You are on page 1of 8

Usaha-Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum

Like
Tekan Like jika anda suka dengan esei ini
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri
daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat
peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah
saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan
bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip Rukun Negara. Perpaduan
yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat
Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Persoalannnya, apakah
usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah


peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong
cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.
Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan
penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu
membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid
berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa
dan agama di sekolah rendah lagi, usaha untuk membentuk satu
masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih
berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi,
bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti
semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi
Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu
dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah
dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat
dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan
peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan
yang dimainkan oleh pihak sekolah.

Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat
mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud
satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan
tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.
Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun
Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam
kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka,
rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih
mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling
menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita
sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati
juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita.
Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan
suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada
setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota
masyarakat.

Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat


dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti
yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari
keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah
taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari
keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di
kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman
rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa
anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak
langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi
dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk
melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari
keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus
menjayakan gagasan 1 Malaysia.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan


menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di
Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan.
Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila
dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa
wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan
hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan
dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian
Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring
oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh
masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak
langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara
ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara kita dapat
mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana
tak kenal maka tak cinta.

Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan


di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan
kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam
memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat
Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti
yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin
Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Bersatu teguh, bercerai
roboh.

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Karangan Bahagian B. SPM


Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung
bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam
masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara
amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus
subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969
daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan
saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali
antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk
membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan
slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah
kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan
sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar
dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama
di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan
kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan
akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai
contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas
merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-
menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan
perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat
dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang
datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan
kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau
gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan
adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja
seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu
masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan
bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki
dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan
permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat
menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali
gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat
kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha
memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan
tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan
ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan
tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta
akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai
pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap
warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara
mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan
masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan
perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat
majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan
yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh
tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan
integrasi nasional akan tercapai
Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Tanpa
perpaduan dalam kalangan masyarakat, negara akan menjadi huru hara dan tidak stabil. Akibatnya,pembangunan
sektor ekonomi, politik dan sosial akan terbantut ekoran rapuhnya semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai
pihak. Hakikatnya, beberapa langkah proaktif boleh diambil bagi mengekalkan dan mengukuhkan lagi semangat
perpaduan yang telah wujud dalam kalangan masyarakat.

Antaranya, rakyat Malaysia sering meraikan sambutan hari perayaan bersama-sama. Sebagai contoh,semua kaum
bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilftri dengan cara berkunjung ke majlis rumah terbuka yang diadakan. Selain
itu,masyarakat yang berbilang bangsa perlu semasa perayaan yang disambut oleh kaum yang lain.Mereka juga akan
lebih memahami serta menghormati adat dan budaya suatu kaum. Keadaan ini membolehkan masyarakat hidup
dalam suasana yang lebih harmoni.

Selain itu,aktiviti bergotong- royong akan mewujudkan semangat kerjasama antara kaum.Sebagai
contoh,masyarakat bergotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal.Hasilnya,kualiti hidup masyarakat
dapat ditingkatkan melalui persekitaran yang bersih.Selain itu,bantuan dan sokongan yang dihulurkan dapat
meringankan bebanan yang dipikul oleh setiap anggota masyarakat,bak peribahasa berat sama dipikul,ringan sama
dijinjing. Terbukti bahawa aktiviti bergotong-royong dapat memupuk semangat muhibah dan kemesraan antara
kaum. Pepatah ada mengatakan bahawa,muafakat membawa berkat,disamping menangani masalah secara
bersama.

Semangat kesukanan juga mampu memupuk perpaduan antara kaum. Misalnya,penglibatan murid-murid yang
terdiri daripada pelbagai kaum dalam suatu aktiviti sukan dapat mewujudkan kemesraan antara satu sama lain.
Semangat berpasukan juga dapat dipupuk dalam jiwa peserta tanpa mengambil kira perbezaan kaum kerana
bersatu kita teguh,bercerai kita roboh. Jelaslah bahawa aktiviti sukan dapat mewujudkan semangat kerjasama dan
mengelakkan sikap mementingkan diri. Negara juga dapat melahirkan ahli sukan yang berkualiti dan memiliki
semangat cinta akan negara.

Seterusnya, pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah turut menanam semangat perpaduan dalam
kalangan murid yang berbilang kaum. Sebagai contoh,murid-murid dapat merancang dan membuat keputusan
bersama bagi memajukan persatuan dan kelab masing-masing. Mereka juga sentiasa berkongsi idea dan maklumat
dalam menjayakan sesuatu aktiviti. Murid-murid juga dilatih agar menghormati keputusan dan idea orang lain.

Usaha untuk menarik penglibatan masyarakat dalam sambutan hari kemerdekaan juga amat berkesan demi
mewujudkan semangat perpaduan tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Melalui usaha ini semangat cinta
akan negara akan berkembang dalam diri setiap anggota masyarakat, seterusnya mendorong mereka sama-sama
menepis sebarang anasir yang boleh mengacau kemerdekaan negara.

Kesimpulannya, semua pihak tidak sewajarnya memandang enteng akan kepentingan perpaduan kaum dalam
kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Justeru, perpaduan yang terbentuk perlu dikekalkan demi
kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Langkah Mengukuhkan Perpaduan Dalam
Kalangan Rakyat Malaysia
S E P T E M B E R 1 5 T H , 2 0 1 4

Setiap tahun menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia tidak asing
lagi dengan tema sambutan yang silih berganti. Jika slogan tersebut dibaca dan diteliti, ia akan
membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan
agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain serta
saling membantu sesama jiran tetangga.

Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi
kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian
adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah
diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita
dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?

Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk
persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah sentiasa menerapkan
nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh
biar dari rebungnya.

Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga
disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau
perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan
membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai jenis kaum dan etnik.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa,
misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda
menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa
dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan
kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang
dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-
padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan
memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan
pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains,
persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah.

Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk


menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya
sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh
mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan
budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru
perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.

Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat
memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan
permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar
lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun
2013.

Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang
berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda
dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.
Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan
dalam diri mereka.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh
mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah
tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat
merosakkan rasa muhibah dan perpaduan.

Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di
negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun
Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat
pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga
setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan
bangsa.

You might also like