You are on page 1of 3

Kegawatan ekonomi menyebabkan jumlah penganggur di negara ini

meningkat dengan begitu ketara sekali sehingga menimbulkan kebimbangan


semua pihak. Jumlah penganggur yang tinggi membuktikan kegagalan pihak
kerajaan untuk mengatasi kemelut yang melanda ekonomi negara kerana
terlalu bergantung kepada perkembangan ekonomi negara luar seperti
Amerika Syarikat. Pihak media massa turut menyiarkan program yang
menceritakan pengalaman penganggur untuk berjaya dalam hidup menjadi
bukti bahawa polemik pengangguran di negara ini mula menjadi isu politik
juga. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil oleh pelbagai
pihak untuk mengatasi masalah pengangguran ini jika mereka mahu
bertindak.
Terdapat beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh pihak kerajaan serta majikan. Pihak majikan
khasnya, perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing kerana mampu menimbulkan pelbagai masalah
sosial dan keselamatan. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut sumber
negara yang diluluskan kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di
negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah,
mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing
yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang
mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka
peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Langkah awal ialah kerajaan harus memberikan bantuan kewangan yang


mampu memberi rangsangan kepada ekonomi untuk berkembang dengan
pesat. Bantuan kewangan ini perlulah besar yakni menelan berbilion ringgit
supaya lebih banyak projek pembangunan dijalankan secara serentak.
Apabila semua projek pembangunan dijalankan serentak sudah pasti jumlah
pekerja yang diperlukan ramai dan semua orang berpeluang untuk bekerja.
Pakej kewangan ini hendaklah diuruskan oleh kerajaan dengan bijak melalui
pemilihan projek ekonomi yang boleh mencambahkan lebih banyak aktiviti
ekonomi sampingan seperti ekonomi berasaskan teknologi dan penyelidikan
tinggi. Jelaslah, ekonomi negara akan pesat membangun jika kerajaan
menyediakan pakej bantuan kewangan yang banyak untuk mewujudkan
peluang pekerjaan.

Pakej kewangan yang besar ini boleh diikuti dengan pengenalan pelbagai
insentif baru kepada ahli-ahli perniagaan terutama pembinaan lebih banyak
kawasan industri dan pemberian bebas cukai kepada industri yang tidak
membuang pekerjanya. Pelbagai insentif ini mampu menguatkan semangat
kepada ahli perniagaan untuk mencuba melakukan sesuatu yang baru dalam
perniagaannya dan juga mengharungi cabaran kegawatan ekonomi dengan
lebih terbuka dan rasional kerana menyedari bahawa pihak kerajaan berusaha
untuk menyelamatkan mereka juga. Semua idea baru yang diperkenalkan
sudah pasti mampu memberikan suntikan kepada ahli perniagaan untuk
meneruskan kerja mereka tanpa perlu membuang pekerja sebaliknya mereka
mungkin memerlukan lebih ramai pekerja untuk mengambil kesempatan
yang wujud itu. Maka, kerajaan perlu memberikan idea-idea baru yang
mampu memudahkan ahli perniagaan untuk menjalankan peranan mereka
dengan lebih efektif.

Selain itu, usaha untuk memperkenalkan negara harus ditingkatkan oleh


kerajaan menerusi pameran dan kunjungan rombongan ekonomi ke negara-
negara lain. Lawatan sebegini menyebabkan lebih banyak negara luar
menyedari kelebihan dan kepentingan mendirikan perniagaan di Malaysia
berdasarkan maklumat yang tepat diperoleh daripada ahli-ahli rombongan ini.
Kemasukan lebih banyak model asing ke negara ini sudah pasti mampu
menjana lebih banyak aktiviti ekonomi bersama-sama dengan pakej ekonomi
yang sebelum ini ditawarkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah
ekonomi. Hal ini membuktikan bahawa usaha memperkenalkan negara ke
mata dunia amat penting terutama jika semua rombongan ini digunakan
dengan sebaik mungkin dan tidak hanya sebagai satu lawatan sahaja.

Pihak swasta pula terutama ahli perniagaan turut mempunyai peranan


tersendiri yakni mereka perlu sanggup berkorban ketika negara mengalami
masalah kegawatan ekonomi ini. Pengorbanan mereka itu boleh dijelmakan
dalam bentuk mengurangkan gaji atau ganjaran buat mereka dalam bentuk
bonus dan sebagainya supaya wang itu boleh digunakan untuk memastikan
syarikat terus wujud lalu tidak membuang pekerja yang boleh menambahkan
jumlah pengangguran. Kehidupan mereka yang sudah lama hidup mewah
perlu dikorbankan demi kemajuan negara pada masa hadapan kerana jika
mereka masih mengaut keuntungan menerusi gaji dan bonus yang tinggi
sudah pasti syarikat mereka akan kekurangan sumber kewangan untuk
mengharungi zaman kemelesetan ini. Oleh itu, pihak swasta harus juga
memikirkan orang lain dan tidak hanya mamu menyelamatkan diri mereka
sahaja dalam kegawatan sebegini.
Manakala pihak individu pula harus lebih positif mengharungi kegawatan
ekonomi ini dengan cuba meningkatkan lagi kemahiran diri mereka seperti
menyambung belajar, mengambil kursus jangka pendek dan meningkatkan
prestasi diri. Sikap suka meningkatkan kebolehan diri memastikan seseorang
pekerja itu terus dihargai oleh syarikat dan kemungkinan untuk dibuang kerja
amat tipis. Malah, jika mereka dibuang kerja pun, golongan yang positif
seperti ini akan mudah menerima kerja baru kerana mereka memiliki
kemahiran lain yang sudah pasti diperlukan oleh syarikat lain pula atau
mungkin mereka boleh bekerja sendiri berdasarkan pengalaman mereka
sebelum ini. Lantaran itu, semua orang harus melihat pendidikan sebagai satu
proses jangka masa panjang dalam hidup seseorang itu dan tidak
menganggap pelajaran tamat selepas meninggalkan bangku sekolah sahaja.

Kesimpulannya, masalah pengangguran ini memang boleh mencetuskan


ketidakstabilan jika negara gagal mengawalnya dengan baik berdasarkan
pengalaman negara-negara jiran kita terutama di Indonesia. Pihak kerajaan
bersama-sama swasta perlu menyedari betapa pentingnya sikap bekerjasama
untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa yang terdekat ini. Tanpa
kerjasama masalah ekonomi akan terus wujud lalu menimbulkan banyak
masalah kepada rakyat untuk mencari peluang kerja yang baik terutama
golongan muda yang baru sahaja keluar dari sekolah.

You might also like