You are on page 1of 3

10 TIPS MEMBACA ARTIKEL JURNAL

Proses pengajian akademik tidak pernah terlepas daripada fasa menelaah artikel-artikel
jurnal yang berkaitan dengan tajuk dikaji. Proses ini amat penting di dalam memahami
konteks dan konsep yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan; tidak kira di
peringkat sarjana, kedoktoran atau menjalankan penyelidikan sebagai ahli akademik.
Namun begitu, proses ini boleh memakan masa yang lama dan memberikan impak yang
kecil jika dijalankan tanpa proses perancangan yang baik. Pemilihan artikel dan kaedah
pembacaan yang tidak sesuai merupakan faktor utama menyumbang kepada produktiviti
yang rendah.

Proses pembacaan jurnal merupakan satu proses aktif yang memerlukan penyelidik
sentiasa memahami, mengkaji dan menghubungkait idea dan dapatan yang
dibincangkan. Proses bacaan ini juga melibatkan proses tapisan bahan bacaan yang
bergerak serentak, dimana penyelidik mempunyai kebebasan untuk berhenti membaca
sekiranya mendapati konteks kajian jurnal tersebut adalah diluar bidang yang menjadi
tumpuan penyelidik.

Berikut adalah perkongsian sepuluh tips membaca jurnal mengikut pengalaman dan
hasil bacaan saya:

1. Satu artikel jurnal mempunyai beberapa segmen utama


iaitu TAJUK, ABSTRACT, PENGENALAN, KAJIAN LITERATUR, KAEDAH
PENYELIDIKAN, HASIL PENYELIDIKAN, JADUAL &
RAJAH, PERBINCANGAN dan KESIMPULAN. Penyelidik perlu mempunyai idea
jelas mengenai maklumat yang dicari kerana ini menjadikan proses pembacaan lebih
objektif dan produktif.

2. Proses pembacaan jurnal tidak wajib dilakukan secara kronologi (atau mengikut
urutan) segmen, melainkan artikel itu merupakan sangat tepat dan berguna dengan
konteks penyelidikan. Pembacaan mengikut kronologi ini mengambil masa yang lama
dan memberi impak kecil jika artikel yang dibaca tidak menyumbang banyak kepada
konteks kajian yang dijalankan.

3. Proses bacaaan perlu dimulakan dengan TAJUK kerana tajuk memberi gambaran
awal mengenai kandungan penulisan dan hubungkait dengan kajian penyelidik.
Sekiranya tajuk itu tidak bersesuaian, maka bahan itu boleh diketepikan untuk tujuan
penyelidikan ini dahulu.
4. Proses bacaan boleh diteruskan dengan membaca ABSTRAK iaitu rumusan
mengenai kajian dan hasil yang ditemui. Ini memberi gambaran sedikit mendalam,
ataupun sambungan ‘kisah’ seterusnya daripada TAJUK (point terdahulu) mengenai
jurnal tersebut.

5. Selepas itu, saya lebih gemar terus ke KESIMPULAN bagi memahami hasil kajian
yang telah dijalankan. Di sini, penyelidik harus sentiasa menghubungkait dengan kajian
yang sedang dijalankan.

6. Hasil dapatan jurnal itu boleh difahami melalui pembacaan JADUAL & RAJAH yang
dilampirkan kerana ini merupakan rumusan terbaik secara grafik bagi data-data yang
dikumpulkan.

7. Selepas itu penyelidik boleh membaca KAJIAN LITERATUR sekiranya berminat untuk
memahami hasil kajian yang berkaitan dan mungkin memberi lebih idea mengenai
bahan-bahan jurnal yang sesuai untuk dibaca selepas ini.

8. Seterusnya, penyelidik boleh membaca PENGENALAN yang memberikan


pendahuluan dan latar belakang kajian jurnal tersebut. Secara kebiasaannya,
pengenalan ini sangat asas namun masih sangat membantu secara fundamental.

9. Kemudian, penyelidik boleh kembali kepada HASIL PENYELIDIKAN dan


PERBINCANGAN bagi mengkaji hubungkait idea dan ulasan penulis mengenai kajian
yang telah dijalankan.

10. KAEDAH PENYELIDIKAN merupakan bahagian terakhir yang saya baca dan hanya
dibaca sekiranya kaedah yang dijalankan berkaitan dengan kaedah penyelidikan yang
sedang dijalankan. Ini amat penting bagi proses pengulangan kajian atau
penambahbaikan kaedah yang sedang dirangka.

Tips-tips yang saya amalkan ini membentuk satu proses pembacaan jurnal secara
tersusun dan memudahkan pemahaman saya terhadap manuskrip yang diterbitkan di
jurnal mahupun persidangan. Namun, kaedah ini bukan suatu standard dalam proses
pembacaan jurnal dan penyelidik sentiasa boleh menambahbaik dalam membentuk
kaedah pembacaan yang paling sesuai mengikut keselesaan sendiri. Diharap
perkongsian sepuluh tips ini membantu para penyelidik menambahbaik proses
pembacaan jurnal disamping meningkatkan produktiviti dalam menjalankan aktiviti
penyelidikan.
Ditulis oleh:

Mohamad Mahathir Bin Amir Sultan


Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM

Sumber: https://www.majalahsains.com/10-tips-membaca-artikel-jurnal/

You might also like