You are on page 1of 2

PERPADUAN : SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pengisytiharan 16hb September sebagai HariMalaysia merupakan satu langkah baik


ke arah menyatukan perpaduan di kalangan rakyat, walaupun ianya agak aneh,
kerana di Malaysia ada hari merdeka, dan ada Hari Malaysia. Penulis tidak
berhasrat mengupas persoalan tersebut, tetapi bilamana kita melihat isu perpaduan
kaum di negara kita, walaupun ianya telah berjalan dengan baik; tetapi masih
terdapat beberapa isu tertangguh yang belum selesai.

Perpaduan Nasional merupakan teras yang perlu dipelihara oleh semua pihak,
dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Antara isu utama
yang masih belum selesai ialah persoalan pendidikan, yang merupakan elemen
penting perpaduan nasional.

Setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun, kita masih mempunyai dua
sistem pendidikan kebangsaan, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis
kebangsaan. Apakah matlamat kewujudan sekolah tersebut, selain daripada
memenuhi kehendak kaum yang ada. Kewujudan sistem pendidikan bersifat
perkauman ini tentulah tidak membantu perpaduan nasional yang lebih kukuh.
Bayangkan wujudnya dua sekolah kebangsaan dalam satu perkampungan, satu
taman perumahan bahkan wujud tiga sekolah kebangsaan di sesuatu kawasan. Kita
lihat negara jiran kita samada Indonesia atau Thailand, mereka hanya ada satu
sistem pendidikan sahaja, iaitu sistem pendidikan kebangsaan.

Isu setiap kaum yang memerlukan kemahiran bahasa ibunda dan tulisan ibunda
masing-masing bukanlah masalah besar kerana ianya boleh diwujudkan dalam
sistem yang sedia ada. Begitu juga soal budaya dan adat resam kaum. Kita perlu
melihat jauh ke hadapan dalam usaha perpaduan ini. Seluruh ahli politik khususnya
dan pemimpin kaum mestilah sedia bertolak ansur ke arah pembentukan satu
sistem pendidikan kebangsaan. Kita perlu membentuk satu bangsa Malaysiamelalui
satu sistem pendidikan, yang mana pergaulan dimulai sejak kecil lagi.

Kalau kita ke negara jiran, terkadang kita tidak lagi mengenali mereka mengikut
kaum masing-masing. Bahkan nama juga mengikut namaThailand atau Indonesia,
walaupun mereka masih mengekalkan nama nasab keluarga.

Kerajaan perlu ketegasan dalam merealisasikan hasrat penyatuan dan perpaduan


ini. Satu tempoh perlu diberi kepada semua sekolah-sekolah jenis kebangsaan agar
mereka dapat bersedia ke arah satu sekolah kebangsaan. Kalau ini dapat
dilakukan, sebenarnya tidak banyak perkara yang perlu diubah, kerana sebahagian
besar silibus yang digunakan kini telahpun sama dengan apa yang diajar di sekolah
kebangsaan. Cuma beberapa subjek yang perlu kekalkan bagi memenuhi hasrat
setiap kaum.

Kepimpinan masyarakat terdiri dari PIBG, Majlis Guru, pemimpin kaum, ahli-ahli
politik perlu duduk semeja bagi membincang hala tuju masa depan negara.
Perpaduan perlu dipupuk sejak kecil, dengan saling perlu memahami hak-hak
setiap kaum dan agama dan budaya mereka. Semua ini dapat dibentuk melalui
satu sistem pendidikan. Usaha ini harus dimulakan.

Kerajaan perlu melihat isu sistem pendidikan kebangsaan ini sebagai masalah yang
masih belum selesai. Persoalannya apakah kerajaan yang ada ini bersedia ke arah
itu, dengan pergantungan sokongan politik kaum cina dan India kepada BN? Saya
ingin tegaskan bahawa isu ini hendaklah dilihat dalam skop yang luas, bukan
terikat dengan kepentingan politik perkauman yang sempit, sehingga boleh
menjejaskan hasrat besar ini. Kenyataan PM bahawa kita kena tengok reaksi
rakyat, tentu tidak banyak membantu ke arah kewujudan satu sistem persekolahan
kebangsaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man


Naib Presiden PAS Pusat.

http://tuanibrahim.blogspot.com/2009/11/perpaduan-sistem-pendidikan-kebangsaan.html

You might also like