You are on page 1of 7

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks
penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan
keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik
yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya
membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya
membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.
Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran
dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang
berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah
terbukti berjaya.
Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau
Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati
antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan
termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.
Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba menjual peranan diplomasiya kepada
beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti
Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha
sedaya upaya untuk menjadi perunding damai di antara Hamas dan Fatah di Palestin.
Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat
Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang
ditindas oleh rejim Zionis Israel.
Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan
kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi,
bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah negara
kuasa pertengahan (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada
sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.
Negara kuasa pertengahan ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang
bukan besar dan bukan kecil tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting
dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya
menjadi sebuah negara kuasa pertengahan.
Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB
bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian
konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah
memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah negara kuasa pertengahan.
Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris
dengan negara-negara kuasa pertengahan yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil,
India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik
antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara
dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat
kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.
Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan
secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah
semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta
negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?
Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialualukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan
sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.
Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara
kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada
pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti
membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.
Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan
bersama, sebagai contoh:
(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada misi
campur tangan ketenteraan (military intervention).
(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.
(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan
agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).
(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar
dunia.
(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di
Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha
campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan,
Syria dan yang terkini di Mali).
PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbirurus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang taringnya. Hari ini,
banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah
diswastakan kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang
terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan
multilateralismenya. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional
negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.
Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah
negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang
gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.
Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala
kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara
daripada ancaman negara atau pihak yang berkepentingan ini.
https://goaypastpm.wordpress.com/category/stpm-penggal-1-bhg-a-malaysia-kekalberdaulat/kenegaraan-isu-semasa/

Deklarasi Kazan
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir pada 9-9-2012 Ahad, dengan 21
ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang
dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka
meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.
Jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi
Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin. Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju
bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran
makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan
menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama
menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.
Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan,
dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan
menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan. Perlu ada galakan
bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan
mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka.
Kaedah-kaedah dikenal pasti untuk mengedarkan makanan dengan cekap sambil menambah
pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik demi
memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan. Dengan keuntungan yang lebih
baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan. Selain itu, manipulasi harga makanan perlu
ditangani.
Inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad. Ini merupakan
bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi.
Mengenai kerjasama pendidikan, idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit
dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan.

Kebebasan Dan Hak Asasi Manusia mesti ada batasnya


Posted on August 22, 2013 | Leave a comment

Pada masa kini terdapat sesetengah kumpulan di Malaysia bangkit mempersoalkan kebebasan
dan hak asasi manusia tanpa menyedari kesan kepada pembangunan negara dan rakyat
keseluruhannya.
Persepsi mereka mengenai kebebasan dan hak asasi manusia telah berubah. Kalau dahulu
kebebasan dimaksudkan bebas daripada cengkaman penjajah tetapi kini ia lebih kepada
kebebasan mutlak dalam konteks asas hak asasi manusia. Jadi kebebasan dalam bersuara dan
ekspresi, beragama, berkumpul dan seumpamanya kini dianggap sebagai sebahagian daripada
hak asasi manusia. Inilah antara yang menjadi cabaran negara dalam proses pembangunan negara
di samping mengisi dan mengekalkan semangat kemerdekaan yang telah dicapai sejak 56 tahun
yang lepas.

Anarki di banyak negara yang tiada batasan undang-undang dan hak asasi

Kebangkitan Arab Spring yang meghancurkan negara sendiri


PENGARUH BARAT
Dakyah dan ideologi yang dimainkan barat itu, kini menjadi topik di mana-mana negara dan kini
menjadikan isu kebebasan sebagai isu sejagat. Masyarakat dunia termasuk di Malaysia semakin
menerima norma-norma kehidupan di barat yang lebih mengutamakan hak individu dan
kumpulan kecil tertentu berbanding kepentingan umum.
Kerana itu di barat, mereka tidak peduli jika segelintir individu atau kumpulan kecil memilih
gaya hidup yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakatnya kerana mereka bebas
untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi. Contohnya isu hubungan seks luar nikah,
perkahwinan sejenis dan seumpamanya.
Ini jugalah yang pernah diperjuangkan golongan aktivis sosial di Malaysia dalam Program
Seksualiti Merdeka dua tahun lepas yang secara terbuka menuntut hak golongan lesbian, gay,
biseksual dan transeksual (LGBT).
Pemikiran liberalisme dan pluralisme juga semakin menular dalam masyarakat hari ini terutama
dalam isu kebebasan beragama. Bagi mereka agama menjadi satu kongkongan dan untuk menuju
kemajuan caranya ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama dengan
membawa prinsip semua ideologi dan fahaman dianggap setara, sama benar dan sah.
Kebebasan bersuara yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Pengistiharan
Hak Asasi Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dalam
Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPP) turut mengundang konflik
kepada masyarakat.
Penggunaan media sosial sebagai medan kebebasan bersuara hingga melangkaui sempadan
terutama menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama, institusi raja jelas memberi impak yang
buruk kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hal ini kerana, walaupun ada golongan
liberal dan terbuka untuk membicarakan soal tersebut, namun majoriti masyarakat Malaysia
masih lagi teguh dengan adat dan budaya serta berpegang kepada agama.

Kebebasan di alam maya yang sukar dikawal ini jugalah menjadi ancaman pengisian
kemerdekaan dan tamadun yang dibina.
HAK ASASI PERLU SEKATAN
Kemerdekaan memberi ruang sesebuah negara membina tamadun dan peradabannya. Untuk
mengisi kemerdekaan, rakyat dan pemimpin harus memahami nilai kemerdekaan itu sendiri.
Namun apa yang berlaku hari ini, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang terlalu terikutikut dengan globalisasi terutama isu berkaitan hak asasi yang boleh memberi kesan baik dan
buruk.
Konsep hak asasi harus difahami dengan menggunakan neraca yang tepat sekiranya kita mahu
menjaga dan mengekalkan serta mengisi kemerdekaan yang ada. Ia harus menggunakan
piawaian dan standard pembangunan serta perkembangannya mengikut acuan kita sendiri dan
bukan mengikut peradaban lain. Walau apapun perubahan falsafah, ideologi hak asasi itu, namun
tidak boleh meninggalkan perkara-perkara yang boleh menjamin dan menjaga kelangsungan
peradaban dan tamadun yang dibina. Selama mana kita mahu menjaga kemerdekaan ini, selama
itu jugalah adanya sekatan-sekatan tertentu terhadap hak asasi. Had ini harus diletakkan dalam
budaya dan adat sopan kita seperti hormat menghormati antara satu sama lain serta menghormati
agama yang menjadi ciri-ciri terpenting.
KEMATANGAN DAN JATI DIRI
Jati diri harus dibina atas warna dan cat yang kita berikan kepada demokrasi dengan mengambil
keadaan diri kita sendiri. Jika mahu mengambil hak asasi dari negara lain, ia harus dilihat
bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keadaan di negara ini. British sendiri tidak pernah
memaksa Malaysia menggunakan undang-undang mereka. Ketika itu British meletakkan syarat,
undang-undang itu hanya diterima sekiranya ia bersesuaian dengan keadaan masyarakat di
negara ini. Jelas di sini walaupun British itu penjajah, namun mereka menghormati pandangan
dan keadaan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Sekarang ramai yang berhujah perlu ikut
arus permodenan hak asasi dengan mengikut apa yang ada di barat. Kita tanya semula adakah
ia bersesuaian dengan keadaan budaya dan masyarakat di sini?
Di sinilah perlunya kekentalan jiwa masyarakat Malaysia untuk menghadapi dan memerangi apa
yang tidak sesuai kerana sedia maklum, perkembangan di luar tidak dapat dihindari kerana ia
adalah lumrah alam. Kematangan dan jati diri penting kerana dapat menjaga maruah, harga diri
negara dan bangsa supaya tidak mudah dipengaruhi elemen-elemen luar. Dalam peperangan
memerlukan senjata sebagai benteng dan perisai. Ia boleh diumpamakan jati diri kita. Jika kita
tidak mampu menyediakan perisai itu, hanya undang-undang sahaja yang boleh membantu
memastikan keselamatan terus terjamin.
PENTINGNYA AGAMA
Hakikat yang terpaksa diterima, setelah 56 tahun merdeka, kita masih lagi dalam persimpangan
dan tercari-cari untuk membentuk jati diri. Kekuatan agama dan bangsa sebenarnya telah
menjadi asas jati diri yang dipegang sejak dulu. Bangsa Malaysia akan lemah dan lumpuh jika

tidak berpegang kepada kedua-dua ini. Jika paksi ini tidak dituruti dan mahu mengambil nilai
orang lain kerana tuntutan globalisasi, pasti kita tidak akan berjaya mengisi kemerdekaan itu.
Pentingnya agama kerana tidak ada agama di dunia ini mengajar ke arah keburukan dan
perpecahan. Malah kejayaan Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil menjadi maju dan
makmur seperti hari ini adalah kerana pegangan agama yang masih kukuh yang menjadi benteng
keutuhan bangsa. Tempoh lebih 50 tahun merdeka, bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Jika
kita bandingkan dengan Amerika yang mencapai kemerdekaan lebih 200 tahun. Kita kini baru
sampai suku atau 1/4 dan jika dibandingkan kemajuan yang kita capai kini, mungkin kita lebih
cepat lagi daripada Amerika. Semuanya kerana kita mempunyai asas agama yang mengajak kita
untuk hormat menghormati. Malah jika semua rakyat tidak kira agama menghayati agama
masing-masing, walau 10 bangsa sekalipun hidup di dalam negara ini, kita tidak akan
bersengketa. Hal ini kerana emosi dan perasaan dikawal oleh agama yang boleh meredakan
persengketaan serta menifestasikan cinta dan kasih kepada negara dengan menjaga kemerdekaan
yang ada.
UNDANG-UNDANG SEBAGAI PERISAI
Rakyat sesebuah negara yang masih belum matang dari segi jati diri, emosi dan pemikirannya
hanya akan menggunakan sentimen apabila membangkitkan soal demokrasi, kebebasan bersuara
atau hak asasi. Ini menyebabkan kadangkala kebebasan dan hak asasi disalahgunakan secara
emosi hingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan rakyat yang boleh membawa
kehancuran kepada sesebuah negara. Apabila perisai dalam kalangan rakyat masih belum kukuh,
hanya sistem perundangan yang mantap sahaja dapat menjaga rakyat dan menjadi mekanisme
untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan.
Mengambil contoh Akta Hasutan yang diperkenalkan bagi mengekang kegiatan komunis yang
mengancam keselamatan negara pada tahun 1948. Sumbangan Akta Hasutan sangat jelas bagi
menjaga keharmonian kaum, agama, insitusi raja-raja yang membolehkan kita hidup dalam
keadaan aman damai seperti hari ini, katanya yang berharap penelitian rapi dilakukan kerajaan
sebelum menggantikannya. Setiap individu itu harus menjaga diri mereka melalui agama, nilainilai budaya yang ada. Namun jika rakyat tidak mampu menjaganya, maka undang-undang dan
penguatkuasaan sahaja yang boleh mengekang kebebasan melampau. Janganlah bangsa Malaysia
menunggu sehingga berlaku detik sukar untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat
kerana cabaran berterusan terus berlaku terutama penghinaan rakyat, liberalisasi, tuntutan
kesamarataan yang boleh mencabar hubungan kaum dan agama di negara ini.
Tegasnya, Malaysia masih belum mampu untuk membuang semua undang-undang yang boleh
menjaga keharmonian kaum yang dikatakan menyekat hak asasi manusia. Sentimen bangsa yang
ada di Malaysia berbeza dengan apa yang ada di barat. Bangsa barat sudah berkurangan nilai dari
segi moral, namun kita di sini lagi kekal dan kukuh. Lantaran itu, undang-undang yang ketat
perlu bagi menjadi semangat dan roh yang boleh menjaga keamanan kita di dunia dan akhirat.
Dipetik dan disesuaikan daripada BERNAMA

You might also like