You are on page 1of 3

KEPENTINGAN bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa

komunikasi bukan hanya setakat lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu peringkat Sijil
Pelasjaran Malaysia (SPM). Malah ia amat penting apabila seseorang itu menjawat jawatan
penting di jabatan kerajaan.

Dalam apa-apa juga bidang pekerjaan jangan korbankan syarat lulus bahasa Melayu dalam
SPM yang menjadi syarat wajib lulus kepada semua murid dan pelajar di sekolah menengah.
Adalah tidak adil dan apa keistimewaannya jika ada bidang pekerjaan mengecualikan syarat
lulus BM di peringkat SPM?

Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran graduan perubatan tak
penuhi syarat lulus BM di peringkat SPM dilantik pegawai perubatan kontrak sewajarnya
disemak kembali. Perkara ini akan dipertikaikan oleh kalangan penjawat awam lain yang
diwajibkan sekurang-kurangnya lulus BM di peringkat SPM. Apa yang paling penting seseorang
penjawat awam itu akan berkomunikasi dengan orang awam dalam BM dengan baik dan
berkesan serta mudah difahami. Begitu juga berkaitan penulisan atau pemberian ubat
contohnya, sebagai doktor perlu menulisnya dengan BM yang jelas dan berkesan.

Ini akan memudahkan pesakit atau orang awam yang berurusan dengan jabatan khususnya
jabatan kesihatan. Begitu juga dengan jabatan lain orang awam akan menggunakan BM
sebagai bahasa komunikasi, bahasa rasmi dan bahasa perantaraan. Tidaklah terlalu payah
untuk lulus BM di peringkat SPM. Calon hanya perlu mengambil Ujian Lisan peringkat SPM dan
peperiksaan bertulis Kertas 1 BM dan juga Kerta2 BM. Calon persendirian boleh mengambil
peperiksaan kertas BM di peringkat peperiksaan Kertas Julai BM.

Bagi pelajar di sekolah menengah subjek bagi kertas BM dipelajari selama dua tahun iaitu di
Tingkatan 4 dan 5. Kertas 1 BM mengandungi Karangan. Manakala Kertas 2 soalan Rumusan,
Pemahaman Komponen Sastera (Komsas), Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa serta
Pemahaman Novel. Adalah tidak adil jika syarat kelonggaran ini diberikan kepada penjawat
jawatan Pegawai Perubatan secara kontrak. Syarat itu tidak perlu dilaksanakan kerana syarat
itu telah dipraktikkan dalam semua bidang perkhidmatan awam sejak sekian lama. Ia akan
dipertikai oleh penjawat awam lain yang lulus BM dengan baik dan mengambil peperiksaan BM
di peringkat SPM.
Perkara ini boleh menggugat identiti bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa
kebangsaan dan bercanggah dengan Perlembagaan. Kita tidak mahu nilai dan kedudukan
bahasa Melayu terus dipandang rendah dan menyebabkan bahasa Melayu tidak didaulatkan.

Sejak dahulu fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa komunikasi dan
bahasa perantaraan telah terbukti berkesan. Oleh itu, semua penjawat awam perlu lulus
peperiksaan BM bagi melaksanakan kerja dengan cekap dan berkesan.

Berurusan

Malulah kita jika semua pendatang asing yang datang ke negara ini boleh bercakap dan
bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan lancar. Sebagai penjawat awam di jabatan
kerajaan perlu malu dan rasa tercabar dengan situasi ini.

Usaha pemupukan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden telah lama dilaksanakan
iaitu melalui fungsinya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa
perpaduan dan bahasa ilmu. Justeru, usaha pemupukan ini juga mesti berlaku di semua
penjawat awam di semua jabatan kerajaan.

Melalui nilai pentadbiran, bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai lingua rasmi ketika
berurusan di semua jabatan kerajaan di negara ini. Oleh itu, semua penjawat awam wajib
bertutur dalam bahasa Melayu apabila berurusan dengan pelanggan atau pesakit terutamanya
di jabatan kesihatan. Mengabaikan atau melonggarkan syarat wajib lulus BM dalam jabatan
perkhidmatan awam akan mengundang pelbagai masalah yang berlarutan dan berpanjangan.
Antaranya, bahasa Melayu akan dipandang rendah dan tidak dimartabatkan dengan sebaik-
baiknya.

Semua kita terutamanya kalangan penjawat awam di jabatan kerajaan juga berperanan penting
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi yang berkesan dan
bahasa pentadbiran yang baik, tepat dan betul.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa
kebangsaan. Lantaran itu, bahasa kebangsaan amat perlu dan penting bagi melambangkan
identiti yang sama bagi semua kaum yang tinggal di Malaysia.
Selain itu, telah dijelaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi fungsinya dalam urusan
pentadbiran sebagai bahasa lisan kakitangan kerajaan semasa menjalankan tugas rasmi
kerajaan. Ia juga berperanan sebagai medium dalam urusan surat-menyurat, digunakan dalam
semua rekod kerajaan, media untuk menulis undang-undang dan peraturan negara.

Ia juga digunakan dalam segala borang urusan rasmi kerajaan. Kesimpulannya, jika bukan kita
yang mendaulatkan bahasa Melayu siapa lagi yang akan bertanggungjawab
mempertahankannya?

Oleh itu, kesedaran dan kefahaman yang tinggi serta cinta akan bahasa Melayu akan
menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang digunakan dengan
sebaik-baiknya di semua jabatan kerajaan dalam sebuah negara merdeka seperti Malaysia

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/syarat-lulus-bm-sangat-penting-


1.500542#ixzz4rx5L5eDH

© Utusan Melayu (M) Bhd x

You might also like