You are on page 1of 9

  Buletin Teknologi MARDI, Bil.

 13(2018): 49 – 57

Teknologi mekanisasi pemprosesan bepang


kacang untuk industri kecil dan sederhana
(Mechanised bepang kacang processing technology for
small and medium industries)

Saiful Azwan Azizan, Azman Hamzah, Mohd Khairul Hafifi


Maidin dan Mohd Zaimi Zainol Abidin

Pengenalan
Snek ditakrifkan sebagai makanan yang diambil antara
waktu makan utama bagi memberi tenaga kepada badan.
Kebiasaannya, snek dikelaskan kepada dua kategori iaitu snek
manisan dan berperisa serta snek bar. Snek buah, kerepek
dan bepang kacang merupakan contoh snek manisan dan
berperisa manakala snek bar sarapan pagi dan bar buah
dikategorikan sebagai snek bar. Walaupun faktor manis sering
dikaitkan dengan isu kesihatan, namun permintaan terhadap
makanan snek dilihat semakin meningkat. Pasaran makanan
ringan seperti snek dan kerepek di Malaysia pada tahun 2008
dianggarkan bernilai RM599 juta dan dijangka meningkat
secara beransur-ansur pada kadar 4.4% setahun. Berikutan
aktiviti pengkomersialan industri snek di Malaysia semakin
rancak, permintaan terhadap pengeluaran snek juga semakin
tinggi. Snek bukan sahaja digemari oleh golongan kanak-kanak
dan remaja, malah turut diminati oleh golongan dewasa.
Berdasarkan satu kajian mengenai snek, purata pengambilan
snek oleh golongan dewasa ialah 1 – 2 kali sehari.
Bepang kacang merupakan salah satu snek manisan dan
berperisa tradisional yang digemari oleh rakyat Malaysia
dan merupakan juadah ringan yang popular ketika musim
perayaan yang disediakan kerana bahan-bahannya mudah
diperoleh iaitu kacang tanah, gula pasir dan bijan. Walaupun
kandungan gula dalam bepang kacang tinggi, namun kacang
tanah yang digunakan mempunyai kandungan khasiat yang
tinggi kerana mempunyai kandungan asid amino, protein,
vitamin B dan vitamin E yang tinggi.
Sebahagian besar bepang kacang di pasaran dihasilkan
oleh usahawan tempatan secara kecil-kecilan dan terhad
kepada pasaran dalam Malaysia sahaja. Industri pengeluaran
snek seperti bepang kacang boleh dimajukan sehingga ke
peringkat global dengan membangunkan dan memodenkan
teknologi pengeluaran. Aspek seperti pengawalan mutu
bahan, kaedah penyediaan yang mengikut Prosedur Operasi
Standard (SOP), penggunaan mesin serta pembungkusan
yang berkualiti dengan jenama dan label yang menarik
mampu menjadi pemangkin kepada proses globalisasi ini.
Selain itu, penambahan nilai kepada produk ini juga boleh
dilakukan dengan mempelbagaikan bepang kacang seperti

49
bepang kacang bersalut coklat, bepang kacang bersalut madu
kelulut dan lain-lain mengikut kreativiti usahawan.

Pemprosesan bepang kacang secara konvensional


Penyediaan bepang kacang secara konvensional dimulakan
dengan proses menggoreng kacang tanah tanpa minyak
terlebih dahulu dan diikuti dengan proses mengasingkan
kulit ari kacang tanah. Kemudian, gula pasir dimasak
di dalam kuali sehingga cair sepenuhnya dan berwarna
keperangan (karamel). Bijan dan kacang tanah yang telah
diproses sebelum ini dimasukkan ke dalam kuali dan digaul
sehingga sekata. Adunan bepang kacang yang telah sekata
dan masih panas dipindahkan di atas papan rata untuk
proses perataan. Dalam proses ini, adunan bepang kacang
akan ditekan dan digelek rata perlahan-lahan menggunakan
senduk atau penggelek sehingga nipis dan sekata (Gambar 1).
Akhir sekali, bepang kacang dipotong dengan pisau mengikut
saiz yang dikehendaki sebelum sejuk sepenuhnya dan
dibungkus (Gambar 2).
Pengeluaran bepang kacang skala
besar dalam industri kecil dan sederhana
memerlukan tenaga kerja mahir. Ini kerana
proses penghasilan bepang kacang seperti
proses meratakan adunan bepang kacang
sehingga nipis dan proses memotong bepang
kacang agak rumit dan memenatkan, lebih-
lebih lagi jika tempoh masa pemprosesan
yang lama iaitu 8 jam waktu bekerja.
Lazimnya sebanyak 70 keping bepang
Gambar 1. Proses meratakan adunan kacang dengan saiz 3.5 cm x 5 cm dapat
bepang kacang secara konvensional dihasilkan oleh seorang pekerja dalam
menggunakan kayu penggelek tempoh satu jam.
(Sumber: http://hasnahy.blogspot. Selain proses yang rumit dan
my/2011/11/bepang-kacang.html) memenatkan, kaedah konvensional ini juga
menghasilkan produk yang kurang berkualiti
kerana tiada keseragaman dari segi bentuk
dan saiz. Oleh yang demikian, pengeluaran
bepang kacang secara komersial berskala
besar dapat ditingkatkan dari aspek kualiti,
kebersihan dan keupayaan pengeluaran
dengan meningkatkan penggunaan
mekanisasi dalam pengeluaran. Penggunaan
teknologi mekanisasi mampu mengurangkan
kebergantungan kepada tenaga pekerja
Gambar 2. Proses pembentukan mahir, meningkatkan kapasiti pengeluaran,
bepang kacang secara konvensional mengurangkan kos pengeluaran,
menggunakan pisau menghasilkan kualiti produk yang konsisten
(Sumber: http://hasnahy.blogspot.
my/2011/11/bepang-kacang.html)
serta proses penghasilan yang lebih bersih.

50
Teknologi mekanisasi pemprosesan bepang kacang
Terdapat permintaan dan hasrat usahawan yang terlibat
secara langsung dalam pengeluaran bepang kacang untuk
memiliki teknologi yang mampu meningkatkan pengeluaran
dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja mahir.
Malahan salah satu agenda Pelan Induk Perindustrian
Ketiga (IMP3) 2006 – 2020 yang diperkenalkan oleh kerajaan
adalah untuk meningkatkan pembangunan teknologi dan
inovasi oleh usahawan. Selaras dengan agenda kerajaan
dan keperluan oleh usahawan bepang kacang, teknologi
mekanisasi pemprosesan bepang kacang untuk industri
kecil dan sederhana telah dibangunkan oleh pihak MARDI.
Teknologi mekanisasi ini terdiri daripada tiga komponen
pemprosesan utama iaitu mesin pemasak, mesin perata dan
mesin pemotong (Gambar rajah 1). Proses pengeluaran bepang
kacang menggunakan teknologi ini ditunjukkan seperti
dalam Carta alir 1.

Pandangan pelan

Perata Pemotong-y
Pemotong-x
Pandangan sisi

Pandangan perpekstif

Gambar rajah 1. Teknologi mekanisasi pemprosesan bepang kacang (mesin


pemasak, mesin perata, mesin pemotong paksi-x dan paksi-y)

51
Gula pasir, kacang tanah yang telah digoreng dan bijan ditimbang terlebih
dahulu sebelum proses dimulakan

Gula pasir dimasak sehingga menjadi karamel sebelum bahan-bahan lain


diadun dan digaul rata di dalam mesin pemasak

Adunan bepang kacang dipindahkan ke mesin perata dan diratakan sehingga


ketebalan 0.2 – 0.4 cm

Bepang kacang dipotong menggunakan mesin pemotong paksi-x dan paksi-y

Bepang kacang yang sempurna dan pecah diasingkan sebelum proses


pembungkusan

Carta alir 1. Proses pengeluaran bepang kacang menggunakan teknologi mekanisasi bepang kacang

52
Mesin pemasak terdiri daripada unit penggaul dan
kuali pemasak. Unit penggaul mampu menggaul adunan
bahan bepang kacang secara berterusan serta mempunyai
fungsi pengikis yang diperbuat daripada bahan teflon untuk
mengelak adunan melekat pada kuali pemasak. Kuali pemasak
pula mampu memasak adunan dengan sekata dan boleh
dicondongkan kepada sudut tertentu dengan kawalan sistem
pneumatik bagi memudahkan kerja memindahkan secara
terus adunan bepang kacang yang telah siap dimasak ke atas
papan teflon. Pekerja tidak perlu lagi mengendalikan proses
memasak dan menggaul bahan-bahan secara manual dan
berterusan serta tidak perlu mengangkat kuali yang panas
untuk memindahkan adunan bepang kacang yang siap digaul
sekata ke bahagian perata yang melibatkan penggunaan
tenaga kudrat yang banyak dan meletihkan jika dilakukan
dalam tempoh yang lama.
Komponen kedua teknologi mekanisasi bepang kacang ini
ialah mesin perata yang berfungsi untuk meratakan adunan
bepang kacang sehingga mencapai ketebalan yang diingini
(0.2 – 0.4 cm). Mesin ini terdiri daripada penggelek yang
diperbuat daripada keluli tahan karat, tuil pemusing, pelaras
ketebalan serta konveyor golek (roller conveyor) besi yang
berfungsi untuk menggerakkan adunan bepang kacang di atas
papan teflon ke kiri dan ke kanan secara automatik seiring
pergerakan perata ketika proses perataan dijalankan. Proses
meratakan adunan bepang kacang dengan mesin perata perlu
dilakukan segera kerana adunan akan mula mengeras apabila
selesai proses memasak. Proses meratakan adunan secara
konvensional lazimnya menggunakan bahagian belakang
senduk dan penggelek manual yang memerlukan kemahiran
serta tenaga kudrat yang tinggi untuk meratakan adunan
bepang kacang dalam waktu yang agak singkat sebelum
adunan mengeras. Penggunaan mesin ini dapat mengurangkan
tenaga pekerja dan masa pengeluaran, malahan menghasilkan
ketebalan adunan yang lebih sekata.
Komponen terakhir teknologi mekanisasi bepang kacang
ialah mesin pemotong yang terdiri daripada dua bahagian
mesin pemotong paksi-x dan paksi-y. Bahagian pemotong ini
masing-masing mempunyai 20 bilah pisau cakera bulat yang
diperbuat daripada keluli tahan karat. Bepang kacang akan
melalui dua peringkat pemotongan yang menghasilkan produk
bersaiz 3.5 cm x 5 cm. Penggunaan mesin ini membolehkan
proses memotong menjadi lebih bersih, cepat dan tidak
perlu lagi menggunakan pisau yang boleh menyebabkan
kemalangan jika tidak dilakukan dengan berhati-hati. Selain
itu, bepang kacang yang dipotong juga mempunyai saiz yang
seragam untuk memudahkan proses pembungkusan.
Daripada beberapa siri uji lari (test run) yang telah
dijalankan, teknologi ini mampu meningkatkan kapasiti
pengeluaran bepang kacang berbanding dengan menggunakan

53
kaedah konvensional (Jadual 1). Teknologi mekanisasi yang
dibangunkan ini mampu menghasilkan 350 keping/jam
bepang kacang dengan dua orang pekerja. Walaupun kaedah
konvensional hanya memerlukan seorang pekerja untuk
semua operasi, tetapi hasil pengeluaran adalah rendah iaitu
hanya 70 keping/jam bepang kacang dan akan berkurangan
jika dilakukan dalam tempoh masa yang lama kerana
faktor keletihan. Bepang kacang yang dihasilkan dengan
menggunakan kaedah teknologi mekanisasi ini juga konsisten
dari segi saiz dan ketebalan.

Jadual 1. Perbandingan kaedah teknologi mekanisasi dan kaedah konvensional dalam


penghasilan bepang kacang

Parameter Kaedah teknologi mekanisasi Kaedah konvensional


Bilangan operator 2 1
Kadar pengeluaran 350 70
(keping/jam)
Kaedah pemprosesan Mesin pemasak + mesin perata + Penggelek + pisau
mesin pemotong
Saiz dan ketebalan Konsisten Tidak konsisten

Pulangan modal pelaburan usahawan


Bagi seseorang usahawan yang ingin memulakan perusahaan
bepang kacang menggunakan teknologi mekanisasi ini,
beberapa kos permulaan dan kos utama perlu diambil
kira agar pulangan pelaburan dapat dimaksimumkan dan
seterusnya menjana pendapatan yang lumayan. Antara
kos yang terlibat dalam pemprosesan bepang kacang
adalah seperti kos pekerja, kos mesin dan kos pengeluaran.
Kos pekerja dapat diminimumkan memandangkan
pengeluaran bepang kacang menggunakan teknologi
mekanisasi ini tidak memerlukan pekerja berkemahiran yang
tinggi. Pengendalian teknologi mekanisasi bepang kacang ini
juga tidak sukar dan pekerja hanya memerlukan latihan yang
minimum berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang
disertakan. Bilangan pekerja yang dicadangkan ialah dua
orang, iaitu seorang pekerja khusus untuk mengendalikan
mesin pemasak, mesin perata dan mesin pemotong manakala
seorang pekerja khusus untuk proses pembungkusan produk.
Jadual 2 menunjukkan anggaran kos mesin, keperluan
peralatan serta kos kerja-kerja pemasangan mesin. Anggaran
kos ini dikira untuk tempoh 10 tahun berdasarkan anggaran
kebolehfungsian mesin dan peralatan.
Dengan menggunakan teknologi mekanisasi bepang
kacang MARDI, sebanyak 2,800 keping bepang kacang mampu
dihasilkan oleh dua orang pekerja dalam masa sehari (8 jam
waktu bekerja) dan sebanyak 61,600 keping bepang kacang
mampu dihasilkan dalam sebulan (22 hari waktu bekerja).
Jika anggaran harga pasaran bepang kacang ialah RM0.50

54
sekeping, jualan bulanan yang mampu diraih adalah sebanyak
RM30,800 dengan kos sebanyak RM17,500. Oleh yang
demikian, anggaran pendapatan bersih yang mampu dijana
oleh perusahaan ini adalah sebanyak RM13,300 sebulan.
Berdasarkan pengiraan tersebut, usahawan yang menceburi
perusahaan ini akan menerima pulangan modal pelaburan
selepas tujuh bulan dengan kadar pulangan modal pelaburan
(ROI) 68.61% (Jadual 3).

Jadual 2. Anggaran kos mesin, peralatan dan lain-lain untuk


memulakan perusahaan bepang kacang menggunakan teknologi
mekanisasi bepang kacang MARDI

Item Anggaran kos


tempoh 10 tahun (RM)
Teknologi mekanisasi bepang kacang 80,000
MARDI berserta aksesori
Meja kerja (keluli tahan karat 304) 5,000
Meja pembungusan produk 5,000
  (keluli tahan karat 304)
Deposit elektrik dan air 2,000
Jumlah 92,000

Jadual 3. Anggaran jualan, kos dan pendapatan perusahaan bepang


kacang menggunakan teknologi mekanisasi bepang kacang MARDI

Perkara Jumlah (RM)


Jualan (bulanan) 30,800
Kos
  Utiliti (elektrik + gas) 1,000
  Bahan mentah (kacang tanah, gula pasir, bijan) 10,000
  Sewa kilang 2,500
  Upah pekerja (RM1,000/pekerja) 2,000
  Kelengkapan pembungkusan 2,000
Jumlah kos 17,500
Pendapatan bersih (bulanan) 13,300
(Pendapatan – Jumlah kos)
Nota: Dengan anggaran kos permulaan adalah sebanyak RM92,000
dan anggaran keuntungan bersih bulanan sebanyak RM13,300,
tempoh bayaran balik modal pelaburan adalah dalam masa tujuh
bulan dengan kadar pulangan modal pelaburan (ROI) 68.61%

55
Kesimpulan
MARDI telah membangunkan teknologi sistem mekanisasi
pemprosesan bepang kacang untuk kegunaan usahawan di
mana sistem ini mampu menghasilkan 350 keping bepang
kacang dalam masa sejam dengan proses yang lebih bersih,
kualiti yang konsisten serta mampu mencepatkan proses
pengeluaran bepang kacang berbanding dengan menggunakan
kaedah konvensional. Selain itu, usahawan yang menggunakan
sistem ini juga tidak memerlukan tenaga pekerja mahir selain
mampu menjimatkan kos operasi dalam jangka masa panjang.
Dengan penggunaan teknologi ini dalam pengeluaran snek
tradisional bepang kacang, agenda Pelan Induk Perindustrian
Ketiga (IMP3) 2006 – 2020 yang diperkenalkan oleh kerajaan
mampu mencapai objektifnya dalam meningkatkan ekonomi
negara.

Penghargaan
Penulis merakamkan penghargaan kepada pihak
pengurusan di peringkat Pusat Penyelidikan Kejuruteraan
MARDI, ahli-ahli projek seperti En. Mohd Hafiz
Mohd Amin Tawakkal, En. Muhd Aliq Jamaluddin,
En. Shafie Alwi, En. Mohd Azmirreduan Sani,
En. Amir Redzuan Shamsulkamal, En. Mohd Shukri Johari dan
kakitangan lain Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI yang
sama-sama membantu dalam penyelidikan dan pembangunan
sistem teknologi mekanisasi bepang kacang MARDI ini.

Bibliografi
Abu Kassim, A. dan Noor Aini, H. (2009). Industri makanan snek dunia
terus berkembang. Agromedia 28: 4 – 9
Suwardi, A.A. dan Mohd Arif, W. (2014). Persepsi pengeluar snek terhadap
pembungkusan dan pelabelan. Economic and Technology Management
Review Vol. 9b: 155 – 162
USDA (2014). Nutrition facts for peanuts, all types, raw. USDA Nutrient
Data. Conde Nast,
USDA National Nutrient Database, version SR-21. Diperoleh dari http://
nutritiondata.self.com/facts/legumes-and-legume-products/4355/2

56
Ringkasan
Bepang kacang merupakan salah satu snek makanan kegemaran
di Malaysia. Proses pembuatan kuih bepang kacang secara konvensional
amat rumit terutamanya ketika proses meratakan dan memotong bepang
kacang. Selain itu, pengeluaran bepang kacang juga tidak seragam dari
segi saiz dan ketebalan yang mempengaruhi kualiti produk. MARDI
telah membangunkan teknologi mekanisasi pemprosesan bepang
kacang untuk membantu usahawan dalam menghasilkan produk yang
lebih berkualiti. Teknologi mekanisasi pengeluaran ini terdiri daripada
tiga komponen utama iaitu mesin pemasak, mesin perata dan mesin
pemotong yang mampu menghasilkan 350 keping bepang kacang dalam
satu jam.

Summary
‘Bepang kacang’ are known as one of the popular snack food in Malaysia.
Conventionally, the production of 'bepang kacang' are tedious especially
leveling and cutting process of 'bepang kacang'. Moreover, conventional
method produces inconsistent shapes of ‘bepang kacang’ in term of size
and thickness which will affect product quality. Hence, MARDI has
developed a mechanized processing technology for ‘bepang kacang’
production to help entrepreneurs produce better quality products. The
mechanized production technology consists of three main components,
namely for cooker machine, roller machine and cutting machine, that
able to produce 350 pieces of ‘bepang kacang’ per hour.

Pengarang
Saiful Azwan Azizan
Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Ibu Pejabat MARDI,
Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang, Selangor
E-mel: asazwan@mardi.gov.my
Azman Hamzah dan Mohd Zaimi Zainol Abidin
Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Ibu Pejabat MARDI,
Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang, Selangor
Mohd Khairul Hafifi Maidin
Pusat Perkhidmatan Teknikal dan Pengkomersilan Teknologi,
Ibu Pejabat MARDI, Persiaran MARDI-UPM, 43400 Serdang, Selangor

57

You might also like