You are on page 1of 3

Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam

kehidupan seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi


Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan negara.

Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah
berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman
industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan
zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh
manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia
memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan,
penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi
yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai
pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan
maklumat yang paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan
komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberikan
perhatian. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk
menerapkan budaya ICT kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen
dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya
teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk
tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu,
ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar
kepada masyarakat dan negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat


negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan
perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang
penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk
mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang
disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi
yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu
menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu
bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di
Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat
Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang
pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah
tempurung tidak akan dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu
penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia
sebagai masyarakat berinformasi.

Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan
komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat
Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan
ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh
diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita,
ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat
keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel
elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan
telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu,
hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan
juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama
dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum.
Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah
bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu
sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi
menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi
dengan kuku.

Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi
maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia
pendidikan. Kewujudan ICT dapat membantu dalam sistem pengajaran dan
pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat dimajukan oleh ICT
sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di
sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan
generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih
bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas,
selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor
kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata
terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah
boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar
yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah
rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul
pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-
ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi
tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di negara kita.
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi
penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan
bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV) banyak digunakan
dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan
terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah
penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat
tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini
berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas
keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan
jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah
yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama
Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis
tersebut pernah menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini
tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak
tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan
adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi
mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan
negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak
akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan menjadi lebih
mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui
kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga
meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan
bidang ICT secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti
manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu
maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara,
masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman.
Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates,
insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali
sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer
persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara
yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu,
terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan
Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara
maju yang lain.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan
yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan
untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus berkembang
dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa depan
akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa
ini pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat
sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita
perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari
pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di
bawah tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak
harus menyalahgunakan kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai
aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada
unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini.
Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan
yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju
dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi
Wawasan 2020

You might also like