You are on page 1of 15

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/216259962

Pemantapan Sistem Pengurusan Islam


Berkualiti Melalui Konsep Tawhidi, Budaya
Itqaan Dan Nilai Ihsan

Conference Paper January 2011

CITATIONS READS

3 2,419

3 authors, including:

Hasan Al-Banna Mohamed Siti Arni Basir


National Defence University of Malaysia University of Malaya
98 PUBLICATIONS 102 CITATIONS 53 PUBLICATIONS 45 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

KAJIAN EKSPLORATORI TERHADAP KELESTARIAN PEMIMPIN BERKARISMA MELALUI ASPEK JASMANI,


EMOSI, ROHANI, INTELEK (J.E.R.I) DALAM KALANGAN PEGAWAI KADET UPNM View project

International conference View project

All content following this page was uploaded by Hasan Al-Banna Mohamed on 03 June 2014.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

PEMANTAPAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM BERKUALITI


MELALUI KONSEP TAWHIDI, BUDAYA ITQAAN DAN NILAI IHSAN

Hasan Al-Banna bin Mohamed, MSc; hasanalbanna@upnm.edu.my


Ab Mumin Ab Ghani, Ph.D; abmumin@um.edu.my
Siti Arni binti Basir, Ph.D; sitiarni@um.edu.my
Akademi Pengajian Islam (APIUM),
Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur

ABSTRAK :
Sistem Pengurusan Kualiti Islam merupakan satu proses yang penting bagi
memastikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah organisasi yang berfokuskan
produk atau memberi perkhidmatan agar selari dengan kehendak dan tuntutan
Syarak. Sistem ini sekiranya diurus dengan sebaik mungkin akan memperoleh
kejayaan dan kegemilangan hakiki (al-Falah) bukan sahaja di dunia malah di hari
akhirat kelak. Sistem pengurusan kualiti yang dipelopori Barat seperti ISO 9000,
TQM dan Baldridge Award lebih menekankan aspek teknikal seperti input-output,
prosedur dan proses kerja, keutamaan kepada pelanggan dan hubungan dengan
pembekal. Manakala aspek rohaniah seperti kebajikan pekerja, nilai Ihsan,
integriti, etika, akhlak dan tanggungjawab sosial telah diabaikan. Justeru,
seseorang pengurus perlulah memantapkan sistem pengurusan organisasi yang
berkualiti dengan berdasarkan perspektif Islam yang menitikberatkan
konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai Ihsan. Malah ketiga-tiga tonggak utama
tersebut dapat memastikan kelangsungan sistem pengurusan dalam sesebuah
organisasi berjalan lancar. Penekanan kepada Tawhid, Itqaan dan Ihsan
menjadikan sistem pengurusan kualiti lebih holistik sifatnya. Ia juga menjadikan
sistem pengurusan kualiti lebih bersifat kemanusiaan dan lebih dekat dengan hati
anggota organisasi. Sehubungan dengan itu, artikel ini akan memfokuskan kepada
ketiga-tiga konsep tersebut, serta kesannya terhadap sistem pengurusan organisasi
berserta dengan langkah-langkah bagi pemantapan sistem pengurusan kualiti yang
berkesan mengikut perspektif Islam.

KATA KUNCI : Sistem Pengurusan Kualiti Islam, al-Falah, Konsep Tawhidi, Budaya Itqaan
dan Nilai Ihsan

1
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

1.0 PENDAHULUAN

Konsep kualiti atau istilah kecemerlangan dalam sesuatu pengurusan atau


perkhidmatan merupakan komponen penting (Nor Azzah, 2002:54) yang sering dibicarakan
pada setiap hari dan setiap masa di pelbagai tempat dan lokasi sama ada oleh sarjana Barat
atau Timur atau sarjana Islam itu sendiri. Umumnya, istilah ini walaupun ia banyak
dibincangkan dalam konteks memberi perkhidmatan atau mengeluarkan produk tertentu,
namun masyarakat Islam kadang-kala menganggap ia tidak begitu penting dan tumpuan
kajian terhadapnya agak kurang atau dianggap kurang berfaedah. Bahkan ada yang
menganggap perbincangan mengenai kualiti boleh mengganggu aktiviti kerja seharian
mereka (Khaliq Ahmad, 2006:301). Hakikatnya, konsep kualiti atau kecemerlangan ini telah
pun diungkapkan oleh al-Quran dari awal lagi melalui penciptaan Allah S.W.T. terhadap
kejadian-kejadian alam di dunia yang mementingkan aspek kesempurnaan seperti dalam
Surah al-Mulk, ayat 3 yang bermaksud: Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah
Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (Jika
engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu) sekali lagi, Adakah dapat engkau melihat
sebarang kecacatan.
Malah, agama Islam itu sendiri satu ajaran yang progresif, sarwajagat, nilai dan
prinsipnya yang dinamik, berinovasi (Zulkifle Ghani, 23/9/2011) serta relevan ke arah
pembentukan komuniti yang berkualiti dan produktif (Nik Mustapha, 2008:1). Tambahan
pula, Islam memandang kualiti sebagai proses membawa transformasi positif ke arah prestasi
yang terbaik dalam semua aspek tingkah laku manusia. Oleh itu, matlamat akhirnya adalah
meningkatkan kehidupan manusia sama ada beroleh kejayaan hakiki (al-Falah) di dunia
ataupun hari akhirat kelak (Ab. Mumin, 2006:9; Mohd Affandi Hassan, 1992:56; Hj. Sohaimi
& Mohd Gunawan, 2007:185). Hal ini terbukti dengan penciptaan manusia itu sendiri yang
serba lengkap dan sempurna seperti yang digambarkan melalui mafhum firman Allah S.W.T.
dalam Surah At-Tin, ayat 4 - 6.
Isu mengenai pentingnya kualiti turut disentuh oleh ulama kontemporari Islam
terkenal, Yusof al-Qaradhawi (2001). Menurut beliau, antara perkara yang perlu menurut
pandangan Syariat ialah mendahulukan kualiti dan jenis pekerjaan berbanding hanya kuantiti
kerja. Beliau menegaskan lagi yang harus diberi perhatian utama bukanlah banyak dan
persoalan yang besarnya perlu dihadapi, tetapi kualiti dan jenis pekerjaan yang perlu
dilaksanakan. Al-Quran memandang hina terhadap golongan majoriti atau golongan yang

2
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

ramai apabila dalam kumpulan tersebut hanya dipenuhi oleh golongan yang tidak berakal,
tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur.
Oleh yang demikian, memandangkan peri pentingnya kualiti ini dalam aspek
kehidupan insan; maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya
dalam melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin
& Siti Arni, 2011). Sistem pengurusan kualiti ini sangat berkesan apabila dilaksanakan dalam
pelbagai organisasi agar dapat melahirkan modal insan kelas pertama. Jika sesebuah
organisasi ingin mengeluarkan sesuatu produk atau memberikan perkhidmatan yang
memuaskan hati pelanggan, maka faktor kejayaannya adalah sistem pengurusannya yang
berkualiti (Siti Arni & Musaiyadah, 2008:3; Azman, 2003:43). Dewasa ini dapat kita lihat
apabila organisasi tidak mampu untuk mengurus dengan baik, pelanggan akan menjauhi diri
daripada mereka dan tidak lagi mampu untuk bersaing dengan pihak yang lain (Nik
Mustapha, 2008:11). Malah pelbagai lagi permasalahan yang akan timbul sekiranya
pelaksanaan atau pentadbiran organisasi tertentu tidak diuruskan sebaik mungkin, lebih-lebih
lagi sekiranya tidak mengikut seperti saranan ajaran Islam.

2.0 KONSEP SISTEM PENGURUSAN KUALITI ISLAM

Sistem pengurusan Islam bukanlah suatu sistem yang jumud (Rushdan Jailani,
24/9/2011), malah ia sangat mementingkan pengurusan yang baik dalam menghasilkan
produk dan memberi perkhidmatan agar ia dapat memberi faedah dan manfaat terbanyak
kepada pihak lain (Panel Akademi Pengurusan YaPIEM, 2010:163). Islam turut menyarankan
umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu amalan dengan bersungguh-sungguh dan sebaik
mungkin. Hal ini demikian kerana kesungguhan dan keikhlasan seseorang hamba
menjalankan arahan akan menghasilkan mardatillah (keredhaan Allah S.W.T.) (Abdul
Halim, 1987:140). Selain itu, penekanan terhadap umat Islam untuk melakukan sebarang
urusan dan amalan dengan berpaksikan niat hanya beribadah kepada Tuhan. Tambahan pula,
sesuatu tingkah laku itu akan dianggap ibadat serta mendapat pahala daripada Allah S.W.T.
apabila dilakukan dengan seikhlas hati, berasaskan prinsip-prinsip Islam, melaksanakan tugas
dengan bersungguh, memberi kesejahteraan kepada ummah serta menjalankan kerja menurut
keutamaan.
Sesungguhnya sistem pengurusan kualiti (Quality Management System) merupakan
satu alat bantuan sesebuah organisasi bagi meningkatkan kepuasan pelanggannya serta
menambahkan keyakinan organisasi untuk memenuhi keperluan piawaian tertentu secara

3
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

konsisten. Adapun ia dapat didefinisikan sebagai satu alat instrumen yang penting bagi
mengurus sesebuah organisasi (Piskar & Dolinsek, 2006:1334). Malah, ia juga merupakan
kerangka sesuatu aktiviti untuk memastikan pengeluaran produk yang konsisten dan
perkhidmatan yang efektif kepada pelanggan sesebuah organisasi. Sistem ini turut digunakan
sebagai satu piawaian (standard) yang menjadi panduan untuk membangun dan mengekalkan
tahap kepuasan pelanggan serta tujuan penambahbaikan (Rushami Zien, Kamarulzaman,
Mohd. Suan & Azran, 1999). Sistem pengurusan kualiti ini juga dianggap sebagai satu bentuk
polisi, proses atau prosedur yang memerlukan perancangan dan pengeluaran, pembangunan
dan perkhidmatan dalam bidang aktiviti-aktiviti utama sesebuah organisasi. Jika sesebuah
organisasi mengamalkannya dengan betul, ia boleh mengenal pasti, menilai, mengawal serta
mempertingkatkan prestasinya dengan lebih cemerlang.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan (Utusan Malaysia, 28
Februari 2008) menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia telah mencuba pelbagai inisiatif untuk
meningkatkan kualiti perkhidmatan awam termasuklah pelaksanaan Sistem Pengurusan
Kualiti MS ISO 9001, Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), Petunjuk Prestasi
Utama (KPI), Piagam Pelanggan, Penanda Aras, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK),
Anugerah Kualiti dan Inovasi, Pejabat Perkhidmatan Pelanggan, 5 S, Six Sigma, Kumpulan
Inovatif dan Kreatif (KIK), Key Result Areas (KRA), Key Performance Indexs (KPI) dan
sebagainya. Kesemua langkah ini tidak lain hanya bertujuan bagi memastikan perkhidmatan
atau produk yang dihasilkan dapat memenuhi kehendak pelanggan atau memberi kepuasan
bagi rakyat terbanyak.
Oleh yang demikian, sistem pengurusan kualiti Islam amat berbeza sekali dengan
sistem konvensional yang hanya mementingkan aspek-aspek bersifat materialistik atau
sementara (Fadzila Azni, 2010:55). Malah, sistem pengurusan yang telah dipelopori oleh
Baginda Rasulullah S.A.W serta para sahabatnya amat bersifat universal yang merangkumi
dua dimensi lahiriyah (material) dan batiniyyah (spiritual). Menurut Auni (2010:xi), sistem
pengurusan Islam adalah berteraskan kepada empat tonggak atau teras yang menjadi
kekuatan sebenar sistem tersebut iaitu meliputi konsep Istikhlaf, Tashkir, Tazkiat al-Nafs dan
Karamat al-Insan. Hakikatnya, sistem pengurusan ini turut berpaksikan konsep Tawhidi yang
diperincikan dengan hukum-hakam ilmu Fiqh serta menitik beratkan budaya Itqaan
(kesempurnaan) dan nilai-nilai Ihsan dalam pelaksanaan sesuatu tindakan sama ada berupa
ibadat umum (Muamalat, Munakahat dan sebagainya) atau ibadat khusus seperti solat, puasa,
zakat dan lain-lain. Justeru, artikel ini akan memfokuskan kepada tiga konsep penting
tersebut bagi memastikan sistem pengurusan kualiti Islam dapat diaplikasikan dengan sebaik

4
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

mungkin demi melahirkan tenaga kerja yang hebat bertepatan dengan tuntutan Syariah
Islamiah.

2.1 KONSEP TAWHIDI

Konsep Tawhidi merupakan paksi utama atau tonggak terpenting bagi umat Islam
membuktikan keikhlasan, keyakinan, keimanan dan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Malah, nilai Tawhidi inilah yang telah membebaskan diri manusia zaman Jahiliah yang hanya
bertuankan nafsu serta kebendaan kepada bertuhankan Allah S.W.T. (Syed Othman Alhabshi,
1998:60-61). Akhirnya, masyarakat pada masa itu telah mentransformasikan kemunduran dan
kejahilan mereka kepada satu bangsa yang agung dan bertamadun (Wan Liz Ozman,
1997:45). Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W. telah pun membawa ajaran Islam yang penuh
dengan kesempurnaan dan kegemilangan berkualiti dengan menggabungkan kedua-dua
dimensi jasmaniah dan rohaniah demi mencapai objektif atau matlamat sebenar iaitu
kejayaan hakiki. Kejayaan hakiki (al-Falah) ini semestinya didorong oleh tiga faktor amalan
yang perlu ditunaikan oleh setiap Muslim iaitu sifat Ikhlas, Ilmu dan Amal (Ibnu Rajab, 1995;
Khaliq Ahmad, 2006:20)
Menurut Prof. Ismail Raji al-Faruqi (1982:17-18) telah menyatakan konsep Tawhidi
ini sebagai : al-Tawhid is that which gives Islamic civilization its identity, which binds all its
constituents together and thus makes them an integral organic body which we can
civilization. In binding disparate elements together, the essence of civilization in thie case, al-
tawhid impresses them by its own model. Obviously, no commandment in Islam would hold
without al-Tawhid. The whole religion itself, mans obligation to serve God, to fulfill its
commandments and observe His prohibitions would fall to the ground the moment al-Tawhid
is violated. Di samping itu, Mohd Affandi (1992:56-57) turut menegaskan bahawa
paradigma Tawhidi sebagai: Satu kaedah ilmu berasaskan kewujudan Tuhan Yang Maha
Esa dan Maha Berkuasa serta Maha Adil dan Maha Pengampun serta Maha Sempurna dan
tiada satu pun yang menyerupai-Nya, Pencipta segala makhluk.
Rentetan itu, jelas menunjukkan bahawa sistem pengurusan yang berkualiti
semestinya perlu diikat dengan konsep Tawhidi kerana ia merupakan inti pati ajaran Islam itu
sendiri. Sekiranya seseorang pekerja dalam organisasi mempunyai nilai Tawhidi yang
mapan, nescaya beliau akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Malah komitmen yang tinggi terhadap konsep Tawhidi ini turut membuahkan hasil dalam
usaha memartabatkan keadilan. Semua tenaga kerja dalam organisasi tidak kira dari pihak

5
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

pengurusan sehinggalah kepada subordinat akan memastikan keadilan dan kesaksamaan


dalam pemberian hak akan diperoleh semua kakitangan organisasi. Fenomena sebegini bukan
sahaja melahirkan nilai kepuasan kepada para pekerja atau pelanggan, akan tetapi kesan
penyebaran luas nilai keadilan tersebut sekali gus mendatangkan kebahagiaan sejagat dapat
dikecapi (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).
Selain itu, antara tujuan konsep Tawhidi ini ialah merapatkan jalinan ukhuwwah
(perhubungan) antara dua aspek utama iaitu: Pertamanya hubungan seseorang manusia
dengan Penciptanya (Allah S.W.T) atau dikenali sebagai Hablun Mina Allah, keduanya ialah
perhubungan manusia antara manusia (Hablun Minannas) atau dengan makhluk lain serta
alam persekitarannya (Abdul Halim, 1987:140). Justeru, perhubungan manusia dengan Allah
S.W.T. (Hablun Mina Allah) bersifat abadi, fitrah dan total. Ia meliputi dua cabang asas
kepercayaan iaitu Tawhid Uluhiyyah (kepercayaan terhadap keesaan Allah S.W.T. sebagai
Pencipta mutlak) dan Tawhid Rububiyyah (kepercayaan bahawa Allah S.W.T. sahaja berhak
disembah) (Azman, 2003:50). Seseorang tidak boleh mengingkari perintah Allah S.W.T. atau
Rasul-Nya demi melaksanakan suruhan orang lain. Sekiranya perintah atau suruhan ketua
atau pengurusnya itu menyalahi hukum Syariat Islam, maka tidak wajib beliau mentaatinya
(Khaliq Ahmad, 2006:304). Sebagai contoh, pengurus sebuah syarikat telah menyuruh dan
memaksa para pekerjanya melakukan sesuatu tugasan sehingga menyebabkan pekerja tidak
dapat menunaikan solat fardu, atau mengendalikan makanan yang haram seperti khinzir atau
sebagainya. Jadi, Islam amat melarang umatnya melakukan sesuatu tindakan sebegitu yang
boleh menjejaskan nilai Tawhidi dalam diri seseorang. Manakala hubungan manusia sesama
manusia (Hablun Minannas) pula mementingkan agar kerjasama dan toleransi antara mereka
dapat dipertingkatkan bagi mencapai kesejahteraan hidup bersosial. Sekiranya nilai-nilai
murni tersebut diabaikan, nescaya kehidupan komuniti organisasi atau masyarakat akan
pincang dan mengalami kemusnahan.
Menurut Wan Liz Ozman (1997:50-54) bahawa terdapat lapan kesan utama konsep
Tawhidi ini terhadap minda, sikap dan tingkah laku seseorang apabila ia diamalkan dengan
sebaik mungkin serta meresap masuk ke dalam jiwa sanubari Muslim tertentu, iaitu :
(a) Seseorang tidak akan bersikap tertutup atau sempit pemikirannya, malah beliau akan
menjadi seorang pekerja yang berakauntabiliti, integriti, bermaruah, cekap dan
berdisiplin.
(b) Konsep ini akan melahirkan pekerja atau pengurus yang mempunyai harga diri yang
tinggi (self-respect) serta berkeyakinan diri (self-esteem), di samping bersikap berani
menegakkan kebenaran dan membela keadilan.

6
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

(c) Semangat Tawhidi ini merangsang individu bersifat Tawadduk (rendah diri), tidak
sombong, ujub, takbur walaupun mempunyai kuasa yang besar dalam organisasi.
Pengurus dan pekerja membentuk budaya kerja tolong-menolong, bantu-membantu,
prihatin dan saling menghormati antara satu sama lain.
(d) Pengurus dan pekerja organisasi mengamalkan nilai-nilai yang murni, amanah, tekun
dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab.
(e) Individu yang beriman dengan konsep Tawhidi yang sebenar tidak mudah putus asa
apabila menimpa musibah atau tidak ingkar ketika menerima pemberian nikmat
daripada Allah S.W.T.
(f) Nilai Tawhidi juga akan membina manusia bersikap tahan sabar, mempunyai
keazaman yang tinggi sehinggakan memperoleh petunjuk serta hidayah daripada
Allah S.W.T.
(g) Konsep Tawhidi turut menghakis sifat-sifat Mazmumah (negatif) dalam diri seseorang
seperti iri hati, dengki, hasad, tamak haloba dan seumpamanya. Jika semangat
Tawhidi dapat diterapkan dalam setiap hati sanubari kakitangan dalam sesebuah
organisasi, nescaya segala bentuk salah laku etika, penyalahgunaan, penyelewengan,
pecah amanah, rasuah dapat dibanteras sepenuhnya.
(h) Konsep Tawhidi akan membentuk insan yang sentiasa patuh dan taat terhadap
peraturan serta perintah Allah S.W.T dan rasul-Nya tidak kira masa atau lokasi ia
berada. Hal ini demikian kerana individu tersebut akan beriman dan percaya bahawa
segala tindakan yang dilakukan di dunia akan dibalas setimpalnya pada hari akhirat
kelak.

2.2 BUDAYA ITQAAN

Seterusnya, konsep atau aspek kedua yang perlu diberi perhatian dalam memantapkan
lagi sistem pengurusan organisasi yang berkualiti agar seiring dengan tuntutan Islam ialah
budaya Itqaan (Zulkifle Ghani, 23/9/2011). Budaya Itqaan yang cemerlang sebenarnya telah
pun diungkapkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. melalui hadis yang dijelaskan oleh Aisyah
r.a. melalui riwayat al-Baihaqi r.a. yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.
pernah bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu
perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).
Berdasarkan mafhum hadis tersebut bolehlah dikaitkan budaya Itqaan ini sebagai satu
budaya kerja yang cemerlang, bersungguh-sungguh, istiqamah (komitmen) dan tekun melalui

7
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

persekitaran tempat kerja yang selesa dan kondusif agar melahirkan tenaga kerja (modal
insan) yang mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti serta
memuaskan hati pelanggan. Tambahan pula, budaya Itqaan cemerlang ini dilaksanakan
secara sukarela oleh pekerja tertentu tanpa paksaan daripada sesiapa pun.
Pelaksanaan program kualiti sebenarnya tidak menjamin kecemerlangan organisasi
sekiranya ia tidak disertai dengan budaya Itqaan. Pensijilan ISO 9000 sebenarnya merupakan
asas permulaan kepada pembentukan budaya kerja cemerlang. Adalah kurang tepat jika
hanya pensijilan ISO 9000 dijadikan penanda aras sesuatu kejayaan. Tetapi kelebihan
piawaian ini ialah dapat dijadikan alat untuk memacu organisasi ke arah kecemerlangan
dengan syarat pelaksanaan ISO 9000 mestilah sentiasa diperbaiki. Oleh sebab itulah
penambahbaikan berterusan dijadikan salah satu syarat utama untuk mendapat pensijilan ISO
9000. Justeru dalam konteks ini, penambahbaikan berterusan boleh disamakan dengan konsep
Islah yang amat penting untuk menggalakkan pembaharuan dan mengejar kecemerlangan.
Proses penambahbaikan yang dijalankan secara berterusan tanpa putus asa merupakan ciri
penting bagi mencapai kecemerlangan individu pekerja mahu pun sesebuah organisasi.
Rentetan itu, menurut Azman (2003:74) bahawa budaya Itqaan sering merujuk
kepada pelaksanaan dan penyempurnaan sesuatu kerja yang dilaksanakan secara tekun dan
bersungguh-sungguh. Manakala Hj. Sohaimi dan Mohd Gunawan (2007:187) menakrifkan
konsep Itqaan sebagai komitmen untuk mencapai kesempurnaan. Malah seseorang pengurus
yang mempunyai budaya Itqaan dalam dirinya akan merasa yakin bahawa setiap amanah
dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana pada akhir nanti bakal memperoleh ganjaran
sama ada di dunia ataupun akhirat nanti. Oleh sebab itu, apabila seseorang menjadikan
budaya Itqaan suatu unsur penting dalam pelaksanaan kerjanya, dengan sendirinya beliau
akan menjadikan kerja sehariannya suatu yang berkualiti (Utusan Malaysia, 16 Mei 2011).
Sehubungan dengan itu, bagi menjadikan budaya Itqaan ini sebagai amalan terpuji
yang perlu diamalkan oleh pihak pengurus ataupun pekerja dalam sesebuah organisasi,
mereka mestilah terlebih dahulu memahami tentang peranan yang perlu ditunaikan hak-
haknya sebagai individu Muslim. Hak-hak terhadap majikan, kerja, rakan sejawat, orang
bawahan (subordinate) dan seumpamanya dalam organisasi perlulah ditunaikan sebaik
mungkin. Selain itu, beliau turut bertanggungjawab menunaikan hak-hak terhadap keluarga,
rumah tangga, suami isteri atau anak, komuniti atau masyarakat setempat, jiran dan
sebagainya. Individu Muslim yang cemerlang semestinya dapat mengimbangi antara kedua-
dua peranan yang perlu ditunaikan agar kehidupan seharian memperoleh kesejahteraan yang
sebenar.

8
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

Berdasarkan huraian di atas, secara umumnya terdapat beberapa nilai murni yang
boleh dibudayakan dalam kehidupan seseorang Muslim bagi memastikan konsep Itqaan ini
dapat diaplikasikan sebaik mungkin. Antaranya yang difikirkan sesuai untuk dijadikan asas
pembudayaan konsep Itqaan tersebut ialah :
(a) Memantapkan terlebih dahulu hubungan seseorang insan dengan Penciptanya
(Hablun Mina Allah) melalui pelaksanaan kerja cemerlang serta sentiasa
menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran terkini agar dapat
memajukan anak bangsa serta perubahan diri sendiri. Aspek ini sebenarnya
mempunyai kaitan dengan konsep pertama yang telah dinyatakan pada awal iaitu
konsep Tawhidi.
(b) Setiap pekerja sama ada pihak pengurusan atau subordinat (kumpulan pelaksana)
dalam organisasi mestilah menunjukkan sikap atau role model (Qudwah Hasanah)
yang baik serta dapat dicontohi oleh pihak lain. Hal ini demikian kerana setiap
pemimpin menjadi ikutan kepada orang lain. Justeru, pemimpin yang hebat bukan
hanya terletak semata-mata kerana kuasa atau pengaruhnya sahaja, akan tetapi
perlu memiliki nilai dan etika kerja yang tinggi serta penampilan yang unggul
(Abdul Halim, 1987:136). Sesungguhnya usaha pemantapan dan pemupukan nilai
serta etika ini merupakan salah satu Sunnah dan perjuangan Rasulullah S.A.W.
seperti hadis Baginda yang bermaksud: Sesungguhnya bagi kamu dalam diri
Rasulullah itu suatu contoh (idola) yang terbaik. Begitu juga Sayidina Ali r.a.
pernah berkata: Sesiapa yang menjadi dirinya sebagai pemimpin, maka
hendaklah ia mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum ia mengajar orang lain.
Sayidina Umar r.a. juga turut menyatakan bahawa: Pegawai yang paling baik
ialah orang di bawahnya gembira dengannya, dan yang paling buruk ialah orang
di bawahnya merungut dengannya.
(c) Sentiasa mengamalkan perubahan atau transformasi dalam pelaksanaan kerja
sehariannya dengan mementingkan Wasatiyyah (Zulkifle Ghani, 23/9/2011)
beserta gemar mereka cipta perkara-perkara baharu yang kreatif dan inovatif
dengan harapan semoga pelaksanaan kerjanya menjadi lebih mudah dan berkesan.
Hal ini kerana perubahan dalam organisasi ataupun persekitarannya berkembang
dengan begitu cepat sekali melalui perkembangan teknologi maklumat, pengaruh
globalisasi dan sebagainya. Oleh itu, sekiranya pihak pengurus atau pekerja yang
masih mengamalkan pengurusan tradisional atau mempertahankan budaya lama,
pasti akan ketinggalan dan keciciran. Menurut Khaliq Ahmad (2011:251) bahawa

9
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

pengurus sepatutnya mahir mengurus sebarang perubahan yang berlaku dalam


organisasinya serta mampu menangani konflik-konflik secara berkesan melalui
panduan al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W.

2.3 NILAI IHSAN :

Seterusnya konsep ketiga yang akan dibincangkan dalam artikel ini adalah berkaitan
dengan nilai Ihsan. Menurut Hj. Sohaimi & Mohd Gunawan (2007:187) yang menyatakan
bahawa Ihsan merupakan komitmen kualiti sesuatu perkara semata-mata kerana Allah S.W.T.
Malah, konsep ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. melalui hadis
Sahih yang berkaitan dengan Iman, Islam dan Ihsan. Sabda Rasulullah S.A.W. yang
bermaksud: ...Ihsan adalah kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah. Sekiranya
kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) pasti melihat kamu (Riwayat
Imam Muslim dan Bukhari).
Sesungguhnya konsep Ihsan menerusi mafhum hadis tersebut merujuk kepada dua
definisi penting iaitu pertamanya Ihsan bermaksud sesuatu yang terbaik dan paling elok.
Keduanya ialah bermaksud melakukan sesuatu amalan secara berkualiti melalui suatu tahap
kesedaran yang tinggi bahawasanya setiap tindakan tersebut dalam pemerhatian dan
penilaian Allah S.W.T. Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Tambahan pula Allah
S.W.T. telah berfirman dalam Surah as-Sajadah, ayat 7 yang mafhumnya : (Dia) yang
menciptakan setiap sesuatu dengan sebaik-baiknya (Ihsan) dan dimulakan-Nya kejadian
manusia berasal daripada tanah.
Berdasarkan dalil tersebut, Allah S.W.T. telah menciptakan dan melakukan sesuatu
tindakan secara penuh Ihsan iaitu dengan sebaik-baiknya tanpa kecacatan berdasarkan kepada
kuasa-Nya yang mutlak dan hikmah-Nya yang tiada batasan. Oleh itu, jelas menunjukkan
bahawa nilai Ihsan ini amat dititik beratkan oleh Pencipta dan rasul-Nya agar setiap umat
menjadikan nilai kualiti Ihsan sebagai budaya yang sebati dalam diri terutamanya semasa
melaksanakan sesuatu amalan pengurusan sama ada dalam organisasi, masyarakat mahupun
berkeluarga.
Sesungguhnya model-model kualiti utama yang sedia ada tidak dapat menyelesaikan
isu penderitaan pekerja akibat tekanan pekerjaan. Walaupun terdapat organisasi yang
mencapai kecemerlangan atau hampir mencapai tahap kesilapan sifar, tetapi hakikatnya
masih ramai pihak yang tidak merasa puas hati bahkan menderita hidupnya. Kualiti hidup
peribadi pekerja, kehidupan peribadi dan kualiti hidup masyarakat tidak diberi perhatian

10
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

sewajarnya di sebalik keghairahan majikan dan organisasi mengejar kecemerlangan. Di


sebalik peningkatan dalam kualiti dan produktiviti organisasi awam mahu pun swasta, ramai
pekerja menerima kesan buruk dalam kehidupan peribadi mereka. Justeru, dicadangkan agar
elemen Ihsan diintegrasikan dalam pelaksanaan program-program kualiti. Model yang
mengandungi komponen Ihsan ini menekankan bahawa program kualiti mestilah turut
mengambil kira kualiti atau kebajikan pekerja dan tidak hanya terhad kepada
penambahbaikan kualiti dalam bidang pekerjaan sahaja (Mohd Salmi & Rushaimi, 1996).
Jika disoroti dalam aspek sistem pengurusan sesebuah organisasi, maka seseorang
pengurus atau ketua seharusnya menghiasi diri mereka dengan nilai Ihsan ini. Hal ini
demikian kerana apabila pengurus meminta orang bawahannya melaksanakan sesuatu
tugasan, pastikan ia tidak membebankannya sehingga di luar kemampuan (Ilhaamie,
2001:85). Sekiranya, pekerja tersebut tidak mampu menunaikannya, maka pengurus
janganlah terus bersikap mencela, menghina atau melemahkan semangatnya. Pengurus
sepatutnya perlu mendengar rintihan atau aduan yang dikemukakan oleh orang bawahan, di
samping memberi sokongan atau mencari bantuan alternatif untuk pekerja itu menyiapkan
sesuatu tugasan. Aspek ketidakpuasan pelanggan boleh diatasi sekiranya permasalahan-
permasalahan yang ditimbulkan dapat diselesaikan dengan perbincangan secara kolektif,
bijaksana, adil dan saksama. Justeru, para pekerja yang menjadikan nilai Ihsan tersebut sebati
dalam diari kehidupan seharian mereka akan dapat menjalankan amanah dengan sebaik
mungkin (Berita Harian, 2 Mei 2011). Situasi sebeginilah dianggap sebagai nilai Ihsan atau
belas kasihan, baik hati atau kindness yang dimiliki oleh semua penghuni syurga seperti
mafhum firman Allah S.W.T. dalam Surah 10, ayat 26 iaitu : Barang siapa berlaku Ihsan
akan mendapat Ihsan dan berlebih lagi, sementara tidak ada debu atau benda yang
mengejikan di air mukanya. Mereka inilah penghuni-penghuni Syurga, mereka akan tinggal
di dalamnya selama-lamanya.

3.0 LANGKAH PEMANTAPAN SISTEM PENGURUSAN BERKUALITI

Berdasarkan ketiga-tiga aspek yang dijelaskan dalam artikel ini, ternyata bahawa
kepentingan konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai Ihsan amat perlu diterapkan serta
dimantapkan terutamanya dalam mengurus sesebuah organisasi yang ingin selari dengan
Syariah Islamiah. Seterusnya, perbincangan akan tertumpu pada langkah-langkah untuk
menjadikan sistem pengurusan organisasi yang berkualiti dengan menitik beratkan ketiga-tiga

11
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

konsep tersebut agar selari dengan landasan Islam seperti yang diperintahkan Allah S.W.T
dan rasul-Nya. Antara langkah tersebut ialah:
(a) Pengurus organisasi hendaklah memastikan setiap kakitangan organisasi
mempunyai visi serta matlamat kepercayaan yang berteraskan konsep Tawhidi
yang betul dan tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Malah, setiap
kakitangan organisasi semestinya mempunyai kepercayaan yang benar tentang
keesaan Tuhan Pencipta serta nabi Muhammad S.A.W. adalah pesuruh-Nya.
(b) Memperbetulkan niat agar segala amalan hanya ikhlas beribadat kerana Allah
S.W.T. sama ada dalam melakukan tugas atau kerja yang diberikan dengan sebaik
mungkin dan bukan hanya mementingkan materialistik semata-mata. Hal ini
demikian kerana mafhum hadis Rasulullah S.A.W. telah pun menegaskan bahawa
setiap perbuatan adalah bermula dengan niat yang benar.
(c) Menanam sikap suka melakukan transformasi ke arah yang lebih baik dengan
menjadikan setiap individu dalam organisasi sebagai role model yang perlu
dicontohi oleh orang lain. Hal ini adalah kerana perubahan sangat perlu
dilaksanakan kerana Imam al-Ghazali r.a. telah menegaskan bahawa individu
yang cemerlang adalah seseorang yang sentiasa berubah ke arah yang lebih baik.
(d) Menerima tugasan sebagai satu amanah yang perlu ditunaikan dengan
pelaksanaan yang bersungguh-sungguh, tekun dan cemerlang melalui budaya
Itqaan dan pendekatan Wasatiyyah (Berita Harian, 1/10/2011). Malah, tugasan
yang diberikan akan dilaksanakan dengan sekadar kemampuan yang dimiliki
seseorang secara adil dan bijaksana seiring dengan transformasi syarie (Nik Salida
Shuhaila, 29/9/2011).
(e) Menerapkan nilai Ihsan dalam amalan seharian iaitu melaksanakan tugas dengan
sebaik mungkin melalui kepercayaan yang sebenar sebagai satu budaya kerja
cemerlang kerana seseorang mempercayai bahawa segala-galanya pasti akan
dihitung di bawah pemerhatian Allah S.W.T.
(f) Membudayakan integriti dalam pekerjaan. Integriti bermaksud jujur dan ikhlas
dalam melaksanakan tugas. Pengurusan kualiti amat bergantung kepada integriti
pengurusan. Malah, integriti ini mempunyai dua dimensi: Pertama ialah
melaksanakan tugas dengan penuh kejujuran dan keikhlasan yang tinggi. Kedua;
tidak menyalahgunakan kuasa. Kedua-dua dimensi ini hendaklah diamalkan
secara serentak (AbulHasan, 1996).

12
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

4.0 KESIMPULAN :

Jelaslah bahawa konsep pengurusan organisasi yang berkualiti sudah semestinya


berlandaskan kepada ajaran Islam yang berteraskan hubungan yang tidak dapat dipisahkan
antara Pencipta dan makhluk-Nya serta hubungan sesama manusia dengan makhluk yang
lain. Hal ini demikian kerana konsep pengurusan kualiti Islam bukan hanya menjurus kepada
matlamat memberi kepuasan pelanggan semata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai
mardatillah (keredhaan) Allah S.W.T. dalam segala urusan di dunia demi kebahagiaan di hari
akhirat. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi akan bersikap jujur, amanah
melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin sekiranya ketiga-tiga konsep yang
dibincangkan iaitu konsep Tawhidi, budaya Itqaan serta nilai Ihsan dijadikan amalan seharian
bagi pemantapan sistem pengurusan yang lancar dan berkualiti.

RUJUKAN

1. Ab. Mumin Ab. Ghani dan Fadillah Mansor. 2006. Dimensi Pengurusan Islam: Mengurus Kerja dan
Mengurus Modal Insan. KL: Penerbit Universiti Malaya.
2. Abdul Halim Ismail (Dato Dr.). 1987. Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran dan Pengurusan.
Jurnal Dakwah. KL: Biro Dakwah Pergerakan Pemuda UMNO. hlm. 130-150.
3. AbulHasan M.Sadeq. 1996. Quality Management in The Islamic Framework. Dalam AbulHasan M.Sadeq
dan A.Khaliq Ahmad. (Eds). Quality Management: Islamic Perspective. Kuala Lumpur: Leeds Publications.
hlm. 121-154.
4. Auni Haji Abdullah. 2010. Teras Utama Sistem Pengurusan Islam. KL: Alam Raya Enterprise Sdn. Bhd.
5. Azman Che Omar. 2003. Pengurusan Di Malaysia Dari Perspektif Islam. Cet. Ke-3. KL: DBP.
6. Berita Harian, 2 Mei 2011. Tekun, Miliki Nilai Ihsan Ciri-ciri Pekerja Berkualiti.
7. Berita Harian, 1 Oktober 2011. Pembangunan Kebendaan, Kerohanian Ummah Mesti Seimbang. Ucapan
Perdana Menteri Malaysia Sempena Perasmian Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam di
Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, PWTC. hlm. 26 & 31.
8. Fadzila Azni Ahmad. 2010. Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan Berteraskan Islam di
Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
9. Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani & Siti Arni Basir. 2011. Panduan Al-Quran dan
Integrasi Ilmu Saintifik Ke Arah Pemantapan Sistem Pengurusan Berkualiti. Kertas Kerja Seminar
Antarabangsa Seminar on Wahyu Asas Tamadun 2 (SWAT 2011). Anjuran Fakulti Pengajian Quran dan
Sunnah, USIM di Dewan Kuliah Utama, USIM, Nilai, Negeri Sembilan. 21-22 September 2011.
10. Hj. Sohaimi Hj. Mohd Salleh (Dr.) & Mohd Gunawan Che Ab. Aziz. 2007. Kualiti Dari Perspektif Islam:
Satu Pengamatan Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Kertas Kerja sempena Ceramah Utama Kualiti
semasa Sambutan Hari Kualiti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di Auditorium B1, Jabatan
Perdana Menteri pada 7 Disember 2007.

13
World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

11. Ibnu Rajab, Imam Zainu ad-Din Abi al-Faraj Abdu ar-Rahman ibnu Shihabu ad-Din. 1995. Jamiu al-
Aulumi wa al-Hikam. Dalam Arnaut, Shuaib dan Bajis (Ed.). Edisi Ke-6, Beirut: Muassasat ar-Risalah.
12. IIhaamie Abdul Ghani Azmi. 2001. Pengurusan Dari Perspektif Islam. Jurnal Syariah. KL: Bahagian
Pengajian Syariah, APIUM. Jld.9, Bil.2, Julai, hlm. 85-102.
13. Khaliq Ahmad. 2006. Management From Islamic Perspective. Selangor: Research Centre, IIUM.
14. Khaliq Ahmad & Rodrique Fontaine. 2011. Management From Islamic Perspective. Selangor: Pearson
Malaysia Sdn. Bhd.
15. Mohd. Affandi Hassan. 1992. The Tawhidic Approach in Management and Public Administration. KL:
INTAN.
16. Mohd Salmi Sohod & Rushaimi Zein Yusof. 1996. Re-addressing the TQM: Towards an Alternative
Model. Dalam AbulHasan M.Sadeq dan A.Khaliq Ahmad. (Eds). Quality Management: Islamic
Perspective. Kuala Lumpur: Leeds Publications. hlm. 69-96.
17. Nik Mustapha Nik Hassan. 2008. Kualiti dan Produktiviti: Perspektif Islam. Kertas Kerja Seminar
Pengurusan Kualiti Menurut Perspektif Islam (MS 1900:2005). Anjuran bersama Standards Malaysia,
Perbadanan Johor, Dewan Perdagangan Islam Malaysia dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn
Bhd dan IKIM di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor pada 25 November 2008. hlm. 1-15.
18. Nik Salida Shuhaila. Berita Harian. 29/9/2011. Pengurusan Islam Kini Lebih Tersusun, Sistematik. hlm. 32.
19. Nor Azzah Kamri. 2002. Etika Pengurusan Islam dan Konvensional: Satu Analisis Perbandingan. Jurnal
Syariah, Vol. 10, Bil. 2, hlm. 43-66.
20. Panel Akademi Pengurusan YaPIEM. 2010. Pengurusan Islami: Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani. Cet.
Ke-2. KL: Akademi Pengurusan YaPIEM.
21. Piskar, Franka & Dolinsek, Slavko. 2006. The Implementation of The ISO 9001: From Quality
Management Systems To Business Model. Journal of Industrial Management & Data Systems. Vol. 106,
No. 9, hlm. 1333-1343.
22. Rushami Zien Yusoff, Kamarulzaman Md Ali, Mohd. Suan Madon & Azran Mohamad. 1999. Sistem
Pengurusan Kualiti MS ISO 9000 Dalam Pendidikan: Konsep & Aplikasi Di Sekolah. Sintok: Penerbit
UUM.
23. Rushdan Jailani. Program Assalamualaikum. TV Al-Hijrah. Temu bual pada 9.00 pagi 24/9/2011.
24. Siti Arni Basir dan Musaiyadah Ahmadun. 2008. Prinsip-prinsip Pengurusan Pengaduan Awam Dari
Perspektif Islam. Persidangan Kebangsaaan Pengurusan Aduan Menurut Perspektif Islam. Ajuran bersama
Institut Perkembangan Minda (INMIND) dengan kerjasama Jabatan Siasah Syariiyah dan Jabatan Syariah
& Pengurusan, APIUM di Hotel Regency, Kuala Lumpur. 27 Julai 2010. h.1-15.
25. Syed Othman Alhabshi. 1989. Islam, Ekonomi dan Pengurusan. Petaling Jaya: Penerbit Hizbi.
26. Utusan Malaysia. 28 Februari 2008. Memastikan Urusan Mudah, Selesa.
27. Utusan Malaysia, 16 Mei 2011. Tugas Guru Mendidik, Menerapkan Akhlak Mulia.
28. Wan Liz Ozman Wan Omar. 1997. Pengurusan Islam Abad Ke-21: Revolusi Pengurusan Untuk
Keunggulan Sektor Awam dan Korporat. KL: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
29. Yusof al-Qaradhawi. 2001. Fiqh Keutamaan Berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Kuala Lumpur: ABIM.
30. Zulkifle Ghani. Program Selamat Pagi 1 Malaysia. Rancangan RTM TV1 di Studio 2, Wisma TV,
Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 23/9/2011.

14

View publication stats

You might also like