You are on page 1of 8

Tugasan 4: Penulisan Reflektif

Soalan: Berdasarkan isu yang dibincangkan dalam pembentangan, buat rumusan yang
kritis dan cadangan penyelesaian alternatif tentang isu-isu alam sekitar dan amalan gaya
hidup lestari yang berkaitan. Pelajar dikehendaki membuat penulisan reflektif sebanyak
1500 patah perkataan.

Pada tarikh 7 Ogos 2018 yang lepas, saya dan rakan-rakan kumpulan saya iaitu
kumpulan tiga telah membentangkan topik yang diberikan kepada kami mengenai isu alam
sekitar di Malaysia bagi memenuhi kehendak kerja kursus Pendidikan Lestari Alam Sekitar
(LASS 3013). Isu yang telah kami bentangkan ialah mengenai isu flora dan fauna yang
berfokuskan kepada kepupusan flora dan fauna.

Dalam penulisan reflektif ini, saya akan merumuskan tentang perkara-perkara yang
telah kami bentangkan mengenai isu kepupusan flora dan fauna di Malaysia secara kritis
dan menyenaraikan lagi cadangan alternatif bagi menyelesaikan pandemik kepupusan flora
dan flora di Malaysia. Antara perkara yang kami telah bentangkan adalah definisi flora dan
fauna beserta statistik populasi flora dan fauna di Malaysia. Menurut Mohd Hasmadi Ismail
(2016) Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan dengan pelbagai habitat
flora dan fauna dan hutan di Malaysia disebut sebagai antara hutan hujan tertua di
dunia dan usianya mencapai jutaan tahun. Di samping itu, kami juga turut
membentangkan mengenai situasi menyeluruh tentang isu flora dan fauna di Malaysia,
kepentingan flora dan fauna kepada masyarakat dan ekosistem, kesan kepupusan flora dan
fauna, faktor yang mengundang kepada situasi ini serta langkah-langkah yang dilakukan
bagi menyelesaikan isu kepupusan flora dan fauna ini.

Kepupusan flora dan fauna boleh didefinisikan sebagai satu situasi dimana
berlakunya kelenyapan tumbuhan dan haiwan semulajadi daripada muka bumi
(Kamus Dewan Edisi Ke-empat, 2010). Pada pendapat saya, daripada definisi ini dapat
dilihat bahawa isu ini merupakan suatu situasi yang amat kronik kerana hal ini menunjukkan
bahawa sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan akan lenyap sepenuhnya dari muka bumi
dan tidak akan dijumpai lagi. Oleh itu, haiwan yang mengalami kepupusan ini tidak akan
dapat dilihat lagi oleh generasi baru yang mana merupakan satu situasi yang agak
menyedihkan. Sebagai contoh, Menurut Haikal Kadzi (2016) dalam penulisan beliau di
Berita Harian menyatakan bahawa pada tahun 2014, bekas Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar iaitu Dato Seri G. Palanival telah mengesahkan bahawa Malaysia kini
berdepan masalah kepupusan fauna yang serius. Oleh itu, langkah penyelesaian dan
pencegahan amat penting untuk dilakukan pelbagai pihak bagi mencegah hal ini untuk terus
berterusan dan menular dalam ekosistem di Malaysia.

Di samping itu, seperti yang telah diutarakan oleh kumpulan kami, flora dan fauna
sememangnya mempunyai pelbagai kepentingan kepada masyarakat dan ekosistem serta
keseimbangan biodiversiti di Malaysia. Oleh itu, isu ini sememangnya memberi kesan
kepada masyarakat dan biodiversiti serta ekosistem di Malaysia jikalau menjadi lebih kronik.
Antaranya ialah kitaran hidup akan terjejas di mana jikalau sesebuah spesies itu pupus ,
sesebuah rantai makanan itu akan terjejas. Pada pendapat saya, hal ini akan menyebabkan
berlakunya juga ketidakseimbangan populasi di sesebuah tempat kerana akan ada spesies
yang akan berkurangan dan bertambah. Di samping itu, antara kesan signifikan lain yang
dapat dilihat di negara ini ialah berlakunya hakisan tanah dan menyebabkan tanah runtuh.
Tambahan lagi, pembalakan yang berleluasa dan aktiviti pembukaan tanah baru juga
menyebabkan pemanasan global dan pencemaran udara. Pada pendapat saya pula, punca
utama yang menyebabkan berlakunya kesan-kesan ini ialah sikap manusia yang tamak dan
tidak menghargai alam sekitar kerana mementingkan keuntungan dan kepentingan diri
sendiri. Sebagai contoh, memalsukan dokumen pembalakan, memindahkan hasil
hutan tanpa permit, tidak membayar royalti, mengeksport balak secara haram,
-menebang spesies dilindungi se-perti kayu cengal, gaharu, merbau dan pokok buah-
buahan serta menebang kayu balak di bawah dan di atas ukur lilit dibenarkan, serta
menebang -balak di kawasan cerun melebihi 25 darjah ( Hasmadi Ismail, 2016).

Seterusnya, kumpulan kami juga turut membincangkan mengenai langkah mengatasi


isu kepupusan flora dan fauna di Malaysia semasa pembentangan. Kami dikehendaki
memberi penjelasan mengenai keberkesanan langkah-langkah mengatasi kepupusan flora
dan fauna dengan lebih lanjut beserta dengan contoh dan bukti yang berlaku di Malaysia.
Antara langkah yang kami bentangkan ialah dengan melaksanakan aktiviti pemuliharaan
dan pemeliharaan. Aktiviti pemuliharaan adalah merupakan usaha memulih dan
memulihara sumber alam semula jadi dengan bijak dan sistematik bagi generasi yang
akan datang manakala aktiviti pemeliharaan ialah usaha mengekalkan keadaan asal
sumber-sumber alam semula jadi daripada musnah (Mab, 2010) . Pada pendapat saya,
konsep pemuliharaan dan pemeliharaan sememangnya berkaitan dengan konsep
pembangunan lestari yang mana mementingkan kelansungan sumber yang cukup bagi
masa kini dan juga digunakan untuk masa hadapan. Melalui pemuliharaan dan
pemeliharaan, spesies yang mengalami ancaman kepupusan dijaga dan dipelihara untuk
terus wujud sehingga masa hadapan bagi mengelakkan kepupusan. Antaranya ialah melalui
pemuliharaan ex situ dan in-situ serta beberapa aktiviti pemeliharaan seperti pewartaan
hutan simpan dan mewartakan taman-taman negara sebagai pusat utama langkah
penyelesaian ini dilaksanakan. Namun begitu, aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan
lazimnya kurang mendapat perhatian, kerjasama dan komitmen awam dan swasta kerana
ianya tidak memberikan imbuhan dan keuntungan material secara langsung dan berlipat
ganda. Oleh itu, keberkesanan pelaksanaan aktiviti pemuliharaaan dan pemeliharaan sering
kali dipersoalkan kerana pada masa kini tempat-tempat yang diwartakan sebagai zon
larangan juga turut dicerobohi oleh manusia untuk mendapatkan keuntungan. Banyak taman
negara dan hutan simpan digondol secara haram bagi memberi ruang kepada pembinaan
dan pertanian. Menurut Maszureen Ahmad (2014), dalam salah satu artikel di dalam
Utusan Online mengatakan bahawa hampir separuh daripada hutan simpan di negara
ini dikesan telah diterokai secara haram oleh syarikat pembalakan. Tamsilnya, di Hutan
Simpan Hulu Teranum di Pahang. Selain itu, menurut laporan Rahimah Abdullah(2018),
Hutan Simpan Janda Baik juga rakus digondol secara haram bagi tujuan pembinaan.
Pada pendapat saya, melihat kepada situasi ini pewartaan hutan simpan dan taman negara
tidak lagi selamat bagi spesies tumbuhan dan hidupan liar akibat daripada ketamakan
manusia mengejar pembinaan.

Namun begitu, di sebalik situasi yang amat menyedihkan ini, aktiviti pemuliharaan
dan pemeliharaan masih relevan kerana masih terdapat beberapa pusat pemeliharaan dan
pemuliharaan masih aktif dalam memainkan peranan dalam melakukan aktiviti pemulihan
dan pemeliharaan. Sebagai contoh, di Pusat Pemeliharaan Orang Utan Semenggoh dan
Pusat Pemeliharaan Sepilok, Sabah yang agak aktif mempraktikkan pemuliharaan ex-situ.
Pemuliharaan ex-situ kaedah perlindungan terhadap spesies yang terancam secara
kritikal apabila habitat asalnya musnah dan dilindungi di luar habitat asal (Marzalina
et.al, 2001). Menurut Sarawak Forestry Corporation (2006), pusat pemuliharaan
Semenggoh menyelamatkan nyawa orang utan yang disebabkan kehilangan habitat,
pemburuan haram, kehilangan ibu bapa dan lain-lain serta selepas mereka
disembuhkan daripada penyakit, mereka akan dibenarkan balik ke hutan. Oleh itu,
pada pendapat saya ini secara tidak langsung dapat menjamin keseimbangan ekosistem di
dalam hutan kerana kewujudan orang utan dalam ekosistem sentiasa terjaga dan
terpelihara.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang juga merupakan salah satu langkah


dalam mengatasi isu kepupusan flora dan fauna di Malaysia dan memastikan keberkesanan
langkah-langkah mengatasi isu kepupusan sentiasa dilakukan. Antaranya ialah inisiatif
daripada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang telah bekerjasama
dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)
menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sejak Disember
2010 (Abdul Kadir, 2016) . Akta ini menegaskan orang ramai diberi amaran supaya tidak
terbabit dengan kegiatan penjualan dan penyeludupan organ serta bahagian tertentu haiwan
liar bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas. Menurut Hasmadi bin Ismail
(2016) Jabatan Perhutanan juga turut mempunyai sistem serta kaedah tersendiri
mengawal selia kaedah dan kekerapan penebangan hutan. Sekiranya berlaku
perlanggaran, semua tuduhan akan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984
(Pindaan 1993) dan prosedur pertuduhan ini dibuat menggunakan kod prosedur
jenayah dan ada pesalah yang pernah dipenjarakan. Pada pendapat saya,
penguatkuasaan undang-undang ini merupakan langkah yang efektif dalam menyelesaikan
isu kepupusan flora dan fauna jikalau pemantauan yang berterusan dilakukan dari masa ke
semasa. Pemantauan yang berterusan oleh pihak berkenaan adalah penting untuk
dipraktikkan agar pihak berkuasa sentiasa tahu akan keadaan semasa flora dan fauna di
negara kita. Pihak berkuasa juga haruslah melaksanakan hukuman seperti yang telah
ditetapkan. Tambahan lagi, pendedahan mengenai undang-undang yang telah ditetapkan
juga harus didedahkan kepada orang ramai untuk memaklumkan kepada mereka tentang
kandungan undang-undang ini dan akibat jikalau mereka melanggarnya. Pelaksanaan
undang-undang alam sekitar perlu sentiasa dilaksanakan, tetapi penguatkuasaan
undang-undang sahaja tidak memadai, tanpa kita memberi pemahaman dan
pendidikan khusus kepada masyarakat berkenaan peruntukan undang-undang alam
sekitar dan kepentingannya kepada masyarakat (Muhamad Izhar, 2017). Ketika ini
semua pihak perlu serius dalam mengendalikan isu ini termasuklah dengan mendidik
masyarakat untuk menyayangi dan menjaga alam sekitar. Tuntasnya, jikalau semua
masyarakat bekerjasama dalam mengaplikasikan undang-undang yang ada serta bersikap
secaraa jujur dan telus, sememangnya isu kepupusan flora dan fauna dapat diatasi dan
dicegah.

Selain itu, alternatif lain dalam menyelesaikan masalah kepupusan flora dan fauna
ialah dengan melakukan penyelidikan dalam membuat pembiakan supaya spesies tersebut
terus wujud. Menurut Laupa Junus (2017) , penyelidikan telah menjadi antara alternatif
terbaik dan kaedah terakhir bagi memastikan spesies fauna dan flora tidak pupus.
Beberapa penyelidikan pernah dijalankan di habitat liar yang melibatkan agensi kerajaan
dan institusi pengajian tinggi termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti
Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beberapa makmal
penyelidikan juga diwujudkan di negara kita. Sebagai contoh, Fakulti Pertanian Lestari UMS
di Sandakan yang membina makmal teknologi pembiakan berbantu (Assisted Reproductive
Technology atau ART) . Pada pendapat saya, membina tempat kajian haiwan ini dengan
tujuan pembiakan untuk meneruskan kewujudan mereka pada masa hadapan adalah
sesuatu yang perlu supaya generasi akan datang dapat melihat secara nyata spesies-
spesies ini di habitat semula jadi. Tambahan lagi, jikalau adanya pusat kajian ini juga para
penyelidik dapat mengkaji dengan lebih lanjut mengenai genetik haiwan atau tumbuhan
tersebut. Oleh itu, jikalau sesuatu spesies itu sakit , para penyelidik boleh mencari jalan
untuk merawat dan mengelakkan kematian yang boleh mengundang kepada kepupusan.

Kesimpulannya, melalui pembentangan ini saya mendapat banyak pendedahan


mengenai keadaan semasa isu kepupusan flora dan fauna. Langkah pencegahan mengenai
isu ini adalah amat penting untuk dilaksanakan bagi memelihara kewujudan kekayaan flora
dan fauna di Malaysia supaya generasi akan datang juga turut dapat merasai pengalaman
melihat hidupan liar dan flora secara nyata dan bukannya hanya melihat melalui buku atau
gambar. Hal ini kerana ia akan menyebabkan keseimbangan ekologi terancam dan dunia
kehilangan suatu khazanah yang tidak dapat diganti dengan kebijaksanaan manusia. Alam
semula jadi telah membina semuanya selama jutaan tahun, sementara tangan manusia
mampu menghancurkannya dalam tempoh hanya beberapa dekad. Oleh itu, flora dan fauna
haruslah sentiasa dijaga demi kepentingan masa hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/masa-depan-khazanah-hutan-


negara-1.421483#ixzz5PdJVAacR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/mendidik-masyarakat-undang-


undang-alam-sekitar-1.527681#ixzz5PceoPuLU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/penyelidikan-selamatkan-


khazanah-kita-1.579179#ixzz5PdLuJX36

© Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/penyelidikan-selamatkan-


khazanah-kita-1.579179#ixzz5PdKyIXaV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/penyelidikan-selamatkan-


khazanah-kita-1.579179#ixzz5PdKeimrO

© Utusan Melayu (M) Bhd


Rujukan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/30-peratus-hutan-diterokai-secara-


haram-1.15464#ixzz5PaV4YbDR

© Utusan Melayu (M) Bhd


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/masa-depan-khazanah-hutan-
negara-1.421483#ixzz5PZyJYeAd

© Utusan Melayu (M) Bhd.

You might also like