You are on page 1of 2

REFLEKSI SWOT

LEE SING KIAT

Saya dan rakan-rakan saya telah mengelola pertandingan bola tampar dalam peringkat
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang pada 2 Mac 2016. Pengelolaan pertandingan bola
tampar tersebut merupakan kerja projek bagi subjek MPU 3031 Pengurusan Kokurikulum. Bagi
projek ini saya telah berganding bahu dengan tiga orang rakan yang lain iaitu Harry Jade Victor,
Maria Mariana Binti Geriem dan Sandra Suria Krishnamoorthi. Kumpulan sasaran bagi projek ini
ialah pelajar guru PISMP dan PPISMP.

Pertama sekali, kekuatan bagi pelaksanaan projek ini ialah kami sekumpulan telah belajar
bekerjasama antara satu sama lain. Kerjasama antara ahli kumpulan tidak pernah lenyap tidak
kira sebelum, semasa mahupun selepas pertandingan tersebut dijalankan. Kami telah
membahagikan tugas sebelum pelaksanaan pertandingan iaitu jawatan pengerusi, naib
pengerusi, bendahari dan setiausaha. Kami sangat komited terhadap tugas kami masing-masing
sehingga pengelolaan pertandingan bola tampar ini boleh berjalan dengan lancar. Selain itu, kami
juga telah mempelajari ilmu baharu yang tidak dapat kami pelajari daripada subjek-subjek lain
mahupun semasa di sekolah menengah. Ilmu baharu tersebut ialah ilmu tentang pengurusan dan
pengelolaan. Dengan adanya ilmu tersebut dapat kami bekalkan ke sekolah kelak agar kami
boleh membantu warga sekolah untuk menjayakan lagi program-program yang diadakan
terutamanya aktiviti sukan.

Manakala, kelemahan yang wujud bagi pelaksanaan kerja projek ini ialah dari segi masa
dan pemain. Bagi aspek masa, kami mengalami kesuntukan masa untuk membuat persiapan
bagi pelaksanaan kerja projek ini kerana terdapat beberapa halangan seperti Pengalaman
Berasaskan Sekolah, komitmen kerja kursus yang lain dan sebaginya. Disebabkan oleh faktor
kekangan masa tersebutlah menyebabkan kumpulan kami terpaksa berbincang tentang
pelaksanaan projek ini di negeri masing-masing kerana majoriti ahli kumpulan saya adalah
berasal daripada Sabah dan Sarawak. Kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk
berbincang secara bersemuka dan menyebabkan tarikh pelaksanaan projek kami diadakan pada
akhir-akhir tarikh hantar projek. Manakala, dari aspek pemain pula, kami menghadapi masalah di
mana terdapat sesetengah pemain yang tidak dapat hadir menyebabkan kami terpaksan mencari
pemain ganti pada saat-saat akhir dan secara tidak langsung menyebabkan masa pertandingan
berlarutan sehingga pukul 7.15 petang
Di samping itu, untuk aspek peluang pula, saya berasa sangat bersyukur kerana saya
sendiri telah mempelajari beberapa ilmu baharu dalam pengurusan. Antaranya ialah ilmu tentang
pengurusan belanjawan. Dalam kerja projek ini, saya telah memegang jawatan sebagai
bendahari. Disebabkan kewangan terhad, saya terpaksa memikirkan cara yang paling sesuai
untuk memastikan pertandingan tersebut berjalan dengan lancar. Antaranya ialah belanjawan
untuk hadiah-hadiah pemenang, belanjawan untuk cenderahati dan sebagainya agar tidak
melebihi bajet yang diperuntukan. Selain itu, saya sendiri turut mempelajari cara-cara untuk
membuat kertas kerja. Hal ini demikian kerana, saya tidak pernah membuat kertas kerja semasa
di sekolah menengah. Saya telah mempelajari teknik-teknik membuat kertas kerja, elemen-
elemen yang perlu ada dalam kertas kerja dan sebagainya.

Manakala bagi aspek ancaman pula, kami mendapat ancaman dari segi faktor cuaca.
Keadaan cuaca yang panas ketika pelakasanaan kerja projek. Keadaan cuaca yang panas
menyebabkan pemain-pemain berasa letih dan mereka tidak dapat menyambut bola dengan baik
kerana silau dengan sinaran matahari yang terik. Selain itu, minuman yang disediakan kepada
pemain turut tidak mencukupi kerana kami tidak menjangka keadaan cuaca yang begitu panas.
Hal ini menyebabkan, pemain-pemain mengambil masa rehat yang lebih panjang berbanding
masa rehat yang telah ditetapkan dan seterusnya menyebabkan pertandingan bola tampar
tersebut tamat dengan lebih lewat.

Akhir sekali, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dibuat agar
pelaksanaan kerja projek pada masa akan datang akan berjalan dengan lebih lancar. Antaranya
ialah dari aspek pemain. Pemain merupakan nadi utama dalam sesuatu pertandingan kerana
tanpa pemain maka sesuatu pertandingan tidak dapat diteruskan. Oleh itu, untuk mengelakkan
masalah ketiadaan pemain, maka lebih banyak pemain simpanan perlu disediakan untuk
menggantikan pemain-pemain yang tidak hadir pada hari pertandingan. Selain itu. cadangan lain
ialah pengelolaan pertandingan adalah lebih sesuai sekiranya diadakan pada waktu pagi kerana
cuaca yang tidak begitu panas membolehkan para pemain boleh bermain dengan lebih selesa
dan perjalanan keseluruhan pertandingan boleh berjalan dengan lebih lancar.

Kesimpulannya, untuk mengelolakan sesuatu pertandingan bukanlah suatu perkara yang


mudah. Terdapat banyak aspek yang perlu dititikberatkan bukan sahaja faktor masa malah faktor
pemain, kewangan dan sebagainya turut penting untuk memastikan pengelolaan pertandingan
menjadi lebih lancar. Oleh itu, dengan adanya ilmu-ilmu baharu yang telah diperolehi melalui
pengelolaan pertandingan bola tampar ini, agar pada masa yang akan datang tidak akan menjadi
suatu masalah kepada saya untuk melaksanakan projek yang sama kelak di mana-mana sahaja.

You might also like