You are on page 1of 5

CONTOH RENCANA AKHBAR 1

Difteria: Ambil antibiotik untuk elak jangkitan


Oleh Dr Zulkifli Yusof
PENDUDUK membaca informasi berkenaan Difteria di bunting yang disediakan pihak
kesihatan. - Foto Amran Hamid DIFTERIA adalah sejenis jangkitan yang berlaku disebabkan
jangkitan kuman Corynebacterium Diphtheriae. Kenapa ia ditakuti? Ia mudah berjangkit dan
jika tidak terkawal boleh menyebabkan wabak. Penyakit ini boleh menyebabkan kematian
disebabkan penyumbatan salur pernafasan atau kegagalan jantung atau saraf oleh toksin
yang dihasilkan. Difteria adalah suatu ancaman kepada negara satu masa dahulu, namun
kes difteria turun dengan mendadak sejak vaksin mula diperkenalkan pada 1958. Namun
begitu, ada kes yang berlaku secara sporadik, terutama bagi kelompok yang tidak menerima
vaksin. Merebak melalui air liur Difteria merebak melalui air liur (droplet) atau hubungan
secara langsung dengan cecair pesakit. Jangkitan difteria akan menunjukkan simptom
selepas dua hingga tujuh hari dijangkiti. Jangkitan yang sederhana menyebabkan pesakit
mengalami sakit tekak dan demam yang sederhana. Bagi kes yang teruk, pesakit
mengalami sakit tekak yang lebih teruk dan demam yang lebih tinggi beserta bengkak di
leher (lympadenopathy). Pemeriksaan tekak menunjukkan satu selaput putih kelabu yang
tebal (pseudomembrane) di salur hidung, tekak dan salur pernafasan. Gejala ini boleh
menyebabkan salur pernafasan tersumbat dan boleh membawa kepada kematian.
Pembedahan tebukan di kerongkong (tracheostomy) secara kecemasan perlu dibuat bagi
menyelamatkan nyawa. Risiko ini perlu diawasi seawal dua hingga tiga hari simptom
berlaku. Bahaya kedua pesakit difteria adalah toksin yang dihasilkan oleh kuman boleh
menyebabkan keradangan jantung atau kelumpuhan saraf. Kadar kematian kes difteria
adalah sekitar lima hingga 10 peratus disebabkan kedua-dua bentuk komplikasi di atas. Kes
difteria yang disyaki perlu dirujuk ke hospital yang mempunyai kepakaran untuk
mengendalikannya. Kes-kes ini perlu dirujuk secara kecemasan. Di hospital, pesakit akan
dirawat secara kerjasama oleh pakar kanak-kanak bagi kes kanak-kanak atau pakar
jangkitan penyakit bagi kes dewasa dengan kerjasama Pakar Otorinolaringologi (Hidung,
Telinga dan Tekak). Segera diberi antibiotik Kes disyaki difteria akan diberikan antibiotik
pada kadar yang segera. Pesakit akan diasingkan daripada pesakit lain, pelawat dihadkan
dan pemerhatian rapi dibuat bagi mengelak penyumbatan salur pernafasan. Pengesahan
penyakit dilakukan dengan segera. Apabila kes telah disahkan, antitoksin perlu diberikan.
Rawatan ini penting bagi mengelak kesan toksin kepada jantung atau saraf. Petugas
perubatan yang terbabit secara langsung dalam pengendalian pesakit tanpa menggunakan
peralatan perlindungan diri (topeng muka) perlu mengambil antibiotik bagi mengelakkan
jangkitan. 'Contect tracing' terhadap ahli keluarga pesakit yang tinggal bersama pesakit
perlu dilakukan segera. Mereka juga perlu diberikan antibiotik bagi mengelakkan wabak
yang semakin sukar dikawal. Begitulah rumitnya pesakit difteria dirawat, walaupun ia
membabitkan hanya satu kes. Penyakit ini muncul semula kerana sebahagian besarnya
disebabkan keengganan sesetengah daripada kita untuk mengambil vaksinasi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179432
Pembaziran makanan di Malaysia sangat tinggi
30 MEI 2016

Gambar hiasan

STATISTIK menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan:
setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan
telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang
kelaparan.

Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000
tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia.

Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal
dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Hazilah Gumri berkata kajian itu juga mendapati bahawa isi rumah
yang terdiri daripada lima anggota membelanjakan secara purata RM900 sebulan untuk makanan dan bahawa
satu perempat daripadanya terbuang ketika penyediaan, memasak dan penggunaan.

"Ini bermakna kira-kira RM225 (benar-benar) dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan, yang jumlahnya
mencapai RM2,700 setahun," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "How Consumers Can
Benefit From Reducing Food Waste" (Bagaimana Pengguna Boleh Mendapat Faedah Dengan Mengurangkan
Sisa Makanan) di forum MYSaveFood baru-baru ini.
Forum sehari itu dianjurkan oleh sekretariat MYSaveFood di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh
Gumbek.

Hazilah berkata walaupun 80 peratus daripada sisa makanan itu dianggap 'sesuatu yang tidak dapat dielakkan',
20 peratus adalah 'yang boleh dielakkan'.

SWCorp menyelia sistem pengurusan sisa pepejal di Kuala Lumpur, Putrajaya,Kelantan, Terengganu, Pahang,
Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, kuantiti sisa makanan
biasanya didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.

"Ia berlaku semasa (bulan) Ramadan, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Semasa perayaan, orang ramai
cenderung memasak atau menempah banyak makanan untuk tetamu mereka. Akhirnya, satu pertiga atau satu
perempat daripada makanan itu terbazir," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian forum tersebut.

Kurangkan sisa makanan

Hazilah berkata bagi mengurangkan sisa makanan, isi rumah perlu memastikan untuk hanya membeli ayam,
daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit sekadar memenuhi keperluan mereka.

"Kemudian, masak makanan secukupnya setiap hari dan jika terdapat sisa, simpanlah sebaiknya supaya boleh
dimakan kemudian. Sebaliknya, lebihan makanan itu boleh diberikan kepada kepada jiran. Atau boleh juga
diberi makan haiwan peliharaan," katanya, dan menambah kata bahawa rakyat Malaysia juga perlu belajar
membuat kompos daripada sisa makanan dan menggunakannya sebagai baja untuk tanaman mereka.

Tambah beliau, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk makanan, sekali gus pembaziran
makanan dapat dikurangkan, isi rumah bukan sahaja boleh menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan kesan
karbon dan melindungi alam sekitar melalui pelepasan metana yang lebih rendah daripada tapak pelupusan.

Hazilah berkata, usaha itu juga boleh membantu menjimatkan tenaga dan sumber serta mencegah pencemaran
alam sekitar yang berkaitan dengan proses pembuatan dan pengangkutan yang semakin meningkat malah,
mengumpul sisa makanan dan kemudian menimbusnya.

"Isi rumah boleh membantu masyarakat dengan menderma semua makanan tidak disentuh bagi mengelakkan
pembaziran dengan memberikannya kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Kehilangan makanan membimbangkan

Menyentuh isu kehilangan makanan - merujuk kepada makanan khusus untuk manusia yang terbazir ketika
pengeluaran, selepas penuaian, pemprosesan dan pengedaran - Timbalan Pengarah Program Jaringan
Antarabangsa Mardi Dr Ainu Husna MS Suhaimi, yang turut berucap di forum itu, berkata jumlah yang
mengejutkan iaitu 1.3 bilion tan metrik makanan - bernilai RM4.4 trilion - hilang atau terbazir bersama-sama
sistem makanan setiap tahun di seluruh dunia.
"Ia (makanan hilang) merangkumi satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan dan cukup untuk memberi
makan tiga bilion orang," katanya, sambil menambah bahawa setiap tahun, Malaysia kehilangan kira-kira 28.5
peratus daripada beras yang dituai, bernilai RM918 juta.

"Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran negara ini pula, dianggarkan 20 hingga 50 peratus hilang setiap tahun,
ketika pasca penuaian."

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata jumlah kehilangan makanan dan sisa makanan
Malaysia adalah "membimbangkan" dan telah menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit
untuk tujuan pengurusan sisa.

Bercakap pada majlis perasmian forum itu, beliau berkata dengan mengambil kira magnitud dan kerumitan
masalah kehilangan makanan dan bahan buangan, kerjasama dan perkongsian daripada pelbagai pihak amat
diperlukan untuk mencapai hasil yang berkesan.

Sehubungan itu, katanya adalah penting agar semua pihak terlibat untuk meningkatkan tahap kesedaran dan
mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan. -
Bernama

Kita buang 15,000 tan makanan sehari


24 MEI 2016
Gambar hiasan

RAKYAT Malaysia membazirkan sebanyak 15,000 tan metrik makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih
boleh dinikmati dan tidak sepatutnya dibuang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek berkata, pembaziran makanan semakin
meningkat pada musim-musim perayaan dan dilihat sebagai satu tabiat yang seharusnya dikekang bagi
memastikan amalam membazir tidak berterusan.

"Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menunjukkan 28.4 peratus daripada
jumlah padi yang dihasilkan juga hilang begitu sahaja.

"Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, 20 hingga 50 peratus dibuang dan tidak sampai ke pengguna,"
katanya selepas merasmikan Forum 'MySaveFood' di sini, hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan melalui Mardi sedang menjalankan beberapa program di seluruh negara bagi
mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan pembaziran makanan kepada rakyat dan
negara.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Perusahaan Kanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr Rosa Rolle berkata 'Food Loss and Waste (FLW) Standard' akan
dilancarkan bulan depan bagi menangani cabaran kuantiti kehilangan dan pembaziran makanan.

Beliau berkata standard tersebut akan membolehkan pelbagai entiti, negara dan rantau lain untuk mengambil
kira dan melaporkan dengan praktikal, boleh dipercayai dan cara yang konsisten di peringkat antarabangsa
mengenai jumlah pembuangan dan pembaziran makanan serta mengenal pasti di mana ia berlaku seterusnya
membolehkan usaha untuk sasaran mengurangkannya.

Rolle berkata pembangunan standard itu dikoordinasikan oleh World Resources Institute (WRI) bersama-sama
beberapa rakan kongsi seperti Consumer Goods Forum (CGF) dan World Business Council for Sustainable
Development (WBCSD).

"Di peringkat global, kira-kira 1.3 bilion tan metrik makanan dibuang atau dibazirkan setiap tahun yang bernilai
RM4.4 trilion," tambahnya.

Forum MySaveFood anjuran FAO bersama Mardi yang dihadiri 100 peserta daripada agensi kerajaan dan
swasta itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran mengenai kitaran hayat makanan untuk mengurangkan
pembaziran makanan dan sisa makanan. - Bernama

You might also like