You are on page 1of 6

Peranan guru dalam memperkasakan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling

Menurut Amla Mohd Salleh, Zuria Mahmud dan Salleh Amat (2009),
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah bertujuan untuk membantu
murid-murid agar lebih prihatin tentang keperluan dan potensi diri serta membina
keupayaan menyelesaikan konflik diri. Sejajar dengan matlamat ini, perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling telah bermula di sekolah-sekolah negara Malaysia
semenjak tahun 1963. Bermula dari situ, KPM Malaysia telah melakukan pelbagai
usaha dan perubahan bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling yang berkesan di sekolah. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh unit
bimbingan dan kaunseling di sekolah boleh dikategori dalam enam komponen seperti
dalam Rajah 1.

Inventori,
taksiran dan
rekod
Penilaian Bimbingan

Perkhidmatan

Konsultasi dan
rujukan Kaunseling
Penempatan
dan tindakan
susulan

Merujuk kepada Rajah 1, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah


amat penting kepada murid-murid di sekolah. Inventori, taksiran dan rekod yang
dikendali oleh guru bimbingan dapat membantu mengesan murid yang memerlukan
bantuan dari segi akademik, tingkah laku, sosial atau emosi. Selain itu, murid turut
diberi bimbingan mengenai laluan kerjaya untuk membantu murid membuat pilihan
dan persediaan kerjaya mengikut potensi dan minat sendiri. Bagi murid yang
menghadapi masalah emosi atau sosial, perkhidmatan kaunseling dapat
memotivasikan murid untuk menyelesaikan masalah dengan potensi yang ada pada
diri mereka.

Sebagaimana yang kita ketahui, sebuah sekolah hanya mempunyai satu atau
dua orang guru kaunselor sahaja tetapi sedangkan sekolah mempunyai beratus-
ratus orang murid. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah
memerlukan kerjasama dan bantuan semua guru biasa. Usaha kolektif antara guru
biasa dan guru kaunselor amat penting untuk menjamin kepentingan murid. Lantaran
itu, guru biasa perlulah memainkan peranan dalam membantu guru bimbingan dan
kaunseling untuk memperkasakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di
sekolah.

Seperti mana yang kita bincangkan tadi, perkhidmatan pertama yang


disediakan adalah menyediakan inventori, tafsiran dan rekod untuk mengumpul
maklumat murid. Perkara ini merupakan antara perkara yang terpenting yang perlu
dititikberatkan oleh guru biasa terutamanya guru kelas. Biasanya, guru kelas perlu
memainkan peranan sebagai guru bimbingan untuk mengumpulkan maklumat murid
sedangkan guru kelas mempunyai masa yang lebih banyak untuk berinteraksi
dengan murid. Oleh itu, guru perlu menjalankan kerja pengumpulan maklumat
dengan menyediakan dan mengendalikan fail bimbingan bagi setiap murid. Guru
boleh menjalankan kajian selidik yang difikirkan perlu atau berguna untuk membantu
perkembangan pelajar. Contohnya, guru boleh menggunakan inventori yang
disediakan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Sehubungan itu, guru
dapat mengumpul dan merekodkan penilaian dan pentafsiran daripada inventori
tersebut yang berkaitan dengan minat, potensi diri dan personaliti murid. Selain itu,
guru juga perlu merekodkan maklumat mengenai pencapaian, kemajuan dan
prestasi pembelajaran murid dalam fail. Maklumat yang dikumpul perlu sentiasa
diselaraskan, dan dikemaskini dalam rekod agar boleh menjadi rujukan kepada guru
bimbingan dan kaunseling untuk membuat semakan serta merancang tindakan
susulan.

Tugas sebagai guru pembimbing bukan sekadar merujuk kepada guru kelas
sahaja tetapi setiap guru termasuk guru mata pelajaran mampu memainkan peranan
sebagai guru pembimbing. Sebenarnya, setiap guru merupakan mata dan telinga
kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk memerhati perlakuan murid dan
mengenal pasti murid yang bermasalah. Masalah yang biasa dialami oleh murid
adalah konflik interpersonal, konflik intrapersonal, kekurangan maklumat tentang diri
dan persekitaran serta kekurangan kemahiran seperti cara belajar, tingkah laku
asertif atau kemahiran mendengar.(Choong Lean Keow, 2010) Sehubungan itu,
guru-guru boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengenal pasti masalah murid
seperti pemerhatian, senarai semak, sosiogram, hasil karya murid, foto serta audio
dan video.

Bagi mendapat maklumat dari segi perkembangan pembelajaran murid, cara


yang dapat memberi maklumat yang bernilai adalah menerusi koleksi hasil karya
murid. Berdasarkan hasil kerja murid, guru mata pelajaran dapat menentukan tahap
pembelajaran murid secara khusus dari segi subjek yang diajar. Contohnya,
sekiranya murid sering ketinggalan dalam subjek tersebut, guru boleh membuat
pertimbangan bahawa murid tersebut memerlukan bantuan yang lebih atau
menghadapi masalah pembelajaran (slow leaner). Dari segi perkembangan sosial
pula, guru digalakkan menggunakan sosiogram iaitu peta atau rajah yang
menunjukkan pola interaksi dalam kalangan satu kumpulan murid. Kaedah ini dapat
menunjukkan dengan jelas tentang murid yang disukai ramai, murid yang dipulau
secara sosial, murid yang memerlukan bantuan, serta murid yang mempunyai
kemahiran sosial yang baik atau sebaliknya. Menerusi hasil dapatan ini, guru boleh
mengenalpasti murid yang menghadapi konflik interpersonal dalam kemahiran
berkomunikasi atau interaksi dengan rakan sebaya.

Setelah mengenalpasti masalah murid, guru biasa perlu memainkan peranan


untuk memberi bimbingan permulaan kepada murid. Perkara ini bukan sahaja dapat
membiasakan murid dengan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling malah juga
membantu mereka membuat percubaan untuk mengatasi masalah dengan potensi
diri sebelum dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling. Sebagai contoh, setelah
guru mendapati seorang murid dipulau secara sosial, guru boleh mengadakan sesi
perbualan yang peribadi dengan murid tersebut untuk menggalakkan murid mencari
jalan penyelesaian seperti melakukan perubahan tingkah laku yang positif agar dapat
bergaul dengan murid yang lain. Pada masa yang sama, guru perlu menasihati murid
yang lain untuk memberi peluang kepada murid tersebut untuk berubah.

Selain itu, guru yang memainkan peranan sebagai guru pembimbing juga
dapat membantu murid dalam pelajaran mereka. Contohnya, sekiranya guru
mengesan murid menghadapi masalah pembelajaran, guru perlulah mengambil
tindakan sewajarnya seperti mengubahsuai strategi dan kaedah pembelajaran yang
bersesuaian dengan tahap dan penerimaan murid tersebut. Guru boleh merancang
sesi pembelajaran yang seronok untuk menarik minat belajar murid. Sekiranya murid
tersebut sudah jauh ketinggalan dalam pembelajarannya, guru perlu melakukan
usaha seperti merancang aktiviti pemulihan khas. Pendek kata, seorang guru
pembimbing perlu melakukan segala usaha yang dapat membantu muridnya
sebelum menentukan murid tersebut memerlukan bimbingan dan kaunseling yang
khas. Usaha ini bukan sahaja mampu memberi peluang kepada murid untuk
melakukan perubahan, malah juga dapat meringankan beban guru bimbingan dan
kaunseling.

Selain masalah akademik dan sosial, masalah yang biasa dihadapi oleh
murid adalah tidak memahami diri sendiri dan persekitaran. Dalam hal ini, guru boleh
menyampai segala maklumat yang diketahui kepada murid contohnya yang
berkaitan dengan kerjaya masa depan. Bagi membantu murid memahami potensi
dan minat sendiri, guru boleh memberi peluang kepada murid untuk menggunakan
inventori yang disediakan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling seperti
Inventori Minat Kerjaya dan Inventori Personaliti Diri. Selepas itu, guru perlu
membuat tafsiran secara ringkas mengenai hasil skor murid-murid agar mereka
mempunyai satu gambaran mengenai hala tuju masa depan.

Walau bagaimanapun, disebabkan guru biasa tidak mempunyai pengetahuan


dan kemahiran bimbingan dan kaunseling yang profesional, guru perlu merujuk
murid yang menghadapi masalah yang lebih konflik kepada guru bimbingan dan
kaunseling agar dapat merancang tindakan susulan yang lebih sesuai. Contohnya
termasuk masalah keluarga, masalah personaliti yang rumit dan masalah
pembelajaran yang serius. Dalam hal ini, guru perlu menyediakan maklumat atau
bukti yang terkumpul mengenai murid tersebut ajar guru bimbingan dan kaunseling
dapat menjalankan tindakan susulan dengan jelas dan tepat bagi membantu murid.

Selain membantu murid menghadapi masalah, guru biasa turut memainkan


peranan yang penting dalam mendidik murid supaya mengelakkan murid terjebak ke
dalam masalah. Setiap guru bertanggungjawab memupuk murid-murid dengan tabiat
belajar yang baik serta sikap dan perlakuan yang positif. Guru perlu memberi
kesedaran kepada murid tentang kepentingan pelajaran kerana pendidikan yang
akan menentukan masa depan mereka. Guru perlu memberi nasihat dan peneguhan
secara positif agar murid berpeluang untuk mengubah diri mereka dan bersedia
menghadapi cabaran dalam proses menuntut ilmu pengetahuan. Bagi mendidik
murid yang bersikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri, guru perlu
merancang aktiviti yang dapat membentuk tabiat kerja murid yang positif. Contohnya
seperti peka terhadap masa, keyakinan diri, berani mencuba dan menghadapi
cabaran, sanggup mengakui kesalahan atau kegagalan serta kebolehan
bekerjasama dan memimpin. Sikap-sikap ini bukan sahaja dapat membantu
membentuk perlakuan dan peribadi yang positif dalam menuntut ilmu, tetapi juga
dapat menjamin kebolehan mereka untuk menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan
pada masa depan.

Seterusnya, guru biasa turut memainkan peranan yang penting untuk


menjalinkan hubungan yang mesra dengan murid-muridnya. Hubungan yang baik
antara guru dengan murid amatlah penting supaya murid berasa guru senang
didekati. Dengan itu, murid-murid akan meluahkan perasaan sebenar atau masalah
kepada gurunya apabila mereka menghadapi kesulitan atau masalah. Sebagimana
yang kita ketahui, sekolah merupakan rumah kedua murid kerana murid-murid
meluangkan masa yang panjang di sekolah. Guru-guru harus memahami kehendak
dan situasi muridnya. Oleh itu, guru perlu peka dengan masalah murid supaya dapat
memberi bimbingan dengan segera bagi mengelakkan murid membuat keputusan
yang salah. Perhubungan yang mesra ini turut membolehkan murid senang
menerima nasihat semasa dibimbing oleh gurunya dan membuat keputusan atau
perubahan tingkah laku yang positif.

Tambahan pula, guru juga memainkan peranan untuk menjadi perunding


antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Guru mesti menjalin hubungan yang baik
dengan ibu bapa dan mewujudkan satu kerjasama yang baik dengan ibu bapa murid
berkaitan perkembangan murid sama ada dari segi pencapaian kurikulum atau
kokurilukum. Guru bimbingan perlu sentiasa memaklumkan perkembangan murid
kepada ibu bapa mereka supaya ibu bapa turut memberi kerjasama untuk membantu
anak mereka. Selain itu, guru bimbingan boleh meluangkan masa untuk berjumpa
atau menghubungi ibu bapa untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam
mengenai murid yang menghadapi masalah. Melalui perbincangan dengan ibu bapa,
pelbagai strategi boleh difikirkan dan dirancang bukan sahaja di sekolah tetapi juga
di rumah. Usaha ini akan lebih memudahkan perubahan tingkah laku murid-murid.
Segala maklumat yang didapati daripada ibu bapa perlulah direkodkan ke dalam fail
murid agar dapat dirujuk oleh guru bimbingan dan kaunseling sekiranya murid
tersebut memerlukan tindakan susulan yang selanjutnya.

Akhir sekali, guru biasa juga perlu memainkan peranan dalam membantu
guru bimbingan dan kaunseling mengurus program bimbingan dan kaunseling. Guru
biasa boleh memberi idea dan cadangan untuk merancang program di sekolahnya
yang difikirkan perlu untuk membantu murid. Contohnya seperti ceramah kerjaya,
program pemupukan nilai murni, dan ceramah kemahiran membuat keputusan
rasional. Sehubungan itu, guru biasa boleh memberi bantuan untuk mengelolakan
program tersebut. Seterusnya, guru biasa perlu menilai keberkesanan program
dengan mengenal pasti kelemahan dan kekuatan program yang telah dijalankan dan
memberi cadangan untuk mengambil tindakan seterusnya. Selain itu, guru biasa
perlu menilai keberkesanan sesi kaunseling yang telah dilalui oleh murid dengan
mengesan perubahan tingkah laku. Maklumat ini perlu disampaikan kepada guru
bimbingan dan kaunseling agar dapat mengekalkan atau mengubahsuai tindakan
susulan seterusnya.
Secara tuntasnya, guru biasa perlu bekerjasama dengan guru bimbingan dan
kaunseling agar dapat menjamin kepentingan murid. Perkhidmatan yang ditawarkan
oleh unit bimbingan dan kaunseling tidak mungkin dapat dijalankan dengan berkesan
sekiranya tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada guru-guru yang lain.
Hakikatnya, peranan yang dipegang oleh guru biasa tidak dapat dinafikan
kepentingannya dalam usaha membantu murid-murid yang menghadapi masalah
atau kesulitan. Oleh itu, setiap guru perlu jelas tentang tanggungjawab dan peranan
masing-masing dalam usaha memperkasakan perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling di sekolah.

You might also like