You are on page 1of 14

PENGENALAN

Suku Bugis bukanlah satu suku yang asing dalam kalangan masyarakat di alam Melayu.
Mereka merupakan satu suku yang terkenal dengan sikap yang sangat mementingkan kehormatan
diri, peramah, sentiasa memberi layanan baik dan setia dalam persahabatan. 1 Suku Bugis berasal dari
Pulau Sulawesi dan berjumlah sekitar tiga juta orang. Mereka telah berhijrah dari tempat asal mereka
berikutan dasar monopoli Belanda terhadap perdagangan rempah di Pulau Maluku. Kemahiran
sebagai pelayar yang hebat memudahkan lagi urusan orang-orang Bugis untuk berpindah dari
Sulawesi ke tempat lain seperti di Kepulauan-kepulauan Indonesia dan juga Tanah Melayu. Selepas
keluar dari tempat asal mereka, suku Bugis ini mula berpindah ke merata tempat termasuklah ke
negeri-negeri Melayu. Kemudian, pada abad ke-18, suku Bugis ini dikatakan telah memberi
pengaruh di negeri-negeri Melayu. Pada asalnya, suku Bugis ini sering kali menjadi askar upahan
kepada sultan-sultan di negeri-negeri Melayu apabila berlakunya peperangan di laut dan di darat
sahaja. Hal ini demikian kerana sifat orang Bugis itu sendiri yang sentiasa bersemangat, cerdik,
agresif dalam tindakan, merupakan pelaut yang mahir serta berbakat dalam hal-hal pertempuran.
Terlebih dahulu perlulah diterangkan bahawa orang Bugis sebenarnya berasal daripada beberapa
kelompok suku bangsa utama iaitu suku bangsa toRaja, toMenre / Mandar, toUgi / Bugis dan
toMengkasara / Makasar.2 Walaubagaimanapun, suku toRaja dan toMenre hampir tidak dikenali
dalam isu pengaruh Bugis di negeri-negeri Melayu pada abad ke-18. Dengan itu, dapatlah
dikenalpasti bahawa, suku Bugis yang memberikan pengaruh di negeri-negeri Melayu pada abad ke18 adalah terdiri daripada gabungan suku toUgi / Bugis dan toMengkasara / Makasar. Gabungan
kedua suku ini kemudiannya dipanggil Bugis sahaja oleh penduduk di negeri-negeri Melayu pada
ketika itu. Kedua-dua suku ini iaitu toUgi dan toMengkasara tidak mempunyai banyak perbezaan
yang ketara dari segi sosiobudayanya akan tetapi kedua-dua suku ini sering kali mempunyai konflik
antara satu sama lain semasa di tanah air mereka.
Apa yang menarik tentang suku Bugis jika dibandingkan dengan suku-suku lain ialah mereka
mempunyai nilai budaya yang sangat tinggi yang dikenali sebagai budaya siri. Budaya siri ini boleh
dibahagikan kepada tiga iaitu Siri emmi ri onroang ri lino yang membawa maksud, seseorang itu
akan bererti hidupnya jika dia mempunyai harga diri. Seterusnya ialah Mate ri sirina, yang
bermaksud jika seseorang itu mati dalam menegakkan martabat diri maka ianya dianggap sebagai
1 Christian Pelras, The Bugis, Oxford: Blackwell, 1996, hlm. 4.
2 Norhalim Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1998, hlm. 28.
1

satu hal yang terpuji. Akhir sekali ialah Mate siri iaitu orang yang sudah hilang martabat atau harga
diri akan dianggap sebagai mayat hidup.3 Budaya siri inilah yang menjadi faktor pendorong kepada
orang-orang Bugis berpindah dari tempat asal mereka lalu membina kehidupan di negeri-negeri
Melayu seterusnya meluaskan pengaruh mereka di sana pada abad yang ke-18. Dalam penulisan
ilmiah ini, penulis akan mengkaji tentang pengaruh orang Bugis di negeri-negeri Melayu seperti di
Johor, Linggi, Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu pada abad ke-18 yang sememangnya
merangkumi banyak aspek jika dilihat dengan teliti.
PENGARUH BUGIS DI JOHOR
Selepas Sultan Mahmud mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama, Bendahara Tun Abdul Jalil
telah diangkat menjadi sultan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah. Hal ini berikutan
kerana Sultan Mahmud tidak mempunyai waris. Pada waktu tersebut, orang-orang Bugis telah mula
bertumpu di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di Selangor dan Linggi. Pertambahan
kemasukan orang Bugis ini akhirnya telah mendatangkan masalah kepada kerajaan Johor. Antara
masalah tersebut ialah berlakunya pertelagahan antara pihak Bugis dengan kerajaan Johor berikutan
perang saudara yang meletus di Kedah pada tahun 1715. Pertelagahan berlaku apabila pihak Bugis
tidak mahu menyerahkan separuh daripada harta rampasan yang mereka peroleh semasa di Kedah
seperti mana diminta oleh kerajaan Johor. Hal ini telah menyebabkan adinda kepada Sultan Abdul
Jalil Riayat Syah iaitu Raja Muda Tun Mahmud menghantar angkatan tentera Johor untuk menghalau
Bugis di Selangor dan Linggi kerana tidak mahu tunduk dengan perintah Johor. Perang antara Johor
dan pihak Bugis berikutan pertelagahan tersebut berlarutan selama dua tahun dan kemenangan
berpihak kepada Bugis. Seterusnya, pengaruh Bugis di Johor dapat dikatakan bertitik tolak daripada
kedatangan Raja Kecil iaitu seorang putera Siak yang mengaku bahawa dirinya merupakan waris
Sultan Mahmud. Beliau telah datang ke Johor untuk menuntut haknya sebagai Sultan Johor pada
ketika itu. Beliau telah mendapat sokongan daripada sebahagian besar Orang Laut. 4 Dengan
sokongan tersebut, Raja Kecil telah melakukan serangan ke atas Johor pada 22 Mac 1718 dan
mengangkat dirinya sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Sultan
Abdul Jalil Riayat Syah pula telah berundur ke Kuala Pahang dan diturunkan kedudukannya menjadi
bendahara semula. Kemudiannya berlaku perbalahan antara Raja Kecil yang telah pun menjadi
3 Ibid, hlm. 47.
4 Matlob, Zam Ismail, Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor, Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor, 2002, hlm.
38.
2

sultan pada ketika itu dengan Bendahara Tun Abdul Jalil. Perbalahan ini terjadi berikutan isu
pertunangan antara anak Bendahara Tun Abdul Jalil iaitu Tengku Tengah dengan Raja Kecil.
Perbalahan ini menyebabkan Bendahara Tun Abdul Jalil telah dibunuh oleh orang suruhan Raja
Kecil iaitu Laksamana Nakhoda Sekam di Pahang. Lanjutan daripada peristiwa pembunuhan
tersebut, Raja Sulaiman iaitu anak kepada Bendahara Tun Abdul Jalil telah meminta bantuan
daripada Opu Daeng Lima Bersaudara yang terdiri daripada Daeng Marewah, Daeng Parani, Daeng
Chelak, Daeng Kemasi dan Daeng Menambun untuk mengalahkan Raja Kecil dan seterusnya
mendapatkan semula takhta kerajaan Johor.5 Dengan bantuan tersebut akhirnya Raja Sulaiman dapat
mengalahkan Raja Kecil dan beliau kemudiannya ditabalkan menjadi Sultan Johor dengan gelaran
Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. 6 Selepas diangkat menjadi sultan, Sultan Sulaiman telah
mewujudkan jawatan Yam Tuan Muda yang mana hanya boleh disandang oleh keturunan Bugis
sahaja sebagai memenuhi janji dengan pihak Bugis yang telah membantunya mengalahkan Raja
Kecil dan mendapatkan takhta kerajaan Johor semula. Jawatan Yam Tuan Muda yang pertama telah
disandang oleh Daeng Marewah. Daeng Marewah kemudiannya meninggal dunia pada 7 Ogos 1728
dan beliau telah digantikan oleh Yam Tuan Muda kedua iaitu Daeng Chelak. Daeng Chelak
kemudian digantikan dengan Daeng Kemboja sebagai Yam Tuan Muda Johor ketiga. Pada tahun
1761, Sultan Sulaiman mangkat dan takhta kerajaan Johor diganti oleh puteranya iairu Sultan Abdul
Jalil Muadzam Syah. Sultan Abdul Jalil Muadzam pula digantikan oleh Sultan Ahmad Syah yang
seterusnya digantikan oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud masih kecil semasa menaiki takhta pada
waktu tersebut dan hal ini menyebabkan Daeng Kemboja yang merupakan Yam Tuan Muda ketika
itu memangku segala urusan kerajaan dan hal ehwal negeri Johor. Secara tidak langsung dapatlah
dilihat bahawa pada waktu tersebut pihak Bugis melalui Daeng Kemboja benar-benar telah
meluaskan kuasa serta pengaruh mereka di dalam negeri Johor. Pengaruh Bugis di Johor berlarutan
sehinggalah Raja Haji iaitu Yam Tuan Muda keempat yang menggantikan Daeng Kemboja telah
berselisih faham dengan pihak Belanda.7 Perselisihan yang terjadi menyebabkan Raja Haji
menghantar angkatan perang untuk memerangi Belanda dan kejadian ini telah menyebabkan beliau
meninggal dunia di Teluk Ketapang. Setelah kematian Raja Haji, pengaruh Bugis di Johor semakin
5 Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Zainal Abidin Borhan, Johor Dahulu dan Sekarang, Kuala Lumpur:
Persatuan Muzium Malaysia, 1994, hlm. 24.
6 A. F. Yasin dan Zam Ismail, Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor ( 1529-1855), Johor Bahru: Yayasan
Warisan Johor, 2002, hlm. 35.
7 Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, Johor: Yayasan Warisan Johor, 2008, hlm. 27.
3

merosot. Raja Ali kemudiannya dilantik bagi menggantikan Raja Haji oleh orang-orang Bugis
dengan harapan dapat mengembalikan semula pengaruh Bugis di Johor. Namun begitu, Raja Ali
telah diserang oleh angkatan Belanda yang diketuai oleh Peter Jacob Van Braam lalu beliau terpaksa
berundur ke Sukadana, Kalimantan.8 Sejurus daripada serangan Belanda tersebut, Sultan Mahmud
pula terpaksa mengakui pertuanan Belanda dan mengakui bahawa Riau dan pelabuhannya telah
diambil alih oleh pihak Belanda. Dengan itu, tamatlah pengaruh Bugis di negeri Johor.
PENGARUH BUGIS DI LINGGI
Nama Linggi menurut sejarah dikatakan diambil daripada nama perkakas di bahagian belakang kapal
yang dikenali sebagai linggi-linggi. Terdapat dua pendapat yanng diutarakan oleh pakar sejarah
tentang pembukaan Linggi. Pendapat pertama yang berasaskan Laporan Belanda menyatakan
bahawa Linggi dibuka oleh Daeng Menompok dan ayahnya iaitu Daeng Matimo. Pendapat kedua
yang diutarakan oleh Andaya pula menyatakan bahawa Linggi dibuka oleh Opu Bugis Lima
Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng
Kemasi.9 Rentetan pengaruh Bugis di Linggi bermula apabila tercetusnya konflik antara Johor dan
Linggi berikutan perang di Kedah. Pihak Bugis di Linggi telah mendapat banyak harta rampasan
semasa menyerang Kedah dan berita ini telah sampai ke pengetahuan kerajaan Johor yang menaungi
Linggi ketika itu. Kerajaan Johor meminta separuh daripada harta rampasan tersebut akan tetapi
pemimpin-pemimpin Bugis di Linggi hanya mahu menyerahkan sepuluh peratus sahaja daripada
harta itu. Perselisihan tentang pembahagian harta rampasan ini berlaku kerana mengikut adat Melayu
yang dipegang oleh kerajaan Johor, tuntutan separuh daripada harta rampasan daripada orang Bugis
di Linggi itu adalah wajar kerana Linggi adalah dibawah naungan kerajaan Johor. Sebaliknya, telah
menjadi kebiasaan bagi orang Bugis di tempat asal mereka iaitu di Sulawesi menyerahkan sepuluh
peratus sahaja daripada apa-apa hasil yang mereka peroleh kepada pemerintah yang mereka akui. 10
Kerajaan Johor telah memandang berat masalah ini dan menganggap pihak Bugis di Linggi telah
menderhaka. Pihak Bugis di Linggi menyedari bahawa perbuatan mereka ini akan mendatangkan
8 Ahmad Fauzi Mohd. Basri, Johor 1855-1917: Perkembangan dalam Pentadbiranya, Petaling Jaya: Fajar
Bakti, 1988, hlm. 5.
9 Norhalim Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1998, hlm. 35.

10 Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Pub., 2008, hlm.
335.
4

kemarahan Johor, lalu mereka mengadukan perkara ini kepada Daeng Parani dan saudara mara
mereka yang berada di Selangor. Daeng Parani telah mengambil keputusan untuk membuat
perkubuan di Selangor sebagai langkah keselamatan jika Johor menyerang Linggi. Pada masa yang
sama, sebahagian orang Bugis yang tinggal di Selangor telah pun berpindah ke Linggi untuk
memberi sokongan kepada Daeng Marewah iaitu pemimpin utama orang Bugis di Linggi pada ketika
itu. Apabila mendapat tahu kerajaan Johor telah menghantar angkatan perang, orang-orang Bugis di
Linggi dan Selangor tiada pilihan lain kecuali terpaksa berperang dengan angkatan Johor.
Peperangan pertama menyaksikan kemenangan berpihak kepada pihak Bugis dan begitu juga pada
peperangan yang kedua. Pihak Bugis semakin yakin selepas dapat mengalahkan angkatan tentera
Johor dua kali berturut-turut. Kerajaan Johor pula masih tidak berpuas hati dengan kekalahan yang
dialami lalu melanjutkan serangan dan kali ini Johor ingin menyerang pihak Bugis di Melaka kerana
telah membantu pihak Bugis di Linggi semasa peperangan yang sebelumnya berlangsung. Perkara
ini menyebabkan ketua Bugis di Tanjung Keling bernama Abdul Salam meminta kebenaran daripada
Belanda untuk membantu Bugis di Melaka. Johor menerima nasib yang sama apabila kalah kali
ketiga di tangan Bugis pada waktu itu. Pada masa yang sama, Belanda mengambil sikap berkecuali
walaupun pihak mereka tahu bahawasanya kemenangan Bugis ini akan membawa kepada
tertubuhnya satu kerajaan Bugis yang kuat. Belanda juga sedar bahawa mereka perlu bertindak dan
peluang untuk mereka bertindak akhirnya muncul apabila satu peperangan antara Johor dan Bugis
berlaku di kawasan wilayah kekuasaannya iaitu di Sungai Baru. Belanda kemudiannya mengarahkan
Johor dan Bugis meninggalkan Sungai Baru namun perkara ini bukanlah penamat persengketaan
antara Bugis dan Johor. Johor masih lagi tidak berpuas hati dengan Bugis dan mengenakan sekatan
ekonomi terhadap Bugis. Malangnya, sekatan ekonomi ini tidak menjejaskan kedudukan Bugis
kerana mereka mendapat bantuan dari saudara mara mereka di Melaka. Johor seterusnya cuba
mendapatkan bantuan daripada Belanda untuk menentang Bugis akan tetapi Belanda melengahlengahkan bantuan tersebut. Kemudiannya, Johor mendapat bantuan daripada Pangeran Dipati Anum
iaitu seorang putera pelarian dari Palembang. 11 Pada masa yang sama, Johor menaruh kebimbangan
sekiranya Belanda membantu Bugis. Berdasarkan kebimbangan tersebut, Johor melakukan serangan
ke atas Linggi pada 1716. Bugis pada ketika itu menjadi terdesak kerana Johor telah mengepung
Sungai Linggi lalu mereka terpaksa melakukan serangan nekad dan akhirnya berjaya mengundurkan
tentera Johor ke Selangor. Pada tahun yang sama juga, Bugis di bawah pimpinan Daeng Menompok
telah menyerang rakyat Johor di Bengkalis dan menyebabkan Johor menjadi semakin terdesak dan
tidak dapat berbuat apa-apa. Hal ini bertambah buruk lagi apabila retaknya pakatan antara Johor
11 Norhalim Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., hlm. 50.

dengan Pangeran Dipati Anum. Dengan ini Bugis dikatakan telah berjaya menegakkan kekuasaan
serta meluaskan pengaruh mereka di Linggi.
PENGARUH BUGIS DI SELANGOR
Titik mula penguasaan Bugis di Selangor ialah apabila Johor melalui wakilnya di Klang iaitu
Tok Engku Klang memberi mohor kepada Yam Tuan Muda Bugis untuk bergerak bebas di Selangor
terutamanya di kawasan Kuala Selangor. Semenjak dari itu, Selangor kemudiannya dijadikan tempat
untuk mengumpul dan mengembeling tenaga hulubalang Bugis serta menjadi kubu kuat orang Bugis.
Sebenarnya, pengaruh Bugis di negeri Selangor dapat dilihat dari segi pengasasan kesultanan. Hal ini
bermula apabila Raja Lumu iaitu putera kepada Daeng Chelak telah mengasaskan Kesultanan
Selangor dengan beliau sendiri menjadi sultan pertama dan menggunakan gelaran Sultan Salehuddin.
Sebelum menjadi sultan, beliau hanyalah merupakan Yang Dipertuan Selangor.12 Sehingga tahun
1758, beliau dikatakan aktif menyertai angkatan perang Daeng Kemboja iaitu sepupunya yang juga
merupakan Yam Tuan Muda ketiga pada waktu tersebut dalam memerangi pihak Belanda dan pihak
raja-raja Melayu yang anti-Bugis seperti Sultan Mansur dari Terengganu. Idea pengasasan
Kesultanan Selangor kemudiannya tercetus apabila Raja Lumu menyedari akan kekayaan bijih timah
yang terdapat di Selangor. Dengan kekayaan bijih timah yang ada pada Selangor, adalah lebih baik
jika beliau mewujudkan pentadbiran sendiri dan kemudiannya beliau sedikit demi sedikit cuba keluar
daripada pengaruh Johor-Riau dan juga pengaruh sepupunya iaitu Daeng Kemboja. Namun
demikian, Raja Lumu menyedari bahawa beliau tidak boleh diterima sebagai seorang sultan yang
berdaulat kerana beliau berketurunan Bugis. Untuk itu, beliau perlu melalui proses pertabalan
daripada sebuah kerajaan yang berdaulat untuk mengakui bahawa beliau adalah Sultan Selangor
yang sah. Rentetan daripada itu, Raja Lumu telah memilih negeri Perak yang diperintah oleh Sultan
Mahmud Syah untuk menabalkan beliau sebagai

sultan Selangor yang sah. 13 Sebaik sahaja

ditabalkan menjadi sultan, Sultan Salehuddin telah membentuk jawatankuasa pembesar Selangor
yang terdiri daripada orang-orang Bugis untuk membantunya dalam hal-hal pentadbiran. Perlantikan
beliau sebagai sultan telah menyatukan daerah-daerah di Selangor seperti Jeram, Klang, dan Langat
di bawah satu pentadbiran. Sultan Salehuddin mangkat dan digantikan oleh puteranya iaitu Sultan
Ibrahim. Sultan Ibrahim merupakan seorang yang lebih agresif jika dibandingkan dengan
12 Khoo Kay Kim, The Western Malay States, 1850-1873 : The Effects of Commercial Development on
Malay Politics, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1972, hlm. 13.
13 M. A. Fawzi Basri, Cempaka Sari Sejarah Kesultanan Negeri Perak, Ipoh: Yayasan Perak, 1986, hlm. 35.
6

ayahandanya. Sikapnya yang agak agresif ini merisaukan Belanda. Belanda percaya bahawa Sultan
Ibrahim telah menyelewengkan penjualan bijih timah dan menggalakkan pembesar Perak melanggar
Perjanjian Belanda-Perak. Sultan Ibrahim pada masa yang sama telah melanggar Perjanjian
Selangor-Belanda dengan menjalinkan hubungan dengan Francis Light iaitu seorang pedagang
British. Dalam Perjanjian Selangor-Belanda ada dinyatakan bahawa Selangor tidak boleh
menjalinkan hubungan dengan kuasa asing lain kecuali Belanda dan Sultan Ibrahim sudah pun secara
terang-terangan melanggar perjanjian ini. Sultan Ibrahim kemudiannya mengambil langkah berani
dengan menyerang Belanda di Melaka bersama dengan Raja Haji iaitu Yam Tuan Muda keempat
pada tahun 1784. Serangan ini memperlihatkan Sultan Ibrahim mengalami kekalahan lalu berpindah
ke Pahang dan Raja Haji pula telah terkorban. Belanda berjaya menawan Kuala Selangor pada tahun
yang sama namun pada 1785, Sultan Ibrahim berjaya menawan semula Kuala Selangor dengan
bantuan Bendahara Abdul Majid dari Pahang. Belanda tidak berdiam malah berundur dan membuat
serangan sekali lagi dengan mengepung Kuala Selangor selama beberapa bulan. Akhirnya, Sultan
Ibrahim terpaksa menyerah dan menandatangani perjanjian perdamaian dengan pihak Belanda.
PENGARUH BUGIS DI PERAK
Pengaruh Bugis di Perak bermula pada tahun 1728 apabila Daeng Marewah menyerang Perak yang
pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Syah. 14 Pihak Bugis yang
menyerang Perak dipercayai telah dijemput oleh Raja Inu. Raja Inu ialah adinda kepada Sultan
Alauddin Mughayat Syah yang bersemayam di Bernam. Raja Inu merupakan seorang individu yang
bercita-cita tinggi dan hendak merebut takhta kerajaan Perak daripada Sultan Alauddin. Rentetan
daripada peristiwa inilah membuatkan pihak Bugis berminat untuk meluaskan pengaruhnya di Perak
yang sememangnya terkenal dengan kekayaan hasil bijih timah. Tidak lama setelah Daeng Marewah
menyerang Perak, Sultan Alauddin dikhabarkan mangkat dan Raja Inu yang dahulunya dikatakan
ingin merebut takhta kerajaan Perak telah diangkat menjadi Sultan Perak oleh Orang Besar-Besar
Perak bergelar Sultan Muzaffar Syah III. Sultan Muzaffar Syah III ini diangkat menjadi sultan pada
tahun 1728. Kemudian pada tahun 1742, Perak sekali lagi telah diserang oleh Bugis yang diketuai
oleh Daeng Chelak.15 Pada kali ini pula, pihak Bugis dikatakan menyerang Perak kerana mereka
menyebelahi Yang Dipertuan Muda Muhammad Syah. Yang Dipertuan Muda Muhammad Syah
14 Abdul Halim Nasir, Sejarah Perak Siri Pertama, Kuala Lumpur: Muzium Negara, 1977, hlm. 180.
15 R.O. Winstedt, R.J. Wilkinson, A History of Perak, Kuala Lumpur: Perchetakan MAS Sdn. Bhd., 1974,
hlm. 62.
7

merupakan adinda kepada Sultan Muzaffar Syah III. Beliau dikatakan ingin merebut takhta kerajaan
Perak daripada Sultan Muzaffar Syah III. Dengan bantuan Bugis ini jugalah menyebabkan Yang
Dipertuan Muda Muhammad Syah mengisyhtiharkan dirinya menjadi Sultan Perak dengan gelaran
Sultan Muhammad Syah. Sultan Muhammad Syah dengan pengikut-pengikutnya yang terdiri
daripada orang Bugis kemudiannya bersemayam di Pulau Tiga dan Sultan Muzaffar Syah III yang
bersemayam di Brahman Indera pada ketika itu terpaksa berundur ke Kuala Kangsar. Pada masa
inilah negeri Perak dikatakan mempunyai dua orang sultan iaitu Sultan Muhammad Syah yang
memerintah di sebelah selatan dan Sultan Muzaffar Syah III yang memerintah di sebelah utara. Pihak
Bugis dikatakan tidak berani menyerang Sultan Muzaffar yang bersemayam di Kuala Kangsar ketika
itu kerana mereka mendapat tahu bahawa seorang anak Raja Bugis yang sangat dihormati dengan
kealimannya ada bersama-sama dengan Sultan Muzaffar. Anak Raja Bugis yang dimaksudkan ini
ialah Haji Besar Daeng Salili yang merupakan putera kepada Raja Bugis yang terkenal dan disegani
iaitu Raja Opu Tenderi Burong. Daeng Salili juga merupakan individu penting yang akhirnya dapat
mendamaikan persengketaan antara Sultan Muhammad Syah dengan Sultan Muzaffar. Daeng Salili
dikatakan dapat mendamaikan kedua-dua pihak ini pada tahun 1743. Sebelum Daeng Salili dapat
mendamaikan kedua belah pihak, Sultan Muzaffar telah menjalankan beberapa usaha untuk
melemahkan kedudukan Sultan Muhammad dan orang-orang Bugis yang menjadi pengikutnya.
Antara usaha tersebut adalah dengan menyekat eksport bijih timah menerusi Hilir Perak dan tindakan
ini sememangnya melemahkan kedudukan Sultan Muhammad serta orang-orang Bugis. Sultan
Muzaffar juga menjalinkan hubungan dengan pihak Belanda dan hal ini menyebabkan pihak Bugis
berundur dari negeri Perak pada ketika itu.

16

Setelah perdamaian dicapai, Sultan Muhammad Syah

kemudiannya telah menarik diri dari menjadi Sultan Perak dan mengambil semula gelaran Yang
Dipertuan Muda. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk bersemayam di Pulau Tiga.
Sultan Muzaffar pula diakui semula sebagai Sultan Perak dan baginda kemudiannya berpindah lalu
bersemayam semula di Brahman Indera.
PENGARUH BUGIS DI KEDAH
Pengaruh Bugis di Kedah adalah disebabkan oleh perebutan kuasa yang berlaku di negeri Kedah itu
sendiri. Isu perebutan kuasa di Kedah yang pertama berlaku pada tahun 1681 apabila Dato Padang
Seri Jana cuba menggulingkan abangnya iaitu Sultan Dhiauddin. Beliau telah meminta bantuan

16 M. A. Fawzi Basri, Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak, Ipoh: Yayasan Perak, 1986, hlm. 30.
8

daripada pihak Bugis di Selangor, namun tidak berjaya untuk mengalahkan abangnya. 17 Kemudian,
isu perebutan kuasa berlanjutan sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II iaitu
sekitar tahun 1710-1778. Sultan Muhammad Jiwa II dalam isu perebutan takhta ini telah diancam
oleh adik tirinya iaitu Raja Nambang untuk mendapatkan takhta kerajaan Kedah. Pada waktu
tersebut, Sultan Muhammad Jiwa II telah mendapat bantuan daripada Daeng Parani manakala Raja
Nambang pula mendapat bantuan daripada Raja Kecil. Namun begitu, Raja Nambang dikatakan
gagal untuk mengalahkan Sultan Muhammad Jiwa II.18 Dua tahun selepas itu, Raja Nambang sekali
lagi cuba merampas takhta kerajaan Kedah daripada Sutan Muhammad Jiwa II dengan bantuan Raja
Kecil dan kali ini beliau berjaya mengalahkan Sultan Muhammad Jiwa II. Sultan Muhammad Jiwa
mengambil langkah dengan menjemput Daeng Parani sekali lagi bagi membantu mengalahkan Raja
Nambang dan hasilnya, Raja Nambang dapat dikalahkan. Setelah 34 tahun berlalu, iaitu pada tahun
1760, Raja Nambang bersama dengan angkatan orang Minangkabau telah melakukan serangan ke
atas Kedah. Tetapi, serangan tersebut masih lagi tidak memihak kepada Raja Nambang kerana beliau
berjaya dikalahkan. Isu permasalahan takhta negeri Kedah kembali diperkatakan semula apabila
Sultan Muhammad Jiwa II yang dikatakan tidak mempunyai waris, melantik anak gundiknya
bernama Tengku Abdullah menjadi Raja Muda dengan mengenepikan anak-anak gundiknya yang
lain seperti Tunku Long Putera dan Tunku Anjang. Keputusan perlantikan tidak mendapat
persetujuan ramai pihak berikutan perwatakan Tengku Abdullah yang dikatakan tidak begitu
berkaliber untuk menjadi pemimpin dan nama beliau juga kurang popular dalam kalangan pembesarpembesar negeri Kedah. Sedang negeri Kedah bergolak dengan masalah perlantikan Tengku
Abdullah ini, Kedah kemudiannya diserang oleh Bugis di Selangor dan Raja Haji. Serangan ini
dilakukan kerana Kedah dikatakan gagal membayar hutang upahan semasa Daeng Parani membantu
Kedah dalam peperangan sebelumnya. Raja Haji yang menyerang Kedah pada waktu itu mendapat
sokongan dan bantuan daripada Tunku Long Putera dan Tunku Anjang yang sememangnya tidak
berpuas hati dengan Sultan Muhammad Jiwa II berikutan isu perlantikan Tengku Abdullah sebagai
Raja Muda. Kerajaan Kedah pada waktu itu cuba untuk mendapatkan bantuan daripada pihak British
namun usaha itu tidak berjaya.19 Rentetan daripada itu, Sultan Muhammad Jiwa II terpaksa melarikan
17 Mohammad Isa Othman, Politik Tradisonal Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1990, hlm. 17.
18 Leonard Y. Andaya, The Kingdom of Johor, 1641-1728, New York: Oxford University Press, 1975, hlm.
229.
19 Alfred P. Rubin, International Personality of the Malay Peninsular, Kuala Lumpur: University Malaya
Press, 1974, hlm. 125.
9

diri ke Perlis dan menyusun strategi di sana. Rakyat Kedah merasakan bahawa ancaman daripada
Bugis pada masa itu perlu dihapuskan kerana telah menggugat kedaulatan Kedah dan hal ini telah
menyebabkan mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh sehinggalah pihak Bugis dapat
dikalahkan. Selepas Bugis berjaya dikalahkan, ancaman Bugis di Kedah kemudiannya mulai
berkurang. Serangan Belanda ke atas Bugis juga telah menjadi salah satu faktor yang menyebabkan
Bugis semakin kurang mengancam Kedah.
PENGARUH BUGIS DI TERENGGANU
Apabila membicarakan tentang pengaruh Bugis di Terengganu, Sultan Mansur Syah 1 merupakan
individu yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Sultan Mansur Syah merupakan putera
kepada Sultan Zainal Abidin 1 iaitu Sultan Terengganu yang pertama. Sultan Mansur Syah 1 juga
dikenali dengan nama Tun Dalam dan Ku Tana Mansur.20 Sultan Mansur Syah 1 menaiki takhta
kerajaan Terengganu pada usia tujuh tahun dan beliau telah berkahwin dengan anak Daeng Chelak
iaitu Raja Bulang. Sultan Mansur Syah 1 turut berkahwin dengan anak sultan Johor iaitu Sultan
Sulaiman Badrul Alam Syah yang bernama Raja Bakul. Sultan Mansur terlibat secara langsung
dalam persaingan di antara Bugis dengan orang Melayu semasa beliau tinggal di Riau kira-kira
selama 14 tahun. Pengaruh Bugis pada ketika itu dikatakan semakin meningkat apabila Sultan
Sulaiman mewujudkan jawatan Yam Tuan Muda yang hanya boleh disandang oleh orang Bugis
sahaja. Dengan wujudnya jawatan tersebut, sultan seolah-olah telah kehilangan kuasa kerana segala
hal ehwal pemerintahan dan pentadbiran diletakkan di bawah Yam Tuan Muda. Orang Melayu
bimbang akan hal ini dan bersepakat melantik Sultan Mansur Syah 1 sebagai ketua mereka dalam
gerakan mengatasi kuasa Bugis di Johor. Sultan Mansur Syah 1 kemudiannya mengambil langkah
berbaik-baik dengan pihak Belanda sebagai langkah pertama untuk mengusir Bugis. 21 Beliau telah
mengambil peluang semasa berlakunya perebutan takhta di Siak yang melibatkan dua orang putera
Raja Kecil iaitu Raja Buang dan Raja Alam. Raja Buang merupakan anak saudara kepada Sultan
Sulaiman dan beliau telah meminta bantuan daripada Sultan Sulaiman dalam menghadapinya
saudaranya iaitu Raja Alam. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman bersama dengan Sultan Mansur
Syah 1 telah pergi untuk mendapatkan bantuan daripada Belanda di Melaka bagi membantu Raja
20 Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008, Kuala
Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan, 2009, hlm. 101.
21 Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Terengganu Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan
Muzium Malaysia, 1996, hlm. 12.
10

Buang. Belanda bersetuju membantu Raja Buang dengan syarat Belanda mesti dibenarkan untuk
menjalankan perniagaan di Siak. Melalui bantuan yang diberikan oleh Belanda tersebut, Raja Buang
dapat mengalahkan Raja Alam namun beliau tidak menepati janji malah mengusir Belanda dari Siak.
Rentetan daripada itu, usaha Sultan Mansur Syah 1 untuk mendapatkan bantuan Belanda mengusir
Bugis boleh dikatakan telah menemui kegagalan.22 Usaha seterusnya yang dilakukan oleh Sultan
Mansur Syah 1 untuk menghapuskan pengaruh Bugis ialah dengan menyebarkan khabar angin di
Riau bahawa Bugis akan menyerang orang Melayu. Perkara ini menyebabkan keadaan menjadi tidak
aman dan juga menyebabkan Daeng Kemboja yang memegang jawatan Yam Tuan Muda pada ketika
itu mengundurkan diri ke Linggi. Pengunduran Daeng Kemboja ke Linggi ini boleh dikatakan satu
kejayaan kerana orang Melayu dapat melepaskan diri daripada cengkaman Bugis. Bukan itu sahaja,
Sultan Mansur Syah 1 juga berusaha mendapatkan bantuan Belanda untuk menangkap Raja Haji
iaitu seorang tokoh Bugis yang berpengaruh, tetapi usaha beliau tidak berjaya kerana Belanda tidak
ada sebab yang kukuh untuk membantu beliau menangkap Raja Haji. Sultan Mansur Syah 1 juga
pernah mengadakan pakatan dengan Gabenor Melaka untuk menangkap Raja Haji dengan alasan
ianya merupakan perintah daripada Sultan Sulaiman. Sultan Mansur Syah 1 telah menggunakan
nama Sultan Sulaiman sebagai alasan untuk menangkap Raja Haji tanpa pengetahuan Sultan
Sulaiman itu sendiri. Namun begitu, beliau tetap juga tidak berhasil menangkap Raja Haji dan pada
masa yang sama tindakan beliau menggunakan nama Sultan Sulaiman untuk menangkap Raja Haji
sebelum ini telah dapat diketahui. Anak Sultan Sulaiman iaitu Raja Di Baruh sangat marah dan ingin
menyerang Sultan Mansur Syah 1.23 Akan tetapi, Sultan Sulaiman dapat mengawal keadaan dan
Sultan Mansur Syah 1 dibawa pulang semula ke Terengganu. Penglibatan Sultan Mansur Syah 1
dalam isu pengaruh Bugis di Terengganu pula, berlaku setelah beliau pulang ke Terengganu menurut
Hikayat Seri Kelantan. Semasa di Terengganu, Sultan Mansur Syah 1 terlibat dalam perlawanan
menyabung ayam dengan orang Bugis. Sultan Mansur Syah telah mempertaruhkan kawasan yang
besar iaitu dari Seberang Takir hingga ke Setiu jika kepada pihak Bugis jika pihak Bugis menang
dalam perlawanan itu dan sebaliknya jika pihak Bugis tewas, tujuh buah kapal beserta muatan milik
pihak Bugis perlu diserahkan kepada Terengganu. Perlawanan ini dikatakan agak tidak munasabah
kerana Terengganu tidak langsung mempunyai ayam sabungan ketika itu. Kemudian, Sultan Mansur
Syah 1 telah mendapat bantuan daripada sahabat baiknya iaitu seorang pembesar di Kelantan yang
22 Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang, Terengganu dari Bentuk Sejarah hingga tahun 1918, Kuala
Lumpur: Utusan Pub., 1978, hlm. 117.
23 Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Terengganu Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur:
Persatuan Muzium Malaysia, 1996, hlm. 14.
11

bernama Long Yunus. Long Yunus ini mempunyai seorang kenalan iaitu Long Ghaffar yang
mempunyai ayam sabungan bernama Bekas Beracun. Lalu, Long Ghaffar bersama dengan ayam
sabungannya telah bertanding mewakili pihak Terengganu dan menentang ayam sabungan pihak
Bugis. Perlawanan sabung ayam tersebut akhirnya dimenangi oleh pihak Terengganu dan pihak
Bugis terpaksa menyerahkan tujuh buah kapal beserta muatan milik mereka kepada Terengganu
seperti yang dijanjikan sebelum ini.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan dalam penulisan ini ialah, kita dapat menyatakan bahawa Bugis sememangnya
satu suku yang memberikan pengaruh yang sangat besar di negeri-negeri Melayu pada abad ke-18.
Mereka menggunakan peluang yang ada seperti isu-isu perebutan takhta yang berlaku di negerinegeri Melayu sebagai pemangkin untuk mereka meluaskan pengaruh. Secara jelasnya di sini,
penglibatan Bugis dalam meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu adalah merangkumi
empat aspek. Aspek yang pertama dapat dilihat dari segi percaturan politik. Bugis dapat dilihat
dengan jelas sekali telah berjaya mencaturkan institusi politik di negeri-negeri Melayu seperti di
negeri Johor, Kedah dan Perak. Percaturan politik yang dilakukan oleh Bugis ini dapat dilihat apabila
mereka berkuasa dalam menentukan siapa yang bakal menerajui takhta di sesebuah negeri tersebut.
Mereka juga berhak menentukan individu mana yang ingin mereka sokong untuk diangkat menjadi
sultan. Rentetan itu, ramai pembesar Melayu meminta sokongan dari pihak Bugis semata-mata ingin
mendapatkan sokongan untuk diangkat menjadi sultan di sesebuah negeri tersebut. Dengan ini,
dapatlah dilihat betapa penting serta kuatnya pengaruh Bugis dalam percaturan politik di sesebuah
negeri Melayu pada ketika itu. Seterusnya, penglibatan Bugis di negeri-negeri Melayu dapat dilihat
dari segi pengasasan kesultanan. Bugis memberikan pengaruh yang sangat besar apabila berjaya
mengasaskan institusi kesultanan yang berdarah Bugis di negeri Melayu. Perkara ini dapat dilihat di
negeri Selangor apabila Raja Lumu iaitu iaitu seorang individu yang berdarah Bugis berjaya
mengasaskan institusi kesultanan yang pertama di Selangor. Raja Lumu juga merupakan individu
pertama berdarah Bugis di negeri Melayu yang berjaya menjadi sultan. Dengan itu, dapatlah dilihat
dengan jelas bagaimana kuatnya pengaruh Bugis sehinggakan berjaya mengasaskan institusi
kesultanan yang kekal sehingga ke hari ini di negeri Selangor. Aspek penglibatan Bugis yang lain
pula adalah dari segi memerintah di balik tabir. Johor merupakan negeri Melayu yang dapat
dijadikan contoh paling tepat untuk melihat bagaimana Bugis melibatkan diri mereka dalam
pemerintahan di balik tabir negeri itu. Apa yang cuba dijelaskan di sini ialah, walaupun negeri Johor
mempunyai sultan yang sah namun kuasa untuk mengawal hal ehwal pentadbiran tidak terletak
12

ditangan sultan sebaliknya terletak pada individu yang berada di balik tabir pemerintahan Johor iaitu
Yam Tuan Muda. Seperti yang diketahui, Yam Tuan Muda adalah jawatan yang wujud dan hanya
berhak disandang oleh keturunan Bugis sahaja pada waktu itu. Dengan wujudnya jawatan Yam Tuan
Muda ini, maka sultan hanyalah dianggap sebagai simbolik sahaja kerana segala kuasa tentang hal
ehwal pentadbiran negeri dikawal oleh Yam Tuan Muda. Aspek terakhir penglibatan Bugis di negerinegeri Melayu ialah dalam bidang ketenteraan. Bugis telah menjadikan Linggi dan Selangor sebagai
tempat untuk mereka mengumpul kekuatan dari segi ketenteraan. Ketenteraan merupakan aset yang
paling penting bagi pihak Bugis untuk meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu. Melalui
ketenteraan yang kukuh dan lengkap, Bugis dapat menyerang negeri-negeri seperti Kedah dan Perak
seterusnya meluaskan pengaruh mereka di sana. Ketenteraan Bugis pada ketika itu juga sangatlah
penting bagi pembesar-pembesar di negeri Melayu. Hal ini demikian kerana, Bugis adalah tempat
mereka meminta bantuan apabila menghadapi masalah pemberontakan, ancaman serta serangan
daripada pihak luar. Oleh yang demikian, penglibatan Bugis dalam bidang ketenteraan di negerinegeri Melayu tidaklah dapat disangkal lagi. Penglibatan Bugis dalam empat aspek yang disebutkan
tadi juga diperkukuhkan lagi oleh kelebihan yang ada pada orang Bugis itu sendiri. Sebagaimana
diketahui, orang Bugis mempunyai banyak kelebihan seperti mahir berlayar, tangkas berperang,
mempunyai strategi peperangan yang baik, semangat yang jitu, sikap bersatu padu yang kukuh serta
kebijaksanaan dalam pemerintahan. Perkara ini apabila digabungkan dapat menjadi satu elemen yang
sangat penting kepada Bugis dalam meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu pada abad
ke-18.
BIBLIOGRAFI
1. Abdul Halim Nasir, Sejarah Perak Siri Pertama, Kuala Lumpur: Muzium Negara, 1977.
2. Abdullah Zakaria Ghazali, Zainal Abidin Borhan, Johor Dahulu dan Sekarang, Kuala
Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1994.
3. Abdullah Zakaria Ghazali, Terengganu, Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur:
Persatuan Muzium Malaysia, 1996.
4. F. Yasin, Zam Ismail, Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor (1529-1855), Johor Bahru:
Yayasan Warisan Johor, 2002.
5. Ahmad Fauzi Mohd. Basri, Johor 1855-1917: Perkembangan dalam Pentadbirannya,
Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988.
6. Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Pub.,
2008.
7. Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang, Terengganu dari Bentuk Sejarah hingga tahun 1918,
Kuala Lumpur: Utusan Pub., 1978.

13

8. Khoo Kay Kim, The Western Malay States, 1850-1873: The Effects of Commercial
Developement on Malay Politics, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1972.
9. M. A. Fawzi Basri, Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak, Ipoh: Yayasan Perak,
1986.
10. Mardiana Nordin, Politik Kerajaan Johor 1718-1862, Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor,
2008.
11. Matlob, Zam Ismail, Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor, Johor Bahru: Yayasan Warisan
Johor, 2002.
12. Mohamed Anwar Omar Din, Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Kesultanan Terengganu 17082008, Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan, 2009.
13. Mohammad Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1990.
14. Norhalim Hj. Ibrahim, Sejarah Linggi, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1998. Pelras
Christian, The Bugis, Oxford: Blackwell, 1996.
15. P. Rubin Alfred, International Personality of the Malay Peninsular, Kuala Lumpur:
University Malaya Press, 1975.
16. Winstedt R. O., Wilkinson R. J., A History of Perak, Kuala Lumpur: Perchetakan MAS Sdn.
Bhd., 1974.
Y. Andaya Leonard, The Kingdom of Johor 1641-1728, New York: Oxford University Press,
1975.

14

You might also like