You are on page 1of 31

INTERAKSI ANTARA TAMADUN

PENGENALAN

Manusia merupakan pembangun sesebuah tamadun, sesuai dengan hakikat kejadiannya


sebagai al-insan madaniyyun lil tabiyy. Oleh itu, tamadun mempunyai ciri-ciri dan nilai-nilai sejagat
sesuai dengan fitrah dan keperluan asas kehidupan manusia. Manusia sudah difitrahkan hidup
dengan mempunyai pegangan dan kepercayaan. Namun kepercayaan antara kelompok manusia
adalah berbeza. Perbezaan wujud pada sudut fahaman dan anutan serta cara melahirkan
ketundukan dan kepatuhan, kesan dari latar belakang, persekitaran dan pengalaman hidup yang
berbeza. Perbezaan ini merangkumi persoalan falsafah dan konsep sesuatu pegangan dan
kepercayaan. Dalam konteks Malaysia, perbezaan tetap wujud walaupun etnik yang berbeza ini
sama-sama berada dalam satu unit politik yang sama. Persamaan ini pula merujuk kepada
persamaan persoalan pokok, iaitu mempunyai pegangan dan kepercayaan serta amalan-amalan dari
sesuatu kepercayaan. Contoh persamaan yang jelas ialah kepercayaan dan pegangan keseluruhan
Tamadun Asia kepada kuasa ghaib. Kuasa ini memberi kesan kepada kehidupan manusia di alam
nyata seperti sihat, sakit, aman, malapetaka, miskin dan kaya. Namun antara setiap tamadun
mempunyai tafsiran dan kepercayaan masing-masing terhadap kuasa ghaib. Kuasa ghaib ini di
katogerikan kepada dua tanggapan, iaitu kuasa ghaib yang terasing dan tidak sama dengan alam dan
kuasa ghaib yang berada di alam. Dalam perbincangan teologi, hal ini dikenali dengan kuasa yang
trancendent (tanzih). Tanggapan kedua terhadap kuasa ghaib ini adalah immanent (tashbih).

Melalui perbezaan dan persamaan ini, negara-negara di Asia telah berjaya mewujudkan
interaksi antara pelbagai tamadun yang berjiran sejak beberapa dekad silam dan terbukti dapat
terjalin secara harmonis. Sebagai contohnya, interaksi antara Tamadun Cina dan Islam terjalin melalui
Laluan Sutera dan Tamadun India dengan Alam Melayu melalui laluan lautan Hindi. Antara tamadun-
tamadun ini tidak wujud satu pertembungan yang bersifat konflik seperti yang diistilah oleh S.
Huntington sebagai Clash of civilization. Satu ciri sepunya yang dikongsi bersama dan berfungsi
membangun tamadun-tamadun besar Asia ialah kerana dasar pembinaannya berteras kepada nilai
keagamaan dan etika. Sebaliknya, pasti berlaku konflik lantaran perbezaan nilai yang ketara antara
dua tamadun seperti pertembungan tamadun moden yang jelas didominasi oleh Tamadun Barat
dengan Tamadun Timur yang berteras nilai tradisional. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa selepas
kedatangan penjajah Barat ke beberapa negara di Asia sejak abad ke 16 masihi telah mencetuskan
rangkaian konflik hingga masa kini.

Kerencaman tamadun dan budaya di Asia walaupun pernah tercalar oleh beberapa
konflik dalaman seperti konflik antara agama dan etnik di India, Sri Langka dan lain-lain wilayah, tidak
bererti perbezaan lebih dominan berbanding persamaan yang wujud antara tamadun-tamadun ini.
Sejarah ketamadunan Asia telah membuktikan wujud interaksi antara tamadun yang membawa
kepada perkongsian ilmu dan teknologi, pertukaran nilai dan budaya serta perpaduan peringkat
nasional.

Dalam sejarah Malaysia, Perlembagaan Malaysia menjadi sumber rujukan dan bukti utama wujudnya
interaksi antara tamadun. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah laluan perdagangan dan
kebudayaan Asia telah mendedahkan negara ini kepada pelbagai pengaruh yang tercerna hasil
interaksi dengan tamadun-tamadun berhampiran. Justru itu, pengaruh Tamadun Islam, China, India
dan juga tamadun pribumi jelas ketara dan memberi kesan besar kepada nilai dan budaya
masyarakat Malaysia, tanpa menafikan hak ketuanan Melayu sebagai bangsa peribumi dan bangsa
yang menunjang ke arah pembinaan dan perkembanagn tamadun negara ini.

2.1 INTERAKSI ANTARA TAMADUN

2.1.1 Kepimpinan

Faktor ini merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun di Asia. Ini
kerana seandainya pemimpin atau raja bersikap adil dan toleran, maka interaksi akan berlaku dalam
aman dan damai. Fenomena sebaliknya akan berlaku seandainya pemimpin bersikap kuku besi dan
tidak bersikap toleransi kepada rakyat jelata. Sejarah telah membuktikan dua sikap berbeza di
kalangan para pemimpin seperti contoh di bawah:
* Nabi Muhammad SAW: Tidak menyekat orang Yahudi dan Kristian dalam pemerintahan Madinah,
sebaliknya hak mereka dilindungi undang-undang.
* Kerajaan Islam Ghaznawi, Delhi dan Moghul di India: Bertoleransi kepada penganut Hindu malah
pegawai dilantik dari kalangan mereka.

Terdapat juga contoh pemimpin yang tidak bertoleransi seperti yang dapat dilihat pada Sultan
Shamsuddin Altamish di India yang bertindak keras terhadap penganut Hindu. Demikian juga dengan
Han Wu Ti dalam Dinasti Han telah melaksanakan dasar memihak kepada cendikiawan
Konfusianisme berbanding sami Buddha.

2.1.2 Sikap Golongan Agama


Faktor ini menjadi tunggak kepada kelangsungan hidup beragama secara harmoni. Golongan ini
wujud dalam setiap masyarakat beragama tamadun Asia. Golongan agama dalam Tamadun Islam
dimiliki oleh para ulama. Tamadun India yang berteras kepada agama Hindu disandang oleh minoriti
kasta Brahmin. Golongan agama dalam kepercayaan Buddha pula didokong oleh sami. Golongan
agama dalam fahaman Krisitian pula dikuasai oleh paderi.

Kesemua golongan agama berusaha mewujudkan suasana harmoni dan memberi penekanan sifat
keinsanan. Sebagai contohnya, sikap dan akhlak mulia yang dipamerkan ulama Islam di Alam Melayu
memudahkan berlakunya interaksi dan Islamisasi. Mereka telah berjaya memberi tasawwur Islam
(pandangan Islam) yang sebenar kepada penduduk Alam Melayu. Mereka juga telah membentuk
pendidikan formal dengan mendirikan beberapa institusi yang dikenali dengan pelbagai nama seperti
pondok, pesantren, madrasah dan dayah (Acheh). Hasilnya, muncul ramai ulama di rantau Alam
Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al-Singkeli dan lain-lain.

Walaupun ada sikap sesetengah golongan agama yang mencetuskan konflik namun tragedi ini tidak
mengguris sedikit pun martabat agama dalam pemikiran masyarakat Asia. Agama dan golongan
penguasanya tetap berada pada kedudukan yang tinggi. Antara contoh sikap golongan agama yang
mencetuskan konflik seperti tindakan Paus Urban II sama ada mengadakan perjumpaan besar-
besaran dengan penganut Kristian di Perancis pada tahun 1095 M. Beliau menyeru penganut Kristian
supaya memerangi orang Islam yang dikatakan bertindak zalim pada penganut Kristian. Demikian
juga sikap seorang pemerintahan Dinasti Han yang menangkap dan memenjarakan segolongan sami
dan penganut Buddha. Kedua-dua tindakan pemimpin ini telah mencetuskan konflik dalam
masyarakat.

2.1.3 Kedudukan Geografi

Kedudukan geografi melibatkan bentuk muka bumi dan kemudahan perhubungan dalam sesebuah
masyarakat bertamadun. Sejarah membuktikan kedudukan geografi memainkan peranan sebagai
pembentuk interaksi antara tamadun. Contoh berikut memperlihatkan peranan geografi:

i. Cina: Interaksi antara tamadun asing pesat berlaku kerana terdapat 2 laluan iaitu laluan sutera yang
menggunakan jalan darat dan jalan laut. Laluan perhubungan ini telah menyebabkan Cina mampu
menjalin interaksi dengan negara Arab sejak tahun 3 Masihi lagi. Laluan sutera darat ini telah
menghubungkan Cina dengan Khurasan, Samarqand, Xinjiang hingga ke Peking. Laluan laut pula
merentasi Laut Arab ke Benua Kecil India, Kepulauan Melayu hingga ke Canton di tenggara Cina.
Laluan ini membolehkan kedua negara ini berinteraksi dan menjalankan aktiviti perdagangan.
Terdapat catatan mengatakan kapal-kapal Cina telah pun sampai di Teluk Parsi dan berdagang di
Pelabuhan Siraf pada 5 Masihi.

ii. Pelabuhan Melaka Kedudukan geografi yang strategik dan terlindung dari angin monsun
menjadikan pelabuhan ini tempat tumpuan dan persinggahan para pedagang. Semasa singgah di
pelabuhan ini para pedagang telah menjalankan aktiviti perniagaan di pelabuhan Melaka.
2.1.4 Perkahwinan

Perkahwinan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan interaksi antara tamadun Asia.
Contoh yang jelas dapat dilihat pada lembaran sejarah dan salasilah masyarakat di rantau Alam
Melayu. Penduduk tempatan telah menjalinkan interaksi dengan pedagang Arab sahingga terdapat
sebilangan pedagang yang telah berkahwin dengan gadis tempatan kerana telah bermukim di
pelabuhan Alam Melayu dalam beberapa waktu sementara menunggu angin monsun. Secara tidak
langsung perkembangan ini telah menjurus ke arah proses Islamisasi kerana bagi membolehkan
wanita tempatan berkahwin dengan pedagang Arab yang beragama Islam, wanita tersebut mesti
diislamkan terlebih dahulu. Sejarah turut mencatatkan, perkahwinan ini tidak sahaja mengislamkan
gadis tempatan yang dikahwini pedagang Arab, tetapi kaum keluarga gadis turut menerima Islam.
Selain itu, perkahwinan bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat jelata, malah juga berlaku di
kalangan golongan bangsawan dan pemerintah. Sebagai contohnya, perkahwinan Megat Iskandar
Shah dengan Puteri Pasai.

2.1.5 Perdagangan

Aktiviti perdagangan turut menjadi faktor penjalin interaksi antara tamadun. Sebagai contohnya
hubungan perdagangan yang berlaku antara Arab dan Cina melalui jalan darat dan laut. Hubungan
telah terjalin sejak 3 Masihi lagi dan semakin rancak pada abad 8 Masihi. Pedagang Arab dan Parsi
telah membuat penempatan seperti di Kwang Cho (Canton), Chang Chow dan Chuan Cow. Mereka
juga telah mendirikan masjid di Guangzhou dan Guanzhou. Situasi ini membuktikan berlaku
Islamisasi di wilayah ini.

Contoh lain ialah interaksi yang terjalin antara tamadun Alam Melayu di Asia Tenggara dengan negara
Arab. Jalinan ini berlaku secara tidak langsung apabila pedagang Arab yang menuju ke Cina terpaksa
singgah ke Alam Melayu untuk menunggu angin yang sesuai sebelum ke Cina atau pulang ke Arab.
Persinggahan ini telah menghasilkan interaksi baru di rantau Alam Melayu. Hal yang lebih
menguntungkan ialah berlakunya proses Islamisasi di pelabuhan ini sebagaimana catatan Marco Polo
tentang pengislaman Perlak pada tahun 1292 M. Para pedagang telah berjaya menarik minat
penduduk Perlak terhadap Islam dan akhirnya mereka bersediaanutan baru ini. Kejayaan para
pedagang yang boleh dikatakan sebagai serampang dua mata banyak bergantung kepada
keyakinan mereka kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Sampaikan dariku walaupun satu
ayat." Selain itu, wujud juga interaksi antara Tamadun India dengan rantau Alam Melayu sejak kurun
pertama masihi lagi. Kesan interaksi ini menyebabkan nama wilayah Asia Tenggara dicatat dalam
kitab Ramayana seperti isrilah Suvarnadvipa yang bermaksud Semenanjung Emas dan
Suvarnabhumi yang bermaksud Bumi Emas.

2.1.6 Misi Politik

Faktor misi politik turut menggalakkan berlakunya interaksi dalam suasana harmoni sebagaimana
yang dapat dilihat pada hubungan diplomatik antara Alam Melayu dengan Cina. Berdasarkan catatan
sejarah Melaka hubungan diplomatik dengan Cina telah terjalin sejak tahun 1404 M. Pada tahun-
tahun berikutnya, Melaka telah menerima beberapa utusan dari Cina yang kemudiannya Melaka telah
membalas utusan tersebut. Tujuan Melaka mengadakan hubungan baik dengan Cina adalah untuk
mendapat perlindungan dari ancaman Siam. Persetujuan Cina terbukti dengan penghantaran
Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam ke Melaka. Dasar perlindungan Cina terhadap negeri-
negeri di rantau Alam Melayu yang bertujuan politik secara tidak langsung menggalakkan Islamisasi
di rantau Alam Melayu. Perlindungan ini juga memberikan impak yang sama kepada negeri-negeri di
Kepulauan Melayu yang lain seperti Kedah, Johor, Kampar dan sebagainya.

2.2 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN

Di antara persamaan dan perbezaan antara tamadun adalah merangkumi aspek-aspek berikut:

2.2.1 Teologi/ketuhanan dan kerohanian

Semua tamadun menekankan konsep ketuhanan dan mempunyai dokrin serta amalan-amalan
tertentu sama ada berbentuk spiritual mahupun ritual. Begitu juga dari sudut kepercayaan lain seperti
kehidupan selepas mati, kepercayaan terhadap pembalasan perbuatan manusia di dunia dan lain-lain
yang bersangkutan dengan perbuatan manusia. Perbezaan yang ketara berpunca daripada
manifestasi ketuhanan yang ada pada setiap agama.

Konsep ketuhanan dalam tamadun Islam adalah tauhid. Konsep tauhid dalam Islam berbeza dengan
manoteisme dalam agama Kristian dan Hindu. Tauhid menekankan kepercayaan kepada Tuhan yang
Maha Esa. Syirik adalah lawan kepada kepercayaan Tauhid dan ditolak oleh Islam. Dalam tamadun
Islam, hak kebebasan beragama adalah terpelihara seperti tercatat dalam Perlembagaan Madinah.
Perkhabaran ini disampaikan terus dari Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:

Katakanlah: Dialah Allah Yang Esa. Allah tempat bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak
beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang setanding dengan-Nya.
(al-Ikhlas: 1-3)

Pada peringkat awal, agama Kristian merupakan agama samawi yang mempercayai Tuhan yang Esa
(tauhid). Namun ia telah dipengaruhi oleh unsur-unsur khurafat dan pemujaan kepada Isa al-Masih
apabila Paul menganut Kristian pada tahun 38 M. Sebelum menerima agama Kristian, beliau
merupakan penentang kuat agama dan penganut Kristian (An-Nadawy, 1984:32). Ini merupakan titik
peralihan dalam pengajaran agama Kristian (Ahmad Shalaby, 1978: 67) Hal ini dirakamkan dalam
Bible atau al-Kitab1, bab kisah para rasul 9: 19b-20:

Ketika itu juga ia memberitakan Jesus di rumah-rumah ibadat, dan mengatakan bahawa Jesus
adalah anak Allah.
Sehubungan itu, muncul fahaman baru dalam ajaran Kristian. Kepercayaan monoteisme dalam
agama Kristian telah diubahsuai berasaskan kepada Trinity atau Tri-Tunggal yang terdiri daripada tiga
oknum iaitu Tuhan anak, Tuhan bapa dan Roh al-Kudus (Ahmad Shalaby, 1978: 82-83) yang bersatu
menjadi satu. Inilah yang dikatakan Tiga dalam satu dan satu dalam tiga.

Demikian juga teologi agama Hindu. Moniteisme dalam agama Hindu berasaskan kepada Trimurti
iaitu menempatkan tiga dewa yang menjadi sembahan mereka, (A. Rahman Abdullah, 1989:25) iaitu:
1. Brahma - Dewa pencipta sebagai sumber kepada semua kewujudan.
2. Vishnu - Dewa pemelihara.
3. Siva - Dewa pemusnah

Pada asasnya, penganut Hindu mempercayai kewujudan satu Tuhan yang agung iaitu Brahma (M.
Arif Kasmo, 1999). Namun penyembahan terhadap Tuhan Yang Satu tidak dapat dipertahankan
kerana agama Hindu membolehkan Tuhan digambarkan dalam pelbagai bentuk dan penjelmaan
dewa sehingga melahirkan pelbagai bentuk patung sembahan. Malah ada yang berpendapat konsep
ketuhanan dalam agama Hindu adalah bersifat Politeisme.

Konsep hidup selepas mati dalam Islam merupakan sebahagian daripada kepercayaan terhadap hari
akhirat. Manusia akan diadili dan diperlihatkan segala amal semasa di dunia. Allah berfirman yang
bermaksud:
Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihat
(balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun nescaya dia akan
melihat (balasan)nya pula.
(al-Zalzalah: 7-8)

Pada masa ini segala perbuatan manusia yang baik akan dibalas baik seperti menikmati kehidupan
syurga. Manakala yang durhaka kepada Allah SWT akan dibalas dengan keburukan seperti
kesengsaraan hidup di neraka. Allah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka
Jahannam. Mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.
Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda
kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepad Tuhannya.
(al-Bayyinah: 6 - 8).

Doktrin karma yang merupakan doktrin asas dalam agama Hindu mempunyai persamaan dengan
doktrin karma dalam agama Buddha yang berkaitan rapat dengan konsep re-inkarnasi (kelahiran
semula atau penjelmaan semula). Karma merupakan konsep pembalasan setimpal terhadap usaha
dan perlakuan manusia yang baik dibalas baik, yang jahat akan menerima balasan buruk (Azhar
Mat Aros dll, 2000:63). Inilah yang disebut sebagai hukum karma dalam masyarakat Melayu.

Terdapat perbezaan dalam konsep re-inkarnasi dalam agama Hindu dan Buddha. Konsep re-
inkarnasi dalam agama Hindu membawa maksud seseorang itu akan menjelma semula selepas
kematiannya dalam bentuk manusia. Konsep ini berasal dari penjelmaan semula dewa-dewa Hindu.
Dalam ajaran agama Hindu, kehidupan merupakan kesengsaraan dan kelahiran semula yang
berulang-ulang mengundang kesengsaraan selagi mereka tidak mencapai mokhsya. Kelahiran
semula yang berulang-ulang dan terus menerima kesengsaraan dikenali sebagi Samsara. Penganut
Hindu mengharap terlepas dari rantaian reinkarnasi dengan mencapai tahap mokhsa (M. Arif Kasmo,
1999).

Peringkat pertama ajaran Buddha berpusat kepada ajaran untuk melenyapkan karma, memutuskan
lingkaran Samsara dan seterusnya mencapai Nirwana. Cara untuk mencapai pembebasan mutlak
dari lingkaran Samsara terdapat pada doktrin Aryasatyani yang disebut sebagai Empat Kebenaran
Utama (A. Rahman Abdullah: 23), iaitu:
* Hidup adalah penderitaan.
* Penderitaan disebabkan keinginan memenuhi keperluan dunia.
* Penderitaan dapat dihapuskan dengan menindas hasrat atau kehendak.
* Cara menyingkirkan hasrat adalah melalui Astamarga atau Jalan Lapan Lapis.

Dalam aspek perbuatan manusia yang mengaitkan dosa dan pahala, Islam meletakkan konsep taubat
kepada Allah SWT sebagai jalan pengampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan dengan
syarat-syarat tertentu. Manakala dalam agama Kristian pengampunan boleh didapati dengan jalan
membuat pengakuan dihadapan seorang padri di gereja.

Dalam konteks Malaysia, hak-hak kebebasan beragama telah dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan Malaysia, Perkara 11 (1) yang menyebutkan seperti berikut:
Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal
(4) untuk mengembangkan agamanya.

Sehubungan itu, untuk mewujudkan suasana bersatu padu walaupun rakyatnya terdiri dari pelbagai
kaum dan kepercayaan, Malaysia wajar menetapkan Rukun Negara 1 (Kepercayaan kepada Tuhan)
kerana kewujudan Tuhan diakui oleh semua agama.

2.2.2 Undang-undang atau peraturan hidup bermasyarakat

Undang-undang merujuk kepada peraturan-peraturan hidup yang wujud dalam masyarakat, sama
ada secara lisan mahupun secara bertulis. Undang-undang ini dihormati dan dipatuhi oleh setiap ahli
dalam masyarakat. Semua tamadun mempunyai undang-undang dan peraturan dan perbezaannya
hanyalah dari segi sumber, penguatkuasaan dan beberapa persoalan pokok lain.

Tamadun Islam mempunyai sumber asas yang hakiki iaitu bersumberkan wahyu dalam bentuk al
Quran dan al Sunnah. Sifatnya yang kekal, memiliki kekuatan dan ketahanan dalam menempuh
tentangan zaman. Di samping sumber ijtihad para cendikiawan muslim, terdapat sumber lain yang
diperakui daripada tamadun terdahulu yang menepati sifat keterbukaan tamadun Islam.

Dalam konteks hidup bermasyarakat, Islam menggalakkan hidup saling kenal mengenal antara satu
sama lain seperti yang termaktub dalam pengertian surah al-Hujurat: 13 yang bermaksud :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan
Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya).

Malah diskriminasi adalah merupakan satu jenayah. Di bawah konsep hidup bersama dan saling
mengenali ini lahir dasar-dasar lain seperti kebebasan beragama, hak keselamatan, keadilan dan
perundangan yang semuanya dijamin oleh pemerintah. Inilah yang diamalkan oleh negara Islam
Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dan prinsip ini kekal hingga ke hari kiamat (Idris
Zakari, 2003: 29-46).

Manakala sumber undang-undang dan peraturan hidup dalam tamadun lain terletak pada pemikiran
para pujangga dan cerdik pandai di kalangan mereka. Contohnya, Tamadun Cina berasaskan kepada
falsafah Kung Fu Ze dan Taoisme serta ajaran Gautama Buddha. Pemikiran mereka mengandungi
beberapa peraturan, tata cara atau perilaku seseorang dalam kehidupan dan persekitaran. Dalam hal
ini, Kung Fu Ze menekankan konsep kesederhanaan atau jalan tengah sebagai dasar panduan bagi
perhubungan dan kesusilaan. Dalam masyarakat, kasih sayang ditujukan kepada sekelian manusia.

Dalam Tamadun Melayu, orang Melayu telah mengenal Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang
Laut Melaka lebih sepuluh abad yang lalu (Undang-Undang Melaka, 2003) seterusnya diikuti oleh
undang-undang negeri yang lain. Orang Melayu juga memiliki peraturan hidup bermasyarakat yang
disebut sebagai hukum adat atau sistem nilai Melayu (Ali Taib & Hashim Musa, 1978: 84). Hukum
adat orang Melayu tidak menyimpang daripada kehendak syara. Seperti kata perbilangan Melayu:
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi kitabullah

Dalam konteks hidup bermasyarakat, orang Melayu masih kental dengan semangat perpaduan dan
saling tolong menolong antara satu sama lain. Perasaan persaudaraan dan sikap saling bantu
membantu ini tergambar dalam melakukan kerja-kerja berat secara bersama. Bak kata pepatah
Melayu:
Serasa sepenanggungan
Ke bukit sama didaki
Ke lurah sama dituruni
Yang berat sama di pikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama di lapah
Hati kuman sama dicicah
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Inilah gambaran kehidupan bermasyarakat di kalangan orang Melayu yang amat sesuai dengan cara
hidup Islam seperti yang terakam dalam beberapa surah al Quran di bawah :

Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

(al Hujurat : 10)

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan
nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara
(ali Imran : 103)

dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah
kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar
perintahNya).

(al Maidah : 2)

Fenomena ini telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian, malah jati diri bangsa Melayu
(Hamdan Hassan & Sofian Mohamad, 1978:17-40).

Dalam konteks Malaysia, penggunaan undang-undang syara terletak dalam bidang kuasa negeri-
negeri yang meletakkan raja sebagai ketua agama seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (2)
Perlembagaan Persekutuan. Bagi negeri-negeri yang tidak beraja dan wilayah-wilayah persekutuan
kuasa agama terletak di bawah bidang kuasa Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama. Ia
selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (3) dan Undang-Undang Anak
Negeri yang masih diamalkan dikalangan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam
kehidupan seharian masyarakat Malaysia, walaupun berbilang kaum dan keturunan serta
kepercayaan, sikap berbaik-baik dan saling menghormati antara satu sama lain menjadi kunci
perpaduan bagi meneruskan tamadun bangsa. Amalan berbudi bahasa dan saling menghormati kini
dijadikan slogan Negara, Berbudi bahasa amalan hidup kita. Anjuran amalan hidup begini tiada
tentangan daripada pelbagai kaum di Malaysia

2.2.3. Etika

Etika merupakan perilaku atau tingkah laku yang baik, disanjung dan diambil berat oleh setiap
tamadun Asia. Perbezaan dari sudut sumber dan pandangan sarwa jagat setiap tamadun boleh dilihat
pada aspek-aspek berikut:

i. Aspek politik dan Pemerintahan


Kebanyakan tamadun tradisional di dunia menekankan aspek moral dan akhlak sebagai asas politik
dan kerajaan. Islam meletakkan politik dan kepimpinan sebagai suatu perkara penting dalam cara
hidup Islam atau ad-Din. al-Quran dan al-Sunnah merupakan rujukan dalam pemerintahan dan
kepimpinan. Prinsip utama yang diberikan penekanan oleh Rasulullah SAW ialah prinsip syura,
adalah, musawah dan hurriyah. Oleh itu, pemimpin dilantik dari kalangan individu yang layak dan
mampu melaksanakan keadilan dan menunaikan amanah kepimpinan. Amanah ini merupakan
tunggak kepada kesejahteraan masyarakat. Sistem syura yang diamalkan membawa keadilan
sejagat. Konsep mesyuarat atau syura ini telah diteruskan oleh para khalifah selepas kewafatan Nabi
SAW.

Konsep dewaraja telah diamalkan dalam tamadun awal masyarakat Melayu. Raja merupakan
manusia suci yang mesti dihormati dan dipatuhi (A. Rahman Abdullah:26-27). Lanjutan itu, konsep
daulat dan kesetiaan kepada raja mengambil tempat selepas kedatangan Islam. Raja dianggap
sebagai wakil Tuhan atau dikenal sebagai khalifah dalam Tamadun Islam (lihat al-Baqarah, 2:30)
Konsep kesetiaan kepada raja melahirkan kata-kata Pantang Melayu derhaka. Penderhakaan
merupakan jenayah paling berat dalam budaya Melayu seperti hukuman yang diterima oleh Hang
Jebat. Dalam tradisi Islam, raja atau pemerintah dituntut supaya berlaku adil dan menjauhi kezaliman.
Trajedi yang berlaku terhadap Megat Seri Rama seperti mana yang digambarkan dalam sejarah
Sultan Mahmud Mangkat dijulang perlu dijadikan sempadan. Hubungan raja dengan rakyat
digambarkan dengan kata-kata; Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah (A. Aziz
Deraman, 2005:111-142). Contoh pembesar atau pegawai kerajaan yang baik dibawakan oleh Hang
Tuah sebagai pahlawan Melayu yang patuh dan setia kepada raja. Demikian juga kesetiaan Tun
Perak kepada Sultan Melaka.
Selepas melalui era penjajahan lebih empat abad lamanya (1511-1957M), Tanah Melayu telah wujud
sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Negara ini mengamalkan sistem politik dan
pemerintahan Raja Berperlembagaan, iaitu Raja sebagai payung negara dan rakyat berlindung di
bawahnya. Yang Dipertuan Agong merupakan pelindung kepada hak-hak istimewa orang Melayu
seperti yang tercatat pada Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. Ia kemudiannya diikat kukuh
dengan kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum yang ada di Malaysia.

Dalam Tamadun Cina, ajaran Konfusius telah memberi garis panduan hubungan antara pemerintah
dengan rakyat. Pemerintah mesti berperanan sebagai bapa kepada rakyatnya. Maknanya, seorang
raja mesti memiliki moral yang tinggi kerana berfungsi sebagai pelindung kepada rakyat. Jika
sebaliknya yang berlaku, mandat ini akan ditarik balik oleh Tien (Tuhan), namun rakyat tidak
dianjurkan supaya menentang raja. Seorang pengikut Konfusius menyifatkan raja umpama kapal
manakala rakyat umpama air (Azhar Mad Aros.: 70). Di sini wujud konsep bantu-membantu antara
satu sama lain dan raja mesti bersikap adil terhadap rakyat.

Tamadun Barat mengamalkan sistem demokrasi dalam pemerintahan selepas berada dalam
pemerintahan bersifat otokrasi atau sistem beraja yang bersifat monarki yang berlanjutan. Ia diambil
dari sistem demokrasi Yunani yang berkonsepkan pemimpin dilantik oleh orang ramai, dikalangan
orang ramai dan untuk orang ramai (Ahmad Rashidi Hasan, 2005: 44). Ini adalah kesan dari gerakan
Renaissance (1350-1600M) yang wujud dalam tamadun Barat.

ii. Aspek pendidikan

Pendidikan merupakan aspek terpenting dalam setiap tamadun. Ia bertujuan membentuk peribadi
seseorang individu dan menghapus kejahilan yang boleh menghalang peningkatan minda dan
intelektual masyarakat. Menyebar dan mencari ilmu pengetahuan merupakan tugas manusia yang
dipandang mulia oleh setiap tamadun.

Dalam Tamadun Islam, pendidikan Islam berteraskan tauhid. Proses pendidikan bermula pada
peringkat seawalnya, iaitu sejak kelahiran seseorang hinggalah ke saat kematian. Ia bukan saja
melibatkan proses pemindahan dan pembudayaan ilmu seperti yang terkandung dalam surah
al-Alaq: 1-5, tetapi turut menjurus kepada proses mendidik roh, akal dan jasad yang mampu
melahirkan seorang insan berakhlak mulia, intelektual dan profesional. Elemen ini amat penting dan
merupakan pra-syarat bagi seorang manusia yang akan berfungsi sebagai penggerak tamadun.

Dalam Tamadun Melayu, isu pendidikan begitu ketara apabila orang Melayu menerima Islam. Wujud
dua institusi pendidikan Islam terawal di kalangan orang Melayu, iaitu rumah alim ulama, tuan guru
dan juga istana. Institusi ini menainkan peranan penting dalam pembentukan budaya ilmu masyarakat
Melayu. Pada zaman seterusnya, institusi pendidikan lebih beroperasi ditempat yang disediakan
khusus untuk melaksanakan pendidikan masyarakat Melayu, iaitu di madrash, surau, pondok,
pesantren, dayah dan lain-lain.

Pada masa pemerintahan British, anak-anak bangsawan Melayu mendapat pendidikan di institusi
pendidikan yang ditubuhkan oleh British seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1905.
Pendidikan di sekolah ini tidak berteraskan pendidikan Islam. Dengan kata lain, sekolah ini
menggunakan kurikulum yang berbeza dari pendidikan yang rata-rata diterima oleh sebahagian besar
masyarakat Melayu. Tahap tertinggi pendidikan di sekolah ini ialah menyambung pelajaran ke institusi
pendidikan di Barat terutamanya di London. Bagi masyarakat Melayu bawahan, mereka masih tetap
mendapat pendidikan tertinggi dalam sistem pendidikan Islam. Mereka berpeluang meneruskan
pengajian ke universiti di Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti
Madinahmahupun institusi pengajian tinggi di Mekah (Abdullah M. Zin, 2005:18)

Pendidikan Barat di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya sekolah-sekolah bercorak keagamaan
ala-barat. Sekolah pertama adalah Sekolah St. Paul di Melaka yang didirikan oleh Francis Xavier
pada tahun 1550-1553 M (Khoo Kay Kim, 1992:62). Selain itu, terdapat banyak lagi sekolah-sekolah
missionari yang didirikan seperti Sekolah Methodist, Convent, St. John, St Teresa, St. Gabriel dan
lain-lain.

Ajaran agama Buddha dan Hindu turut menekankan aspek pendidikan yang berlaku melalui proses
mencari diri sendiri (self-discovery). Ilmu dan amalan kerohanian juga merupakan elemen penting
dalam melahirkan seorang yang baik.

iii. Aspek ekonomi

Kelangsungan sistem ekonomi dalam tamadun awal manusia menjadikan moral sebagai paksi utama.
Dari fahaman ini muncul hak-hak kehidupan yang seimbang antara ekonomi dan moral. Nilai yang
hampir sama wujud dalam semua tamadun. Antaranya menolak amalan rasuah, penipuan dan
penindasan. Sebagai gantinya amalan-amalan murni dalam kegiatan ekonomi seperti membuat
kebajikan, bersedakah dan membela golongan miskin dan lemah amat dianjurkan.

Kegiatan ekonomi dalam Islam turut berfungsi untuk mempertingkatkan akhlak individu dan
masyarakat. Konsep halal dan haram serta untung rugi banyak dibicarakan di dalam al-Quran. Ini
bertujuan untuk menjelaskan pentingnya konsep ini diambil kira dalam kehidupan seharian. Penipuan,
riba dan bentuk-bentuk penyelewengan lain adalah ditegah dalam Islam. Walaupun terdapat banyak
batasan mengenai kegiatan ekonomi dalam Islam, Rasulullah SAW tetap menekankan kepentingan
aktiviti ekonomi melalui sabdanya yang bermaksud Sembilan persepuluh rezeki adalah daripada
sumber peniagaan dan perdagangan.
Zakat pula merupakan unsur ekonomi Islam yang berfungsi memberi jaminan sosial kepada
masyarakat Islam. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah atau zakat badan yang berfungsi
untuk membersih diri, tetapi juga zakat perniagaan dan lain-lain. Ia merupakan satu bentuk kebajikan
dalam masyarakat Islam terutama kepada golongan yang berhak menerimanya yang terdiri daripada
8 asnaf. Malah zakat mampu mempertingkat kualiti kehidupan golongan fakir dan miskin dan menjana
ekonomi mereka di samping umat Islam seluruhnya. (Norsiah Sulaiman, 2004:84-85). Pelbagai sektor
ekonomi digalakkan oleh Islam termasuk pertanian, penternakan, pembuatan, perlombongan,
perindustrian dan aktiviti import dan eksport yang hasilnya menjadi sumber pendapatan negara Islam
yang terkumpul di dalam institusi kewangan umat Islam yang dikenali sebagai Baitulmal.

Ajaran Buddha menganjurkan Jalan Lapan Lapis (eight fold path). Ia bertujuan supaya manusia dapat
menjalani hidup dalam keadaan suci dan bersih daripada sebarang runtunan hawa nafsu yang
disebut sebagai Astamarga.

Tamadun Cina yang dipengaruhi kuat oleh falsafah Konfusius memandang rendah kepada golongan
pedagang kerana menganggap golongan ini sentiasa terlibat dengan penipuan dan keuntungan yang
dilihat sebagai elemen-elemen buruk. Justeru itu, fahaman ini lebih memberi perhatian kepada
golongan petani.

Tamadun Barat yang berasaskan pemikiran sekular dan ideologi manusia memperkenal sistem
ekonomi kapitalis yang lebih mengutamakan keuntungan material dan kebangkitan individu atau
kumpulan tertentu sebagai kuasa pasar. Sistem ini berdasarkan teori Adam Smith (1723-1790M).
Bagi Smith, sistem pengeluaran sesebuah negara terdiri daripada tiga unsur iaitu sumber alam,
sumber manusia dan stok barang (kapital) yang ada. Hal ini jelas dibicarakan dalam bukunya Wealth
of Nation (1776) yang menghuraikan secara terperinci pertumbuhan ekonomi kapitalis (Boediono,
1982:14). Pengamalan sistem ekonomi kapitalis telah mendorong ke arah penubuhan institusi
kewangan atau bank di Barat seawal tahun 1587M.

Dalam konteks Malaysia, negara ini mengamalkan ekonomi konvensional, namun ekonomi Islam
telah mula dilaksanakan dalam bidang kewangan Islam apabila tertubuhnya Bank Islam Malaysia
Berhad dibawah Akta Bank Islam 1982. Selanjutnya Takaful Islam telah diwujudkan di bawah Akta
Takaful 1984, Pajak Gadai Islam (al-Rahn), Sekuriti Islam dan Bon Islam. Hari ini sistem muamalat
Islam telah diterima sebagai suatu sistem yang diterima pakai oleh semua kaum di Malaysia.

iv. Aspek kekeluargaan

Aspek kekeluargaan dan masyarakat diterima oleh hampir semua tamadun di dunia. Tamadun Islam
meletakkan institusi keluarga sebagai asas pembentukan sebuah masyarakat. Apabila masyarakat
baik, maka wujudlah ummah dan negara yang baik. Sumber masyarakat baik adalah al-Quran,
Sunnah Rasul-Nya dan ijtihad para ulama. Tamadun Islam menetapkan darjat manusia semua
adalah sama di sisi Allah SWT. Kelebihan seseorang dalah ketaqwaannya kepada Allah SWT dan
juga pemilikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Oleh kerana itu, tidak ada kelebihan orang Arab
dari orang ajam (bukan Arab)

Ajaran Konfusius yang menjadi asas Tamadun Cina menekankan pentingnya hubungan kasih sayang
dan hiraki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Kasih sayang mewujudkan hubungan harmoni
dalam masyarakat. Konfusius memperkenalkan konsep Li yang menekan lima jalinan hubungan
sesama manusia seperti berikut:
* Hubungan maharaja dengan rakyat
* Hubungan bapa dengan anak
* Hubungan abang dengan adik
* Hubungan suami dengan isteri
* Hubungan kawan dengan kawan

Tamadun India yang diasaskan kepada agama Hindu membahagikan manusia kepada empat
golongan atau tingkat tertentu iaitu golongan Brahmin, Kesatriya, Vaisya dan Sudra.

Kekeluargaan dalam Tamadun Melayu pula berasaskan kepada fahaman ajaran Islam. Hubungan
yang terjalin antara ahli keluarga begitu erat. Ibu, bapa, anak-anak dan sanak saudara menjalankan
tugas dan memahami tanggungjawab masing-masing. Fahaman mengenai setiap tanggungjawab
amat berkait rapat dengan ajaran agama Islam. Sebagai contohnya, tanggungjawab bapa mencari
rezeki dan memberi perlindungan kepada keluarga terlaksana dengan jayanya. Demikian juga
tanggungjawab ibu mendidik anak ditunaikan dengan sempurna.

v. Aspek Kesenian dan Kebudayaan

Maksud hadis yang mengatakan Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan menjadi titik tolak
seni Islam. Islam percaya bahawa kesan dari kehidupan beragamalah yang melahirkan seni dalam
Islam. Oleh yang demikian, karya seni dalam Islam merupakan kefahaman muslim terhadap
keindahan syurga yang tidak mampu dinukilkan. Keindahan yang paling hebat ini adalah untuk
menyatakan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Seni bina dalam
Tamadun Islam juga telah mampu melahirkan banyak seni bina indah seperti masjid di serata dunia
sehingga menjadi mercu tanda kegemilangan Tamadun Islam hingga ke hari ini. Begitu juga dengan
seni khat yang mempunyai pelbagai jenis seperti Khat Kufi, Nasakh, Thuluth dan Farisi mampu
mempesonakan sesiapa saja.

Perbezan seni Islam dengan seni dari tamadun lain terlihat pada falsafah seni Islam yang berteras
tauhid walaupun terhasil pada pelbagai aneka karya seni. Contohnya, seni Barat lahir dari
penghayatan terhadap konsep ketuhanan yang digambarkan dalam bentuk pahatan patung-patung.
Tamadun Barat yang bersandar pada Tamadun Yunani berpegang pada fahaman kesempurnaan
Tuhan dan manusia yang dicernakan pada karya seni terutama seni arca dan seni pahatan. (Ahmad
Rashidi Hassan, 2005:48-49). Malah pada zaman Renaissance, penghasilan seni masih bertemakan
cerita-cerita dari Bible di samping cerita dewa-dewi Yunani kuno. Kebanyakan lukisan dibuat untuk
kepentingan gereja (A. Djelantik, 1999:124)

Seni atau keindahan menurut agama Buddha dapat diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu
keindahan perhiasan, keindahan jasmani, keindahan tingkah laku dan keindahan batin. Menurut
Buddha, manusia dapat memiliki keindahan melalui dua Darma indah yang terdiri dari Khanti dan
Soracca (A. Djelantik, 1999:192). Dalam Tamadun India, kesenian lahir dari usaha para seniman
untuk mewujudkan bentuk dari sesuatu yang tidak berbentuk semasa berlaku kosentrasi diri atau
proses meditasi. Gambaran dewa-dewa dihubungkan dengan sikap, warna dan ekspresi tertentu dan
gambaran dewa-dewa timbul dalam gambaran fikiran. Akhirnya seniman melukiskan gambaran
tersebut dalam media seperti kanvas dan bentuk arca. Dalam ajaran Hindu dan Buddha terdapat
kesamaan idea dan pandangan yang mengatakan bahawa dalam fikiran dan gambaran dalam jiwalah
yang dapat dikatakan sebagai seni (Ibid:195) . Dalam Tamadun Cina, karya seni rupa merangkumi
seni lukis dan seni kaligrafi. Seni lukis Cina menjadikan unsur alam harmoni sebagai tema utama.
Penghasilan karya tema ini jelas terpapar pada unsur tumbuh-tumbuhan terutaam pokok buluh, unsur
haiwan terutama burung bangau putih dan unsur alam sekitar terutama sungai. Konsep dan teknik
keindahan seni ini meresap dalam seni rupa yang lain.

Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan keturunan mempunyai bentuk-bentuk
kesenian yang pelbagai. Rakyat Malaysia lahir dari rasa cintakan perpaduan dan keamanan.
Pemerintah telah membentuk satu dasar kebudayaan Malaysia yang menetapkan seni dan budaya
Malaysia ialah seni dan budaya Melayu, walaupun dasar ini masih menerima seni dan budaya etnik
lain. Dasar budaya ini dikenal sebagai Kebudayaan Kebangsaan. Oleh itu, dasar ini menggabungkan
semua unsur budaya masyarakat yang ada di Malaysia. (Hamdan Hassan:11-16).

vi. Aspek alam sekitar

Tamadun Islam dan tamadun Asia lain amat menyanjung alam sekitar. Islam menghargai alam sekitar
yang merupakan tanda-tanda kewujudan Allah SWT. Seluruh alam dan persekitarannya merupakan
amanah kepada manusia sebagai khalifah yang berfungsi sebagai pembangun alam ini seperti yang
dapat difaham pada firman Allah dalam surah Hud: 61.

Demikian juga Tamadun Melayu dan masyarakat peribuminya turut menghargai alam sekitar. Malah,
bagi masyarakat peribumi Malaysia seperti etnik Iban dan Senoi mereka memuja alam terutama
semasa upacara pesta menuai. Mereka percaya wujud unsur-unsur roh yang menyelinap ke dalam
semua kejadian alam seperti tumbuh-tumbuhan. Menurut doktrin Hindu, alam semesta ini terdiri dari
Jamudvipa. Di tengah-tengah alam semesta terdiri Gunung Meru yang di kelilingi oleh matahari, bulan
dan bintang. Sehingga dikatakan Gunung Meru dibawa separuh ke Pulau Jawa dari Jamudvipa, India
untuk menjadi tempat tinggal Betara Guru di Pulau Jawa.

Lao Tze telah mengemukakan falsafah tao sebagai suatu kekuatan di mana manusia cuba menjalin
dirinya dengan alam. Konsep ini menyamai konsep Wu-Wei dalam aliran Konfusius yang mendorong
manusia mengambil jalan pertengahan antara dua aktiviti tertinggi dan istirehat tertinggi. Mereka
menafsir bahawa kehidupan yang berlaku di alam ini adalah hasil dari pergerakan alam yang
berterusan. Seseorang dianggap dapat berhubung dengan alam apabila dia berjaya menghubungkan
dirinya dengan tao melalui pembersihan jiwa atau mengosongkan diri dari dua perkara yang
keterlaluan. (Idris Zakaria: 40)

vii. Aspek institusi agama

Setiap agama memiliki institusi tersendiri sebagai pusat kegiatan keagamaan mereka. Institusi-
insitutusi ini adalah seperti berikut:

a. Masjid
Ia merupakan institusi agama dalam Islam. Masjid bermaksud tempat sujud atau tempat beribadah
kepada Allah SWT. Sebagaimana ibadah dalam Islam amat luas maksudnya, begitu jugalah fungsi
masjid. Masjid tidak terbatas sebagai tempat sembahyang semata-mata. Hal ini telah ditunjukkan oleh
baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya dengan menjadikan masjid tempat segala aktiviti umat
Islam. Antaranya, masjid berperanan sebagai tempat bermesyuarat, tempat mengadili masalah
masyarakat Islam, tempat menerima dan merawat pejuang Islam yang cedera dan pelbagai fungsi
lain. (S. A. H. Mokhtar,1997:116). Kepentingan masjid dalam masyarakat Islam menyebabkan
pembinaan masjid merupakan langkah awal semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Justeru
itu terbinalah masjid pertama dalam Islam iaitu masjid Quba. Ini diikuti dengan pembinaan Masjid
Nabawi di Madinah, Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Aqsa di Palestin dan Masjid al-Azhar di
Mesir.

Dalam bidang pendidikan, masjid merupakan institusi terpenting dalam Islam. Di sini umat Islam
memulakan pendidikan awal terutama golongan kanak-kanak. Kanak-kanak dilatih mengaji al-Quran,
selain latihan di rumah yang dijalankan oleh ibu bapa sendiri. Masjid juga berfungsi sebagai pusat
pendidikan pelbagai ilmu Islam dan informasi setempat. Sejarah para ulama awal dalam Islam
membuktikan hal ini. Imam Shafie, Imam Maliki dan imam-imam lain menerima pendidikan ilmu Islam
yang luas di masjid-masjid utama di atas.Lanjutan dari hal ini, para ulama merupakan tenaga
pengajar dan tempat rujukan masyarakat dalam pelbagai hal (Ibid:117).

Masjid utama dalam Islam ialah Masjid al-Haram. Ini diikuti dengan Masjid Nabawi, masjid Aqsa dan
lain-lain. Keutamaan masjid-masjid ini bergantung kepada pengakuan dan sejarah Islam yang
bermula pada zaman Rasulullah SAW. Pada satu sudut yang lain, masjid mempunyai beberapa
keistimewaan yang membezakan masjid sebagai tempat ibadat umat Islam dengan rumah ibadat
penganut agama lain. Kewujudan masjid juga berada di segenap pelusuk dunia. Justeru itu, masjia
terbina dalam pelbagai bentuk seni bina. Kesemuanya bentuk seni bina masjid dapat dibahagi
kepada tujuh bentuk, iaitu (Ibid:124-128):
Maghribi
Andalusia
Mesir
Turki Saljuk
India
Iran Safawi
Turki Uthmani

b. Kuil dan Candi


Kuil merupakan rumah ibadat bagi penganut agama Hindu dan Buddha. Fungsi kuil lebih luas pada
peringkat awal perkembangan dua agama ini. Ia menjadi pusat pendidikan yang diperlukan oleh
sami-sami Hindu dan Buddha. Golongan Brahmin dalam agama Hindu merupakan sami-sami Hindu
yang terpelajar. Mereka adalah golongan yang layak memahami kitab-kitab suci Hindu seperti kitab
Veda, Mahabrata dan Ramayana yang ditulis dalam bahasa Sanskrit. Begitu juga dalam agama
Buddha, sami-sami Buddha menjadikan kuil sebagai pusat pendidikan dalam memahami ajaran-
ajaran Buddha. Sami-Sami Buddha menyampaikan pengajaran mereka dalam bahasa Pali dan
Sanskrit.

Candi merupakan bangunan yang dikaitkan dengan aspek keagamaan. Candi yang terkenal di rantau
Alam Melayu antaranya ialah Candi Borobudur. Candi ini terletak di kaki Gunung Merapi di kota
Jogyakarta, Indonesia yang dibina ketika Dinasti Sailendara sekitar tahun 778-825M2. Candi ini
dipenuhi dengan sangkar-sangkar batu berisi patung Buddha.

c. Gereja
Dalam tamadun Barat gereja masih memainkan peranan sebagai tempat ibadat, pusat pemahaman
agama Kristian dan juga aktiviti masyarakat setempat. Perkembangan ini akhirnya melahirkan
sekolah-sekolah missionary. Dalam bentuk yang formal sekolah missionari mendapat pembiayaan
pihak gereja. (Bhg. II: 147-150)
2.3 Nilai dan Kepentingannya

Nilai adalah satu konsep yang diertikan dengan berbagai maksud dan konotasi. Antaranya, nilai
bermaksud satu kualiti sama ada baik (positif) mahupun buruk (negatif) yang menghasilkan sesuatu
yang dikehendaki. Ia juga bermaksud dasar-dasar moral, prinsip, piawai ataupun suatu ideal yang
dijunjung tinggi oleh sesebuah masyarakat.

Secara amnya, nilai akan ditonjolkan secara lisan atau menerusi perlakuan individu atau sesuatu
kumpulan. Misalnya, seseorang yang menghayati nilai tanggungjawab akan menunjukkan nilai
tersebut dalam percakapan dan perlakuan. Individu ini juga akan mempertahankan nilai tersebut dan
akan mengkritik orang lain yang bersikap tidak bertanggungjawab. Nilai juga boleh berubah mengikut
peredaran masa ataupun terus unggul mengikut suasana ataupun idealisme sesebuah masyarakat.
Contohnya, nilai hormat kepada orang yang lebih tua telah terhakis dalam masyarakat kosmopolitan
tetapi ia kekal dan penting dalam masyarakat Timur sama ada yang membangun ataupun yang masih
mundur.

Matlamat dan tindakan yang dilaksanakan oleh seseorang juga ditentukan oleh nilai. Ini kerana nilai
merupakan satu prinsip atau garis panduan yang disediakan oleh anggota masyarakat untuk
menjalani kehidupan. Nilai adalah suatu piawai yang berkekalan, atau dalam pengertian yang luas,
suatu piawai yang mengaturkan satu sistem perlakuan. Nilai juga menentukan sesuatu `preference',
iaitu sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai hubungan sosial, mahupun mengenai matlamat-
matlamat serta ikhtiar untuk mencapainya. Nilai juga akan bertindak sebagai ukuran yang membantu
individu mengenal pasti kedudukannya dalam sesuatu isu sosial ataupun moral. Tegasnya, nilai
bukan sahaja memberi suatu tunjuk arah kepada seseorang tentang bagaimana dia patut
berkelakuan terhadap orang lain, malah bagaimana untuk menilai tingkah laku sendiri serta orang
lain. Nilai juga berfungsi sebagai dasar untuk menentukan apakah yang harus dicabar, dihujah,
diubah atau dipertahankan. (Abdul Rahman Md Aroff, 1999)

Walaupun semua nilai mempunyai ciri dan fungsi am seperti yang disebutkan di atas, namun nilai
juga boleh dikategorikan dalam kelompok tertentu seperti berikut;

Nilai agama (Contoh: Kesucian, kesyukuran)


Nilai Ekonomi (Contoh: Produktiviti, kejayaan)
Nilai Etika (Contoh: Kejujuran, pemurah)
Nilai Estetika (Contoh: Keindahan, keselesaan)
Nilai Politik (Contoh: Hak asasi, patriotisme)
Nilai Sosial (Contoh: Kejiranan, budi pekerti)

Sistem nilai dalam Tamadun Islam tersimpul pada satu skema yang tersedia dalam ajaran dan tradisi
agama Islam. Sungguhpun wujud kedinamikan dalam hukum-hukum Islam tetapi ia tidak boleh
bercanggah dengan sistem nilai yang disepakati oleh majoriti cerdik pandai Islam. Sistem nilai dalam
Tamadun Islam terdiri daripada hukum berikut (Azhar Hj Mad Aros, 2002);

Wajib: Nilai yang dilakukan akan mendapat ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan berdosa. Terdapat
dalil-dalil atau ayat-ayat al-Quran yang jelas mengenai hal ini.
Sunat: Nilai yang dilakukan akan menghasilkan ganjaran/pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa.
Haram: Nilai yang wajib ditinggalkan. Jika dilakukan akan menghasilkan dosa. Terdapat banyak
dalil-dalil dari firman Allah dalam al-Quran yang melarang melakukan nilai ini.
Makruh : Perkara yang dibenci. Jika ditinggalkan mendapat pahala dan sekiranya dilakukan tidak
berdosa.
Harus: Nilai yang boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan. Hukum ini merupakan hukum asal
sesuatu perkara kecuali wujud penjelasan hukum mengenai hal ini.
2.3.1 Nilai Asia dan Nilai Universal

Nilai dalam Tamadun Asia dianggap bersifat kolektif manakala nilai dalam Tamadun Barat dikatakan
bersifat individualistik. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa nilai kolektif yang menjadi sifat
Tamadun Asia ini dipegang kuat oleh masyarakat Timur. Antaranya seperti kesopanan, kasih sayang,
sederhana, menghormati tradisi, ketaatan, kesetiaan, menghormati keluarga dan orang yang lebih
tua, berpegang kepada agama dan pemaaf. (Kapoor, Blue, Konsky & Drager: 2000)

Nilai universal pula adalah sesuatu yang abstrak. Berdasarkan laporan UNESCO, nilai universal yang
patut dicambahkan oleh setiap negara ialah ;
Nilai kedamaian
Nilai kebebasan dan hak asasi manusia
Nilai demokrasi
Nilai pembangunan

Nilai-nilai universal seperti kebebasan dan hak asasi kemanusiaan yang selalu diwar-warkan oleh
pemimpin Barat tidak kurang juga dicurigai oleh pemimpin Asia kerana dianggap cuba
melegitimasikan faham liberalisme politik Barat tanpa mengambil kira kelainan budaya yang terdapat
di Asia. Sebagai tindak balas terhadap tuntutan Barat yang mahukan dunia bukan Barat menghayati
nilai-nilai universal berkenaan, maka lahirlah konsep Nilai Asia.

Konsep Nilai Asia menjadi popular sekitar tahun 1970 an bila ia mula dijadikan retorik oleh pemimpin
Asia seperti Lee Kuan Yew dan diikuti oleh pemimpin Asia lain. Menurut Kishore Mahbubani (1998),
Nilai Asia merujuk kepada sebuah set pengajaran moral dan sosial yang membawa kepada
pembangunan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia sejak beberapa dekad yang lepas. Nilai-
nilai ini termasuklah attachment to the family as an institution, deference to societal interest, thrift,
conservatism in social mores, respect for authority.
Konsep Nilai Asia ini telah menerima kritikan termasuk oleh sarjana Asia. Antara kritikan yang kerap
dikemukakan ialah Nilai Asia sering digunakan sebagai senjata budaya yang menolak liberalisme
Barat, malah membawa kepada menghalalkan ideologi politik sektarian dan corak pemerintahan kuku
besi. Ini menjadikan Nilai Asia nampak jelik selepas dilabelkan sebagai satu senjata politik pemimpin
Asia yang autoritarian. Namun, kritikan ini tidak dapat menafikan wujudnya satu perbezaan nilai
antara negara-negara di Asia dengan negara bukan Asia khususnya Barat.

Pada mulanya perbincangan tentang Nilai Asia lebih kerap di sinonim dengan ajaran Konfusius.
Pengaruh tradisi ini telah membangkitkan kekuatan ekonomi dan politik Asia kerana konsep
Demokrasi Konfusian mencadangkan penerimaan hierarki dalam masyarakat, keperluan dalam
keharmonian sosial, rasa hormat pada keluarga dan kerajaan yang bertanggungjawab. Dalam
konteks politik menunjukkan keakuran kepada autoriti pemerintah untuk mendapat kebaikan
bersama sehingga menjadikan rakyat akur dan menerima kedudukan dan hierarki pemerintah.

Nilai yang ditekankan dalam tanggapan seperti di atas sebenarnya hanya terjurus kepada nilai
ekonomi yang ada dalam ajaran Konfusius. Falsafah Konfusius dijadikan sandaran dan disesuaikan
mengikut kehendak pemuka awal konsep Nilai Asia. Hasilnya, nilai etika dan sosial yang lebih
menyeluruh telah diabaikan. Penonjolan nilai-nilai dari tradisi agama Asia yang lain khususnya Islam
dan Hindu mula dibicarakan secara lebih meluas kerana setiap agama pada asasnya mempunyai
kekuatan masing-masing dalam memperkatakan soal moral, etika, kekeluargaan, politik dan lain-lain.

2.3.2 Nilai-Nilai Universal Asia

Tamadun-tamadun Timur mempunyai keserasian antara satu dengan lain sehingga memudahkan
interaksi. Ini disebabkan adanya nilai-nilai sepunya antara mereka. Prof. Syed Naquib al-Attas
(1972) mengungkapkannya sebagai nilai kesejajaran. Sejak awal tahun 1970 an lagi beliau telah
menyeru ke arah sikap terbuka dalam menilai interaksi antara tamadun di Asia khususnya di Malaysia
dan menekankan hakikat kepentingan pandangan hidup atau world view yang berteraskan nilai
agama dan akhlak dalam sesebuah tamadun. Perspektif tentang adanya nilai-nilai universal yang
sejajar dalam tamadun di Asia yang telah disuarakan oleh beliau (1972:70) dalam bukunya Islam
dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu berbunyi;

Keadaan bertumpunya agama-agama agung di dunia ini di Malaysia janganlah hendaknya kita
anggap sebagai satu kelemahan besar, satu bibit perceraian masyarakat kita; kita harus
mengangapnya sebagai satu keistimewaan dan kebesaran kita di dunia; kita harus tahu bahawa
dalam pandangan hidup agama-agama ini semua lebih banyak terdapat titik pertemuan daripada
yang terdapat dalam ideologi-ideologi politik, bahawa dalam keluhuran falsafah-falsafah agama-
agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tze ada terdapat
kesejajaran fahaman dalam bidang-bidang penting yang tentu akan dapat membantu ke arah
memupuk faham keperibadian Malaysia
Namun ciri dan identiti khusus setiap agama khususnya aspek teologi akan tetap berbeza. Seperti
yang ditekankan oleh Prof. Naquib dalam tulisan beliau, persamaan nilai yang terdapat dalam
tamadun-tamadun Asia hanyalah satu kesejajaran dan bukanlah satu keselarian ataupun persamaan
yang hakiki. Kesejajaran yang cuba diketengahkan oleh Prof. Naquib ini tidaklah sehingga membawa
kepada pluralisme dalam nilai hidup dan agama sehingga semua agama dianggap sama. Perbezaan
tetap ada. Ini ditegaskan lagi oleh Osman Bakar (1997);
with reference to Asia, it means that Asian cultures do share a set of core human value and at the
same time exhibit differences in their value system

Bagaimanapun pemikiran sempit yang menonjolkan particularism tamadun masing-masing amat tidak
sesuai dalam perkembangan dunia hari ini; apatah lagi dalam usaha serius untuk mengadakan
interaksi antara tamadun. Hal ini akan menggagalkan dialog ketamadunan yang sedang diusahakan
oleh pelbagai pihak.

2.3.3 Nilai-Nilai Universal Tamadun Asia

Nilai-nilai universal dalam Tamadun Asia tertanam dalam ajaran-ajaran keagamaan yang telah
berkembang subur di seluruh Asia; sama ada Islam, agama dan kepercayaan dari Tanah Besar China
mahupun dari benua India. Nilai-nilai universal dari tradisi keagamaan ini boleh diringkaskan
berdasarkan prinsip-prinsip seperti berikut;

Berlandaskan idea keagamaan


Menekankan aspek kemanusiaan dan institusi kekeluargaan
Menekankan tatacara dan etika dalam kehidupan
Mementingkan kebijaksanaan dalam kepemimpinan
Menghargai alam sekitar
Mementingkan ilmu dan orang berilmu

2.3.3.1 Berlandaskan idea keagamaan

Peranan agama dalam semua tamadun Asia sangat penting kerana ia membantu memantapkan
struktur sosial dan intelektual sesuatu tamadun. Semua tamadun Asia sama ada berasaskan agama
samawi atau budaya, tetap menjunjung tinggi doktrin keagamaan, malah dari agama inilah lahirnya
kebudayaan dan sains. Idea ketuhanan yang transcendence (kudus) sama ada dengan panggilan Ti,
Brahman atau Sang Hyang Tunggal menyebabkan institusi dan ajaran keagamaan agama lain juga di
hormati.

Sebagai contohnya, Tamadun Islam bertunjang dan berpaksikan kepada konsep tauhid. Ini
bermaksud tauhid merupakan intipati dalam kehidupan bertamadun masyarakat Islam. Justeru itu,
asas dalam Tamadun Islam adalah akidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini merupakan
komponen dalam agama Islam. Sumber dalam tamadun Islam adalah sumber naqli iaitu sumber
wahyu. Sumber ini menjadi sumber asas, manakala sumber aqli iaitu yang berdasarkan akal
merupakan sumber sekunder yang mana ketetapannya mestilah tidak bercanggah dengan sumber
naqli. Aspek kerohanian dalam Tamadun Islam amat dipentingkan. Kerohanian (spiritual) dan
kebendaan (material) mestilah seimbang dan bersepadu. Kesepaduan ini akan membentuk matlamat
Tamadun Islam yang paling utama iaitu mencapai keredaan Allah, manakala material berfungsi
sebagai wasilah atau alat penghubung dalam mencapai matlamat utama tersebut.

Contoh lain pula dapat dilihat pada Tamadun Cina. Masyarakat Cina tetap percaya kepada konsep
ketuhanan walaupun terdapat pelbagai agama yang menjadi anutan mereka. Antaranya,
penyembahan roh nenek moyang, fahaman Konfusius, Daoisme atau Taoisme dan Buddhisme.
Kesemua agama ini menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian yang menjanjikan balasan baik
bagi perbuatan baik dan sebaliknya, kecuali Buddhisme.

Dalam kosmologi Cina terdapat konsep tian yang bermaksud langit, iaitu merujuk kepada dewa yang
terpenting. Dewa dalam masyarakat Cina merupakan pembuktian kewujudan Tuhan. Dalam Dinasti
Chou, tian merujuk kepada makhluk unggul di langit (supreme being) yang mengatur perjalanan hidup
dan nasib seseorang, menentukan keamanan dan kesejahteraan serta memberi balasan baik dan
buruk. Ia juga mungkin menyebabkan kemudaratan sebagai hukuman terhadap insan yang
berkelakuan salah. Kepercayaan terhadap konsep ini, mendorong masyarakat mereka mengawal
tingkah laku bagi mengelakkan dari mendapat balasan dari tian.

Tamadun India juga memperlihatkan hal yang sama mengenai kedudukan agama dan kerohanian
yang tinggi dalam masyarakat. Kepercayaan Hindu menekankan konsep ketuhanan dan kerohanian.
Antaranya percaya kepada konsep trimurti iaitu percaya kepada ketuhanan Brahma (Tuhan
Pencipta), Vishnu (Tuhan Pemelihara) dan Siva (Tuhan Pemusnah).

2.3 3.2 Institusi Kekeluargaan dan Aspek Kemanusiaan

Tamadun Asia begitu sarat dengan elemen rite de passage iaitu adat istiadat dari saat kelahiran
hinggalah kematian. Hal ini amat dititikberatkan oleh anggota keluarga. Ini menunjukkan bahawa
ikatan kekeluargaan sangat ditekankan. Sebagai contohnya, dalam perspektif Islam, soal institusi
kekeluargaan diperhalusi oleh ilmu munakahat yang mengatur pembinaan institusi keluarga bermula
dari proses mencari jodoh, tanggungjawab suami isteri dan seterusnya.

Selain itu terdapat juga hubungan yang baik dengan Allah (hablum minaLlah) dan hubungan yang
baik sesama manusia (hablum minannas). Hablum minannas diikat dengan ukhuwah Islamiyah,
dengan maksud semua umat Islam bersaudara dan sama di sisi Allah kecuali orang yang bertakwa.
Islam menetapkan agar umatnya sentiasa menjaga akhlak antara sesama manusia yang merangkumi
akhlak dengan ibubapa, guru, kawan, jiran, sesama Islam dan bukan Islam, malah akhlak terhadap
musuh Islam juga perlu dijaga. Hubungan yang baik sesama manusia amat perlu dijaga, malah
andainya seorang Islam tidak mempunyai hubungan yang baik dengan manusia yang lain walaupun
mempunyai hubungan yang baik dengan Allah, dia tidak dikira sebagai ahli syurga.

Dalam konteks pergaulan juga, syariat Islam diturunkan agar kepentingan 5 hak asasi manusia
terlaksana iaitu hak beragama, menjaga kewarasan akal, menjaga nyawa, harta benda dan maruah
diri. Ini memperlihatkan ajaran Islam menekankan nilai kemanusiaan.

Dalam Tamadun China pula terdapat konsep Ren yang bermaksud kasih sayang. Konsep ini merujuk
kepada sifat perikemanusiaan yang dianggap ekspresi jantung manusia. Dalam Tamadun Hindu
terdapat konsep Ahimsa iaitu belas kasihan yang boleh membawa kepada tiadanya kekejaman
terhadap sebarang makhluk sama ada manusia ataupun binatang.

2.3.3.3 Menekankan Tatacara dan Etika Dalam Kehidupan

Etika dalam Islam adalah manfaat daripada penghayatan syariat. Syariat diutuskan Allah kepada Nabi
Muhammad SAW sebagai panduan dan mengatur kehidupan agar harmoni. Syariat Islam mengatur
hubungan manusia dengan Allah melalui pengamalan ibadat dan hubungan manusia sesama
manusia melalui pelaksanaan muamalat, munakahat dan jinayat. Syariat Islam juga merangkumi
akhlak iaitu sistem nilai yang menjamin kehidupan yang beretika. Akhlak Islam bersifat syumul iaitu
meliputi akhlak dengan Allah SWT, Rasulullah SAW, sesama manusia terutamanya ibu, bapa, guru,
jiran dan termasuk sesama manusia walaupun dengan bukan Islam. Demikian juga akhlak Islam
termasuk dengan alam persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Penegasan soal etika
dalam ajaran Islam menjadi faktor utama Rasulullah SAW diutus oleh Allah kepada manusia. Justeru
itu, Rasulullah merupakan model akhlak yang terbaik kepada umat Islam dan manusia seluruhnya.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah terdapat contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi
orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati
Allah.
(al-Ahzab: 21)

Dalam Tamadun Asia lain seperti China terdapat konsep Dao (jalan). Begitu juga pemikiran tentang Li
(Tatasusila). Menerusi konsep ini, Konfusius menekankan peraturan akhlak dan peraturan kehidupan
berasaskan 3 perkara berikut:

i. Peraturan perhubungan manusia dengan Tuhan.


ii. Peraturan perhubungan manusia dengan manusia.
iii. Peraturan perhubungan politik
Selain itu, Konfusius juga menekankan konsep zhong yong iaitu kesederhanaan. Segala perlakuan
manusia perlulah sederhana dan tidak setuju kekerasan sebagai jalan penyelesaian.

Dalam Hinduisme pula ia berpaksikan idea dharma (tanggungjawab) dan karma iaitu doktrin
perbuatan; baik akan mendapat balasan yang baik. Demikian juga sebaliknya, buruk dibalas buruk.
Masyarakat perlu mematuhi etika yang ditetapkan agar kehidupan barunya lebih baik dan mendapat
matlamat dalam mencapai mokhsa.

2.3.3.4 Mementingkan kebijaksanaan kepemimpinan

Pemimpin adalah khalifah di muka bumi sinonim dengan kepemimpinan dalam Islam. Politik Islam
menggariskan sistem dan corak pemerintahan Islam seperti asas dalam berpolitik adalah tauhid,
risalah dan khilafah. Selain itu, prinsip politik Islam adalah keadilan, persamaan, syura dan
akauntabiliti. Sumber dalam politik Islam ialah kitabuLlah dan sunnah rasul-Nya, di samping ijtihad
dan ijmak ulama.

Dalam Tamadun China, Konfucius menekankan ajaran moral kepada manusia, antaranya membantu
pemerintah yang baik dan sifat baik merupakan satu harta yang paling penting untuk dimiliki oleh
setiap pegawai. Dalam hal ini, Raja-raja Chou mengaitkan diri mereka dengan konsep anak syurga
dan mandat dari syurga. Ini merujuk kepada maksud raja adalah wakil Tuhan di bumi. Justeru itu
mereka perlu memerintah dengan adil dan jika gagal, mandat akan ditarik semula. Selain itu, ajaran
Konfusius juga menekankan pemerintahan yang berdasarkan zheng ming, iaitu nama yang betul
untuk menjelaskan di antara perkara yang benar dan salah. Ia bermaksud, peranan dan
tanggungjawab adalah mengikut nama yang disandang. Tujuannya adalah untuk membezakan antara
perkara yang betul dan salah. Pemerintah juga perlu memperbaiki diri sendiri atau zheng ji.

Dalam ajaran Hindu dan Buddha pula, konsep dharma dijadikan panduan tingkah laku yang wajar
dari raja kepada rakyat. Dharma menekankan nilai-nilai moral seperti mengawal nafsu dan
mengamalkan toleransi.

2.3.3.5 Menghargai alam sekitar

Islam menekankan hubungan yang harmonis dengan alam dan melarang sebarang tingkah laku dan
perbuatan yang bersifat fasad. Sehubungan ini, penggunaan alam sekitar dikawal oleh hukum Islam
terutamanya konsep Halal dan Haram.

Alam sekitar merupakan anugerah Allah SWT yang diamanahkan kepada manusia untuk
dimanfaatkan sebaik mungkin. Allah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami
menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik perbuatannya.
(al-Kahfi: 7)

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan berlayar di lautan. Sehingga
apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurkan bahtera itu membawa orang-orang yang
berada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya. (Dan apabila)
datanglah angin badai dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka
yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya) maka mereka berdoa kepada Allah dengan
mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau
menyelamatkan kami dari bahaya ini pastilah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.
(Yunus: 22)

Selain itu, alam merupakan tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Justeru itu, Allah telah
menentukan adab dan akhlak manusia dengan alam termasuk makhluk ghaib.

Dalam Tamadun Cina, khususnya ajaran Tao, alam di anggap sebagai ibu atau Dao. Ini
menunjukkan bumi sebagai entiti yang perlu dimuliakan. Dalam Buddhism dan Shinto pula, hubungan
harmonis manusia dengan alam ditekankan melalui konsep Esho Fui, iaitu manusia dan alam saling
memerlukan.

Dalam fahaman masyarakat peribumi Malaysia juga terdapat kepercayaan menghargai dan
memelihara alam sekitar. Bagi mereka alam mempunyai kuasa ghaib. Mereka percaya petir sebagai
penjaga haiwan dan tumbuhan. Justeru itu, peribumi melarang menebang pokok tanpa niat untuk
digunakan atau membunuh binatang tanpa niat untuk dimakan. Perbuatan ini akan mengundang
kemarahan Tuhan dan akan diturunkan bala bukan sahaja kepada pesalah, malah seluruh komuniti
mereka. Kepercayaan ini mendorong mereka menjaga alam sekitar agar berada dalam ekologi yang
seimbang.

2.3.3.6 Mementingkan ilmu dan orang berilmu

Konsep ulama dalam Islam berkait rapat dengan ilmu dan orang yang berilmu. Seorang invidu di
dalam masyarakat Islam hanya diterima sebagai ulama jika persiapan ilmunya sempurna dan
tercermin pada kewibawaan personaliti diri dalam segala aspek. Selaras dengan ini, Allah SWT
berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Alllah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.
(al-Fatir: 28)
Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku
(Taha: 114)
Katakanlah wahai Muhammad, adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak
mengetahui. Bahawasanya yang mengingati ialah orang-orang yang menggunakan fikirannya (ulul al-
bab).
(al-Zumar: 9)

Ulama memainkan peranan besar dalam Islam. Antaranya sebagai pembimbing umat, penyelesai
masalah, pakar rujuk dan model atau contoh tauladan dalam masyarakat Islam. Justeru itu,
Rasulullah SAW menegaskan dalam hadithnya yang bermaksud:
Ulama merupakan pewaris para nabi.

Dalam ajaran Konfusius, terdapat konsep Jun Zhi (orang budiman) yang bermaksud orang yang
berilmu dan tahu akan kewajaran sesuatu. Salah satu tingkat dalam empat perjalanan hidup
(Asramas) seorang penganut Hindu pula ialah Bramacarya yang memerlukan pengisian ilmu
pengetahuan. Tingkat Asramas yang lain adalah tahap Ghastra, Vanaprahastra, Sanayasa.

Ringkasnya, Tamadun Asia mempunyai satu kekuatan yang telah diwarisi sejak Asia mula didiami
oleh kelompok masyarakat. Kekuatan tersebut ialah nilai kesejagatan dan bersifat sepunya antara
tamadun-tamadun di Asia. Nilai kesejagatan ini telah membentuk jalinan interaksi harmoni antara
tamadun walaupun antara tamadun ini memiliki dasar pegangan agama yang berbeza.

Peranan Islam sangat besar dalam menjadikan nilai-nilai dari ajaran agama diiktiraf sebagai
pendorong kepada pembinaan tamadun dalam zaman yang serba moden ini. Umat Islam sebagai
ummatan wasata (umat pertengahan) boleh menjadi perantara yang baik dalam berinteraksi dengan
tamadun moden mahupun tamadun tradisional. Nilai pertengahan ini juga termasuklah tidak terlalu
bersifat kebendaan dan juga tidak menolak dunia secara total. Selain itu, Tamadun Islam juga
mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang dapat dilihat pada nilai-nilai transenden (kudus) yang
merentas batas daerah dan budaya. Nilai ini mampu menjadi nilai universal tamadun manusia.

2.4 KESAN INTERAKSI ANTARA TAMADUN DI MALAYSIA

Interaksi antara tamadun di Malaysia wujud kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga bangsa
dominan yang berasal dari kelompok Tamadun Asia. Peribumi Melayu mewakili pembina Tamadun
Melayu, etnik Cina mewarisi Tamadun Cina dari Tanah Besar Cina dan etnik India mewakili Tamadun
India dari Benua Kecil India. Kepelbagaian bangsa yang mendiami Malaysia pasti memberi pelbagai
kesan dalam hidup bermasyarakat. Kesan ini dikategorikan kepada kesan positif mahupun negatif.

2.4.1 Kesan Positif


Kesan positif telah wujud sejak dari awal interaksi bangsa di Malaysia yang berlaku sebelum merdeka
hinggalah pada zaman kemerdekaan, selepas merdeka dan hingga kini. Kesan ini telah
menghasilkan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. Berdasarkan pengalaman ini kerajaan
Malaysia telah terdorong menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi jalinan ini. Kesan
tersebut adalah seperti berikut:

* Pertambahan bahasa dan kosa kata Melayu dalam pelbagai aspek.


Kosa kata dalam Bahasa Melayu telah bertambah sehari ke sehari sejak berlakunya interaksi antara
bangsa. Di bawah merupakan sebahagian contoh kosa kata bahasa Melayu yang wujud hasil
interaksi.

Makanan dan buahan


Bakmi, me, mesua, cincau, kueh, bepang, taugeh, kanar, kuaci, kucai, angki (pisang kaki), tauhu,
kincam (sayur kering), lai, laici, teh, behon, toyu, samsu, tamar.
Pakaian dan barang dagangan
Cukin, tocang, lo cuan, kekwa (bunga) koyok, cat, gimpai,
gincu, tahil, koyan, d ( 1/10 tahil ), hun ( 1/100 tahil) , 1 inci),
tohar, tokok, angklong, candu, kaci.
Rumah dan peralatan
Loting, pangkin, angloh, loceng, langkan, kangka, bangsal, tongkang, jong, sampan, beca, langca,
pongkis, sempua, sia, tanglong, tangsi, takpi, cawan, tekoh, uncoi, dacing, kok (belenggu tengkok
haiwan ), cacing, kincir.
Manusia dan ehwalnya
Apek, loki, nyonya, cempiang, taukeh, kongsi, kicak, cinggeh, cincau, ampau, taijin, kuntau, gua, lu,
sengse, samsing, lancau, suwe, toa pekong, tokong, tekong, banci, cuak, culai, lancong.
Permainan
Ceki, pakau, capjeki, congkak, cukai, mahjong.

* Kebudayaan
Hasil interaksi antara bangsa turut melahirkan budaya campuran yang diamalkan oleh satu komuniti
masyarakat di Malaysia. Antara komuniti tersebut adalah seperti berikut:
i. Budaya Baba-Nyonya
Pada awal kurun ke 17 sekitar tahun 1613 M, komuniti China telah menetap di Melaka. Oleh kerana
tiada pendatang Cina dari kalangan wanita mereka berkahwin dengan wanita tempatan. Justeru itu
bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan perniagaan tetapi dalam institusi
keluarga.Lahirlah satu budaya kacukan yang dipanggil Baba dan Nyonya. Masyarakat Baba dan
Nyonya dikenali kerana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Baba atau Peranakan. Selain
itu, mereka bertutur dalam bahasa Melayu gaya mereka yang kemudiannya dikenali sebagai bahasa
Melayu Baba. Bahasa yang digunakan mereka adalah bahasa dialek Melayu Baba yang diasaskan
atas ragam bahasa Melayu pasar. Setiap kawasan mempunyai ragam yang dipengaruhi dialek
Melayu tempatan yang berbeza-beza. Bahasa ini berbeza dengan Bahasa Melayu baku. Komuniti ini
telah menyerapkan Bahasa Cina dalam perbualan seharian mereka terutama kata pinjaman dari
dialek Hokkein yang berkaitan adat, kekeluargaan dan agama. Kata-kata serapan ini terus mengalami
penyesuaian dari segi sebutan dan makna. Sebagainya contohnya, lau-teng = loteng, Put-Go = Datuk
Uco (nama satu dewa Buddha ). Selain itu, perkataan Melayu juga mengalami perubahan bunyi dan
makna. Sebagai, contoh, malaikat = malaikat ( roh nenek moyang ), kawan = kawan (suami ).
Komuniti ini tidak banyak menggunakan imbuhan dalam perbualan, sebaliknya hanya menggunakan
kata dasar sahaja seperti Dia tulis surat. Perkataan punya menggantikan partikel milik nya seperti
bukunya disebut dia punya buku. Ringkasnya, komuniti ini berusaha meniru pelbagai aspek
budaya Melayu hingga kepada aspek makanan dan masakan. Justeru itu, masakan Baba dipengaruhi
oleh masakan Melayu. Mereka turut meniru gaya makan orang Melayu menggunakan tangan.
Generasi yang lebih tua pula berminat menggunakan kain sarung dan kebaya sebagai pakaian
seharian.

ii. Budaya China Peranakan


Terdapat dua komuniti Cina Peranakan di Malaysia. Pertama, Cina Peranakan Kelantan yang
dikatakan bermula hasil wujudnya hubungan diplomatik negara Cina dengan negeri di Pantai Timur
yang berlaku sejak sebelum zaman Srivijaya lagi. Komuniti ini terdapat di tebing sungai Kelantan dan
Kuala Kerai di hulu sehingga ke muara Tumpat. Antara kesan interaksi yang berlaku antara mereka
dengan penduduk tempatan ialah penyerapan ciri-ciri budaya Melayu di kalangan mereka. Paling
ketara ialah penggunaan dialek Kelantan yang fasih dan fesyen pakaian. Wujud juga sifat saling
menghormati dan lahir cita rasa yang sama antara mereka dengan penduduk tempatan seperti
kegemaran kepada wayang kulit, permainan mahjong, wayang gedek dan menora. Namun ciri
budaya Cina asal masih kekal pada mereka khususnya pada aspek agama. Mereka kekal berpegang
pada agama asal warisan mereka terutamanya agama Buddha.

Komuniti kedua ialah Cina Peranakan Melaka dan Pulang Pinang. Masyarakat Cina Peranakan dua
tempat ini menggunakan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu, namun mereka tidak beragama
Islam. Kehidupan mereka begitu dekat dengan orang Melayu. Mereka juga mengamalkan adat resam
yang mirip adat resam orang Melayu, walaupun masih terdapat ciri budaya Cina lama. Mereka turut
percaya kepada makhluk halus atau ghaib dan roh seperti masyarakat Melayu.

* Kesenian
Hasil interaksi antara Tamadun Melayu dan Tamadun Cina di Tanah Melayu pada zaman awal amat
ketara pada aspek seni bina. Unsur seni bina Cina diserap dalam pembinaan masjid. Antara ciri
khusus serapan ialah pada reka bentuk bumbung masjid yang menyerupai seni bina Pagoda. Contoh
yang jelas dapat dilihat pada Masjid Tanjung Kling dan Masjid Tengkera, di Melaka. Demikian juga
masjid Kampong Laut di Kelantan, masjid Demak di Jawa Timur dan beberapa tempat lain di rantau
Alam Melayu. Malah, identiti reka bentuk masjid pada zaman sebelum Malaysia merdeka adalah
bumbung bertingkat yang diilhamkan dari bangunan Pagoda. Reka bentuk bumbung masjid-masjid ini
dihasilkan secara bertingkat-tingkat. Sekurang-kurangnya terdapat 3 tingkat bumbung masjid.

* Dasar Pendidikan Negara


* Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
Interaksi antara bangsa di Malaysia dipadukan melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi Dasar pendidikan di Malaysia digubal setelah mengambilkira aspek masyarakat majmuk yang
telah berinteraksi sekian lama secara harmoni. Antara dasar pelajaran tersebut ialah Penyata Barnes,
Penyata Fenn-Wu, Undang-undang Pelajaran 1952, Pernyata Razak dan Penyata Rahman Talib.
Semua dasar-dasar ini berperanan memupuk perpaduan dan bagi memastikan pengasingan yang
wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih
seragam dan menyeluruh. Keseragaman ini lebih menjamin perpaduan rakyat. Selain itu, dasar ini
juga mengambilkira perkembangan pendidikan di Sabah dan Sarawak.
* Dasar Integrasi Nasional
Malaysia telah berusaha membentuk perpaduan antara masyarakat majmuk dan integrasi yang lebih
mantap antara penduduk Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah. Sehubungan ini, Dasar
Integrasi Nasional digubal untuk melaksanakan proses kewujudan identiti nasional di kalangan kaum
yang berbeza kebudayaan, kepercayaan dan penempatan. Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 dengan objektif berikut:
1. Menggalakkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan integrasi nasional.
2. Memberi bantuan khidmat masyarakat.
3. Membangun masyarakat Orang Asli.
4. Memajukan kepentingan dan penglibatan wanita dalam pembangunan negara.
5. Menyelaras program kependudukan dan pembangunan negara.

Untuk menjayakan kementerian baru ini beberapa jabatan ditubuhkan seperti Jabatan Kebajikan
Masyarakat Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal
Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.

seperti yang tercatat pada Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Namun, bahasa-bahasa lain
boleh digunakan. Untuk mengukuhkan lagi peranan bahasa Melayu dalam masyarakat majmuk
kerajaan telah membentuk Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1963.

2.4.2 Kesan Negatif


Di samping kesan positif yang tersemat dalam lembaran sejarah masyarakat majmuk di Malaysia,
interaksi kaum turut terdedah dengan beberapa kesan negatif. Kesan negatif yang paling penting
hingga ke hari ini adalah seperti berikut:
* Jurang ekonomi
Jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum di Malaysia. Jurang ini berlaku kerana sikap
penjajah yang berat sebelah dan tidak mengambil berat aspek kebajikan dan masalah rakyat
tempatan. Para petani yang sebahagian besar terdiri dari masyarakat Melayu sentiasa dilindungi oleh
kerajaan British melalui dasar utamanya yang bertujuan menempatkan orang Melayu di kawasan luar
bandar dan terus menjadikan mereka pembekal makanan kepada masyarakat bandar. Dalam hal ini,
orang Melayu digalakkan mengusahakan tanaman sara diri sahaja, sedangkan masyarakat imigran di
kawasan bandar terutamanya Cina terus sibuk dan maju dengan kegiatan ekonomi eksport dan
import. Ini bermakna, penjajah hanya membenarkan masyarakat Melayu menjadi pekebun kecil
sahaja. Jika terdapat perkampungan baru, orang Melayu dikenakan syarat tertentu seperti hanya
menanam padi, kelapa dan buah-buahan.

Sehubungan itu, pembangunan kawasan banyak ditumpukan di kawasan yang bersedia menerima
perubahan. Ini menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih cepat mendapat kemajuan
dari kawasan Pantai Timur. Perbandaran yang dicirikan penjajah memberi penumpuan kepada
penduduk kaum imigran terutama kaum Cina. Ringkasnya, akibat dasar pecah dan perintah Inggeris
berlaku perbezaan tumpuan sektor ekonomi. Melayu sebagai petani sara diri dan nelayan, Cina di
sektor perdagangan dan perlombongan, sementara India di ladang. Ini memberi kesan kepada
ketidakseimbangan antara kawasan antara desa dan bandar. Kesan ini berlanjutan hingga zaman
pasca-penjajah.
* Jurang Sosial
Jurang ekonomi memberi kesan kepada jurang sosial. Lantaran itu wujud kelompok masyarakat kaya
yang banyak terbina dari kalangan masyarakat bandar dan masyarakat miskin yang wujud di
kalangan masyarakat luar bandar. Secara tidak langsung, keadaan ini telah mengubah struktur
masyarakat Melayu dan peribumi kepada masyarakat yang kompleks dan berkelas. Kelas atasan
terdiri sari golongan bangsawan Melayu, saudagar, pengurus dan pengusaha yang terdiri daripada
orang asing dan Cina. Kelas pertengahan adalah masyarakat etnik Cina dan sedikit dari golongan
India, sebilangan kecil individu Melayu dan lain-lain kaum bumiputera. Kelas bawahan merupakan
majoriti masyarakat Melayu dan peribumi. Ini memberi kesan seolah-olah wujud susun lapis dan kelas
masyarakat berdasarkan lunas perkauman.

* Pencapaian Tidak Seimbang


Pencapaian yang tidak seimbang juga berlaku dalam aspek penting khususnya pendidikan. Sistem
pendidikan penjajah mewujudkan sekolah mengikut kaum dan logistik etnik di Malaysia. Pengasingan
sistem pendidikan mula berlaku antara etnik. Masyarakat Melayu dengan pendidikan Melayu, etnik
India dengan pendidikan berteras bahasa Tamil dan etnik Cina dengan teras bahasa Mandarin.
Sementara komuniti peribumi yang terdiri dari Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak tidak diberikan
pendidikan.

You might also like