You are on page 1of 4

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum

dan etnik. Berdasarkan kepelbagaian kaum dan etnik ini maka wujud pula kepelbagaian,
budaya, bahasa dan adat resam. Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa
berusaha gigih untuk membangunkan negara termasuklah memajukan sektor pendidikan
supaya seiring dengan negara maju yang lain seperti Jepun dan Korea. Kemajuan Malaysia
dalam pendidikan sememangnya bermatlamat untuk meningkatkan perpaduan masyarakat
majmuk di negara ini. Hal ini kerana, bagi murid dan guru, masa seharian mereka banyak
dihabiskan di sekolah. Menurut Najimah dan Yasmin Ahmad (2007), interaksi sosial yang
baik di antara individu pelbagai etnik hanya akan berlaku sekiranya individu berkenaan
berada dalam satu persekitaran pelbagai etnik.

Setiap individu dilahirkan dengan pelbagai perbezaan mereka yang tersendiri.


Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu merupakan ketidaksamaan aspek
perkembangan secara fizikal, mental, sosial dan emosi dalam kalangan individu. Perbezaan
individu yang wujud akan memberikan kesan yang besar tehadap kepelbagaian tingkah laku
dalam bilik darjah. Menurut Suppiah Nachiappan (2008), perbezaan individu memberikan
kesan yang besar terhadap kepelbagaian tingkah laku dalam bilik darjah. Oleh sebab itu,
seperti yang berlaku di kelas 3 Maju, Cikgu Halimah menghadapi masalah disiplin bilik
darjah yang mengganggu kelancaran proses PDP. Masalah disiplin ini dapat dibendung
apabila guru bertindak untuk mewujudkan situasi npembelajaran yang kondusif dan mesra
budaya di dalam bilik darjah.

Menurut Boon et al. (2011) menyatakan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya
bukan sekadar melibatkan unsur-unsur fizikal yang dapat dilihat dengan pancaindera
semata-mata seperti ruang bilik darjah serta peralatan di dalamnya, sebaliknya persekitaran
bilik darjah turut melibatkan unsur-unsur emosi dan hubungan kemanusiaan. Persekitaran
bilik darjah perlulah mesra budaya supaya suasana pembelajaran menjadi kondusif untuk
murid pelbagai latar belakang bangsa dan budaya. Ianya turut mengembangkan nilai sivik
yang menjadi nadi bagi kehidupan masyarakat yang harmoni dan aman diperingkat nasional
dan global. Bagi membendung situasi yang berlaku dalam bilik darjah cikgu Halimah,
terdapat banyak cara yang boleh dilaksanakan bagi membantu beliau mewujudkan
persekitaran bilik darjah yang kondusif dan mesra budaya.

Antaranya ialah dari aspek fizikal, susunan dan pelan lantai bilik darjah penting untuk
memastikan kelancaran proses PDP. Misalnya, guru haruslah memikirkan susunan meja
dan kerusi yang sesuai dengan murid dan boleh diubah suai mengikut keperluan aktiviti.
Pencahayaan dan pengudaraan bilik darjah haruslah baik, mengecat dinding dengan warna-
warni yang ceria dan lembut, memasang langsir dengan warna yang ceria, terang dan
lembut. dan melukis mural di sekitar kelas. Aktiviti sedemikian juga merupakan salah satu
aktiviti yang sesuai dilakukan oleh murid-murid dari pelbagai latar belakang kumpulan etnik
supaya dapat memupuk perasaan kekitaan dalam kalangan mereka. Perbincangan serta
persediaan untuk lukisan mural secara tidak langsung dapat memupuk nilai bertoleransi dan
bekerjasama. Hal ini adalah untuk meningkatkan keceriaan di dalam bilik darjah disamping
mengelakkan murid daripada cepat merasa bosan yang boleh menyebabkan mereka
mengganggu rakan yang lain. Pelan kebakaran dan pemadama api juga penting untuk
diletakkan di dalam kelas. Hal ini adalah untuk menjamin keselamatan murid-murid. Bilik
darjah yang ceria mampu membentuk emosi dan perasaan murid yang baik serta membantu
untuk mengurangkan masalah tingkah laku murid.

Selain itu, guru juga hendaklah menyusun atur semula tempat duduk murid-murid
dalam bilik darjah supaya terdapat kesamarataan taburan di antara murid yang pelbagai
kumpulan etnik dan latar belakang. Susun atur bilik darjah abad 21 hendaklah disusun
dalam bentuk ladam kuda atau U dan secara kumpulan. Contohnya dalam satu kumpulan,
terdiri daripada murid yang pelbagai latar belakang dan kaum. Guru tidak boleh
mengasingkan kumpulan murid berdasarkan kaya dan miskin serta mengelompokkan hanya
satu kumpulan etnik sahaja dalam satu kumpulan. Hal ini supaya semua murid mempunyai
rasa kepunyaan semasa belajar dan mengelakkan murid miskin merasa tersisih. Apabila
ada tugasan yang diberikan oleh guru, murid diminta untuk berbincang dalam kumpulan bagi
menyelesaikan tugasan tersebut. Jadi, ini secara tidak langsung dapat mewujudkan serta
memupuk suasana mesra budaya antara murid dan dapat mengelakkan masalah disiplin
murid seperti mengejek murid lain dan mengganggu rakan.

Menurut Mohd Milson, (2009) guru seharusnya mengelompokkan murid mengikut


latar sosiobudaya yang berbeza ketika menjalankan aktiviti pdp yang menggunakan kaedah
kumpulan kecil. Apabila murid bekerjasama dalam perbincangan kumpulan, ini akan
mewujudkan suasana bilik darjah yang lebih selesa untuk murid bergaul dan berkomunikasi
sesama sendiri walaupun terdiri daripada agama,ras dan etnik yang berbeza. Interaksi dua
hala yang bersifat ramah mesra dan produktif menimbulkan satu persekitaran yang mesra
antara murid dan mengeratkan hubungan serta merapatkan jurang perbezaan dalam
kalangan mereka.

Di samping itu, guru hendaklah sentiasa prihatin dan peka terhadap situasi sekeliling
kelas. Misalnya, guru boleh membina sebuah rancangan pengajaran yang tidak menyentuh
kepada kepercayaan dan agama yang diamalkan murid. Aktiviti pdp yang dijalankan
seharusnya tidak menyentuh kepada isu sensitif yang boleh membawa kepada pergaduhan
antara kaum. Contohnya, kaum India yang menganggap lembu sebagai Tuhan mereka,
murid kaum lain tidak boleh mempersendakan kepercayaan mereka seperti mengejek dan
mentertawakan mereka. Guru harus peka akan keadaan yang melibatkan isu sensitif ini
kerana jika tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan pergaduhan besar antara murid.

Seterusnya, guru juga hendaklah bertindak sebagai pengurus bilik darjah yang
memastikan setiap rutin bilik darjah berjalan dengan lancar. Rutin bilik darjah seperti
peraturan dalam bilik darjah perlu dipastikan berjalan seperti yang dirancang bagi
memastikan tahap displin pelajar berada dalam kawalan. Jika rutin bilik darjah berjalan
lancar, kelangsungan proses pdp turut terpelihara. Misalnya, bagi murid yang suka
mengganggu rakan yang lain di dalam bilik darjah, guru boleh memberikan peneguhan
negatif kepada murid tersebut. Contohnya, murid yang mengganggu rakan akan keluar rehat
lambat berbanding dengan murid yang lain. Hal ini adalah supaya murid akan serik dan
dapat mengelakkan mereka daripada melakukan kesalahan yang sama. Sistem token juga
merupakan salah satu alternatif yang menggunakan peneguhan positif untuk membantu
guru mengawal kelas dan memastikan murid tidak bising. Murid yang senyap akan diberikan
token, manakala murid yang bising akan ditarik balik token. Setelah sebulan, guru akan
memberikan ganjaran terhadap token yang dikumpul.

Hal ini secara tidak langsung dapat mengubah tingkah laku negatif murid yang suka
berbuat bising dan mengganggu rakan yang lain kepada tingkah laku positif yang boleh
dikawal oleh guru. Contoh yang lain, tingkah laku murid yang malas membuat tugasan yang
diberikan dapat dibendung melalui peneguhan positif. Misalnya, jika guru sering memuji
murid yang rajin, murid yang malas akan terasa dan akan meniru tingkah laku rajin murid
yang rajin. Namun disini, guru tidak boleh membanding beza murid samaada daripada
aspek fizikal, kaum, agama dan latar belakang. Sebaliknya guru hendaklah memberikan
kata-kata semangat serta motivasi kepada semua murid agar mereka boleh mengubah
tingkah laku mereka ke arah tingkah laku positif yang lebih baik.

Dalam pada itu, guru juga haruslah bertindak sebagai agen sosialisasi yang bukan
sahaja mengajar murid membina hubungan dengan guru, malah dengan rakan-rakan tanpa
mengira perbezaan kaum dan agama. Oleh sebab itu, guru hendaklah mempunyai daya
inisiatif yang tinggi dari segi strategi dan teknik pengajaran. Hal ini akan membantu guru
supaya senang untuk menarik perhatian dan merangsang minat murid-murid untuk
mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila murid boleh mengikuti aktiviti
pengajaran yang dijalankan oleh guru, ia akan memudahkan guru untuk mengawal tingkah
laku murid dan seterusnya memastikan kawalan kelas berada dalam keadaan baik. Apabila
kelas dalam kawalan guru, murid akan mengikuti setiap langkah pembelajaran dan
peraturan yang diberikan kepada mereka. Hal ini membolehkan murid untuk meningkatkan
fokus mereka terhadap aktiviti PDP yang dijalankandan murid dapat menguasai sesuatu
kemahiran yang diajar dengan mudah.

Konklusinya, persekitaran bilik darjah yang kondusif dan mesra budaya dapat
diwujudkan di dalam bilik darjah dan semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung melalui peranan guru yang itu sendiri. Pelbagai cara boleh dilaksanakan oleh
guru bagi melahirkan murid yang penyayang, rajin, mesra budaya dan berdisiplin.
Persekitaran yang kondusif dan mesra budaya merupakan salah satu faktor yang terlibat
untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

You might also like