You are on page 1of 14

SMK SIMANGGANG

95000 SRI AMAN,


SARAWAK

KERTAS CADANGAN
KAJIAN TINDAKAN
2019

TAJUK
PROGRAM “CUNGKIL BIJAK”

PEMULIHAN KENEGARAAN TINGKATAN ENAM ATAS

OLEH
BALKIS BIN HAJI NANENG
ABSTRAK

Saya selaku guru mata pelajaran Pengajian Am bagi kelas-kelas tingkatan enam menghadapi
banyak masalah dengan pelajar berkaitan dengan konsep dan bidang kuasa yang terdapat dalam
Bahagian Kenegaraan . Untuk menangani masalah ini, saya telah menjalankan satu Kajian
Tindakan bagi tajuk Kerajaan Persekutuan : Bidang Tugas Yang DiPertuan Agong (YDPA)
sebagai kuasa eksekutif dalam kerajaan. Niat untuk menjalankan kajian tindakan ini timbul
apabila keputusan Ujian Pra yang saya jalankan dalam kelas PAF tidak begitu memuaskan saya.
Malah mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran yang penuh dengan pelbagai
istilah dan fakta tetapi amat relevan dengan kehidupan seharian pelajar sebagai seorang
warganegara Malaysia. Kajian Tindakan ini membantu saya dan pelajar untuk memahami amalan
pengajaran guru, pembelajaran pelajar, keadaan pelajar, suasana dalam bilik darjah dan
sebagainya. Setelah kajian ini dijalankan, saya berjaya menyelesaikan masalah profesional saya
tanpa merujuk arahan luar dan saya dapat membuat keputusan dalam bilik darjah dengan sendiri.
Pendekatan Kuiz Kenegaraan yang saya ambil dalam kajian tindakan ini sememangnya satu
pendekatan lama, tetapi guru-guru sekarang gagal melaksanakannya di peringkat tingkatan enam
atas. Persepsi rata-rata guru tingkatan enam ialah pelajar tingkatan enam ini pandai dan mereka
boleh memahami apa jua yang diajar dalam sekelip mata. Kita harus ingat bahawa walaupun
mereka agak matang berbanding pelajar-pelajar lain tetapi mereka juga meminati kaedah-kaedah
yang pernah dilalui oleh mereka ketika mereka di bangku sekolah rendah terutama kaedah kuiz
kumpulan. Bagi saya pendekatan ini meningkatkan kefahaman saya bahawa amalan saya dalam
bilik darjah selama ini perlu diubah. Saya harus keluar daripada kongkongan amalan rutin iaitu
kaedah ‘chalk and talk’ dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan dalam Kajian Tindakan ini
bagaimanapun telah berjaya meningkatkan skor pelajar dalam Ujian Pos yang telah diadakan.
Program yang dinamakan “CUNGKIL BIJAK” ini menggunakan Pendekatan Kuiz Kenegaraan.
Kajian Tindakan saya ini diharapkan dapat membantu para guru yang lain untuk meningkatkan
motivasi dan minat pelajar terhadap topik-topik yang dipelajari di sekolah tanpa rasa jemu dan
bosan.

1.0 PENGENALAN

Kajian Tindakan dijalankan mengikut empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan
merenung. Sebelum menjalankan kajian, perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu
supaya penyelidik dapat memahami apa yang akan dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti
dan dengan langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke arah
mencapai matlamat kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan.

Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenal pasti masalah yang wujud dalam
bilik darjah atau di sekolah yang berkaitan dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan
pendidikan khususnya yang melibatkan P&P di bilik darjah juga boleh dijadikan asas untuk
memulakan kajian. Selepas itu penyelidik memahami dengan lebih mendalam tentang masalah
itu. Dalam proses pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling berkait. Murid
akan mengalami kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran yang lebih tinggi
sekiranya kemahiran yang lebih rendah atau awal tidak dikuasai dengan baik. Seseorang guru
perlu memahami masalah yang dihadapi oleh murid dengan terperinci sebelum merancang
langkah-langkah pembaikan (Jeya Velu,et.al. 2000).

Tujuan diadakan Kajian Tindakan ini adalah untuk menangani pelbagai masalah pembelajaran
adalah lebih tepat. Jawapan kepada sebarang soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data.
Kajian Tindakan memerlukan data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan
memantapkan dapatan kajian. Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau
pandangan turut memantapkan kefahaman penyelidik tentang masalah atau isu yang ditangani.
Setelah dikutip, data tersebut hendaklah dianalisis dengan memberikan gambaran yang jelas
tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu juga menjadi asas kepada guru untuk
merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai aktiviti yang telah dijalankan. Apabila
merancang aktiviti eloklah dilakukan sumbang saran terhadap langkah-langkah yang akan
dilaksanakan melalui pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana (Armstrong dll., 2004) .

Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah seterusnya ialah bertindak iaitu
melaksanakan aktiviti di bilik darjah. Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang
telah dikutip, keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui proses
'cuba-cuba' (trial and error). Setelah itu langkah pemerhatian dijalankan. Langkah pemerhatian
haruslah diberi penelitian yang terperinci supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan
data yang dikutip menepati keadaan yang sebenar. Di peringkat refleksi, penyelidik cuba
merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P berkaitan dengan
amalan mengajarnya. Semasa merenung, penyelidik cuba menilai, menghurai dan memikirkan
dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan P&P serta reaksi penyelidik
dan murid semasa kajian dilakukan (Arhar dll., 2000).

2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU

Mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran wajib lulus dalam STPM. Tanpa
kelulusannya pelajar sukar untuk melanjutkan pelajaran di IPTA tempatan. Di sekolah saya mata
pelajaran ini adalah di bawah kumpulan Kemanusiaan. Semua pelajar adalah diwajibkan
mengambil kertas ini. Jadi semua peringkat kebolehan pelajar didapati dalam semua kelas.
Lagipun tiada streaming untuk pelajar tingkatan enam. Hal ini menyebabkan guru mengajar
pelajar yang bertahap pencapaian akademik yang pandai, sederhana dan lemah. Dalam P&P saya
kerapkali menghadapi masalah pemahaman konsep dan bidang tugas sesuatu pihak atau agensi.
Pelajar sering keliru dengan bidang-bidang tugas pelbagai hierarki dalam Kerajaan Persekutuan.
Pelajar saya sering keliru dan tidak dapat menghuraikan istilah dan bidang tugas yang
dikehendaki, walaupun jawapan yang diperlukan adalah jawapan yang pendek dan padat. Pelajar
kebiasaannya akan menjawab mengikut logik mereka sendiri dan tidak dapat mengaitkan konsep
dan fakta yang telah dipelajari. Saya telah mengenal pasti beberapa sebab mengapa keadaan ini
berlaku. Antaranya ialah pelajar saya tidak faham dengan jelas topik yang dipelajari. Malah
mereka kurang atau tidak mengulangkaji langsung topik yang telah dipelajari di rumah. Mereka
juga tidak mahu bertanya topik yang tidak difahami kepada saya atau rakan yang tahu kerana
takut dilabel sebagai pelajar lemah. Selain itu mereka kurang atau tidak membuat langsung
latihan secara kendiri.

Kebanyakanya hanya membuat latihan yang saya beri sebagai kerja rumah sahaja. Apabila
disuruh menjawab dalam kelas, mereka teragak-agak untuk menjawabnya. Ada antaranya
mengabaikan kerja rumah yang diberi. Perasaan kecewa mendapat murid-murid seperti ini
kekadang wujud dalam diri dan jiwa saya. Tetapi itu tidak bermakna tiada tindakan yang drastik
saya ambil. Pelbagai cara atau kaedah yang telah saya gunakan untuk menarik minat pelajar
terhadap mata pelajaran Pengajian Am ini. Walaupun disedari bahawa untuk mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam subjek ini adalah sesuatu yang mustahil bagi pelajar-pelajar ini, tetapi
usaha tetap dijalankan sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan STPM kelak akan bertambah
baik.

Bagaimanapun pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini mempunyai akhlak yang baik kecuali
hanya beberapa orang sahaja yang bermasalah. Hal ini dapat membantu saya melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan lancar. Majoriti mereka membawa modul
yang telah saya sediakan dan memberikan kerjasama ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang berlangsung.

Saya telah melaksanakan beberapa kaedah pedagogi seperti teka silang kata, kuiz, menjawab
soalan secara tarik dan lepas (drag & drop),kotak ajaib,jumble trouble dan sebagainya. Hasil
daripada pemerhatian didapati bahawa pelajar yang berpencapaian sederhana dan lemah ini lebih
suka mengikuti pelajaran dalam suasana ceria dan seronok.jika saya menggunakan kaedah kuiz.
Hal ini kerana mereka masing-masing inginkan kumpulan mereka berjaya mengumpul skor yang
tinggi dalam bilik darjah mereka.

3.0 ISU KEPRIHATINAN

Kajian yang dijalankan adalah berfokus kepada kuiz yang dijangka dapat memotivasikan pelajar.
Daripada pemerhatian saya, pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini sering menganggapnya
sebagai satu mata pelajaran yang sukar. Mereka didapati belajar dalam keadaan tekanan dan saya
sentiasa mengingatkan bahawa subjek ini perlu dilihat dari aspek yang positif. Hal ini kerana
kandungan subjek Pengajian Am adalah berkaitan dengan kehidupan mereka seharian. Oleh itu
wujud idea untuk memasukkan kuiz dalam pengajaran Pengajian Am STPM. Kebiasaannya
soalan-soalan kenegaraan adalah sebanyak 50. Tetapi soalan yang melibatkan Kerajaan
Persekutuan adalah antara 10 hingga 12 soalan. Jika pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya
sesuatu tajuk dalam subjek ini mereka akan kehilangan markah secara keseluruhannya dengan
banyak. Tujuan kuiz ini dilaksanakan dalam kajian ini juga adalah sebagai salah satu galakan
agar pelajar-pelajar berminat dan menambah keyakinan kepada mereka bahawa subjek ini tidak
terlalu sukar seperti mana disangkakan oleh mereka.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN

Selepas kajian ini dijalankan,pelajar-pelajar diharapkan akan mencapai objektif seperti berikut.:

4.1 Objektif Umum

Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk Bidang kuasa YDPA dan jenis bidang
kuasanya. Mereka diharapkan dapat menjawab soalan aneka pilhan berkaitan tajuk ini.

4.2 Objektif Khusus

• Membantu guru mengenal pasti kaedah atau pendekatan mengajar dan amalan mengajar yang
lebih berkesan

• Membantu pelajar supaya dapat memahami konsep, fakta dan istilah Kenegaraan yang
berkaitan dengan Bidang kusa YDPA.

• Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran ini

• Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran ini.

5.0 KUMPULAN SASARAN

Terdapat sejumlah 30 orang pelajar dalam kelas PAF. Kumpulan sasaran dalam kajian ini ialah
pelajar yang berprestasi sederhana dan rendah berjumlah 15 orang. Pada kebiasaannya dalam
setiap ujian atau peperiksaan, kadang-kadang mereka lulus atau kadang-kadang mereka gagal.
Dalam kalangan pelajar ini minat terhadap mata pelajaran Pengajian Am adalah sederhana
kerana menurut mereka subjek ini adalah susah dan mereka boleh memahaminya pada peringkat
awal iaitu ketika mereka di tingkatan enam bawah tetapi apabila hendak menjawab soalan
kenegaraan secara aneka pilihan, mereka berasa agak susah dan mudah keliru dengan cadangan
jawapan yang diberikan untuk menjawab dengan tepat.

6.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN AKTIVITI


6.1 Tinjauan Awal

Saya mendapati markah ujian bulan Februari yang diperoleh oleh pelajar-pelajar kelas PAF
(Prauniversiti Fikrah) ini rata-rata pencapaian mereka amat sederhana dan ada yang gagal.
Sedangkan tajuk ini tidak terlalu banyak menggunakan konsep atau istileh kenegaraan yang
harus diketengahkan oleh pelajar dalam jawapan mereka. Oleh itu saya terdorong untuk
membuat satu kajian berkenaan pencapaian mereka.

6.2 Analisis Tinjauan Masalah

Hasil daripada temubual saya dengan pelajar-pelajar secara rawak bermula selepas markah ujian
diperoleh. Saya dapat merumuskan bahawa pelajar-pelajar saya mendapati soalan-soalan yang
dikemukakan tersebut amat sukar bagi mereka. Ada antara mereka tidak memahami kehendak
soalan. Yang aneh ialah pelajar tidak memahami istilah kuasa budi bicara dan kuasa mendengar
nasihat PM Pelajar juga tidak dapat membezakan antara YDPA dengan Majlis Raja-Raja dan
tidak dapat membezakan antara Bidangkuasa Sultan dengan Bidang kuasa YDPA. Pelajar-pelajar
sering keliru dengan beberapa konsep dan istilah kuasa eksekutif, penurunan kuasa, ketua agam
Islam bagi Wilayah Persekutuan dan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri. Soalan Ujian Pra
yang telah diadakan ialah pelajar dikehendaki menjawab sebanyak 25 soalan aneka pilihan yang
merangkumi tajuk “Bidangkuasa YDPA Sebagai Ketua Kerjaaan Persekutuan”. Satu soalan yang
betul akan diberi sebanyak 4 markah. Jadu jumlahnya 100 markah

6.3 Tindakan Yang Dijalankan

Daripada tinjauan masalah yang telah dibuat, saya berpendapat bahawa amat penting bagi saya
untuk mewujudkan satu teknik atau kaedah pengajaran yang dapat membantu pelajar memahami
tajuk “Bidangkuasa YDPA”. Hal ini akan dapat membantu mereka menjawab soalan aneka
pilihan dengan tepat dan efisien.

Fokus Kaedah Kuiz ini adalah untuk mendapatkan seberapa banyak markah yang boleh untuk
kumpulan mereka. Kemenangan bergantung kepada kebijaksanaan dan daya ingatan pelajar yang
diuji dalam kuiz ini. Setiap soalan kuiz yang dijawab ditetapkan markahnya satu. Jika mana-
mana kumpulan dapat menjawab semua soalan dengan betul maka mereka akan mendapat 45
markah. Saya mengingatkan pelajar-pelajar agar berhati-hati semasa menjawab soalan kuiz
tersebut. Di peringkat awal pengajaran saya pernah menggunakan kaedah penerangan dan latih
tubi. Saya juga pernah menggunakan persembahan power point dan juga internet sebagai bahan
sokongan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan. Tujuannya adalah untuk
mengukuhkan ingatan pelajar. Permainan ini dijalankan mengikut giliran. Saya menyediakan
soalan-soalan mengikut kemampuan dan keupayaan pelajar. Jika pelajar dapat menjawab soalan
yang dikemukakan kepada mereka denagn betul maka mereka akan memperoleh skor mengikut
bilangan soalan yang dijawab dengan betul.

Setiap pelajar akan menjawab soalan kuiz sebanyak tiga pusingan. Teknik ‘bayangan minda’ juga
di laksanakan dalam kuiz ini. Pelajar-pelajar diberi‘clue’ untuk menjawab soalan. Oleh sebab
tajuk ini berkaitan dengan “Bidangkuasa YDPA”, maka sepanjang proses pengajaran ini
berlangsung mereka diingatkan bahawa kepentingan pelajar mengetahui bidangkuasa YDPA dan
istilah-istilah kenegaraan dengan betul supaya mereka dapat menggunakan pengetahuan ini
apabila mereka menjadi dewasa dan menjadi seorang rakyat yang berkesedaran sivik. Pelajar
harus tahu membezakan bidangkuasa sultan dan Yang Dipertua Negeri sebagai ketua-ketua
negeri dan bidangkuasa mereka amat berbeza dengan YDPA sebab baginda adalah ketua negara.
Pelajar juga harus mengetahui sistem YDPA sebagai ketua negara amat berbeza dengan Presiden
sebagai ketua negara republik. Soalan yang dikemukakan kadang-kadang berulang-ulang kerana
saya percaya bahawa perulangan ini akan membina dan meningkatkan daya ingatan pelajar
berkenaan tajuk ini secara tidak langsung.

6.4 Pemerhatian

Ujian pra yang diambil untuk kajian ini adalah daripada ujian bulan Februari. Sebelum ujian pra
dijalankan tajuk Bidangkuasa YDPA telah dipelajari sepenuhnya oleh pelajar. Ujian ini
mengandungi satu set ujian aneka pilihan. Saya menjalankan kajian dengan menggunakan
kaedah kuiz selama dua minggu. Aktiviti dijalankan sebanyak dua kali seminggu dan masa yang
diambil untuk setiap sesi adalah 35 minit. Sepanjang kajian dilaksanakan perubahan tingkah laku
pelajar dapat diperhatikan. Mereka berasa seronok dan aktif semasa sesi ini berjalan.

Pelajar yang pada peringkat permulaanya berasa malu dan tidak aktif telah menunjukkan
perubahan sikap yang lebih baik. Walaupun ada kumpulan yang tidak memperolehi skor yang
banyak tetapi mereka tetap berasa gembira kerana tiada pelajar yang tidak memperoleh kosong
markah. Semuanya berlumba-lumba untuk mengangkat tangan untuk menjawab kerana ternyata
jelas semangat pasukan pada wajah mereka. Soalan serta jawapan yang berulang-ulang telah
membantu pelajar-pelajar yang lemah untuk mengingat fakta mengenai kuasa-kuasa YDPA.
Kesilapan jawapan rakan mereka telah menyebabkan mereka lebih berhati-hati untuk menjawab
soalan dan mereka mencuba sedaya upaya untuk menjawab soalan dengan betul. Cara ini sedikit
demi sedikit memberikan keyakinan kepada mereka bahawa mereka boleh belajar Pengajian Am
melalui multikaedah bukan satu kaedah sahaja.

6.5 Analisis Ujian

Jadual 1 menunjukkan markah pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pos. Markah ini
direkod untuk melihat prestasi pelajar dalam menjawab soalan. Semua skor yang diperoleh
ditukarkan kepada Gred untuk tujuan kajian.

Jadual 1. Pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Ujian Pos

Indeks Pelajar Gred Ujian Pra Gred Ujian Pos

1 C- C

2 C- C

3 C C+

4 C C+

5 C C+
6 C+ C

7 B- B

8 C+ B

9 C- C

10 C+ C

11 B B

12 C- C

13 C- C

14 C C+

15 C C+

Ujian Pra menunjukkan 5 orang pelajar memperolehi gred C-(33.3%), 5 orang pelajar juga
memperolehi gred C (33.3%), 3 orang pelajar memperolehi gred C+ (20%) dan hanya 2 orang
sahaja memperolehi gred kepujian B- dan B (13.3%). Ujian Pos pula menunjukkan peningkatan
yang menggalakkan iaitu kesemua 15 (100%) orang pelajar tersebut telah lulus. 3 orang pelajar
telah memperolehi B (20%), 5 orang mendapat C+(20%), 7 orang memperolehi C (33%). Jadual
jelas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam markah ujian pos, setelah pelajar-pelajar
tersebut didedahkan dengan kaedah kuiz ekonomi.

6.6 Analisis Pemerhatian

Penggunaan kuiz Pengajian Am telah dapat menarik minat pelajar dalam tajuk ini. Mereka tidak
berasa bosan dan sentiasa menunggu giliran mereka untuk mengangkat tangan secara spontan
untuk menjawab soalan kuiz. Mereka berlumba-lumba untuk memperolehi seberapa banyak skor
yang boleh untuk memenangkan kumpulan mereka. Hal ini bermakna pelajar-pelajar berusaha
untuk mengingat dan memberikan jawapan yang tepat. Setelah soalan kuiz ditanya, saya akan
berhenti sekejap untuk pelajar mencari jawapan. Jika jawapan yang diterima itu betul, saya akan
menandakan skor bagi kumpulan tersebut pada papan hitam. Begitulah suasananya sehingga
kesemua 45 soalan kuiz ditanya. Keadaan kelas agak bising tetapi terkawal dan tergambar
kegembiraan mereka sewaktu sesi ini berjalan. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan
dapat dilihat dan perasaaan malu untuk berdiri di hadapan kelas dapat diatasi sedikit demi
sedikit. Perasaan rendah diri dan malu pelajar-pelajar ini memang ketara apabila diminta berdiri
untuk menjawab soalan. Tetapi apabila pertandingan kuiz dimulakan, pelajar-pelajar yang
berkeupayaan sederhana dan lemah ini bertambah yakin.

Jadual 2: Jumlah pungutan skor pelajar mengikut kumpulan

Kumpulan A 25 markah

Kumpulan B 20 markah

6.7 Refleksi Kajian

Penggunaan kuiz merupakan salah satu bahan sokongan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Kuiz merupakan satu kaedah yang boleh digunakan untuk mewujudkan suasana
pembelajaran yang seronok dan menarik. Daripada pemerhatian saya, pelajar yang terdiri
daripada kategori lemah dan sederhana tidak boleh menerima pembelajaran saya yang terlalu
serius dan penuh dengan fakta. Saya mendapati mereka akan berasa cepat bosan dan akan
mengalihkan fokus mereka kepada perkara lain yang lebih menarik minat. Apabila pertandingan
kuiz ini dijadikan salah satu daripada bahan sokongan pengajaran, maka minat pelajar terhadap
topik ini berubah. Pelajar berasa mereka terlibat secara langsung dan komunikasi tidak berlaku
sehala sahaja.

Daripada tinjauan secara lisan pelajar-pelajar ini mengakui bahawa mereka tidak pernah
mengulangkaji pelajaran di rumah. Semua mata pelajaran yang diajar oleh guru akan tamat
hanya di dalam kelas sahaja. Mereka akan membuka buku jika ada kerja sekolah yang
dibekalkan untuk mereka. Tetapi bukan semua pelajar ini akan membuat kerja rumah tersebut.
Pelajar-pelajar yang berprestasi lemah dan sederhana ini hanya mengharapkan sepenuhnya
daripada saya dan kurang berusaha untuk mendapat markah yang lebih tinggi dalam ujian.
Markah ujian yang diperoleh jarang dijadikan sebagai panduan atau kayu ukur untuk mendapat
markah yang lebih baik untuk ujian yang seterusnya.

Penggunaan kaedah kuiz ini sedikit sebanyak telah membuka minda mereka bahawa untuk
belajar bukan hanya mendengar dan menulis sahaja tetapi mereka mesti melibatkan semua
pancaindera mereka. Pergerakan tubuh badan dan pancaindera akan membantu mereka untuk
menghayati dan meningkatkan kemampuan mereka yang selama ini dipendam dan seakan-akan
beku dan tepu dalam hati, jiwa dan pemikiran mereka. Walau bagaimanapun dalam kajian ini
terdapat dua orang pelajar yang hanya menunjukkan prestasi yang tidak jauh berbeza semasa
ujian pra dan ujian pos kerana mereka sering ponteng sekolah dan tidak dapat menyertai kajian
ini sepenuhnya. Oleh sebab kerap tidak hadir ke sekolah agak sukar bagi saya untuk membantu
mereka menguasai dan memantapkan pemahaman mereka terhadap tajuk ini.

Saya berpendapat bahawa sebagai seorang guru, sokongan kepada pelajar amat penting. Sebagai
guru, kaedah atau teknik pengajaran perlu dipelbagaikan untuk menarik minat pelajar terhadap
topik yang diajar. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan yang pelbagai. Oleh itu kreativiti
seseorang guru amat penting untuk menghasilkan satu sesi pengajaran yang menarik. Sebagai
guru kita pasti akan berasa bersemangat dan teruja apabila pelajar berkata ‘kami sentiasa
menunggu-nunggu kedatangan cikgu’ untuk mengajar kami. Walaupun kadang-kadang terdapat
keputusan ujian mereka tidak mencapai target, tetapi keinginan dan minat mereka terhadap mata
pelajaran tersebut adalah penting. Pelajar adalah golongan yang sedang belajar, kesilapan dan
kegagalan adalah satu proses yang perlu dilalui oleh mereka. Justeru itu sebagai golongan
pendidik yang dedikasi dan prihatin sokongan dan kesabaran terhadap mereka hendaklah
diberikan 100% tanpa rasa berbelah bahagi.

7.0 KESIMPULAN
Penggunaan Kaedah Kuiz merupakan satu kaedah yang sering digunakan untuk murid-murid
peringkat tadika atau sekolah rendah. Walau bagaimanapun atas kesedaran bahawa terdapat
pelajar yang masih lemah dalam pelajaran walaupun mereka sudah memasuki sekolah menengah
atas maka pertandingan kuiz seumpama ini telah saya cuba dalam usaha menarik minat mereka
dalam pelajaran. Pelajar yang berprestasi rendah dan sederhana perlu diberi perhatian yang lebih
kerana mereka juga berpotensi untuk mendapat kejayaan yang lebih baik. Kemungkinan mereka
tidak diberi peluang dan bakat serta potensi mereka tidak dapat digilap sepanjang tempoh
pembelajaran mereka dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah atas. Kekangan dan
batasan masa seseorang guru semasa mendidik anak-anak didik ini juga merapakan salah satu
faktor yang menyebabkan potensi kesemua pelajar tidak dapat dikesan dan digilap.

Saya tidak berhenti setakat kaedah kuiz ini sahaja. Pada masa akan datang permainan komputer
secara interaktif juga akan diperkenalkan dalam pembelajaran Pengajian Am tingkatan enam.
Saya berpendapat ini bersesuaian dengan perkembangan ICT yang terkini dan penggunaannya
yang begitu meluas. Belajar melalui interaktif komputer akan memberi kebebasan, ruang dan
peluang kepada semua pelajar untuk belajar secara akses kendiri tanpa bantuan guru di sekolah
dan mereka boleh menggunakannya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka
berada.

SENARAI RUJUKAN

Arhar, Joanne; Holly, Mary Louise; and Kasten, Wendy C. (2000) Action research for teachers :
traveling the yellow brick road. Upper Saddle River, NJ.: Prentice-Hall.

Armstrong, Felicity, and Moore, Michele, eds. (2004) Action research for inclusive education:
changing places, changing practices, changing minds. London: RoutledgeFalmer.
Jeya Velu,et.al.(2000) Pembangunan Profesional Guru : Kursus Kajian Tindakan Berasaskan
Sekolah. Kota Kinabalu: Maktab Perguruan Gaya

You might also like