You are on page 1of 12

Pada tahun 2010/2011, Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah digubal

berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran: Kurikulum Standard


Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). KSSR
berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui
tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika,
keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Guru perlu membuat
perancangan untuk pengajaran berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran(DSKP) bagi mata pelajaran yang diajarnya. DSKP merupakan satu dokumen
yang mengandungi satu program pengajaran dan pembelajaran. Ia merupakan satu alat
utama dalam memperuntukkan sesuatu ilmu, kemahiran dan nilai yang akan dikuasai oleh
pelajar.

Bagi memastikan setiap pengajaran disampaikan secara berkesan, guru perlu


membuat persediaan rancangan pengajaran bagi setiap mata pelajaran yang akan
diajarnya. Rancangan Pengajaran merupakan pelan bertindak untuk sesuatu program
pengajaran dan pembelajaran yang disediakan berdasarkan sukatan pelajaran mata
pelajaran yang akan diajar untuk tahun akademik atau semester tertentu. Dengan adanya
Rancangan Pengajaran, guru boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara
sistematik mengikut pemeringkatan yang sesuai dan menentukan ilmu, kemahiran dan nilai
yang perlu disepadukan dalam enam tunjang KSSR. Biasanya, Rancangan Pengajaran
meliputi Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT)/ Semester, Rancangan Pengajaran
Mingguan (RPM) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

Merujuk kepada petikan Surat Pekeliling Ikhtisas BIL.3/1999: Penyediaan Rekod


Pengajaran dan Pembelajaran KP(BS)8591/Jilid XV/(3), setiap guru perlu mematuhi arahan
yang perlu diambil tindakan untuk merancang dan menyediakan rekod rancangan
pengajaran bagi setiap mata pelajaran yang diajar.
Rancangan Pengajaran dan Pembelajaran hanya meliputi Rancangan Pengajaran
Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Seperti yang terkandung di
dalam pekeliling tersebut, RPT mengandungi secara ringkas isi pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia manakala RPH merupakan terjemahan RPT yang
mengandungi sekurang-kurangnya maklumat seperti objektif, cara bagaimana hendak
mencapai objektif dan kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai.

Penyediaan rancangan pengajaran memerlukan ketelitian dan kreativiti guru. Secara


am, Ketua Panitia bersama semua guru yang mengajar mata pelajaran tersebut
bekerjasama untuk menyediakan RPT berkenaan berdasarkan takwim mingguan sekolah.
Melalui amalan ini ujian bulanan dan peperiksaan boleh ditentukan dan diseragamkan.
Tahap di mana mata pelajaran itu patut diajar, teknik dan sumber pengajaran boleh
ditentukan dan dikongsi bersama. RPT ini perlu disediakan pada awal tahun atau awal
semester sebelum sesi persekolahan bermula dimana ia berfungsi sebagai panduan bagi
perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Perancangan ini perlu dibuat untuk tempoh
satu tahun bagi setiap mata pelajaran yang diajar oleh setiap guru. RPT terbahagi kepada
dua bahagian iaitu Penggal Pertama (Januari Mei) dan Penggal Kedua (Jun - Oktober).
RPT perlu mengambil kira aspek seperti masa yang diperuntukkan bagi satu waktu dalam
seminggu/semester, isi kandungan yang perlu diselesaikan, kepentingannya dan jangka
masa yang diperlukan. Antara aspek lain yang perlu dititikberat ialah urutan isi kandungan
yang hendak diajar, integrasi kesemua kemahiran dan membuat keputusan tentang jumlah
masa yang akan digunakan bagi setiap topik. Adalah baik untuk mengambil kira cuti umum
dan cuti sekolah. Penyediaan RPT juga bertujuan untuk memastikan susunan topik-topik
dalam sesuatu mata pelajaran teratur mengikut perkembangan dan kebolehan murid.
Penyediaan RPT memudahkan guru pengganti mengambil alih tugas guru yang sebelumnya
untuk meneruskan pengajaran. Rancangan Pengajaran Tahunan merangkumi skop
kemahiran bagi setahun, senarai kemahiran-kemahiran, skop pelajaran yang perlu untuk
menguasai kemahiran-kemahiran tersebut dan rujukan dokumen standard.

Persediaan mengajar yang juga dikenali sebagai Rancangan Pengajaran Harian


(RPH) pula merupakan satu rekod khas yang disediakan lebih awal oleh guru sebelum
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ia merupakan dokumen
untuk merekodkan rancangan unit-unit pembelajaran secara sistematik bagi sesuatu topik
mata pelajaran pada hari tertentu menggunakan format yang telah ditetapkan. RPH dibina
sebagai panduan kepada para guru untuk mengajar dengan lebih sistematik dan efektif
serta mampu untuk mencapai objektif pengajaran. Dokumen ini sangat penting dan berguna
supaya guru dapat menyampaikan input pembelajaran kepada para murid dengan teratur.
Selain itu, RPH adalah bahan bukti bahawa guru telah membuat perancangan rapi terlebih
dahulu sebelum melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. RPH yang
dibina perlu merujuk kepada Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Standard
Pelajaran (SP) yang mestilah dirujuk daripada Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran (DSKP).

Terdapat perbezaan format RPH yang perlu disediakan oleh Guru Pelatih dengan
guru terlatih. Guru pelatih menggunakan format RPH yang lebih mendalam. Setiap institusi
latihan perguruan mempunyai format yang tertentu bagi penyediaan RPH oleh guru pelatih
masing-masing. Rancangan Pengajaran Harian ditulis mengikut format tertentu yang
telah dipersetujui dan dipakai oleh sesebuah sekolah, peringkat daerah ataupun di peringkat
negeri. Selain itu, format rancangan mengajar juga mungkin berbeza mengikut mata
pelajaran. Format Rancangan Pengajaran Harian Bahasa Melayu adalah berbeza dengan
format Rancangan Pengajaran Harian mata pelajaran Sains walaupun perbezaan itu
tidaklah begitu ketara. Namun begitu, Rancangan Pengajaran Harian tetap mempunyai
persamaan iaitu mengandungi tiga komponen penting iaitu persediaan, penyampaian, dan
penutup. Guru harus menguasai ketiga-tiga komponen ini.

RPH yang terbaik adalah yang mudah diikuti dan berstruktur dengan baik. Kerangka
sesuatu format yang tersusun memudahkan guru merujuk dengan cepat sekiranya terdapat
sebarang gangguan.

Komponen Maklumat

Butiran am
Butiran standard kurikulum: standard kandungan,
standard pembelajaran, kesepaduan tunjang/ elemen
merentas kurikulum (EMK)
Komponen
Objektif pembelajaran
Persediaan
Pengetahuan Sedia Ada
Penerapan: nilai murni, kemahiran berfikir(KB),
kecerdasan pelbagai (MI)
Sumber/Bahan Bantu Mengajar (BBM)
Set induksi
Komponen Perkembangan: isi pelajaran, penerapan nilai dan
Penyampaian kemahiran, strategi pengajaran (aktiviti murid dan
guru), penggunaan sumber
Jenis dan cara penutup
Komponen Pentaksiran Pengajaran dan Pembelajaran:
Penutup Refleksi Guru Pelatih
Ulasan Guru/ Pensyarah

Bahagian ini akan membincangkan tentang ketiga-tiga komponen persediaan mengajar


dengan lebih perinci.

KOMPONEN PERSEDIAAN

Komponen persediaan dalam RPH terdiri daripada maklumat am, butiran standard
kandungan, objektif pembelajaran, pengetahuan sedia ada, penerapan (nilai murni,
kemahiran berfikir, kecerdasan pelbagai) dan bahan bantu belajar.

Maklumat Am

Maklumat am adalah butir-butir tentang tarikh, masa, kelas/tahun, bilangan pelajar, mata
pelajaran, dan tajuk pelajaran/pengajaran. Maklumat ini adalah penting supaya guru
mengetahui siapa pelajar mereka, perkara yang akan disampaikan supaya dapat
merancang strategi dan media pengajaran yang akan digunakan.

Butiran Standard Kandungan

Objektif Pembelajaran

Objektif pengajaran ialah satu pernyataan yang menentukan apa yang pelajar akan pelajari,
dan bagaimana guru yang mengajar boleh mengetahui sama ada objektif sudah tercapai
atau tidak. Objektif yang ditulis hendaklah dalam bentuk tingkah laku, boleh diukur yang
merangkumi objektif umum dan objektif khusus. Kepentingan objektif adalah untuk
menentukan tujuan pengajaran, sebagai panduan untuk penilaian pengajaran, sebagai garis
panduan bagaimana hendak mengajar dan untuk menentukan skop pengajaran.
Pengetahuan Sedia Ada

Pengetahuan sedia ada adalah pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar berkaitan
dengan tajuk yang telah diajar, atau pengetahuan yang dimilikinya berdasarkan pengalaman
dan pemerhatian. Pengetahuan ini mungkin diperoleh melalui pembelajaran sebelum,
pengalaman terus, pemerhatian atau pembacaan pelajar. Guru perlu mengetahui
pengetahuan yang sedia ada pada pelajar supaya dapat menentukan peringkat permulaan
sesuatu pengajaran dan dapat menyediakan media pengajaran dan kaedah pengajaran
yang sesuai dengan pelajar. Berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar, guru dapat
menentukan peringkat pembelajaran pelajarnya, mengelak guru daripada mengulang
mengajar sesuatu yang telah dipelajari atau dikuasai pelajar, membantu guru merancang
persediaan mengajar, membantu guru merancang penyediaan bahan bantu mengajar dan
menjangkakan hasil pembelajaran yang diharap dari pengajarannya.

Penerapan: Nilai Murni, Kemahiran Berfikir, Kecerdasan Pelbagai

Penerapan nilai

Nilai murni hendaklah diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada secara
langsung ataupun tidak langsung. Penerapan nilai murni adalah bersesuaian dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek.. Terdapat 16 nilai murni yang boleh diterapkan dalam
pengajaran guru. Nilai-nilai tersebut adalah baik hati, hormat-menghormati, kasih sayang,
berdikari, keadilan, berhemah tinggi, kebebasan, kejujuran, keberanian, kebersihan,
kerajinan, rasional, kerjasama, kesyukuran, kesederhanaan, dan semangat
bermasyarakat. Guru boleh memilih mana-mana nilai murni yang hendak diterapkan sesuai
dengan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, apabila guru
mengadakan aktiviti berkumpulan dan selepas itu meminta pelajar ke depan
membentangkan hasil kerja mereka, maka guru telah menerapkan nilai kerjasama dan juga
nilai keberanian (apabila pelajar ke depan kelas untuk bercakap).

Kemahiran Berfikir

Kecerdasan Pelbagai

Sumber/Bahan Bantu Mengajar


Bahan bantu mengajar atau bahan bantu belajar merujuk kepada media atau bahan yang
guru gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara bahan bantu mengajar yang
guru gunakan adalah seperti kad perkataan, kad huruf, kad imbasan, gambar tunggal atau
gambar bersiri, perakam video, model , dan sebagainya. Bahan bantu mengajar juga boleh
berbentuk bahan sumber yang guru gunakan dalam pengajarannya atau sebagai rujukan
seperti buku rujukan, jurnal, risalah, buletin, dan sebagainya. Sumber pengajaran lain juga
boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkenaan. Contoh
media pengajaran ialah papan gulung, carta, peta, model, slaid projektor, overhead
projektor, Liquid Crystal Display (LCD), talian terus, televisyen dan radio.

Komponen persediaan ini perlu dinyatakan dengan jelas dan perinci bagi
mengelakkan kekeliruan. Persediaan mengajar yang baik akan dapat digunakan oleh guru
lain untuk mengajar tanpa sebarang masalah sekiranya guru berkenaan tidak dapat
mengajar disebabkan sesuatu hal yang timbul.
KOMPONEN PENYAMPAIAN

Komponen penyampaian adalah bahagian yang memerlukan guru berfikir dengan teliti untuk
merancang aktiviti pengajaran yang hendak dijalankan sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran. Pada peringkat ini guru hendaklah bijak memilih strategi pengajaran yang
sesuai dengan isi pelajaran, penggunaan media pengajaran yang sesuai dan menarik, serta
aktiviti pengajaran yang berkesan. Komponen penyampaian terdiri daripada induksi set dan
perkembangan.

Induksi Set

Induksi set adalah permulaan pengajaran yang penting. Induksi set adalah untuk
memfokus atau mengorientasi perhatian pelajar terhadap pelajaran yang hendak
dimulakan. Bermula dari sini aliran pemikiran pelajar yang menjurus kepada
pelajaran dapat dibina dengan cara menimbulkan minat serta perasaan ingin tahu
mereka. Induksi set hendaklah dijalankan dengan menarik dalam lingkungan 3 hingga 5
minit sahaja.

Terdapat beberapa cara untuk membina aliran pemikiran pelajar ialah:

1. Menarik perhatian: Pastikan pelajar sudah cukup bersedia sebelum memulakan


pelajaran. Guru boleh menarik perhatian pelajar melalui pertembungan mata, gerak
isyarat, suara guru, atau menggunakan media pandang dengar.
2. Orientasi: Guru boleh memilih sesuatu peristiwa, objek, proses, atau alat yang
boleh menimbulkan minat pelajar, dan kemudian mengaitkannya dengan objektif
pengajaran.
3. Mewujudkan motivasi: motivasi boleh diwujudkan melalui kemesraan dan
semangat yang guru tunjukkan. Selain itu guru perlu merangsang naluri ingin tahu
pelajar melalui unsur-unsur luar biasa atau sesuatu yang mencabar minda mereka.
4. Struktur: Induksi set boleh juga dilaksanakan secara memberi tugasan ringkas
kepada pelajar dan meminta mereka menyiapkan tugasan itu dalam jangka masa
yang singkat. Soalan guru dapat membantu pelajar melaksanakan tugasan mereka
dengan cepat.
5. Membuat perkaitan: Perkaitan boleh dilakukan dengan cara membuat
perbandingan atau menyenaraikan persamaan atau perbezaan aspek yang hendak
dipelajari dengan perkara yang telah dipelajari atau diketahui oleh pelajar.
Guru boleh menjalankan induksi set dengan berbagai-bagai cara untuk menarik perhatian
dan membina aliran fikiran pelajar.

Perkembangan pelajaran

Peringkat perkembangan pelajaran adalah peringkat guru menyampaikan isi pelajaran. Bagi
mata pelajaran Pendidikan Seni Visual/ Dunia Seni Visual, terdapat empat sub komponen
yang perlu dipatuhi iaitu Persepsi Estetik, Aplikasi Seni, Ekspresi Kreatif dan Apresiasi Seni.
Pada peringkat-peringkat ini guru akan menggunakan segala teori dan prinsip pedagogi
yang dipelajarinya. Guru akan menggunakan kemahiran seperti teknik menyoal,
peneguhan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menerang, memeringkat isi pelajaran,
serta memilih kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai. Berkaitan dengan
perkembangan pengajaran terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru.

Konsep dan isi

Guru hendaklah pasti dengan isi pelajaran yang hendak diajarnya dan juga pasti segala
fakta dan maklumat adalah benar. Guru mesti menunjukkan yang ia sudah cukup
bersedia dan berilmu bagi meyakinkan pelajarnya.

Penerapan Nilai dan Kemahiran

Antara kemahiran yang boleh diterap ialah kemahiran peneguhan dan kemahiran
peneguhan. Kemahiran peneguhan adalah penting dalam proses pengajaran kerana
peneguhan yang diberi dengan betul, sesuai, dan segera akan dapat meningkatkan tingkah
laku baik yang hendak ditingkatkan atau dikekalkan di kalangan pelajar. Peneguhan boleh
dalam bentuk material seperti makanan, buku, pen, dan pensel atau dalam bentuk sosial
seperti senyuman, pujian, kontak mata, dan sebagainya.

Kemahiran menyoal pula adalah kemahiran yang sangat penting dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Soalan-soalan guru akan membantu pelajar
membentuk konsep, gambaran fikiran, dan lebih berkeyakinan untuk melibatkan diri dalam
aktiviti pembelajaran. Guru hendaklah menguasai kemahiran teknik menyoal supaya soalan
yang dikemukakan dapat mencungkil pemikiran pelajar. Antara panduan menyoal yang
berkesan adalah seperti berikut:
sebarkan soalan kepada semua pelajar;
beri masa pelajar berfikir sebelum menjawab soalan;
gunakan lingkaran soalan untuk mencungkil pemikiran pelajar. Lingkaran soalan
bermaksud soalan-soalan yang dibina berdasarkan soalan awal atau jawapan
kepada soalan awal tadi;
soalan guru hendaklah mudah difahami;
berikan soalan yang mencabar minda pelajar;
berikan peneguhan yang bersesuaian terhadap jawapan pelajar.

Strategi pengajaran dan pembelajaran

Guru hendaklah bijak memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak
digunakan dalam pengajarannya. Guru boleh memilih strategi pengajaran berpusatkan
pelajar, berpusatkan guru, atau berpusatkan bahan. Begitu juga guru boleh memilih kaedah
dan teknik pengajaran tertentu dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Antara teknik yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah teknik-teknik cerita, main
peranan, lakonan, simulasi, nyanyian, dan lain-lain lagi.

Penggunaan bahan bantu mengajar

Penggunaan bahan bantu mengajar boleh menarik minat pelajar terhadap pengajaran guru
di samping membantu mereka memahami isi pelajaran. Bahan bantu mengajar hendaklah
digunakan secara maksimum ketika guru menyampaikan isi pelajaran. Sebaik-baik bahan
bantu mengajar adalah yang dibuat oleh guru sendiri kerana guru tahu apa yang diperlukan
oleh pelajarnya.
KOMPONEN PENUTUP

Penutup

Guru boleh menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan terhadap pelajaran yang
diajar. Pengajaran guru tidak seharusnya berhenti secara tiba-tiba terutamanya ketika
pelajar hendak keluar semasa waktu rehat. Guru hendaklah merancang pengajarannya
supaya dapat ditutup dengan baik dan berkesan. Minda pelajar hendaklah difokuskan
kepada perkara yang telah dipelajari terutamanya melalui kesimpulan, penilaian, atau aktiviti
susulan (tugasan).

Kesimpulan

Kebiasaannya guru akan menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan atau


rumusan pelajaran. Melalui kesimpulan pelajar dapat membentuk konsep serta dapat
melihat perkaitan antara fakta yang dipelajari. Selain itu pelajar akan berasa yang mereka
telah mempelajari sesuatu dan faham apa yang dipelajari. Kesimpulan juga adalah sebagai
peneguh kepada pelajaran bagi memudahkan pelajar mengingati apa yang telah
dipelajari. Guru boleh membantu pelajar membuat kesimpulan sendiri melalui soalan-soalan
yang dikemukakan.

Penilaian

Penilaian pada bahagian penutup bukanlah seperti penilaian yang dibuat


semasa pengajaran. Penilaian di sini adalah ringkas yang pada kebiasaannya dibuat
secara lisan untuk mengetahui sama ada pelajar memahami apa yang telah mereka
pelajari. Selain itu, penilaian juga secara tidak langsung membantu pelajar membuat
kesimpulan.

Aktiviti susulan/tugasan

Aktiviti susulan biasanya diberi oleh guru pada akhir bahagian penutup. Aktiviti susulan
merupakan kerja tambahan yang guru berikan kepada pelajar dalam bentuk kerja
rumah. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan aspek-aspek pembelajaran yang telah
disampaikan. Tugasan hendaklah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah disampaikan
supaya sesuai dengan fungsinya sebagai satu bentuk aktiviti pengayaan. Namun begitu,
guru perlu memberi perhatian supaya aktiviti susulan yang diberi itu tidak membebankan
pelajar. Bayangkan sekiranya guru yang mengajar setiap pelajaran yang diikuti pada hari itu
memberikan tugasan dan perlu disiapkan dalam masa yang singkat, maka sudah pasti
pelajar akan tertekan dan bosan. Hal ini akan menghilangkan minat pelajar terhadap
pelajaran.

Refleksi Guru Pelatih

Pada bahagian ini, guru pelatih perlu membuat penilaian terhadap sesi pengajaran dan
pembelajaran yang telah dijalankan. Segala kekuatan, kelemahan dan cadangan
penambahbaikan perlu direkodkan untuk dijadikan rujukan.

Ulasan Guru/ Pensyarah

Ulasan daripada guru pembimbing dan pensyarah pembimbing perlu direkodkan di dalam
buku rekod mengajar guru pelatih sebagai satu penilaian terhadap prestasi pengajaran yang
telah dijalankan. Segala kekuatan perlu dikekalkan dan kelemahan yang dinyatakan boleh
diambil tindakan bagi meningkatkan kualiti pengajaran bagi sesi yang seterusnya.
Kesimpulan

Persediaan mengajar adalah satu perancangan mengajar yang disediakan oleh guru untuk
mengajar sesuatu tajuk pelajaran dalam tempoh jangka waktu tertentu pengajaran.
Persediaan mengajar mengandungi tiga komponen penting iaitu persediaan, penyampaian,
dan penutup. Dapatlah dirumuskan bahawa seseorang guru yang berkesan adalah guru
yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelajarnya dan juga bersedia untuk
mengajar dengan penuh yakin. Kedua-dua perkara ini hanya dapat dimiliki oleh guru
sekiranya dia merancang terlebih dahulu setiap pengajarannya.

You might also like