You are on page 1of 4

Tugasan 3

Melalui pemerhatian saya terhadap penggunaan bahan-bahan sumber yang


digunakan oleh guru-guru Sejarah di sekolah PBS saya, mereka telah menggunakan bahan
bercetak dan bahan elektronik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Mereka
menggabungkan bahan-bahan ini dalam satu sesi PdP dan tidak terikat kepada satu bahan
sahaja. Menurut guru-guru Sejarah ini, mereka berpendapat bahawa dengan penggunaan
satu bahan sahaja membuatkan sesi PdP yang dijalankan kurang elemen keseronokan
kepada murid-murid. Namun begitu, penggunaan bahan elektronik seperti video, audio, filem
dan animasi digunakan hanya untuk topik-topik tertentu sahaja seperti ‘Pembukaan Melaka’
dan Perjuangan Menuntut Kemerdekaan’ dan digunakan secara berkala. Manakala, bahan
bercetak sememangnya sentiasa digunakan sebagai bahan pengajaran seperti buku teks,
artikel, akhbar, gambar, peta dan sebagainya.

Rajah 1: Contoh-contoh bahan sumber yang digunakan oleh guru-guru Sejarah sebagai
sumber PdP Sejarah.
Kekuatan penggunaan bahan bercetak dalam PdP ialah murid-murid mendapat
maklumat terus daripada bahan tersebut. Sebagai contohnya ialah maklumat yang
dipaparkan dalam buku teks di mana kronologi peristiwa sejarah dan maklumat disusun
secara sistematik yang disertakan dengan grafik seperti komik untuk menarik minat murid.
Begitu juga dengan artikel, akhbar mahupun peta yang maklumatnya agak umum jika
dibandingkan dengan buku teks tetapi hal ini menjadi satu kelebihan kepada murid kerana
mereka telah memperoleh tambahan ilmu sejarah yang lebih umum dan tidak dinyatakan
dalam buku teks. Penggunaan elektronik pula sentiasa ditunggu-tunggu oleh murid kerana
bahan elektronik merupakan media interaktif. Elemen didik hibur diselitkan dengan
penggunaan bahan elektronik contohnya ialah dengan perisian Frog OS yang memerlukan
murid menjawab kuiz secara atas talian. Saya dapati bahawa murid teruja menggunakan
perisian ini dan merangsang semangat persaingan antara mereka kerana markah dipaparkan
terus setelah mereka menjawab kuiz-kuiz tersebut.

Rajah 2: Proses PdP Sejarah yang berlangsung dengan menggunakan bahan elektronik.
Kelemahan dalam penggunaan bahan bercetak pula ialah sesetengah isi kandungan
tidak terkini dan ketinggalan selain daripada kandungannya tidak boleh disunting. Hal ini
demikian kerana, bahan bercetak selalunya disunting terlebih dahulu kemudian dicetak dan
seterusnya diedar mengikut peredaran zaman. Oleh itu, dalam menggunakannya guru perlu
peka dengan maklumat yang dinyatakan dalam bahan tersebut agar bertepatan dengan
maklumat terkini. Penggunaan bahan elektronik pula memberi kekangan kepada guru apabila
kemudahan alatan elektronik di sekolah tidak mencukupi dan tidak berfungsi kerana rosak.
Dalam hal ini, guru terpaksa menggunakan alatan elektronik mereka sendiri demi proses PdP
yang efisien dan berkesan. Bukan itu sahaja, saya juga mendapati bahawa guru-guru Sejarah
yang veteran tidak mahir untuk menggunakan bahan ini dan menyebabkan mereka tidak
berminat untuk menjadikan bahan elektronik sebagai sumber pengajaran Sejarah.

Peluang yang diperoleh daripada penggunaan bahan bercetak ialah guru boleh
meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid. Hal ini disebabkan oleh, bahan bercetak seperti
teks mempunyai tulisan semata-mata. Oleh itu, perkara ini memberi peluang kepada guru
dalam melatih murid berkreativiti dengan mengarah mereka menghasilkan peta minda, peta
grafik dan i-Think dengan meringkaskan maklumat dalam teks tersebut. Guru juga turut boleh
melatih kemahiran penaakulan murid berdasarkan bahan daripada gambar, fotograf sejarah
dan peta. Penggunaan bahan-bahan elektronik pula memberi peluang kepada guru yang
kurang berkemahiran bagi meningkatkan profesionalisme keguruan mereka dengan
mempelajari penggunaan bahan yang berkaitan ICT. Hal ini bukan sahaja berfaedah kepada
guru malahan memberi impak positif kepada murid kerana mereka memperoleh suasana
pembelajaran yang seronok dan pelbagai serta tidak terikat dengan kaedah chalk and talk
semata-mata.

Bagi ancaman pula, bahan-bahan bercetak selalunya mudah rosak dan jangka
hayatnya tidak lama jika tiada penjagaan yang rapi. Kebiasannya, bahan-bahan ini rosak
kerana dimakan anai-anai. Bukan itu sahaja, bahan-bahan bercetak juga memerlukan ruang
untuk penyimpanannya. Seterusnya ialah ancaman penggunaan bahan elektronik pula
kadang-kadang memakan masa proses PdP guru kerana masalah yang timbul secara tiba-
tiba. Sebagai contohnya ialah masalah sistem komputer dan perisian yang tergendala secara
tiba-tiba semasa mengajar. Kesannya, kelancaran proses PdP akan terganggu dengan
masalah-masalah yang tidak dijangka ini.

Rumusannya, walaupun sekolah PBS saya tidak mempunyai guru daripada


pengkhususan pendidikan Sejarah, tetapi mereka tetap berusaha mempelbagaikan sumber,
kaedah dan teknik dalam PdP sejarah demi menyampaikan ilmu kepada murid-murid. Melalui
maklumat yang saya dapat, guru-guru Sejarah di sekolah tersebut telah menghadiri kursus
bagi menimba ilmu berkaitan pengajaran Sejarah di sekolah. Berdasarkan pemerhatian saya,
murid-murid seronok dan teruja sepanjang proses PdP Sejarah berlangsung apabila guru
melibatkan penglibatan murid secara aktif.

You might also like