You are on page 1of 4

dan berbagai-bagai corak serta membina satu masyarakat progresif yang akan

menggunakan sains dan teknologi moden. Berdasarkan apa yang dapat dilihat
terhadap objektifnya, sudah jelas bahawa penggubalan Rukun Negara adalah
satu langkah positif ke arah membentuk masyarakat makmur dalam negara ini
tanpa memainkan isu-isu perkauman seperti yang telah berlaku pada peristiwa
13 Mei 1969. Jika kita soroti dengan lebih mendalam objektifnya, kita akan dapat
mengetahui bahawa negara kita memerlukan sokongan daripada semua kaum
untuk membentuk sebuah negara yang terbilang di persada dunia. Oleh yang
demikian, maka dalam Rukun Negara terdapat lima prinsip yang sentiasa
menjadi sebutan rakyat Malaysia yang mana setiap satu prinsipnya adalah
bertujuan untuk mengeratkan dan merapatkan lagi perpaduan dalam kalangan
rakyat berbilang kaum di negara ini.

Seperti yang kita sedia maklum, terdapat lima prinsip dalam Rukun
Negara yang sentiasa menjadi sebutan dan pegangan rakyat di negara ini.
Prinsip-prinsip dalam Rukun Negara ialah Kepercayaan kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan
Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Kelima-lima prinsip ini
mempunyai kepentingan tersendiri bagi menghasilkan individu dan masyarakat
yang dihasratkan oleh objektif dalam membentuk perpaduan yang lebih erat
dalam kalangan rakyat di Malaysia. Prinsip pertama dalam Rukun Negara ialah
Kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini dijadikan prinsip utama dan paling asas
kerana bangsa dan negara ini diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan yang mana melalui kepercayaan beragama inilah yang akan menjadikan
bangsa dan negara kita berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan
lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di negara ini dan tindakan
membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah
dilarang sama sekali. Hal ini jelas menunjukkan bahawa negara ini tidak
menghalang atau mengongkong mana-mana kaum untuk menganuti agama
masing-masing. Oleh sebab itu, penganut-penganut agama lain tidaklah perlu
berasa bahawa diri mereka disisihkan dalam negara yang berbilang kaum ini.
Berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan masing-masing, maka isu keagamaan
sepatutnya tidak perlu timbul kerana setiap agama mengkehendaki setiap
penganutnya berbuat baik sesama mereka dan alam sekeliling. Ketiadaan
agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa
dan negara. Oleh yang demikian, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama
dalam Rukun Negara.

Prinsip kedua pula dalam Rukun Negara ialah Kesetiaan kepada Raja dan
Negara. Prinsip ini merupakan prinsip terpenting selepas prinsip di atas kerana
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap
warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas
kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Hal ini kerana Seri
Paduka Baginda adalah merupakan lambang perpaduan rakyat berbilang kaum
dalam negara ini. Dalam konteks ini, kita dapat melihat bahawa setiap rakyat di
negara ini hanya menumpukan taat setia kepada seorang sahaja iaitu Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini secara tidak langsung akan
membentuk perpaduan yang lebih erat sesama kaum di negara ini kerana semua
kaum di negara ini hanya tunduk kepada seorang Ketua Negara sahaja. Oleh
yang demikian, Seri Paduka Baginda merupakan lambang perpaduan rakyat
adalah satu perkara yang tidak seharusnya dipandang enteng kerana tanpa Seri
Paduka Baginda, belum tentu rakyat di negara ini akan membentuk perpaduan
yang erat sesama kaum di Malaysia.

Seterusnya, prinsip ketiga dalam Rukun Negara ialah Keluhuran


Perlembagaan. Dalam prinsip ini, ia menekankan perlunya rakyat menerima,
mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan
Negara. Hal ini kerana Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang
tertinggi dan fungsinya adalah untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat
di negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan
semua pihak di negara ini. Oleh yang demikian, ia merupakan satu kontrak sosial
rakyat yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Prinsip ini lebih
menekankan kepada memberi perlindungan kepada setiap rakyat dan
keistimewaan mereka sebagai warganegara yang mana setiap rakyat ini perlu
dijaga dengan baik kerana asas institusi sebuah negara ialah rakyat-rakyatnya.
Tambahan lagi, menurut perlembagaan ini, individu dan masyarakat di negara ini
perlu bersatu padu untuk membentuk perpaduan seperti yang termaktub dalam
objektif pertama penggubalan Rukun Negara itu sendiri. Hal ini kerana
perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia amat dititikberatkan bagi
membentuk sebuah negara yang mempunyai semangat muhibbah dalam diri
individu masing-masing.

Prinsip keempat pula dalam Rukun Negara ialah Kedaulatan Undang-


undang. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan dan oleh
sebab itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-
undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak akan aman dan stabil.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum,
agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh sebab
itu, setiap negara amnya dan Malaysia khasnya memerlukan undang-undang
untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan
makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan masyarakat
berbilang kaum di negara ini dapat bergerak bebas dan merasa selamat ke
mana sahaja yang mereka pergi. Prinsip ini dimasukkan ke dalam Rukun Negara
adalah bertujuan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu mencipta
satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati
secara adil dan saksama. Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa semua
rakyat di negara ini berhak merasai keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira
kaum ataupun keturunan. Justeru itu, sepatutnya tidak timbul isu bahawa
kerajaan hanya menyebelahi penduduk bumiputera sahaja dan mengabaikan
penduduk lain kerana perkara ini sudah termaktub dalam objektif penggubalan
Rukun Negara tersebut.

Prinsip kelima dan terakhir dalam Rukun Negara ialah Kesopanan dan
Kesusilaan. Dalam prinsip ini, ia lebih menekankan kepada perkembangan
personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat yang mana ia bertujuan untuk
membentuk warganegara yang bersopan santun dan bertatasusila. Sifat
seseorang individu seperti ini amat dituntut dalam konteks perhubungan antara
satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan
santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan
masyarakat yang berdisiplin yang akan membantu mewujudkan sebuah
masyarakat yang harmoni. Usaha membentuk masyarakat yang harmoni ini
adalah salah satu langkah bagi membentuk perpaduan antara kaum di seluruh
negara ini. Dalam erti kata lain ia merupakan serampang dua mata yang begitu
penting dalam sesuatu negara yang mempunyai berbilang kaum seperti di
Malaysia. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa
terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai
murni dalam masyarakat di negara ini.

Kesimpulannya, Rukun Negara seharusnya dijadikan panduan dan


pegangan rakyat di Malaysia kerana ia merupakan satu ideologi yang sentiasa
memimpin kita kepada satu cara hidup untuk merapatkan lagi perpaduan antara
kaum di Malaysia. Oleh yang demikian, kita tidak sepatutnya membelakangkan
Rukun Negara kerana dengan adanya Rukun Negara, sebuah masyarakat yang
harmoni akan terbentuk dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai negara
yang tinggi semangat perpaduan antara kesemua kaum-kaumnya.

You might also like