You are on page 1of 8

“KUASA DI TANGAN ANDA”

Farah Wahida binti Mohamad Zahir

Noor Zamrina binti Jusoh

ABSTRAK

Kajian ini merupakan satu kajian tindakan untuk menangani masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’
secara terbalik dalam kalangan murid Disleksia. Kajian ini telah dijalankan di salah sebuah
sekolah di Daerah Pasir Puteh, Kelantan. Kajian ini melibatkan 2 orang murid lelaki pendidikan
khas bermasalah pembelajaran yang berumur 10 dan 13 tahun. Kajian ini menggunakan reka
bentuk model Laidlaw (1992). Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis dokumen,
pemerhatian, ujian pra dan ujian pos serta temu bual. Ujian pra telah dijalankan kepada murid
sebelum kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’ diperkenalkan. Melalui data yang diperoleh, murid
didapati seringkali menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik. Sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran, pemerhatian melalui senarai semak dilakukan terhadap tingkah laku murid.
Selepas itu, murid dikehendaki menjalani ujian pos. Markah yang diperoleh daripada ujian pos
menunjukkan peningkatan berbanding markah yang diperoleh dalam ujian pra. Oleh itu,
keputusan ini membuktikan bahawa kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’ yang dijalankan ini telah
memberikan perubahan positif kepada murid serta menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran
lebih menarik. Saya mencadangkan kajian ini dapat digunakan lagi secara meluas dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi mengatasi masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’
secara terbalik dalam kalangan murid Disleksia.

PENGENALAN

Kemahiran menulis merupakan suatu budaya intelek yang saling melengkapi antara kemahiran
membaca dengan menulis. Pencapaian dan kebolehan yang tinggi dalam kemahiran menulis pasti
dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid bekeperluan khas dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu dan mata pelajaran tertentu. Sehubungan itu, keupayaan menulis merupakan suatu
kemahiran yang menjadi punca dan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
dalam pelbagai disiplin ilmu di sekolah, (Abdul Rasid Jamian dan Zulkafli Abu Zarin , 2008).
Masalah murid dalam pembelajaran terutamanya dalam penulisan merupakan satu isu yang perlu
dititikberatkan kerana ianya boleh membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas. Isu ini merupakan masalah yang umum bagi murid-murid sekolah (Abdullah Yusoff, 2006).
Masalah kekeliruan abjad adalah masalah lazim yang dihadapi oleh murid-murid bermasalah
pembelajaran. Selain dari masalah kekeliruan huruf terbalik, kekeliruan jenis imej cermin juga
wujud dan contoh kekeliruan yang sering didapati adalah kekeliruan antara huruf ‘b’ dengan huruf
‘d’. Dalam konteks masyarakat Melayu, murid-murid yang mengalami gangguan menulis huruf
secara terbalik biasanya mempunyai tulisan yang dikatakan sebagai “cakar ayam” malah ada
ketikanya mereka sendiri tidak memahami perkara yang mereka tulis. Murid-murid yang
mengalami gangguan ini juga biasanya akan mengalami kesulitan untuk belajar kerana
kebiasaannya mereka sering salah apabila melakukan aktiviti yang melibatkan ejaan dan menulis.
Justeru, sebagai guru yang kreatif dan inovatif, berbagai teknik, kaedah dan cara boleh
dipraktikkan untuk menyampaikan kemahiran ini kepada murid-murid dengan tujuan memastikan
kemahiran-kemahiran ini dikuasai dengan jayanya.
FOKUS KAJIAN

Saya memfokuskan kajian ini untuk meningkatkan kemahiran mengenal huruf ‘b’ dan ‘d’ dengan
betul kepada responden kajian dengan menggunakan kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’. Masalah
yang responden saya hadapi ialah masalah menulis huruf secara terbalik ataupun reversal of
letters. Melalui pemerhatian saya sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung serta
menganalisis lembaran kerja yang telah diberikan, murid saya mampu menulis dengan baik,
namun seringkali melakukan banyak kesilapan menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik. Di
samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk memperbaiki amalan dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran saya supaya menjadi lebih menarik.

Objektif Kajian

 Meningkatkan kemahiran mengenal huruf ‘b’ dan ‘d’ dengan betul.


 Menangani masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik.
 Menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik.

Soalan Kajian

 Adakah kemahiran mengenal huruf ‘b’ dan ‘d’ dapat ditingkatkan dengan menggunakan
kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’?
 Adakah masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik dapat ditangani dengan
penggunaan kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’?
 Adakah sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dengan penggunaan kaedah
‘Kuasa Di Tangan Anda’?

Kepentingan Kajian

Kajian ini dijalankan untuk melihat sejauhmana penggunaan kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’
dapat meningkatkan kemahiran mengenal huruf ‘b’ dan ‘d’ kepada murid pendidikan khas
bermasalah pembelajaran serta dapat menangani masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik
semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini juga penting bagi mewujudkan suasana
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang lebih menarik melalui kaedah ‘Kuasa Di Tangan
Anda’.

Saya juga ingin melihat anak-anak murid saya berasa seronok dan ceria untuk belajar.
Melalui kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’, saya yakin bahawa murid akan berasa seronok kerana
setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan melibatkan penggunaan anggota tangan mereka.
Responden akan melalui suatu pengalaman yang baru dan semestinya akan mengujakan mereka.
Kajian ini juga dapat menjadi sumber rujukan serta memberikan pendedahan dan bantuan kepada
guru Pendidikan Khas mahu pun ibu bapa dan semua yang berminat dengan pendidikan khas
khususnya yang berkaitan dengan masalah disleksia untuk mengetahui secara mendalam masalah
menulis huruf secara terbalik.

SOROTAN KAJIAN

Masalah dalam membezakan huruf yang seakan sama memang menjadi kebiasaan dalam kalangan
murid pendidikan khas. Murid-murid lemah dari segi pengamatan menyebabkan mereka melihat
huruf-huruf antara b dan d, p dan q ini sebagai satu huruf yang sama. Menurut Ma’rof dan
Haslinda (2002), objek-objek yang mempunyai kesamaan dari segi bentuk cenderung untuk
dikelompokkan sebagai satu unit (kelompok). Oleh itu, murid-murid pendidikan khas ini sering
terkeliru dengan bentuk huruf yang seakan sama dan menyebabkan mereka sering tertukar
penggunaannya dalam penulisan. Pernyataan ini disokong oleh Rohaty Mohd Majzub dan Shafie
(2005) yang menyatakan bahawa murid-murid yang tidak dapat membezakan huruf-huruf adalah
merupakan murid yang menghadapi simptom disleksia.

Selain itu, kajian-kajian terdahulu juga telah membuktikan bahawa penggunaan ‘Alphabet
Smart Board’ yang dilaksanakan kepada kanak-kanak prasekolah ternyata berkesan dalam
meningkatkan kemahiran menulis huruf b, d, p, dan q dengan urutan yang betul dan kemas
(Nurazean Md Isa, 2012). Kajian ini disokong oleh Izyan (2008), dengan mengutamakan
kepentingan menulis ialah membolehkan kanak-kanak menulis dengan kemas, cantik dan tersusun
serta kanak-kanak dapat mempelajari cara dan teknik penulisan yang betul. Justeru, saya telah
mengadaptasi dan memberikan sentuhan baru pada pelaksanaan tindakan saya yang dinamakan
Permainan Mengikut Telunjuk.

Satu kajian telah dijalankan oleh Sumiyati Abdul Halim Jiken (2009) yang bertajuk
“Nombor dan Abjad Terbalik” terhadap seorang pelajar. Beliau telah menggunakan kaedah
bimbingan secara individu bagi membantu murid tersebut. Dengan beberapa pelaksanaan aktiviti
didapati murid tersebut telah menunjukkan perkembangan yang positif. Pernyataan ini turut
disokong oleh Maimon Sani (2009) di dalam kajiannya yang bertajuk “Celik Huruf : Baca Lancar”
terhadap seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan Tu, Kuching, Sarawak. Beliau telah
menggunakan kaedah bimbingan secara individu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh
pelajar tersebut. Dengan menggunakan kaedah ini, beliau dapat menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh pelajar tersebut. Oleh itu, saya telah menjadikan kajian ini sebagai inspirasi dengan
memberi bimbingan secara individu kepada responden saya.

PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN KAJIAN

Reka Bentuk Kajian

Kajian tindakan yang dijalankan ini menggunakan model reka bentuk Laidlaw (1992). Terdapat 5
peringkat di dalam model Laidlaw (1992) iaitu mengenalpasti isu, merancang tindakan,
pelaksanaan tindakan, mengumpul dan menganalisis data serta membuat refleksi.

Mengenalpasti isu

Saya telah mengenalpasti isu menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik yang dialami oleh murid-
murid saya melalui empat cara. Antaranya ialah melalui pemerhatian sepanjang sesi pengajaran
dan pembelajaran berlangsung, menganalisis dokumen iaitu melalui lembaran kerja serta buku
latihan murid, mengadakan sesi temu bual bersama guru-guru Pendidikan Khas serta menjalankan
ujian diagnostik ke atas responden bagi mengukuhkan lagi permasalahan yang telah dikenalpasti.

Merancang Tindakan

Saya telah merancang untuk menggunakan kaedah permainan ‘Kuasa Di Tangan Anda’ bagi
mengatasi masalah menulis huruf secara terbalik. Terdapat tiga jenis permainan yang telah
dirancang iaitu Permainan Dua Ibu Jari, Permainan Gerakkan Telunjuk dan Permainan
Genggaman Jari.

Pelaksanaan Tindakan

Berikut merupakan tindakan yang dilakukan semasa menjalankan kajian :

Langkah 1 : Ujian Diagnostik

Ujian diagnostik telah dilaksanakan bagi membolehkan saya mengesan kelemahan secara
terperinci yang dihadapi oleh responden.

Langkah 2 : Ujian Pra

Ujian pra telah dijalankan kepada responden sebelum kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’
diperkenalkan.

Langkah 3 : Permainan Dua Ibu Jari

Permainan yang pertama iaitu Permainan Dua Ibu Jari diperkenalkan. Sebelum memulakan
permainan, responden diperkenalkan huruf ‘b’ dan ‘d’ terlebih dahulu. Responden dikehendaki
menggenggam kedua-dua belah tangan iaitu kiri dan kanan kecuali ibu jari. Tangan kanan
menunjukkan huruf ‘d’ manakala tangan kiri menunjukkan huruf ‘b’.
Langkah 4 :Lembaran Kerja 1

Lembaran kerja 1 diberikan pada akhir pengajaran dan pembelajaran. Responden diminta untuk
membulatkan huruf ‘b’ dan ‘d’ dengan betul.

Langkah 5 :Permainan Gerakkan Telunjuk

Permainan kedua ialah Permainan Gerakkan Telunjuk. Responden diminta menggerakkan telunjuk
dengan menggunakan magnet berwarna untuk mengikut bentuk huruf ‘b’ dan ‘d’ pada mini
whiteboard yang telah disediakan. Urutan membentuk huruf ini berpandukan pada arah yang
ditandai dengan garisan putus-putus berpanah.

Langkah 6 :Lembaran Kerja 2

Lembaran kerja 2 diberikan pada akhir pengajaran dan pembelajaran. Responden dikehendaki
membentuk huruf ‘b’ dan ‘d’ dengan menggunakan tali dan membuat arah penulisan dengan
menggariskan anak panah.

Langkah 7 :Permainan Genggaman Jari

Permainan ketiga ialah Permainan Genggaman Jari. Responden diminta untuk memancing ikan
bagi mendapatkan huruf yang tertera pada badan ikan dan seterusnya dikehendaki menulis huruf
yang diperolehi pada helaian kertas yang telah disediakan.

Langkah 8 :Lembaran Kerja 3

Lembaran kerja 2 diberikan pada akhir pengajaran dan pembelajaran. Responden dikehendaki
menyambungkan titik dan seterusnya menulis huruf ‘b’ dan ‘d’.

Langkah 9 :Ujian Pos

Ujian pos dilaksanakan setelah kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’ diperkenalkan. Set soalan bagi
ujian pos adalah sama dengan ujian pra.

Mengumpul dan Menganalisis Data

Dalam kajian yang saya lakukan, saya telah menggunakan empat instrumen bagi pengumpulan
data iaitu pemerhatian dengan menggunakan senarai semak, temu bual berstuktur bersama guru
Pendidikan Khas di sekolah tersebut, menganalisis dokumen iaitu lembaran kerja dan buku latihan
murid, serta menjalankan ujian iaitu ujian pra dan pos.

Refleksi

Saya membuat rumusan dapatan bagi kajian yang telah saya jalankan. Bermula daripada proses
sebelum, semasa dan selepas kajian dilaksanakan. Selain itu, cadangan penambahbaikan amalan,
cadangan bagi kajian lanjutan dan rumusan juga turut dibuat.

Kumpulan Sasaran

Saya telah memilih dua orang murid lelaki daripada kategori Disleksia yang berumur 10 dan 13
tahun sebagai subjek kajian dalam kajian tindakan yang dilaksanakan. Kedua-dua responden saya
adalah berbangsa Melayu dan sihat dari segi fizikal dan mampu melakukan aktiviti yang
dicadangkan tanpa sebarang masalah.
DAPATAN DAN REFLEKSI

Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos

Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos


100%

90%

80%

70%
Markah (%)

60%

50%

40%

30%

20%

10%

0%
Responden A Responden B
Ujian Pra 53% 47%
Ujian Pos 73% 93%
Rajah 1 : Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos

Berdasarkan Rajah 1, terdapat perubahan dan peningkatan dapat dicatat dalam pencapaian
ujian pra dan ujian pos bagi setiap orang responden. Responden A memperoleh sebanyak 53%
dalam ujian pra dan mendapat 73% pada ujian pos. Setelah kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’
dilaksanakan, responden A telah menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 20%.
Berdasarkan semakan ujian pos, responden A telah menunjukkan perubahan positif dalam
membezakan huruf ‘b’ dan ‘d’ dengan betul walaupun tidak secara menyeluruh. Setelah diamati
responden A dilihat cuai ketika menjawab soalan dan tidak memeriksa kembali jawapan walaupun
telah diarahkan.

Manakala responden B pula mendapat markah sebanyak 47% dalam ujian pra dan
meningkat dengan begitu mendadak dalam ujian pos dengan kutipan markah keseluruhan
sebanyak 93%. Hal ini menunjukkan peningkatan sebanyak 47%. Peningkatan yang berlaku
disebabkan responden B berupaya memahami dan menguasai tindakan yang dilaksanakan dan
telah diaplikasikan di dalam ujian pos. Saya berasa sangat gembira kerana kesemua objektif yang
ditetapkan telah tercapai setelah kedua-dua orang responden diperkenalkan dengan kaedah ‘Kuasa
Di Tangan Anda’.
Perbandingan Keputusan Lembaran Kerja 1, 2 dan 3

Perbandingan Keputusan Lembaran Kerja 1, 2 dan 3


100%

80%

60%

40%

20%

0%
Responden A Responden B
Lembaran Kerja 1 Lembaran Kerja 2 Lembaran Kerja 3

Rajah 2 : Perbandingan Keputusan Lembaran Kerja 1,2 dan 3

Berdasarkan rajah di atas, kedua-dua orang responden telah menunjukkan pencapaian


yang sangat baik kerana telah berjaya mendapat markah penuh iaitu 100% dalam lembaran kerja 1
dan 2. Hal ini dapat dilihat melalui permainan Dua Ibu Jari serta permainan Gerakkan Telunjuk,
kedua-dua responden dapat memahami serta mampu mengaplikasikan teknik yang telah dipelajari
dengan betul. Namun begitu, lembaran kerja 3 menunjukkan responden A memperoleh markah
sebanyak 70%. Manakala responden B hanya mendapat markah 60%. Berdasarkan semakan
lembaran kerja 3, didapati kedua-dua responden masih menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik.
Pada pengamatan saya, responden mudah keliru apabila diminta untuk menulis huruf ‘b’ dan ‘d’
secara berulang kali. Daripada analisis data bagi kesemua lembaran kerja 1, 2 dan 3 ini,
peningkatan yang ditunjukkan membuktikan bahawa kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’
sememangnya memberikan impak positif kepada responden dalam menangani masalah menulis
huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik yang dihadapi sekaligus dapat meningkatkan pencapaian
responden.

Perbandingan Pemerhatian Mingguan

Perbandingan Pemerhatian Mingguan


6
5
4
Item

3
Responden A
2 Responden B
1
0
Minggu 1 Minggu 2 Minggu 3
Minggu

Rajah 3 : Perbandingan Pemerhatian Mingguan


Sebanyak 6 item yang telah diperhatikan sepanjang pelaksanaan kaedah ‘Kuasa Di
Tangan Anda’. Item tersebut ialah aktif semasa proses P&P, mendengar arahan guru, bertanyakan
soalan kepada guru, cuba melakukan sendiri, fokus sepanjang proses P&P serta gembira sepanjang
proses P&P. Berdasarkan rajah 3, responden A berjaya menunjukkan tingkah laku positif
sepanjang intervensi dilaksanakan. Manakala, responden B hanya mencatatkan 4 kekerapan pada
minggu 1 untuk keseluruhan item yang diperhatikan. Hal ini kerana responden B masih belum
bersedia untuk melibatkan diri semasa pelaksanaan kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’. Namun
begitu, pada minggu 2 kekerapan berjaya dicatat pada item mendengar arahan guru. Pada minggu
3 pula, responden B masih tidak memberi fokus sepanjang proses P&P dan tidak bertanyakan
soalan kepada guru.

Secara keseluruhannya, telah berlaku peningkatan positif yang ditunjukkan oleh kedua-
dua orang responden. Peningkatan yang telah ditunjukkan ini sangat bermakna kepada saya kerana
murid berjaya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah ‘Kuasa
Di Tangan Anda’ ini. Murid juga sudah mampu menjawab soalan yang ditanya oleh guru dan
memberi respon yang bertepatan dengan soalan yang ditanya. Murid juga dilihat sudah berupaya
mengikut arahan yang diberikan dan ini menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat
berlangsung dengan lancar.

KESIMPULAN

Rumusan Dapatan

Disleksia adalah masalah pembelajaran yang semakin dikenali oleh masyarakat Malaysia melalui
Dasar Langit Terbuka dan capaian maklumat melalui rangkaian elektronik yang semakin canggih
dewasa ini. Seterusnya, berdasarkan dapatan kajian yang saya perolehi, terdapat beberapa aspek
yang telah memberi pengetahuan dan membuka minda saya tentang pendidikan murid-murid
bekeperluan khas. Antara yang jelas memberi kesedaran kepada saya ialah setiap guru seharusnya
peka dengan tahap kecerdasan kognitif yang dimiliki oleh mereka. Seperti yang kita sedia
maklum, tahap kognitif yang dimiliki adalah lebih rendah berbanding dengan murid normal. Oleh
yang demikian, kekurangan yang dihadapi oleh mereka tidak seharusnya dijadikan alasan untuk
menyekat proses pembelajaran. Sebaliknya adalah menjadi tugas guru untuk menyelia dan
melaksanakan pembelajaran mengikut tahap keupayaan kognitif murid dengan mengubah dan
mempelbagaikan kaedah pengajaran.

Kesimpulannya, melalui keseluruhan data yang telah saya perolehi iaitu daripada ujian
diagnostik, ujian pra dan ujian pos, pemerhatian serta temu bual bersama guru Pendidikan Khas,
kesemuanya telah menunjukkan keputusan yang positif seperti yang saya harapkan. Ternyata,
kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’ telah berjaya dalam menangani masalah menulis huruf ‘b’ dan
‘d’ secara terbalik. Namun begitu, ingin saya tegaskan di sini bahawa kajian yang dijalankan
bukanlah bersifat rawatan mahupun amalan pencegahan terbaik sebagaimana yang dilakukan oleh
pakar kesihatan. Kajian ini hanyalah satu pendekatan yang boleh membantu murid-murid yang
menghadapi masalah menulis huruf ‘b’ dan ‘d’ secara terbalik.

Cadangan Penambahbaikan Amalan

1. Meluaskan lagi penggunaan kaedah ‘Kuasa Di Tangan Anda’ dalam pengajaran dan
pembelajaran.
2. Menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah ‘Kuasa
Di Tangan Anda secara berkumpulan.
3. Memberikan peneguhan positif setelah murid dapat menguasai dengan baik kaedah
‘Kuasa Di Tangan Anda’.
4. Mempelbagaikan bahan bantu mengajar yang lebih menarik.

Cadangan Kajian Lanjutan

1. Tempoh masa kajian yang lebih panjang.


2. Menghasilkan kit kemahiran menulis huruf lain yang hampir sama bentuk.
3. Kolaborasi antara guru dan ibu bapa.
4. Memilih huruf-huruf lain yang sama bentuk dan bahan bantu mengajar yang berinovasi.
RUJUKAN

Abdullah bin Yusoff. (2006). Pengenalan kepada Pendidikan Khas. Open University Malaysia :
Unitem.

Abdul Rasid Jamian & Zulkafli Abu Zarin. (2008). Keupayaan kemahiran membaca dan menulis
Bahasa Melayu murid sekolah rendah kebangsaan luar bandar. Kertas kerja di
KonvensyenPendidikan Nasional 2008. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2 – 4
Jun 2008.

Izyan Mardhiah. (2008). Kemahiran Menulis Murid Prasekolah. Diakses pada 18 Julai 2013,
daripada http://www.slideshare.net/izyanmardhiahhalmi/kemahiran-menulis
muridprasekolah-presentation

Maarof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2002). Psikologi, Malaysia : Mc Graw Hill Sdn. Bhd.

Maimon Sani. (2009). Celik Huruf : Baca Lancar. Pelajar Sekolah Kebangsaan Tu, Kuching,
Sarawak. Buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Penyelidikan IPGM, Sarawak.

Nurazean Md Isa. (2012). Peningkatan Minat Dan Kemahiran Menulis b,d,p,q Dalam Kalangan
Kanak-Kanak Prasekolah, Kesan Dari Penggunaan Alphabet Smart Board.

Rohaty Mohd Majzub & Shafie Mohd. Nor. (2005). Simptom Disleksia Kanak-Kanak
Prasekolah. Jurnal Pendidikan. 30 (2005) 3-9, menerusi laman :
http://myais.fsktm.um.edu.my/7852/1/Jpendidikan30%5B01%5D.doc

Sumiyati Abdul Halim Jiken. (2009). Nombor dan Abjad Terbalik. Buku Koleksi Kertas Kerja
Seminar Penyelidikan IPGM KBL, Sarawak.

You might also like