You are on page 1of 1

INISIATIF STRATEGIK SEKTOR PELANCONGAN

21 Jan, 2012 Industri admin Permalink

Oleh Munirah Abdul Hamid

Malaysia menyasarkan 36 juta pelancong dari luar negara ke negara ini menjelang tahun 2020 dengan anggaran
pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion. Menurut Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen,
sasaran itu mampu dicapai dengan pelaksanaan 12 inisiatif strategik di bawah Bidang Keberhasilan Utama
Pelancongan Kebangsaan, antaranya termasuklah melalui “Kemewahan Malaysia” dan ”Agropelancongan”.

Pada tahun 2010, Malaysia menerima 24.6 juta orang pelancong dari seluruh dunia dengan pendapatan
pelancongan sebanyak RM56.4 bilion. Perkembangan ini menunjukkan perolehan pendapatan lebih daripada
RM1 bilion seminggu. Pendapatan yang relatif tinggi itu tentu sekali dapat dikongsi bersama-sama oleh pelbagai
peringkat masyarakat yang menjadi ejen industri pelancongan tempatan. Bagi menarik lebih banyak pelancong,
faktor utama yang perlu dititikberatkan oleh rakyat Malaysia ialah aspek kebersihan, terutama di kawasan
tumpuan pelancong seperti pantai dan kemudahan awam.

Sememangnya industri pelancongan mempunyai potensi yang besar untuk melonjakkan pendapatan negara.
Pulangan yang diperoleh dalam bentuk tukaran wang asing menjamin industri ini untuk menyumbangkan
pertumbuhan yang positif kepada ekonomi negara. Malaysia perlu mengorak langkah meneroka lebih banyak
peluang yang ada dalam industri ini kerana negara mempunyai kelebihan dari segi keunikan dan kepelbagaian
sumber yang sesuai untuk dimajukan sebagai tarikan pelancong. Pada masa yang sama, industri hospitaliti ini
juga mampu memberikan sumbangan yang besar terhadap bidang pelaburan, guna tenaga, serta mengukuhkan
akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran.

Sehubungan dengan itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, Pendapatan Negara Kasar per kapita disasarkan
untuk meningkat kepada RM38 850 atau AS$12 140 pada tahun 2015. Oleh hal yang demikian, Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang pada kadar enam peratus setahun. Sektor perkhidmatan dilihat
bakal menerajui pertumbuhan ini, selain sektor pembuatan, pertanian, bioteknologi serta pelantar teknologi yang
berkaitan. Dalam hal ini, sudah tentu industri pelancongan yang berasaskan perkhidmatan, tidak terkecuali
mempunyai potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Ekonomi Januari 2012.


Share on Facebook

You might also like