You are on page 1of 3

Teks Ucapan : Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan

2011
TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA PUAN TAN MOI YAN
PENGETUA SMK KULAI BESAR
SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN BULAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN
PERINGKAT SEKOLAH 2011

Selamat Pagi dan “Salam 1 Malaysia” kepada warga SMK Kulai Besar.

Yang Dihormati Encik Azman bin Safii, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum.

Yang Dihormati Encik Masaud bin Baharom, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Yang Dihormati Encik Mohd Tahir bin Haji Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum.

Guru-guru Kanan Bidang, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.

Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari
ini sempena Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai
Besar bagi tahun 2011.

Guru-guru dan murid sekalian,

Sesungguhnya, kehadiran warga SMK Kulai Besar pasti akan menyemarakkan lagi program
kita pada pagi ini dan seterusnya memberi sokongan yang padu dalam aktiviti yang telah
dianjurkan oleh Panitia Sejarah.
Untuk makluman semua, pada hari ini juga sambutan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan
Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011 sedang berlangsung. Saya amat
berharap majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim,
persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini penting
bagi menjamin perpaduan dan keharmonian warga SMK Kulai Besar khususnya serta
rakyat di negara ini amnya.
Terlebih dahulu di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah
dan syabas kepada ahli jawatankuasa induk serta ahli jawatankuasa kecil sambutan Majlis
Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011
kerana usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan merencana, merancang, menyusun sekali gus
menzahirkan pelbagai aktiviti yang telah direalisasikan pada majlis sambutan ini di
peringkat sekolah.
Hasil permuafakatan dan canaian idea yang bernas ahli jawatankuasa induk dan ahli
jawatankuasa kecil Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK
Kulai Besar bagi tahun 2011 ini maka lahirlah pelbagai program dan aktiviti yang dirasakan
cukup mantap dalam melahirkan warga SMK Kulai Besar yang patriotik serta nasionalis.
Guru-guru dan murid sekalian,
Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ini kesemuanya berpaksikan kepada
satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita
semua sebagai warganegara. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun
dirangkakan. Inilah saatnya bagi kita semua menumpahkan taat setia dan meluahkan
kecintaan buat negara Malaysia yang tercinta.

Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat
negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecap kehidupan dalam suasana
yang harmonis, aman serta sejahtera.

Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur
serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum. Perpaduan
adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.

Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan
Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah
menjadi taruhan. Hatta SMK Kulai Besar sebagai institusi melahirkan modal insan yang
berguna sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk menjadi nadi serta
penggerak utama dalam arus pembangunan negara.

Kita juga seharusnya menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan murid-
murid yang berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalismenya. Mereka inilah yang
bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.

Pada saat kita berkonvoi mengibarkan Jalur Gemilang, saya menyeru kepada semua warga
SMK Kulai Besar merenung sejenak kepada perjuangan yang telah dilalui oleh pejuang-
pejuang kemerdekaan terdahulu. Dek kerana usaha gigih dan pengorbanan mereka tanpa
mengharapkan apa-apa ganjaran, kita sebagai anak cucu mereka boleh hidup dalam
suasana penuh aman dan damai.
Guru-guru dan murid sekalian,
Apabila kita mengibar Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan
dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti, warna
kulit yang menyaluti tubuh badan kita, pangkat atau darjat.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup
menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa
keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari
semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

Elemen-elemen tersebutlah menjadi rahsia dan tonggak kekuatan mereka. Saya amat
bertuah dan berbangga kerana warga SMK Kulai Besar selama hari ini telah menunjukkan
sikap yang positif, saling membantu serta bekerjasama dalam setiap bidang pekerjaan. Ia
cukup sejajar dengan budaya kerja kita yang mementingkan semangat berpasukan.

Benarlah sudah kata bidalan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan pasti
apa jua pekerjaan yang dilakukan akan berhasil. Dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di
peringkat sekolah, warga SMK Kulai Besar telah membuktikan permuafakatan dan
perpaduan yang telah terjalin sekelian lamanya menjadi resipi kelancaran penganjuran
program tersebut.

Saya amat berharap sikap sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana
perjalanan kita sebagai institusi pendidikan ini masih jauh. Saya ingin menyeru warga SMK
Kulai Besar teruskanlah usaha meggembleng tenaga dan upaya membangunkan SMK Kulai
Besar agar menjadi sekolah yang terbaik.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas
dan tahniah kepada ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa kecil yang telah
melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang Majlis Penutupan Bulan Penghayatan
Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011.

Sehubungan dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Bulan
Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011.
Sekian, terima kasih.

You might also like