusnya universiti. Ini seterusnya akan menghasilkan

masyarakat Malaysia bukan saja berlainan etnik tetapi tidak bersatupadu dan
berlainan kefahaman.
Oleh itu pelbagai cara harus digunakan bagi memupuk integrasi antara etnik di
sekolah. Cadangan-cadangan yang diutarakan seperti konsep Sekolah Wawasan
atau Sekolah Satu aliran harus difikirkan bagi mewujudkan integrasi antara etnik.
Sekolah adalah tempat bermula segalanya dan ia harus dijaga dengan baik dan
sempurna. Sekolah juga harus relevan dengan kehendak semasa yang sentiasa
berubah. Tetapi walaupun perubahan yang berlaku, sekolah sebagai pusat integrasi
etnik terpenting jangan sesekali hilang upayanya. Ini adalah supaya rakyat
Malaysia yang berbilang etnik atau kaum dapat hidup bersatupadu, harmonis dan
berjiwa Malaysia.
Senarai Rujukan
Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books,
Tanjung Malim.
Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
Mohd Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,
Thinkers Library Sdn. Bhd, Selangor
Sanusi Osman, 1989, Ikatan Etnik dan Kelas di Malaysia, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Selangor.
Sufean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah, Dewan
Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996
Dewan Masyarakat, Oktober 2000, m/s 14-25
Dewan Masyarakat , Januari 2001, m/s 50-51
Massa, 14-20 April 2001, m/s 62-63.
Dewan Masyarakat, Jun 2001, m/s 44-45.
Massa, 29 Dis- 4 Jan 2002, m/s 12-13

You might also like