You are on page 1of 6

Konsep sosiolinguistik

Sosiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji hubungan bahasa dengan mayarakat


atau komuniti bahasa. Bidang ini juga mengkaji penggunaan bahasa dengan perlakuan
organisasi sosial. Nik Safiah Karim (1988) dalam Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof
(2013) menghuraikan sosiolinguistik sebagai cabang linguistik yang mengkaji hubungan
antara bahasa dengan masyarakat dan bagaimana kedua-dua perkara berkenaan saling
berkaitan antara satu sama lain. Selari dengan pengertian sosiolinguistik, bahasa merupakan
gabungan sistem bunyi atau simbol yang dituturkan. Bunyi-bunyi ini keluar melalui alat
pertuturan manusia secara automatik dan bersifat arbitrari. Malah, bahasa juga merupakan
salah satu cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan
hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan. Sehubungan itu, komuniti bahasa pula
ditakrifkan sebagai sekumpulan manusia yang berkomunikasi antara satu sama lain secara
langsung atau tidak langsung melalui bahasa yang difahami bersama. Lyons (1970) juga
dalam Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof (2013) menyatakan bahawa komuniti bahasa
merupakan kumpulan manusia yang menggunakan bahasa atau dialek yang sama merupakan
anggota suatu komuniti bahasa. Dialek ialah satu kelainan bahasa dari segi bentuk-bentuk
sebutan, tatabahasa dan kosa kata daripada bahasa baku. Dialek boleh terbahagi kepada tiga
iaitu dialek sosial, dialek daerah dan dialek seketika. Manakala, beberapa tokoh lain pula
menyatakan sosiolinguistik dengan pandangan mereka iaitu Fishman pula menekankan sifat
kualitatif dalam kajian sosiolinguistik. Bidang ini lebih berhubungan dengan perincian-
perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi pola-pola pemakaian bahasa
atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau dialek tertentu yang
dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan. Menurut Hymes (1968) bidang
sosiolinguistik ialah satu aktiviti disiplin di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah
memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan
oleh ahli-ahli linguistik. Dan Noriah Mohamed (1998) pula membuat kesimpulan ringkas
mengenai cabang sosiolinguistik iaitu bidang ilmu disiplin yang mempelajari bahasa dalam
kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam masyarakat.
Pengaruh Sosiolinguistik dalam penguasaan Bahasa Melayu di sekolah saya berserta
contoh

Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa secara formal, guru dapat mengukuhkan
pemahaman dan pengetahuan pelajar berkenaan dengan beberapa aspek penelitian
sosiolinguistik melalui aktiviti lisan, bacaan, dan tulisan. Misalnya, sewaktu mengadakan
aktiviti lisan, guru dapat memberikan pendedahan yang meluas kepada pelajar tentang sistem
panggilan dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata ganti nama diri (personal pronouns) yang
tepat amat penting untuk pelajar bagi mempersiapkan mereka dengan pengaruh sosiobudaya
yang pada masa kini kurang mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Dalam ayat Cikgu,
awak belum balik ? atau Aku tidak datang ke kelas tambahan, cikgu, tentulah memberikan
persepsi yang kurang baik kepada pendengarnya kerana tidak mematuhi norma berbahasa,
walaupun mungkin betul dari segi nahunya. Menurut Nik Safiah Karim, dalam bahasa
Melayu, penggunaan kata ganti nama diri berkait rapat dengan bahasa sapaan. Bahasa sapaan
didefinisikan sebagai kata yang digunakan untuk merujuk kepada orang tertentu untuk
menunjukkan kedudukan sosialnya.

Untuk itu, perlu diketahui bahawa kata ganti nama diri orang ialah jenis ganti nama
yang merujuk kepada diri orang tertentu. Pengetahuan dan penguasaan yang baik tentang
sistem kata ganti nama Bahasa Melayu bukan sahaja melambangkan seseorang itu berbudi
bahasa dan berhemah, tetapi menguasai pengendalian pelbagai kategori sosial dalam struktur
masyarakat Melayu, yang ikut dimanifestasikan melalui pelbagai bentuk bahasa. Penggunaan
bentuk ganti nama diri aku sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi sahaja dan daripada
orang yang rendah kedudukannya kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Jika digunakan
dalam suasana rasmi, akan timbullah hal yang luar biasa, misalnya dalam suatu majlis rasmi,
seorang pengucap menuturkan ayat Aku ingin menyampaikan penghargaan kepada sekalian
tetamu yang hadir, maka pengucap tersebut dianggap tidak tahu bahasa. Seseorang guru pasti
akan tersentak jika pelajarnya membahasakan dirinya sebagai aku.

Malah, Aku ialah kata ganti nama diri yang dapat menimbulkan kemesraan,
khususnya individu yang akrab, seperti teman sebaya atau teman sekumpulan. Dalam konteks
seperti itu, penggunaan saya akan menyebabkan wujudnya jurang perhubungan. Bukti
bahawa kata aku dapat menunjukkan kemesraan ialah apabila berhubungan dengan Tuhan
melalui kalimah doa. Orang Melayu ( Islam ) menggunakan aku apabila membahasakan
dirinya dengan Tuhan dan membahasakan Tuhan sebagai Engkau. Misalnya, Ya Tuhan,
kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Penggunaan saya merupakan amalan
pemakaian biasa yang digunakan apabila kita berinteraksi dengan orang yang lebih tua, lebih
dihormati, dalam konteks formal, dan sebagai penanda hormat dengan orang yang belum
akrab dengan kita, walaupun sebaya atau lebih muda daripada kita. Di samping itu, salah satu
strategi kesantunan berbahasa ialah penggunaan saya sebagai tindak balas untuk
memperlihatkan penyertaan seseorang dalam sesebuah percakapan atau interaksi. Bentuk
seperti mm, hm, dan seumpamanya untuk menyatakan maksud penyertaan itu, dikira
sebagai kurang sopan. Perkara inilah yang sewajarnya dijelaskan kepada pelajar agar
kesedaran tentang penggunaan bahasa yang baik dapat dimanifestasikan melalui perlakuan
dan amalan.

Selain itu, untuk maksud kesantunan bahasa, kata ganti nama orang kedua hendaklah
digunakan dengan mengambil kira beberapa faktor secara serius; umur, generasi, status,
konteks (sama ada rasmi atau tidak rasmi), dan jarak sosial. Bentuk panggilan untuk ganti
nama orang kedua boleh terdiri daripada panggilan kekeluargaan, panggilan profesional,
gelaran profesional atau kerjaya, panggilan anugerah, dan nama peribadi. Masyarakat Melayu
menganggap bahawa kata ganti nama awak, kamu, dan engkau sebagai bentuk kasar
kalau digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak-pihak yang lebih tua,
berstatus, berkuasa, dan dihormati. Bentuk tersebut digunakan oleh mereka yang yang sudah
pun intim dan mesra antara satu sama lain, atau oleh mereka yang lebih tua atau lebih
berstatus kepada mereka yang lebih muda atau kurang berstatus. Keadaan ini berbeza dengan
bahasa Inggeris kerana boleh menggunakan bentuk you kepada sesiapa sahaja. Oleh sebab
orang Melayu menyedari bahawa masalah kekasaran kesemua kata ganti nama orang
kedua , maka bentuk anda diperkenalkan pada 1960-an. Bentuk anda dianggap sebagai
bentuk halus, yakni tidak kasar dalam wacana sopan.

Selain bentuk sapaan, para guru dapat mengajar pelajarnya tentang pantang larang
dalam bahasa. Terdapat banyak perkara yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-
wenangnya, terutamanya di khalayak ramai. Antaranya ialah berkenaan dengan seks, fungsi
badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Perkataan dan
ungkapan yang ada hubungan dengan topik ini tidak boleh diucapkan dengan sesuka hati, dan
tidak boleh ditulis, terutamanya dalam wacana sopan. Malah, sesetengah kamus juga tidak
menyenaraikan perkataan dan ungkapan ini. Perkara yang menjadi pantang larang untuk
dibicarakan secara terbuka disebut tabu bahasa. Kamus Dewan (1994 : 1338) mendefinisikan
tabu sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali; yang terlarang, yang diharamkan
atau ditegah daripada dipercakapkan. Perkataan tabu berasal daripada bahasa Polinesia,
iaitu tapu yang bermaksud sesuatu yang dilarang untuk digunakan dan sesuatu yang kudus.
Oleh sebab itu, untuk dibicarakan atau dipercakapkan di khalayak, ada dua cara yang boleh
digunakan, iaitu penggunaan eufemisme dan penggunaan sirkumlokusi. Eufemisme
(euphemism) merupakan perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk
menggantikan perkataan atau frasa asalnya yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji,
malah dilarang penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, banyak gejala tabu bahasa dan
eufemisme ini. Antaranya ialah kencing, berak, kentut, mati, jamban, babi, tahi, datang haid,
beranak, pelacur, dan sebagainya. Eufemisme dapat mengatasi masalah ini dengan
menggantikannya dengan buang air kecil, buang air besar, buang angin, meninggal dunia,
bilik air, khinzir, uzur, bersalin, dan pekerja seks atau tunasusila. Yang menarik tentang gejala
ini ialah fenomena ini tidak pula dianggap kasar atau tidak sopan semasa menyebut atau
menulis ungkapan seperti kencing berdarah, kencing nanah, kencing malam, ujian air kencing,
berak darah, berak air, berak besar, gila babi, siput babi, membabi buta, tahi minyak, dan tahi
lalat. Peribahasa Melayu turut menggunakan ungkapan siapa hendak mengaku berak di tengah
jalan dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kepentingan memberikan
huraian dan penerangan yang berpada kepada pelajar akan menjadikan mereka lebih
bersopan, mengerti dan akhirnya matlamat dan falsafah pendidikan bahasa akan tercapai
sekiranya dijadikan amalan yang dipupuk setiap masa. Sirkumlokusi pula merujuk kepada
penerangan yang panjang lebar, dan kadang kalanya bersifat berbelit-belit dan kaedah ini
sesuai digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja.

Sebagai misalan, oleh sebab bidang sastera telah diperkenalkan kepada pelajar melalui
Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat menengah,
laras bahasa dalam sastera sering gagal didepani dengan baik oleh pelajar. Pengaruh laras
bahasa sastera telah membuka ruang kepada disiplin stilistik atau ilmu gaya menganalisis
karya sastera dengan dari sudut bahasa sesuai dengan sifatnya dalam hubungan yang lebih
luas. Para pelajar akan didedahkan dengan menilai kemampuan karyawan memanipulasikan
segala keupayaan mereka mengeksploitasikan kemungkinan bahasa. Kekuatan sesebuah karya
terletak pada kekuatan bahasanya, dan sudah semestinya bergantung pada kebijaksanaan
pengarangnya mengungkapkan wacana melalui fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan
pragmatik. Pengetahuan yang baik dalam laras bahasa akan membantu pelajar menghayati
karya yang dipelajari dan hal inilah yang memungkinkan pencapaian yang lebih
memberangsangkan dalam peperiksaan. Pelajar harus didedahkan dengan beberapa banyak
laras yang ada supaya mereka dapat menggunakan bahasa dengan baik dan berkesan. Pelajar
hendaklah juga dibantu oleh guru dalam penggunaan laras yang pelbagai untuk kesesuaian
konteks dan situasi dalam mengungkapkan fikiran tentang ilmu yang ada. Kepentingan
mengajarkan laras bahasa dapat ditemukan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji
Penggunaan Bahasa Malaysia yang mengesyorkan satu peraturan hendaklah dibuat untuk
memastikan kursus latihan guru dalam perkhidmatan hendaklah mengandungi unsur laras
bahasa bagi bidang ilmu yang diajarkan.

Oleh sebab itu, disiplin sosiolinguistik yang menjadi antara cabang kajian linguistik
yang terpenting mutakhir ini sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam pengajaran
dan pemelajaran bahasa. Yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan dan penerapan
disiplin ini adalah penting bagi guru melaksanakan dasar dan objektif yang telah ditetapkan
dalam sistem pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berkemahiran, berkebolehan,
fleksibel, dan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang berkehendakkan pelajar yang mampu
menguasai bahasa dengan baik, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah dapat
membina peradaban yang cemerlang melalui penggunaan bahasa yang betul dan kena pada
tempatnya.
Rujukan

Buku
1. Faridah Nazir dan Tuan Jah Tuan Yusof (2013). Pengantar Linguistik Bahasa Melayu.
Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd
2. Siti Hajar Abdul Aziz, (2011). Siri Pendidikan Guru Bahasa Melayu 1(Edisi Kedua).
Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
3. Siti Hajar Abdul Aziz, (2011). Siri Pendidikan Guru Bahasa Melayu 2(Edisi Kedua).
Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
4. Asmah Haji Omar, (2008). Susur Galur Bahasa Melayu Edisi Kedua. Dewan Bahasa
Dan Pustaka
5. Abdul Hamid Mahmood, (1997). Guru Dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media
Printext (M) Sdn. Bhd.

Laman sesawang
1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Loghat
2. http://www.tutor.com.my/stpm/laras_bahasa.htm
3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_rojak
4. http://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_basahan
5. http://kumpulansiswazahguru.blogspot.com/2011/03/variasi-bahasa.html
6. http://www.scribd.com/doc/19111003/Variasi-Bahasa
7. http://witra.blogspot.com/2005/09/sosiolinguistik-dalam-pengajaran.html

You might also like