You are on page 1of 6

PERKEMBANGAN POLITIK TAHUN 1945-1955

Perkembangan politik di antara tahun 1945 sehingga tahun 1955 memperlihatkan


bahawa pihak British mula menunjukkan sikap bertolak ansur. Seperti yang
diketahui, pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama lebih kurang tiga setengah
tahun (1942-1945) telah meninggalkan kesan yang mendalam sama ada dari segi
ekonomi, sosial mahupun psikologi kepada masyarakat keseluruhannya. Walau
bagaimanapun, apa yang lebih penting untuk anda fahami ialah tempoh
pemerintahan Jepun telah menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di kalangan
orang Melayu dan menafikan anggapan selama ini bahawa kuasa Inggeris tidak
dapat dikalahkan.1

Malayan Union yang diperkenalkan oleh Kerajaan British selepas pengunduran


tentera Jepun di Tanah Melayu (1946), telah ditentang habis-habisan oleh semua
lapisan masyarakat dan pertubuhan Melayu. Orang Melayu sedar akan kerugian dan
bencana yang akan mereka terima sekiranya Malayan Union dilaksanakan. Kerajaan
British yang sedar akan kebangkitan nasionalisme Melayu, akhirnya tiada pilihan
kecuali menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila
Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, British telah menyatakan
bahawa langkah-langkah ke arah pemerintahan sendiri akan dibuat. Ini
menunjukkan bahawa British semakin bersedia untuk memberikan kemerdekaan
kepada Tanah Melayu.

Sungguhpun demikian, anda harus ingat bahawa pada masa tersebut juga Kerajaan
British turut memberikan tumpuan menghapuskan keganasan komunis. Peristiwa
darurat yang berlaku (1948-1960) meninggalkan kesan yang mendalam kerana ia
bukan sahaja menyebabkan banyak nyawa yang terkorban, tetapi beribu juta
ringgit terpaksa dibelanjakan untuk menghapuskannya. Apabila keadaan menjadi
semakin bertambah baik menjelang tahun 1955, Kerajaan British telah
menyakinkan rakyat ke arah pemerintahan sendiri. Antaranya ialah mengambil
beberapa langkah membimbing rakyat ke arah sistem dan pemerintahan berbentuk
demokrasi seperti memperkenalkan sistem pengundian dan mengadakan
pilihanraya. Sehubungan dengan itu, beberapa parti politik ditubuhkan seperti
Malayan Chinese Association (MCA) dan lain-lain yang akan dibincangkan
berikutnya.

5.2.1 Perpaduan Kaum


Sebagai satu langkah ke arah kemerdekaan, Kerajaan Inggeris telah menetapkan
syarat bahawa semua kaum di Tanah Melayu mesti bersatu terlebih dahulu dalam
politik sebelum kemerdekaan dapat diberikan.2 Ini bermakna soal perpaduan kaum
adalah syarat yang diutamakan. Dengan adanya perpaduan dan kerjasama dalam
politik, perkongsian kuasa boleh dilaksanakan. Keharmonian serta keamanan
masyarakat dan negara akan terjamin melalui sokongan padu seluruh rakyat.

5.2.2 Usaha ke Arah Perpaduan

Berhubung dengan persoalan perpaduan kaum, sebenarnya usaha awal telahpun


dilaksanakan oleh Dato Onn Jaafar. Beliau telah mencadangkan supaya rakyat
Tanah Melayu membentuk sebuah pertubuhan yang boleh mewakili semua kaum
supaya mereka dapat bekerjasama dan bertolak ansur di antara satu sama lain.
Perbincangan telah diadakan dengan Tan Cheng Lock, E.E.C. Thuraisinggam,
Malcom Mac Donald dan Roland Braddell. Hasilnya, satu jawatankuasa telah
dibentuk yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum
(Communities Liaison Committee). Jawatankuasa ini yang berasaskan tolak ansur
antara politik Melayu dan bukan Melayu telah dilaksanakan pada tahun 1949. Ia
dianggotai oleh 15 orang yang terdiri daripada tokoh-tokoh penting daripada kaum
Melayu, Cina dan India. Penubuhan Jawatankuasa ini sangat besar ertinya kerana ia
dapat memupuk persefahaman di antara pemimpin-pemimpin kaum di Tanah
Melayu. Persefahaman yang dipupuk melalui perundingan dan perbincangan yang
diadakan oleh tokoh-tokoh kaum ini boleh menyelesaikan sebarang permasalahan
yang timbul ketika itu.

Selain itu, parti-parti politik juga mengambil inisiatif ke arah mewujudkan


perpaduan kaum. Contohnya, kerjasama UMNO, MCA dan ini diikuti dengan MIC
untuk bertanding dalam pilihanraya, dan seterusnya membentuk gabungan parti
besar yang dinamakan Perikatan. Perbincangan mengenai pilihanraya akan
dibincangkan kemudian. Sebelum itu, kita tinjau dahulu mengenai pertumbuhan
parti-parti politik menjelang kemerdekaan.

5.3 PERTUMBUHAN PARTI-PARTI POLITIK

Selepas Perang Dunia Pertama, sudah ada usaha memperjuangkan kemerdekaan


Tanah Melayu melalui penubuhan beberapa parti politik. Penubuhan parti-parti
politik ini menunjukkan bahawa perkembangan proses politik di Tanah Melayu
menjadi semakin rancak lagi. Penubuhan parti-parti politik ini didorong oleh reaksi
rakyat terhadap cadangan Malayan Union (1946) oleh Kerajaan British. Ternyata
Malayan Union merupakan pemangkin utama penyatuan orang Melayu untuk
bertindak menentang cadangan British tersebut.

Mari kita tinjau parti-parti politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu menjelang
kemerdekaan.

5.3.1 United Malays National Organization (UMNO)

Dato Onn Jaafar yang menjadi pengerusi Pergerakan Melayu Johor3 telah
mencadangkan supaya diadakan Kongres Melayu bagi menyatukan seluruh
masyarakat Melayu untuk menentang Malayan Union. Oleh yang demikian, Kongres
Melayu Se-Malaya diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman,
Kuala Lumpur. Kongres tersebut dihadiri oleh 41 buah persatuan
Melayu.4Perlembagaan baru dibuat dan UMNO dengan rasminya ditubuhkan pada
11 Mei 1946. Matlamat awal penubuhan UMNO adalah untuk menentang gagasan
Malayan Union dan menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu.
Pemimpin pertamanya ialah Dato Onn Jaafar. Cadangan Dato Onn untuk membuka
keahlian parti kepada semua bangsa untuk memupuk perpaduan kaum tidak
direstui oleh ahli-ahli UMNO. Penentangan dari ahli parti menyebabkan Dato Onn
meletakkan jawatan pada tahun 1951. Kepimpinan UMNO kemudiannya diambil alih
oleh Tunku Abdul Rahman dan menukar konsep perjuangan UMNO dari Hidup
Melayu kepada Merdeka.5 Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau
cuba menggerakkan segala usaha untuk mencapai kemerdekaan dengan
menggabungkan parti-parti politik yang ada sehingga terbentuknya Parti PERIKATAN
yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1954. Sejak itu, UMNO
menjadi teras utama pergerakan ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.6

5.3.2 Malayan Indian Congress (MIC)

MIC ditubuhkan pada bulan Ogos tahun 1946. Yang Dipertua Kongres yang pertama
ialah John A. Thivy. John Thivy pernah terlibat di dalam Persatuan Pusat India di
Tanah Melayu dan juga gerakan kemerdekaan India. MIC bermula dengan
penggabungan persatuan-persatuan India yang terdapat di Tanah Melayu. Hasil
daripada penggabungan tersebut, maka lahirlah parti MIC. Pada peringkat awal
perjuangannya, parti ini bertujuan menyokong perjuangan kemerdekaan di India.
MIC juga kurang mendapat sambutan di kalangan orang India di Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, MIC
lebih memberikan tumpuan kepada kegiatan politik di Tanah Melayu. Selain itu,
parti MIC juga bermatlamat mengenengahkan isu-isu kerakyatan yang merupakan
satu daripada isu utama di Tanah Melayu. Dapatlah dikatakan bahawa matlamat
utama penubuhannya ialah untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, dan sosial
kaum India di Tanah Melayu dan juga menjadi saluran bekerjasama dengan kaum
lain untuk memperjuangkan kemajuan politik. MIC pernah menyertai parti serpihan
yang ditubuhkan oleh DatoOnn setelah beliau keluar daripada UMNO. Walau
bagaimanapun, MIC kurang bernasib baik kerana parti pimpinan Dato Onn tidak
berapa berjaya dalam pilihanraya 1952. Apabila MIC bergabung dalam Parti
Perikatan pada tahun 1955, barulah parti ini mendapat sambutan daripada orang
India di seluruh Tanah Melayu.

5.3.3 Malayan Chinese Association (MCA)

MCA ditubuhkan dengan rasminya pada bulan Februari 1949 atas idea British bagi
membolehkan sebahagian orang Cina menyokong British dalam menghadapi
darurat. Sebenarnya, pada penghujung tahun 1930an, Parti Komunis Malaya (PKM)
merupakan satu-satunya parti yang disertai oleh kebanyakan orang Cina. Presiden
MCA yang pertama ialah Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan dengan matlamat untuk
melindungi hak dan kepentingan ekonomi, politik, dan sosial kaum Cina di Tanah
Melayu. Pada masa yang sama, MCA berjanji akan bekerjasama dengan kerajaan
untuk mematahkan kegiatan komunis. Penubuhan MCA juga membuktikan kepada
kerajaan Inggeris akan kesetiaan kaum Cina terhadap Tanah Melayu. Adalah
diharapkan dengan demikian kaum Cina akan bekerjasama dengan kaum-kaum lain
untuk memperoleh kemerdekaan.

5.3.4 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 di Ipoh, Perak, hasil rundingan dan
persetujuan dua kumpulan pemuda, iaitu dari golongan Ahmad Boestamam dan
golongan Mokhtaruddin Lasso.7 PKMM bermatlamat untuk melahirkan kesedaran
politik dan menyatukan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan di Indonesia. Berikutan
dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946, sedikit sebanyak menggugat PKMM.
PKMM kemudian turut serta sebagai anggota UMNO buat seketika. Berikutan
dengan percanggahan pendapat berkaitan ideologi, kepimpinan, dan soal bendera,
PKMM kemudian keluar dari UMNO. PKMM menjadi semakin lemah setelah ahli-
ahlinya ditangkap. Walau bagaimanapun, PKMM telah dibubarkan kemudiannya.
Serpihan pimpinan PKMM menubuhkan pula Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955.

5.3.5 Parti Islam Se-Malaya (PAS)

PAS ditubuhkan ekoran daripada satu persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang
diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Parti ini jelasnya ditaja oleh Jabatan
Agama UMNO.8 Persatuan Ulama turut dianggotai oleh bekas aktivis agama, dan
bekas ahli HAMIM yang diharamkan oleh British. Parti ini telah ditubuhkan pada
tahun 1955 dengan matlamat untuk menjadikan agama Islam sebagai agama
rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, serta mengetatkan peraturan
kerakyatan.

5.3.6 Parti Kemerdekaan Malaya (IMP)

IMP merupakan parti pelbagai kaum yang pertama dan dipimpin oleh Dato Onn
Jaafar. Dato Onn Jaafar telah keluar dari UMNO dengan semangat perpaduan
kaum untuk bercantum dengan MCA dan bekas ahli UMNO, serta MIC pada tahun
1951. IMP ditubuhkan setelah usaha Dato Onn Jaafar untuk menjadikan UMNO
sebagai sebuah parti berbilang kaum ditolak oleh orang Melayu. Sebenarnya, IMP
pernah bekerjasama dengan MIC dari tahun 1951 sehingga tahun 1953. MCA di
bawah pimpinan Tan Cheng Lock juga pernah menyertai Dato Onn. Namun Tan
Cheng Lock yang melihat potensi UMNO semakin mendapat sokongan Melayu telah
mengecewakan Dato Onn Jaafar. Pada tahun 1952, MCA telah bekerjasama dengan
UMNO dalam Parti PERIKATAN. Kegagalan IMP menyebabkan Dato Onn berpatah
balik memperjuangkan kepentingan Melayu melalui Parti Negara. Parti Negara
ditubuhkan pada tahun 1955 oleh tokoh politik berbilang kaum. Tetapi kebanyakan
ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu. IMP bermatlamat untuk
menyatupadukan orang Melayu. Selain itu, IMP ditubuhkan juga untuk mengambil
bahagian dalam pilihanraya negeri dan persekutuan yang sedang dirancangkan
ketika itu.9
5.3.7 Parti Buruh

Parti Buruh ditubuhkan di Pulau Pinang oleh pemimpin Kesatuan Sekerja atas nama
Parti Buruh Pulau Pinang pada 15 Mei 1951. Parti yang sama ditubuhkan di
Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka. Parti-parti ini bergabung membentuk
Parti Buruh SeMalaya di bawah pimpinan Mohd. Sopiee Ibrahim. Parti ini merancang
untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1964. Parti Buruh kurang mendapat
sokongan dari orang ramai mungkin disebabkan terdapat unsur sosiolisme dan
komunisme dalam perjuangan parti. Dalam pada itu, orang Melayu enggan
memberikan sokongan disebabkan parti ini berfahaman sosiolis yang tidak mahu
mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu. Selain itu, pengalaman politik akibat
kezaliman komunis pada masa darurat juga membimbangkan rakyat untuk
menerima Parti Buruh.10

Sementara parti-parti lain yang ditubuhkan ialah Parti Progresif Perak (PPP). Ia
ditubuhkan pada tahun 1953 dipimpin oleh SP dan DR Senivasagam. PPP menyertai
Perikatan dan berjaya menguasai Majlis Perbandaran Ipoh atas nama Perikatan
UMNO-MCA-PPP. Menjelang pilihanraya tahun 1955, PPP keluar dari Perikatan dan
kemudiannya telah menukar nama Parti Progresif Rakyat. Parti lain ialah Parti
Radikal pimpinan Dr. Lim Chong Eu, National Association of Perak (NAP) dipimpin
oleh Dato Bukit Gantang Abdul Wahab dan Kesatuan Melayu Semenanjung
pimpinan Haji Hashim Ghani.

You might also like