You are on page 1of 2

KEBELAKANGAN ini hampir setiap hari kita mendengar orang menyebut dan memperkatakan teknologi

maklumat atau IT. Apatah lagi dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan
Cyberjaya. Seluruh MSC akan dilengkapi peralatan telekomunikasi, teknologi maklumat dan jaringan
perkhidmatan digital dalam semua proses perkhidmatan dan perhubungan yang mempunyai sistem infrastruktur
yang termoden. MSC ialah satu kawasan yang dibangunkan berasaskan industri IT dan telekomunikasi. Semua
urusan yang dijalankan akan menggunakan komputer.

Komputer bukanlah satu perkara yang asing bagi masyarakat tidak kira di mana saja mereka berada. Di mana-
mana komputer boleh didapati dan tidak semestinya di pejabat saja. Malah di kebanyakan rumah pun boleh
dilihat ada komputer peribadi. Begitu juga dengan penggunaan Internet yang kini kian menjadi kegilaan
masyarakat hari ini terutama remaja baik dalam negara mahupun luar negara. Akibat kegilaan ini, remaja mudah
lupa diri. Internet boleh mengubah pemikiran manusia terutama mereka yang terpengaruh dengan
kecanggihannya. Ia begitu berpengaruh dan sifatnya yang dapat memasuki mana-mana negara di dunia seperti
tiada batasan sempadan. Internet sukar disekat apabila pintunya dibuka seolah-olah apa yang diperkatakan
mengenai kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.

Internet bermaksud hubungan antara jaringan. Sebuah rangkaian komputer antarabangsa yang
terbesar di dunia yang mengandungi berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Melalui internet kita dapat
berhubung antara satu sama lain walau di mana sekali pun kita berada dan pada bila-bila masa. Percambahan
saluran internet ini mendedahkan masyarakat kepada pelbagai bentuk maklumat. Maklumat yang diperolehi ada
antaranya positif dan ada yang meninggalkan kesan negatif. Oleh itu, pengguna media perlu mempunyai satu
keupayaan untuk menilai maklumat yang diperolehi melalui Internet ini. Pengguna Internet perlu bersikap kritis
supaya dapat memastikan tidak menerima sebarang maklumat secara bulat-bulat.

Tidak semua maklumat yang diperolehi melalui internet bermanfaat walaupun kebaikan sesetengah
laman tidak boleh dipertikaikan. Bahan yang disebarkan mempunyai kesan positif dan negatif. Nilai yang
dipaparkan lebih menggambarkan nilai penghasil bahan yang sesetengahnya terlalu asing bagi kita. Biasanya
golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan aspek sebegini. Oleh itu, perlu dirumuskan
satu pendekatan yang sistematik untuk menangani kesan dan pengaruh internet ke atas masyarakat di negara
ini.

Walaupun kerajaan sudah mengambil langkah seperti penapisan dan mewujudkan peraturan bagi
menangani masalah ini, langkah juga perlu diambil untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pengguna media
khasnya internet. Mereka perlu diupayakan supaya mampu menilai kesan dan pengaruh media secara amnya.
Satu cara yang agak berkesan sekali ialah celik media. Ia adalah keupayaan seseorang memahami sesuatu
perkara atau kesan yang diterima dari media massa. Ini mencakupi memahami proses penyediaan dalam
penyebaran maklumat oleh media. Seterusnya bagaimana menggunakan maklumat yang diperolehi dengan
bijaksana.

Seseorang yang celik media mampu mengenal pasti peranan dan kesan media dalam kehidupan
seharian. Mereka boleh menilai dan menguasai apa yang di lihat oleh mereka daripada apa yang diberi oleh
media. Mereka bukanlah pengguna media yang pasif dan menerima apa saja yang dilihat dan dibaca. Mereka
menjadi lebih kritikal terhadap apa yang mereka perolehi atau lihat. Celik media bukan satu kempen antimedia.
Ia bertujuan mengembangkan keupayaan pengguna media untuk memanfaatkan media masa dan berupaya
memberi maklum balas mengenai apa yang patut dilakukan secara lebih berkesan.

Ini adalah daya usaha untuk memupuk kepekaan pengguna media, khususnya kanak-kanak dan
golongan remaja terhadap kesan dan pengaruh media. Ini dilakukan dengan membina kefahaman kepada
mereka mengenai kesan dan pengaruh media. Mereka dididik supaya lebih kritikal dan mampu menilai bahan
yang mereka tonton.
Sejak kebelakangan ini, kita kerap mendengar pelbagai gejala sosial yang melanda anggota
masyarakat hari ini seperti bohsia, bohjan, lepak, sumbang mahram, homoseksual dan beberapa penyakit sosial
yang lain. Sering pula kita dengar media dipersalahkan. Apakah media saja dipersalahkan? Bagaikan satu
alasan yang mudah untuk dijadikan alat untuk menangkis sebarang persoalan.

Bila dikenangkan kembali perkembangan pada tahap awalnya, kemunculan media dihubungkaitkan
dengan usaha membangunkan masyarakat ialah Unesco sendiri memberikan perhatian berat kepada media
massa kerana berkeyakinan bahawa media boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat, mengurangkan
buta huruf, meningkatkan hasil pertanian, nilai makanan dan kesihatan serta memperbaiki taraf hidup penduduk
sesebuah negara yang sedang membangun ekonominya.

Betapa besar harapan yang diletakkan kepada media sehingga dijangkakan akan dapat menyelesaikan
semua masalah pembangunan negara. Media massa boleh dijadikan sebagai alat utama yang mampu memberi
kesan dan mempengaruhi pemikiran masyarakat, baik di kalangan kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa.

Ada golongan tertentu yang mengambil kesempatan untuk mempergunakan media massa dalam
membawa cerita atau berita yang berunsur negatif bagi mempengaruhi masyarakat. Penggunaan tipu daya
secara halus untuk mengaburi masyarakat dengan kebenaran. Kebanyakannya menjanjikan program yang
berbentuk keganasan, keruntuhan moral dan unsur-unsur lain yang tidak sesuai dengan norma masyarakat kita.

Sebaliknya pelajar dan generasi muda wajar melayari laman web yang informatif dan bersifat ilmiah.
Mereka sepatutnya mencari maklumat baru atau mendalami pengetahuan. Mereka perlu dilatih sama ada di
rumah atau melalui sistem persekolahan supaya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat.

Disiplin diri penting untuk memanfaatkan dan menangani unsur-unsur negatif IT kerana pada akhirnya
pengguna sendiri yang perlu membuat pilihan sama ada membuang masa dengan melayari laman yang tidak
berfaedah atau memanfaatkan maklumat melalui Internet. Pilihan terletak di tangan mereka sama ada untuk
memanfaatkan IT untuk kemajuan diri, masyarakat dan negara atau sebaliknya.

Jika generasi muda mahu terus terperangkap di bawah pengaruh unsur-unsur negatif dalam internet
yang boleh merosakkan pemikiran mereka, itu adalah pilihan mereka. Selain budaya kuning yang diketengahkan
sesetengah laman web, ada juga pihak yang menyebarkan dakyah palsu yang menggembar-gemburkan isu
untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Dari segi penerimaan, mereka perlu menilai terlebih dahulu mesej yang dipaparkan sebelum membuat
keputusan sama ada menerimanya atau tidak. Soal sebegini juga memerlukan pengetahuan yang luas yang
dapat membantu mereka memilih agenda dan maklumat yang perlu diterima atau tidak. Pengguna internet wajar
membebaskan diri mereka daripada dikongkong atau dibelenggu laman web yang boleh meracuni pemikiran,
hati dan naluri mereka.

You might also like