You are on page 1of 1

iv

ABSTRAK

Dalam era globalisasi, organisasi telah berusaha melaksanakan tiga sistem pengurusan
utama sedia ada iaitu siri Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2000), siri Sistem
Pengurusan Persekitaran (ISO 14001:1996) dan siri Sistem Pengurusan Keselamatan &
Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001:1999) dan mengintegrasikannya dalam strategi
pengurusan. Ketiga-tiga sistem ini bukan sahaja mampu mengekalkan daya saing
organisasi dalam pasaran malahan mampu memberi faedah terutama kepada pengawalan
mutu alam sekitar, kualiti produk dan juga tanggungjawab sosialnya kepada pekerja
organisasi sendiri. Bagaimanapun, perlaksanaan ketiga-tiga sistem pengurusan ini kerap
dijalankan secara berasingan sama ada secara terasing atau berturutan. Perlaksanaan
secara terasing/berturutan begini mencetuskan pelbagai masalah terutama sekali dari
aspek pertindihan kerja, pengulangan prosedur, peningkatan kos, bebanan dokumentasi,
masa dan kerja kerana wujud persamaan beberapa unsur utama di antara ketiga-tiga
sistem pengurusan ini. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk meninjau ciri-ciri
dan kepentingan sistem pengurusan yang berasingan, membuat perbandingan ketiga-tiga
sistem pengurusan daripada aspek persamaannya, meninjau senario perlaksanaan sistem
pengurusan secara berasingan dari segi prestasi dan kekangan perlaksanaanya di
Malaysia. Tujuan utama kajian ini adalah cuba mengintegrasikan ketiga-ketiga sistem
pengurusan tersebut kepada satu bentuk pengurusan bersepadu yang dikenali sebagai
sistem pengurusan bersepadu (Integrated Management System-IMS). Untuk tujuan ini,
sebanyak 26 organisasi di seluruh Malaysia yang telah memperolehi pensijilan siri ISO
9001:2000, siri ISO 14001:1996 dan siri OHSAS 18001:1999 daripada SIRIM QAS
Berhad dijadikan responden utama bagi mengenalpasti faedah dan masalah perlaksanaan
sistem pengurusan secara berasingan manakala sebanyak 30 buah organisasi di Selangor
yang hanya memperolehi pensijilan siri ISO 9001:2000 dan siri ISO 14001:1996 dan 10
orang pegawai audit SIRIM QAS Berhad dijadikan sebagai responden sokongan khusus
untuk mendapatkan respon ke arah pembentukan dan perlaksanaan IMS di Malaysia.
Hasil kajian mendapati bahawa kesemua responden utama (yang mempunyai 3
pensijilan) menerima faedah hasil perlaksanaan sistem pengurusan berasingan khususnya
daripada aspek peningkatan piawaian operasi, peningkatan kecekapan perkhidmatan,
pematuhan undang-undang dan peningkatan keuntungan. Pada masa yang sama
organisasi juga menghadapi masalah setelah melaksanakan kesemua sistem pengurusan
secara berasingan khususnya dari aspek kekurangan tenaga pakar, peningkatan kos,
penggunaan masa yang banyak dan gangguan kepada tugas-tugas utama yang lain.
Persamaan unsur-unsur utama di antara ketiga-tiga sistem pengurusan ini seperti dasar,
perancangan dan perlaksanaan dan operasi juga telah menimbulkan masalah lain pula
misalnya masalah pertindihan kerja, kerja yang berulang-ulang yang berkait rapat dengan
masalah penggunaan masa, peningkatan kos, peningkatan beban kerja serta peningkatan
daripada segi penyediaan kertas kerja. Implikasi daripada kekangan perlaksanaan ini
amat besar kepada organisasi terutama sekali dari segi kos. Ini tambah mewajarkan lagi
penggunaan dan perlaksanaan IMS di Malaysia.

You might also like