You are on page 1of 4

MASALAH PEMBELAJARAN

Pembelajaran matematik di sekolah pada hari ini tidak lagi seperti dahulu. Sukatan
pelajarannya jauh berbeza dengan pelbagai penambahbaikan dan peningkatan tahap
pembelajaran. Pembelajaran Matematik pada hari ini tidak sekadar menguji keupayaan
menjawab soalan dengan betul tetapi turut menguji sejauh mana pelajar dapat
mengaplikasikan kefahaman mereka untuk menyelesaikan masalah yang diberikan pada
tahap pemikiran yang tinggi. Tidak hairanlah mata pelajaran ini dilihat semakin sukar oleh
kebanyakan pelajar. Kajian yang dijalankan di SMUA……. mendapati terdapat beberapa
masalah pembelajaran Matematik di kalangan pelajar.

i. SUKAR MENTERJEMAHKAN KEHENDAK SOALAN


Masalah yang dihadapi kebanyakan pelajar dalam mata pelajaran matematik adalah gagal
memahami soalan dan menterjemahkan kehendak soalan dengan baik. Ia mengakibatkan
pelajar menggunakan strategi penyelesaian yang salah atau meninggalkan terus soalan
tersebut tanpa sebarang jawapan. Daripada kajian yang dilakukan, pelajar tidak
mempunyai strategi dalam memahami soalan. Mereka juga tidak dapat membezakan
maklumat penting dan tidak penting di dalam soalan menyebabkan mereka tertinggal kata
kunci yang menjadi asas kepada penyelesaian masalah. Bahasa yang digunakan dalam
soalan matematik berayat juga sedikit berbeza daripada bahasa yang biasa digunakan
dalam pertuturan harian. Ini menambahkan lagi kesukaran pelajar dalam menterjemah
kehendak soalan. Lemahnya penguasaan memahami istilah matematik menjadi punca
kepada kegagalan memahami kehendak soalan.

ii. KURANG DAYA KREATIVITI


Soalan Matematik berbentuk ayat merupakan satu cabaran besar kepada pelajar masa
kini. Peringkat pertama dalam menyelesaikan masalah matematik berayat ialah
memahami situasi dan kehendak soalan. Peringkat seterusnya adalah merancang dan
menyusun langkah penyelesaian untuk mendapatkan jawapan. Begitu ramai pelajar
menghadapi masalah pada peringkat ini sekalipun mereka telah berjaya melepasi
peringkat pertama iaitu memahami masalah dan kehendak soalan. Berdasarkan
pemerhatian, pelajar telah terbiasa belajar matematik dengan menghafal rumus,
menghafal langkah penyelesaian, melihat contoh soalan dan latihan yang sama jenis.
Pelajar terikat dengan satu kaedah penyelesaian yang menyebabkan mereka tidak boleh
mencari penyelesaian secara bebas dengan cara mereka sendiri. Kajian mendapati pelajar
lebih gemar dan berminat menyelesaikan masalah rutin tentang fakta dan prosedur
berbanding soalan masalah berayat yang memerlukan mereka berfikir secara kritis dan
kreatif. Hal ini menjadi petunjuk bahawa pelajar gagal memahami konsep yang dipelajari
dan mengaplikasikan konsep tersebut untuk menyelesaikan masalah.

iii. GAGAL MEMAHAMI GAMBARAJAH


Matematik dan gambarajah merupakan dua perkara yang mempunyai perkaitan yang
rapat. Gambarajah boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan dimensi. Soalan matematik
yang disertakan dengan gambarajah seringkali menimbulkan masalah kepada pelajar.
Ramai pelajar yang berpendapat apabila soalan matematik diikuti dengan gambarajah,
maka soalan tersebut adalah susah. Persepsi yang diwujudkan oleh pelajar itu sendiri akan
mengurangkan keyakinan mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ada juga
pelajar yang gagal membuat perkaitan antara soalan berayat dengan gambarajah yang
diberikan dalam soalan.

iv. KURANG MINAT DAN MOTIVASI TERHADAP MATAPELAJARAN


MATEMATIK
Ramai pelajar beranggapan matematik tidak penting dan tidak banyak digunakan dalam
kehidupan. Mereka merasakan mempelajari matematik merupakan perbuatan yang
membuang masa. Mereka gagal mengaitkan peranan matematik dalam kehidupan. Ada
juga pelajar yang tidak suka belajar sesuatu yang susah dan memerlukan kepada
kemahiran berfikir aras tinggi. Ini menjadikan mereka hilang minat untuk belajar
matematik sekaligus menjatuhkan motivasi belajar mereka. Dalam diri mereka sudah
tiada minat disebabkan tanggapan matematik mata pelajaran yang sukar dan mereka juga
sebenarnya tiada motivasi ekstrinsik iaitu dorongan daripada orang-orang yang berada
disekeliling mereka terutamanya ibubapa. Kesukaran pelajar dalam mempelajari
matematik gagal difahami kebanyakan ibubapa pada hari ini. Pencapaian yang rendah
dalam peperiksaan merupakan kegagalan di mata ibubapa. Pelajar sering dipersalahkan
dengan pelbagai alasan seperti malas dan kurang membuat latihan tanpa memikirkan
masalah yang tidak kurang pentingnya iaitu motivasi belajar. Kata-kata semangat kurang
diucapkan untuk menaikkan kembali semangat pelajar setelah mereka mengalami
kegagalan. Tiada harapan baru yang diberikan menjadikan motivasi mereka semakin
rendah dan persepsi mereka terhadap mata pelajaran matematik juga menjadi semakin
teruk. Motivasi dan persepsi negatif ini menyebabkan mereka semakin tidak berminat dan
gagal memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Penglibatan secara aktif
di dalam kelas juga semakin kurang. Menurut Manisah & Norizza (2016), kemahiran
tumpuan membantu mempertingkatkan kemahiran yang diperlukan di sekolah seperti
kemahiran membaca, menulis dan mengira. Namun begitu, sekiranya murid gagal
memberi tumpuan ketika proses pembelajaran berlangsung, potensi mereka tidak
memahami isi kandungan pembelajaran adalah tinggi. Maka, bagaimana pelajar boleh
menjadi semakin cemerlang jika tumpuan mereka terhadap pelajaran semakin merosot.

v. KESUKARAN MENGINGAT
Murid yang berpencapaian rendah dalam matematik juga berpunca daripada masalah
kesukaran mengingat. Kesukaran ini menyebabkan murid gagal menyimpan fakta dan
langkah kerja dengan lebih lama. Hal ini timbul kerana kurangnya latihan yang dilakukan
secara kerap dan berulang. Pelajaran matematik sebenarnya memerlukan kepada latihan
dan ulangkaji yang kerap. Ini perlu untuk menajamkan kefahaman serta mengukuhkan
ingatan pelajar terhadap langkah-langkah penyelesaian masalah rutin. Berdasarkan
situasi semasa, penumpuan terhadap latihan pengayaan gagal dilakukan kerana guru lebih
memberi tumpuan kepada menghabiskan sukatan pelajaran. Peruntukan masa yang sedikit
menyebabkan guru tidak dapat mengambil masa yang lama untuk mengajar satu-satu
topik. Semakan dan teguran terhadap latihan pelajar juga tidak dapat dilakukan dengan
sempurna untuk membetulkan dan memperbaiki kesalahan pelajar. Kegagalan membuat
latihan secara kerap dan berulang ini menyebabkan pelajaran yang telah dipelajari akan
hilang dari ingatan.

vi. KAEDAH PENGAJARAN GURU


Memahami penerangan guru merupakan kunci dalam menguasai mana-mana mata
pelajaran termasuklah matematik. Penerangan guru di dalam kelas sangat penting kepada
pelajar supaya pelajar dapat menguasai konsep awal sesuatu topik sebelum pembelajaran
diteruskan ke peringkat yang lebih dalam. Kaedah dan pendekatan guru amat
mempengaruhi kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik. Kreativiti guru memberi
penerangan amatlah penting terutamanya pada topik-topik yang sukar. Guru yang kreatif
boleh menukar topik yang sukar menjadi mudah. Penerangan tidak hanya bergantung
kepada papan putih tetapi boleh juga dibantu dengan alat bantu mengajar yang lain seperti
tayangan video, penggunaan poster dan sebagainya. Penggunaan alatan yang pelbagai ini
membantu murid memahami penerangan guru serta menjadikan proses pembelajaran
lebih menarik dan seronok. Masalah pembelajaran hari ini adalah guru terikat dengan satu
kaedah pengajaran sahaja yang menyebabkan pelajar berasa bosan dan hilang tumpuan di
dalam kelas. Keseronokan belajar telah hilang dan matematik tidak lagi seronok untuk
dipelajari.

vii. KEGAGALAN MEMAHAMI FUNGSI SIMBOL-SIMBOL MATEMATIK


Matematik merupakan mata pelajaran yang banyak melibatkan penggunaan simbol dalam
operasi pengiraannya. Selain daripada simbol tambah, tolak, bahagi dan darab, terdapat
banyak lagi simbol-simbol lain yang perlu diketahui dan difahami penggunaannya seperti
simbol pecahan, kuasa dan punca kuasa. Walaupun ia merupakan kemahiran asas yang
perlu dikuasai tetapi ramai pelajar yang mengambil mudah akan kepentingannya.
Kegagalan memahami fungsi simbol-simbol ini menyebabkan pelajar tidak dapat
menyelesaikan pengiraan matematik ataupun membuat pengiraan yang salah.

Rujukan

Manisah, M. A., & Norizza, S. (2016). Intervensi Meningkatkan Tumpuan dalam Pembelajaran Murid
Bermasalah Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia, 41(1), 1–6.

You might also like