You are on page 1of 5

4.

1 Menulis Naskah Lakon

Tiga elemen yang cukup penting yang perlu diberikan tumpuan oleh penulis sebelum
memulakan penulisan naskah lakonnya ialah:

1. Fokus

2. Logik

3. Perwatakan.

4.1.1 Fokus

Untuk sebuah cerita sentiasa dalam kesatuan, watak-watak dan cara mereka berfungsi
memerlukan fokus atau tumpuan. Ia tidak ada bezanya sama ada jalan cerita kita berbentuk
linear, non-linear (spiral) atau selari. Sentiasa memberikan tumpuan yang kukuh akan
menjadikan proses penulisan kita mudah dan lancar. Fokus memerlukan beberapa
pertimbangan. Yang utama adalah dengan mengetahui watak-watak (siapa mereka?), latar,
sifat dan perkembangan mereka. Fokus juga memerlukan perwatakan dan cerita secara
keseluruhan mempunyai matlamat yang jelas pada akhirnya.

4.1.2 Logik

Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang tempat,
kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan ruang masa serta
tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah dunia dicipta. Sebab itu
penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia. Akan tetapi dunia bagaimanakah
yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya? Drama mengangkat atau meniru realiti
(kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana? Oleh itu realiti sesebuah drama perlu dilihat
dalam konteks ceritanya, perwatakan dan temanya. Di sinilah logik drama tersebut diukur.

4.1.3 Watak dan Perwatakan

Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu membawa
cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan kuasa
merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah elemen terpenting dalam drama.
Wataklah yang menggerakkan plot cerita. Dalam sesebuah drama terdapat watak utama
dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu watak utama, tetapi
pada saya sesebuah drama mempunyai dua watak utama, iaitu watak protagonis (watak
yang menyokong idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea penulis).
Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang
membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watak-watak
yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-watak yang
melengkapkan cerita.
4.2 ELEMEN DRAMA

Elemen drama yang perlu diketahui oleh bakal penulis skrip ialah:

4.2.1 Tema/Pemikiran

Tema ialah idea atau persoalan pokok yang dapat dirumuskan daripada keseluruhan inti pati
cerita. Persoalan pokok ini merupakan gagasan yang ingin disampaikan oleh penulis dalam
skripnya. Pemikiran ini disampaikan melalui dialog dan aksi watak-wataknya. Pembaca
naskhah atau penonton drama yang sensitif akan dapat menangkap idea atau persoalan
pokok ini selepas selesai membaca skrip atau menonton teater. Malah, selalunya mereka
bukan sahaja dapat menangkap idea atau tema drama tersebut, tetapi juga mereka akan
dapat menjaring maksud lain atau lapisan maksud yang lain yang terkandung dalam drama
tersebut. Pemikiran yang tersembunyi yang hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau
penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur
cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks.

4.2.2 Plot

Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama yang
dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau bahasa.
Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Seperti yang dijelaskan
sebelum ini, konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan struktur
sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah sesuatu peristiwa
digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada peleraiannya atau kesimpulan
cerita. Plot bukan cerita atau naratif. Mengikut E.M. Forster cerita ialah huraian tentang
peristiwa yang disusun mengikut urutan waktu. Plot ialah jalan cerita yang memberikan
maklumat cerita. Ia dibina oleh watak dan apa yang berlaku melalui kesan sebab dan akibat
dalam ruang dan waktu.

Penulis perlu memahami bahawa dalam sesebuah persembahan teater, usaha menarik
perhatian penonton dan menahan perhatian mereka selama mungkin ialah tugas yang
cukup penting. Sebuah plot mesti berupaya menarik perhatian dan mencipta suspens dan di
sinilah kesemua binaan dramatik memberi tumpuan. Harapan atau jangkaan penonton atau
pembaca mesti dibina (tetapi hanya diselesaikan pada babak adegan terakhir). Aksi (adegan)
mesti kelihatan hampir mencapai objektifnya tetapi ia perlu tidak tercapai sehinggalah di
akhir adegan. Perkara yang paling penting ialah sebuah plot mesti mempunyai kepelbagaian
(variasi) rentak dan tempo. Sebuah plot yang monotonos akan hanya menghilangkan minat
penonton dan akhirnya kelihatan hambar dan mendatar.

Terdapat beberapa bentuk suspens atau ketegangan yang boleh dicipta dalam sesebuah
skrip. Soalan-soalan asas ini boleh menjadi contoh ketika hendak memulakan tulisan skrip
anda. “Apa yang akan berlaku selepas ini?”, atau yang sama maksudnya, “Saya tahu apa
yang akan berlaku, tetapi bagaimana ia akan berlaku?”, atau, “Saya tahu apa yang akan
berlaku dan saya tahu bagaimana ia akan berlaku, tetapi bagaimanakah watak X memberi
reaksi atau bertindak balas kepadanya?”
Soalan-soalan asas ini wajar berlaku di awal bahagian skruktur dramatik skrip anda supaya
pembaca atau penonton anda dapat terus bersedia kepada elemen utama suspens dalam
drama anda. Seseorang mungkin mengatakan tema utama sesuatu drama itu mesti jelas.
Bagaimanapun dalam sebuah skruktur skrip drama yang baik, ia terletak pada persoalan.
Contohnya, siapakah yang melakukan pembunuhan itu, lelaki manakah yang akhirnya
berjaya memiliki gadis itu, atau bagaimana bila sesorang suami mengetahui yang isterinya
berlaku curang dan memiliki kekasih lain?

Apabila penonton atau pembaca telah mengetahui tema dan persoalan dan objektif aksinya,
maka jangkaan mereka akan tertumpu kepada titik akhir drama tersebut (penyelesaian) dan
tahu ke mana tumpuan drama tersebut akan bergerak. Perhatian penonton tertumpu ke arah
yang betul.

Bagaimanapun perlu juga diketahui, tumpuan perhatian penonton selalunya adalah pendek.
Satu elemen suspens utama tidak mencukupi untuk terus mengikat perhatian penonton.
Oleh itu, sebuah struktur skrip drama memerlukan suspens sampingan. Jadi suspens
sampingan ini akan mendukung elemen suspens yang utama. Suspens sampingan ini
diperlukan pada setiap adegan atau bahagian drama, yang akhirnya bergabung dengan
keseluruhan momentum struktur drama tersebut.

Dalam pembentukan plot, setiap watak bergerak dalam kerangka sebab dan akibat. Sesuatu
peristiwa berlaku disebabkan oleh sesuatu alasan yang kukuh dan ia akan menghasilkan
sesuatu akibat yang wajar. Ia merupakan hukum yang mempunyai logikanya yang tersendiri.
Oleh itu, seseorang penulis perlu memastikan tindakan sesuatu watak itu wajar mengikut
latar watak, tempat dan waktu, dan peristiwanya dan akibat yang berlaku itu adalah
munasabah.

4.2.3 Latar

Elemen tempat, masa atau zaman serta masyarakat yang diceritakan selalunya dijelaskan
melalui latar. Latar dalam drama penting dijelaskan, tetapi perincian latar dalam drama
adalah terhad. Ia hanya perlu untuk tujuan pementasan untuk menjelaskan tentang tempat
dan masa, cukup untuk memberikan panduan kepada pembaca atau penonton. Berbanding
dengan filem atau televisyen, drama pentas menghadapi kekangan dalam menukar set atau
prop yang kerap dari satu babak ke satu babak yang lain.

4.2.4 Babak

Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar
tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan
babak.

4.2.5 Adegan

Adegan merupakan pecahan dalam sesuatu babak yang menjelaskan sesuatu peristiwa
yang berlaku dalam sesuatu latar tempat tetapi pada masa yang berbeza.

4.2.6 Bahasa

Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi. Oleh
itu, bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi sesebuah
drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan
pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang
ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Gaya bahasa atau
dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pembaca dan penonton bosan
dan akhirnya hilang tumpuan.

Gaya bahasa yang baik dalam sesebuah drama akan memberikan latar zaman, masyarakat
dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh digunakan oleh sesuatu watak untuk
menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan yang pembaca dan penonton dapat
memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu terpancar daripada kualiti dialog
yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog kuat, humor dan menarik akan
sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu, pemilihan diksi, ayat atau unsur bahasa penting
dalam mengekalkan keinginan pembaca dan penonton sesebuah drama.

4.2.7 Ekonomi, emosi dan keseimbangan

Secara keseluruhannya struktur sesebuah drama bergantung kepada keseimbangan dalam


semua elemen. Setiap suatu elemen tersebut mestilah memberikan sumbangan dalam
membentuk corak dan pola sesebuah drama itu. Setiap suatu elemen itu sentiasa berkaitan
dan bergantungan antara satu sama lain. Satu aspek yang mesti juga diberi perhatian oleh
penulis skrip ialah faktor ekenomi. Hal ini demikian kerana drama ialah satu bentuk
komunikasi yang elemen masa memainkan peranan yang penting. Oleh itu, faktor masa
perlu diberikan perhatian. Selain itu, drama juga merangkumi aspek emosi. Hal ini demikian
kerana sesebuah drama itu dihasilkan untuk manusia dan emosi memainkan peranan
penting dalam soal komunikasi kemanusiaan.

4.2.8 Format Skrip Drama Pentas

Skrip drama pentas mempunyai formatnya yang sendiri. Anda wajar mengikut format yang
standard apabila menulis skrip supaya ia mudah dibaca, difahami oleh pengarah drama dan
yang penting ia menunjukkan yang anda memahami genre sastera yang anda tulis.

Dalam format penulisan skrip, anda perlu memuatkan perkara-perkara yang berikut:

• Muka surat judul yang mempunyai judul drama anda, nama penulis (nama anda), judul

sumber asal (novel) jika skrip drama itu karya adaptasi, nama dan tempat terbit

(jika diterbitkan) dan tahun.

• Sinopsis. Anda perlu juga menulis sinopsis atau ringkasan drama anda (kira-kira 150

patah perkataan). Sinopsis ini perlu memberikan maklumat tentang watak, tema dan

perjalanan cerita dan yang penting mampu menarik minat pembaca untuk membaca

seterusnya skrip drama anda.

• Watak dan senarai watak – Anda perlu memberikan senarai watak yang terlibat dalam

drama anda serta deskripsi ringkas tentang perwatakannya seperti bentuk fizikal,

usia dan sifat-sifat tertentu watak itu.


• Pecahan babak juga perlu.

• Adegan atau babak sesebuah drama berlaku dalam satu ruang tempat, masa dan watak.

Oleh itu, ruang tempat, masa dan watak perlu juga diberitahu sebelum sesuatu

adegan itu bermula.

• Format atau stail menaip skrip terdapat beberapa bentuk. Lihatlah bentuknya

daripada beberapa skrip yang pernah anda baca.

5. MESEJ

Mesej merupakan agenda penting sesebuah pementasan atau persembahan. Tanpa mesej
sesebuah pementasan itu diumpamakan seperti tin kosong. Pelbagai isu yang ada
disekeliling kita digarap dalam bentuk persembahan untuk disampaikan semula kepada
masyarakat sama ada melalui perlakuan atau perkataan. Perlakuan adalah melibatkan
gerakkan pancaindera dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Mesej ialah maklumat. Dalam bidang teater, mesej dapat diperolehi melalui penilaian,
penghayatan dan kajian terhadap sebuah naskah lakon dan sesebuah pementasan teater.
Tujuan pementasan teater ialah untuk mengajar dan menghiburkan. Apabila adanya aktiviti
mengajar dan menghibur sudah tentu adanya mesej yang disampaikan oleh pelaku kepada
khalayak. Mesej akan menjadi maklumat untuk tatapan penonton sebagai pengajaran.
Mesej yang diterjemahkan melalui pementasan teater mempunyai nilai positif dan negatif. Di
sinilah terletaknya peranan penonton yang bijak untuk mengambil atau mengutip mesej
yang baik dan negatif sebagai panduan hidup yang baik dan selamat di dunia dan akhirat.

You might also like