You are on page 1of 2

Laman media punca perpecahan kaum?

FAIRUZ JUMAIN, RIDUAN ASHAHA, JANATUL FIRDAUS


15 MEI 2017

PERPADUAN dalam sesebuah negara sangat penting kerana keutuhan negara bangsa banyak
ditentukan oleh rakyat yang mempunyai sikap saling hormat menghormati sesama kaum. Negara
yang mempunyai rakyat tidak bersatu padu dan saling mengancam sesama sendiri pasti memberi
kesan negatif kepada ekonomi, politik dan sosial sekaligus kepada pembangunan negara.

Pada masa yang sama, perpaduan juga penting untuk memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai
program pembangunan di negara ini selain rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan makmur.
Pada hari ini, ancaman kepada perpaduan kaum khususnya di Malaysia muncul dalam pelbagai
bentuk. Dewasa ini, laman media dilihat sebagai ancaman baharu kepada perpaduan kaum.
Benarkah begitu?

Kenapa laman media yang sering dikaitkan dengan kuasa baharu dilihat sebagai senjata propaganda
terkuat? Sudah tentu kerana laman media ini mampu diakses oleh sesiapa sahaja termasuklah
golongan kanak-kanak. Jika kuasa ini dibiarkan, dibimbangi ia akan melarat menjadi sesuatu yang
buruk dan di luar kawalan. Apabila sesuatu perkara yang mempunyai sentimen perkauman
disebarkan dengan sengaja di laman media, ia pasti menimbulkan perasaan tidak puas hati dan
kemarahan kepada kaum-kaum tertentu.

Oleh sebab isu perkauman amat sensitif di Malaysia, maka isu perkauman di laman media ini perlu
diberi perhatian sewajarnya. Ikuti laporan Sorot minggu ini mengenai isu benarkah laman media
menjarakkan lagi jurang kaum di Malaysia? TIDAK dinafikan kewujudan media sosial hari ini menjadi
medium kepada pihak tidak bertanggungjawab menyemai rasa benci antara kaum di negara ini.

Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan perpaduan yang
wujud antara kaum terjalin hasil dari toleransi, rasa cintakan negara dan hormat-menghormati.
Menurut Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM)
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, ramai pengguna media sosial hari ni memuat naik status tanpa
memikirkan sensitiviti kaum.

“Ini memperlihatkan terhakisnya rasa hormat dan tolak ansur. Ada yang merasakan budaya mereka
itu lebih baik daripada budaya kaum lain dan perkara seumpama ini tidak wajar wujud. “Sepatutnya ,
kewujudan media sosial ini menjadi medium perkongsian ilmu berguna kepada masyarakat dan
bukan menjadikan sesuatu isu berkaitan kaum sebagai tular tanpa mengendahkan nilai yang kita
kongsi bersama selama ini,” katanya.

Keberanian individu di media sosial memuat naik status sensitif disebabkan mereka berselindung di
sebalik akaun palsu. “Kalau di dunia luar, mungkin individu itu mempunyai karakter lain tetapi di
media sosial sebaliknya dengan provokasi yang dilontarkan sehingga menimbulkan rasa kurang
senang masyarakat di negara ini.

“Tidak dinafikan, wujud pihak-pihak tertentu kurang senang dengan keharmonian kaum yang kita
telah kita kecapi bersama. Mereka ini sengaja mewujudkan konflik dan kemudiannya menjadikan ia
sebagai satu isu politik,” katanya. Jelasnya, individu atau pihak yang cuba mewujudkan retak antara
kaum di negara ini tidak melalui pengalaman membina Malaysia. “Secara psikologinya golongan ini
juga hidup dalam tekanan sosial dan tidak memahami aspirasi nilai kompromi serat tidak sedar
kepentingan muafakat. "Mungkin mereka ini berada dalam keadaan mental tidak stabil. Orang
berkejar mencari keamanan, kedamaian dan keharmonian tetapi mereka ini berusaha,” katanya.

PAP2 PERPADUAN @CNM_KHS


Rukun Negara, asas perpaduan

Menurut Sivamurugan, Rukun Negara seharusnya dijadikan asas untuk mengukuhkan hubungan
etnik melalui penekanan terhadap lima prinsip di bawahnya.Namun, diakui bahawa prinsip-prinsip
Rukun negara itu semakin luntur dan tidak lagi menjadi satu kepentingan.

“Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan,
kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan. Kesemua ini menggambarkan acuan
Malaysia yang mahu dipertahankan.

“Asas lima prinsip bertujuan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. jadi pihak berwajib harus
menyoal kenapa ia semakin luntur dan terhakis,” katanya. Katanya, penambahbaikan perlu
dilakukan tanpa mengetepikan asas yang dibina di bawah Rukun Negara, agar generasi baru
memahami kepentingan dan makna kepada Rukun Negara.

Menurut Sivamurugan, perpaduan dalam kalangan masyarakat ketika ini, walaupun stabil, namun ia
kelihatan rapuh. “Kerana itu Rukun Negara harus diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan
amalan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, pelbagai pihak harus memainkan peranan,
dan ia harus bermula dari institusi kekeluargaan itu sendiri,” katanya.

Katanya, keluarga harus menunjukkan kepentingan ke semua yang prinsip yang terkandung dalam
Rukun Negara. Pihak sekolah pula harus secara berterusan dan bukan bermusim menekankan aspek
kepentingan Rukun Negara.

Gembleng program di peringkat sekolah, IPTA

Kata Sivamurugan lagi, di sekolah terdapat Kelab Rukun Negara dan kelab-kelab ini boleh
digembleng secara berterusan, dan ia boleh diteruskan hingga ke peringkat universiti sekali dengan
penglibatan pensyarah. “Begitu juga di tempat kerja, baik sektor awam mahupun swasta prinsip-
prinsip Rukun Negara harus diberi penekanan, ia mungkin tidak dilakukan secara langsung tetapi
menghidupkan semangat di sebalik setiap prinsip itu.

“Seterusnya, pihak media juga berperanan sebagai ejen bagi menyuburkan prinsip Rukun Negara
selain pihak berwajib dengan penglibatan semua kementerian,” katanya. Menurutnya lagi,
pemimpin harus menjadi contoh terbaik kepada rakyat kerana dengan kepimpinan melalui teladan,
ia akan menjadi ikutan setiap lapisan masyarakat.

“Selain itu, rakan sebaya turut memainkan peranan yang penting. Tetapi akhirnya ia menjadi
tanggungjawab individu itu sendiri yang menamakan dirinya sebagai warga Malaysia yang harus
menjunjung tinggi Rukun Negara. “Rukun Negara bukan sekadar dicetak di belakang buku tulis, di
kotak-kotak tisu, pada kampit beras dan pelbagai barangan seolah-olah tahu ia semakin terhakis, jadi
kita mencari jalan untuk mengukuhkannya, tetapi adakah langkah ini efektif,” katanya.

Beliau berpandangan, bahawa perlunya pihak bertanggungjawab memantau dan menangani isu-isu
remeh yang timbul agar ia tidak membesar sehingga boleh menimbulkan konflik perkauman.

Mungkin pendekatan baharu harus di cari sebagai contoh dengan mewujudkan sekretariat di
peringkat nasional yang bertanggungjawab bukan sahaja ke atas Rukun Negara tetapi isu
perkauman.

PAP2 PERPADUAN @CNM_KHS

You might also like